14 Bab 14

PERJALANAN dari Kuala Lumpur ke Moscow, Rusia dijangka akan mengambil masa selama 16 jam dengan sekali transit. Mengikut jadual, mereka akan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London selama 3 jam. Delegasi Malaysia akan diketuai oleh Menteri MOST SPACE, Timbalan Menteri, pegawai-pegawai pengiring bagi delegasi kenamaan dan juga calon-calon angkasawan kedua negara. Delegasi ini akan berangkat ke Rusia bagi menandatangani perjanjian MoU bagi proses akhir pra-pemasangan alatan dalaman dan juga aparatus makmal di dalam stesen angkasa GEMILANG-01.

Semasa berlepas dari KLIA, terlalu ramai orang yang berpusu-pusu hadir bagi memberikan sokongan dan penghormatan kepada calon-calon angkasawan negara. Ini termasuklah duta besar Rusia ke Malaysia, kaum keluarga, sahabat handai serta orang ramai yang teruja untuk melihat sendiri calon-calon angkasawan kedua negara dan juga bakal kru stesen angkasa milik negara berlepas ke Rusia.

***

Akhirnya, Kelapan-lapan calon angkasawan negara dan calon-calon misi stesen angkasa GEMILANG-01 berjaya menghabiskan tempoh latihan yang padat selama 12 bulan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Russia. Selain latihan teknikal berkaitan stesen angkasa, mereka juga diajar mengenai bahasa Rusia dengan lebih terperinci, subjek-subjek astronomi dan kaedah eksperimen di orbit, teori pemanduan kapal pengangkut Soyuz selain mengenali budaya setempat masyarakat Rusia dan juga berkenalan dengan ramai angkasawan-angkasawan daripada seluruh dunia.

Pada bulan pertama latihan, mereka diajar tentang latihan kemandirian (survivability) dan juga kelas bahasa Rusia. Latihan kemandirian kebiasaannya dilakukan di kawasan beriklim sejuk Siberia dengan suhu yang ekstrem sejuk mencecah -30 darjah Celsius. Disebabkan pada masa tersebut merupakan penghujung tahun yakni bulan Oktober, maka mereka akan ditempatkan di suatu kawasan dataran luas di pergunungan Siberia. Mereka akan membina rumah eskimo dan kekal hidup berbekalkan makanan yang dibawa daripada pusat latihan terbabit. Kawasan Siberia tidak akan menerima cahaya matahari bermula pada bulan Oktober sehingga ke bulan Februari tahun hadapan. Di Siberia, mereka akan dibekalkan dengan set lengkap survival mengandungi peralatan GPS, walkie talkie, mancis, bahan-bahan makanan yang telah dibungkus, alat-alat pemburuan seperti bidik, tukul, pisau dan 'flare' untuk menarik perhatian pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan ataupun sesuatu perkara yang tidak terjangka.

Pada bulan keduanya pula, mereka telah belajar mengenai sistem asas astronomi seperti jujukan bintang, buruj dan proses mengenalpasti kedudukan bintang di langit dengan mata kasar. Selain itu, mereka juga turut mempelajari prinsip asas sistem kawalan penerbangan angkasa lepas, teori asas orbit dan juga proses-proses pengemudian asas sistem penerbangan di kawasan bergraviti sifar. Teori-teori ini telah diajar oleh pakar-pakar astronomi yang merupakan pensyarah di universiti sekitar Moscow dan juga angkasawan-angkasawan yang sudah mempunyai pengalaman berada di angkasa lepas sebelum ini. Selain itu, pemeriksaan perubatan berkala juga turut dilakukan seperti pemeriksaan air kencing, darah, mata dan kadar denyutan jantung. Kesemua ini adalah sebagai rekod yang penting kerana setiap angkasawan perlu berada pada tahap yang terbaik untuk kekal mandiri di angkasaraya kelak. Kelas bahasa Rusia dan juga kelas astronomi akan berterusan diajar untuk sekurang-kurangnya enam bulan terawal tempoh latihan supaya calon-calon dapat berkomunikasi dalam bahasa soviet berkenaan dan mempunyai pengetahuan yang kukuh mengenai ilmu angkasaraya.

Bulan ketiga pula dipenuhi dengan aktiviti kecergasan dan juga aktiviti yang lebih santai selain kelas astronomi dan juga kelas bahasa Rusia kerana bulan ini merupakan bulan festival dan cuti panjang bagi orang Rusia iaitu perayaan hari Natal selain bulan Ramadan bagi masyarakat Muslim. Di Tanah air pula, sambutan Aidilfitri jatuh pada 'Boxing day', jadi perasaan perayaan berganda dapat dirasai oleh mereka semua. Walaupun ketika berpuasa, aktiviti latihan dan kelas tetap berjalan seperti biasa. Setiap malam di bulan Ramadan, calon-calon akan dijemput untuk menghadiri majlis berbuka puasa anjuran persatuan pelajar-pelajar Malaysia yang tidak dapat pulang ke tanah air. Pelbagai makanan dihidangkan semasa aktiviti berbuka puasa namun calon-calon haruslah berjaga-jaga agar tidak mengambil makanan berkalori tinggi atau tinggi lemak kerana perkara ini merencatkan perancangan dan perencanaan selama 12 bulan yang telah dirangka oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSPACE) dan juga ROSCOSMOS.

Kebiasaannya, orang Rusia akan keluar menaiki kenderaan 'masyookh' ke kawasan yang lebih panas iaitu di kawasan lautan belah selatan yang bersempadan dengan China dan Korea Utara seperti di Vladivostok dan juga di Khabarovsk bagi menghabiskan cuti hujung tahun disana. Perkara ini digelar oleh penduduk tempatan sebagai 'Dacha'. Mereka akan menikmati shashlik iaitu kebab daging bakar yang dimasak sendiri sambil menikmati pemandangan lautan di selatan. Ada juga yang akan pergi ke bandar Kazan dan juga St. Petersburg yang bersempadan dengan Finland dan juga Latvia bagi melakukan aktiviti sukan ski ais, permainan hoki ais dan juga paragliding di kawasan pergunungan berais.

Calon-calon angkasawan negara meraikan sambutan Aidilfitri di kedutaan besar Malaysia di Bandar Moscow. Oleh kerana mereka tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman kerana terikat dengan perjanjian dengan kerajaan Rusia serta rejim latihan yang ketat, mereka diraikan dalam satu majlis yang penuh bermakna dan meriah. Selesai sahaja solat sunat Aidilfitri bersama pihak kedutaan dan juga pelajar-pelajar Malaysia, mereka dihidangkan dengan pelbagai juadah Aidilfitri yang telah tersedia seperti lemang, ketupat, rendang, kuih-muih dan juga pelbagai juadah beraneka rasa. Alunan lagu-lagu raya yang berkumandang pula menambahkan lagi seri hari raya itu sendiri. It's feel like coming home. Sekurang-kurangnya, terubat perasaan rindu dan sedih tidak dapat pulang ke tanah air.

Bulan keempat pula, calon-calon angkasawan diajar mengenai teori-teori angkasa lepas, teori asas penerbangan pesawat pengangkut Soyuz, kawalan misi di dalam kapal pengangkut Soyuz, sub-bidang perubatan di luar orbit bumi dan pengenalan asas kepada eksperimen-eksperimen saintifik mengenai bidang fizik bumi. Modul-modul latihan ini akan diajarkan selama tiga bulan kerana salah satu objektif utama dalam misi penghantaran angkasawan kedua negara adalah untuk meneruskan agenda saintifik, meneruskan eksperimen-eksperimen yang pernah dilakukan oleh Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pada tahun 2007 yang lalu.

***

avataravatar
Next chapter