12 Bab 12

SUASANA di sekitar lobi Hotel Zenith, Kuantan malam itu cukup meriah dengan kehadiran ramai orang, pihak media mahupun pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan. Para pembesar setiap negeri turut serta diundang pada acara yang penuh gilang-gemilang itu. Boleh dilihat begitu berwarna-warni suasana di sekitar Ballroom Seri Delima dengan paparan LED berdefinisi tinggi dibahagian latar, pancaran sinar hologram bagi stesen angkasa antarabangsa (ISS) di bahagian pentas utama, tempat duduk yang cukup banyak telah disediakan bagi menampung jumlah hadirin yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah universiti, pelajar-pelajar, keluarga dan sahabat handai calon-calon juga turut diundang.

Sebuah replika baju angkasawan dengan logo 'Program Angkasawan' setinggi 3 meter turut diletakkan di sudut bahagian kiri pentas utama manakala replika kapal angkasa 'GEMILANG-01' diletakkan di bahagian kanan pentas bagi menghidupkan suasana malam yang penuh debaran itu. Calon-calon angkasawan pula diletakkan berdekatan tempat duduk VIP dimana mereka akan duduk sebaris dengan para tetamu kehormat. Calon-calon angkasawan juga memakai suit formal jenis single breasted berjenama Marks & Spenser lengkap dengan kasut kulit gelap serta bertali leher dengan tanda nama setiap mereka terpampang dibahagian dada belah kiri. Dr. Nora Yuhanis, Daeng Mustakim, Lim Wei Jin dan Thivaran Nagaradjah duduk di barisan hadapan manakala Josephine Imulok, Joseph Stanley dan Samoi Rasal duduk pada barisan di belakang barisan hadapan. Namun, Dr. Nora Yuhanis masih tercari-cari kelibat ibunya jikalau ada di dalam dewan terbabit.

Majlis dimulakan dengan bacaan ummul kitab Al-Fatihah dan bacaan doa. Seterusnya, ucapan pendahuluan dilakukan oleh pengarah MYSA yang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh calon-calon angkasawan yang berjaya menamatkan cabaran pemilihan bermula daripada program 'Larian ke Orbit 2' sehinggalah ke cabaran terakhir di dalam negara. Katanya lagi, program Angkasawan ini penting bagi meneruskan legasi angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang telah berjaya mengharumkan nama negara di pentas persada antarabangsa khususnya dalam bidang sains angkasa. Seterusnya, adalah ucapan daripada Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor selaku angkasawan pertama negara.

Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dalam ucapannya menyeru kepada seluruh calon-calon yang terpilih untuk membuktikan kemampuan sebenar diri mereka. Bagi yang tidak terpilih katanya, usah berputus asa kerana perjalanan mereka tidak akan terhenti di sini. Masih banyak peluang baru yang boleh diterokai dalam pelbagai bidang di luar sana. Buat calon-calon yang berjaya, beliau mengingatkan kepada setiap calon agar bersedia menghadapi cabaran mental dan fizikal, spiritual mahupun banyak mempelajari adat-adat di negara orang terutamanya di Rusia. Beliau memberi contoh bagaimana beliau adakalanya hilang motivasi pada awalnya namun sedikit demi sedikit semangat dibina demi negara. Beliau juga mengingatkan kepada calon angkasawan wanita agar membuktikan sesuatu kepada dunia bahawa mereka juga mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan jantina yang berlawanan mereka.

Seterusnya adalah masa yang di tunggu-tunggu oleh kesemua mereka yang berada di dalam Ballroom Seri Delima terbabit. Ucapan Yang Amat Berhormat Menteri MOST SPACE yang mana pada akhir ucapan itu nanti, beliau akan mengumumkan senarai 8 orang yang berjaya layak ke peringkat pemilihan seterusnya di Rusia kelak. Pada awal ucapan YB Menteri MOST SPACE, beliau merasakan sungguh bertuah dan berbesar hati kerana dapat melihat satu lagi wajah anak Malaysia akan berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dalam masa terdekat ini. Beliau juga turut berterima kasih kepada YB Perdana Menteri atas peruntukan dana yang cukup besar dalam belanjawan tahun-tahun yang sudah dan tahun-tahun yang mendatang kepada bidang sains angkasa. Walaupun mendapat banyak kritikan daripada segelintir pihak, beliau ingin mengajak agar kesemua mereka memandang program ini daripada sudut yang positif khususnya kepada hasil-hasil kajian yang bakal dituai dan dikomersialkan selepas selesai sahaja program Angkasawan kedua ini.

Katanya lagi, disaat kebanyakan negara sedang berlumba-lumba membina koloni di planet Marikh, adalah tidak adil jika kita hanya berdiam diri sahaja tanpa melakukan apa-apa usaha ke arah memartabatkan bidang sains dan teknologi negara. Jadi, Program Angkasawan kedua ini adalah sebagai bukti kepada 'establishment' kepada program Angkasawan pertama pada tahun 2007 yang lalu. Tidak dapat tidak, kerajaan perlu mengambil tindakan drastik untuk menghantar angkasawan negara ke ISS untuk kali kedua ini. Beliau juga mengingatkan kepada calon-calon angkasawan yang bakal terpilih kelak untuk terus menjaga nama baik negara. Seharusnya negara Malaysia perlu dikenali sebagai negara yang cintakan ilmu sains dan teknologi.

Beliau kemudian mengumumkan satu persatu nama calon-calon yang terpilih. Nama pertama yang disebut adalah Daeng Mustakim bin Daeng Abdullah yang mewakili negeri Johor. Seperti sudah dapat mengagak, dewan Ballroom Seri Delima gemuruh dengan tepukan para hadirin. Calon kedua yang dipanggil adalah Thivaran Nagaradjah yang mewakili negeri Pahang. Kelihatan bersorak keluarga Thivaran dibahagian penonton di tempat duduk paling belakang. Calon ketiga pula yang dipanggil untuk naik ke atas pentas adalah Lim Wei Jin, wakil daripada negeri Pulau Pinang. Perasaan gemuruh semakin menghantui Dr. Nora Yuhanis kerana tinggal berbaki 5 tempat sahaja lagi untuk menjadi rebutan.

Calon keempat yang diumumkan adalah Samoi anak Rasal, wakil daripada negeri Perak. Samoi kelihatan tidak mempercayai yang dia berjaya meloloskan diri ke kedudukan empat terbaik. Keluarganya dan beberapa suku kaum Semang kelihatan bersorak dan meraikan wakil suku mereka ke Rusia. Mereka dapat dikenali dengan berpakaian suku kaum Semang di dalam Ballroom terbabit. Dr. Nora Yuhanis semakin resah gelisah, perasaan tidak tenteram namun berjaya disembunyikan melalui senyuman manisnya itu. Berbaki empat lagi tempat, dan calon-calon yang masih belum dipanggil kelihatan berdebar-debar menantikan pengumuman seterusnya daripada Yang Berhormat menteri.

"Calon kelima yang terpilih adalah.... Joseph Mading anak Stanley, wakil daripada negeri Sarawak." umum menteri MOST SPACE. Kelihatan wakil keluarga Joseph Stanley yang didatangkan khas dari Sarawak bersorak riang gembira. Pastinya mereka meraikan kejayaan wakil daripada negeri mereka untuk meneruskan perjuangan menjadi angkasawan kedua negara.

"Seterusnya, calon keenam adalah.... Azfar Faiq bin Mohd Ariff yang mewakili negeri Melaka!" Bersorak riang para hadirin yang hadir di Ballroom terbabit. Walaupun seorang calon underdog, namun, pencapaian memasuki pusingan yang seterusnya amatlah membanggakan.

"Calon ketujuh pula adalah.... Josephine Imulok Yondina, wakil wanita daripada negeri Sabah, negeri di bawah bayu." Maka bersoraklah kaum kerabat Josephine yang didatangkan khas dari Sabah atas kejayaannya memasuki ke proses pemilihan yang seterusnya. Tinggal satu tempat yang terakhir untuk mereka sama-sama menjalani latihan di Rusia.

Pada tahap ini, Dr. Nora Yuhanis hanya berserah kepada Allah SWT. Jikalau sudah tertulis di Luh Mahfuz bahawa itu adalah rezekinya, maka dia bersyukur atas segala nikmat kurniaan ini, dan jikalau dia tidak terpilih sekalipun, dia langsung tidak menyesal kerana sekurang-kurangnya dia sudah melakukan yang terbaik sehingga sampai ke tahap ini.

"Dan... untuk slot terakhir. Calon kelapan yang berjaya mengisi tempat kekosongan bagi proses pemilihan angkasawan negara yang kedua ini adalah...."

Mata dan telinga para hadirin tidak kirahlah di kaca tv mahupun yang hadir di dewan Ballroom terbabit memberikan fokus kepada pengumuman YB Menteri. Mereka berdebar menantikan siapakah gerangan calon terakhir yang bakal terbang ke Rusia untuk bersama-sama tujuh calon yang lain bagi menjalani sesi latihan intensif selama setahun di Rusia. Adakah calon lelaki mahupun seorang lagi calon wanita? Bukan setakat penonton sahaja yang berdebar, malah, calon-calon yang sedang duduk di bahagian bawah juga turut berdebar sambil masing-masing menutup mata tanda tidak sanggup mendengar nama mereka tidak dipanggil oleh YB Menteri.

"... Dr. Nora Yuhanis binti Abdul Rahman..." jerit YB Menteri MOST SPACE diikuti sorakan dan gegak gempita seluruh Ballroom Seri Delima terbabit. Standing oviation lantas diberikan kepada kelapan-lapan calon yang berjaya layak untuk mengikuti kursus pemilihan di Rusia.

Dari atas pentas, Dr. Nora Yuhanis dapat melihat kelibat ibunya, Aunty Anne yang sedang berdiri di bahagian tempat duduk penonton. Ibunya kelihatan amat gembira dan berbangga dengan pencapaian yang telah diraih oleh satu-satunya anak kesayangan Aunty Anne. Perasaan bangga dan terharu tidak dapat dibendung lagi oleh kedua beranak terbabit. Seusai habis sahaja proses pengenalan bersama pihak media, dua beranak berkenaan kelihatan berpelukan sambil menangis teresak-esak.

***

avataravatar
Next chapter