11 Bab 11

"Rasa macam nak mati!" ujar Daeng Mustakim seusia sahaja selesai misi meranduk di dalam paya tersebut sambil duduk bersimpuh. Kakinya yang penuh dengan lumpur itu dilunjurkan ke hadapan.

"Kita semua dah tak rupa orang dah. Masing-masing comot har har" kata seorang lagi calon, Asyraf Mujahideen yang merupakan seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta.

Hampir kesemua calon dalam kumpulan ini terpalit dengan calitan lumpur-lumpur paya bakau terbabit. Hampir separuh badan sudah penuh dengan kotoran. Bau hamis paya bakau turut menusuk ke segenap penjuru kawasan terbabit, dengan keadaan hujan masih lagi turun tanpa henti. Masing-masing juga menggigil kesejukan dengan jam sudah menunjukkan pukul 2.50 pagi.

"Dr. Nora okay?" Daeng Mustakim menyapa Dr. Nora Yuhanis yang hanya diam membisu seribu bahasa sambil termenung.

Dr. Nora Yuhanis hanya menunjukkan isyarat bagus sambil tersenyum kelat, wajah jelas terpancar perasaan kepenatannya sudah tidak boleh dibendung lagi. Tidak ada perkataan yang dapat dilontarkan, hanya satu menungan jauh dilemparkan ke dalam hutan belantara yang maha gelap itu. Kakinya dijulurkan ke hadapan dan beberapa rumpai paya dicabut di sekitar kasutnya.

"Kim, tengok ni haa collection aku. Power tak?" Azfar Faiq menunjukkan kakinya yang dipenuhi dengan pacat dan lintah yang sedang menghisap darah kepada Daeng Mustakim. Gebu-gebu dan montok-montok keadaan pacat dan lintah terbabit.

"Fuhh power... Power... Penuh satu kaki tuu. Aku pun ada ni ha.." Daeng Mustakim juga menunjukkan beberapa ekor pacat yang terlekat dibahagian kakinya.

Masing-masing mula melihat-lihat jikalau kaki mereka sedang dijamah haiwan kecil yang maha comel berkenaan. Hampir kesemuanya daripada mereka mempunyai pacat dibahagian kaki kecuali Dr. Nora Yuhanis. Mereka tidak boleh terus menarik pacat berkenaan kerana dibimbangi darah tidak akan henti-henti selain gigit pacat yang tertinggal itu bakal menyebabkan kegatalan yang berpanjangan selama berbulan-bulan.

Namun, semasa mereka sedang berbual-bual, kedengaran satu suara asing dibahagian belakang mereka. Suara yang cukup garau namun agak dikenali.

"Kamu ingat kamu sudah habiskan misi?" ujar suara terbabit. Kelihatan seorang anggota PASKAL yang memakai baju hujan muncul secara tiba-tiba daripada bahagian belakang. Cukup terkejut calon-calon yang sedang berehat-rehat disekitar tepi paya bakau berkenaan.

"Ada lagi satu misi sebelum kamu balik ke khemah." pegawai berkenaan mengumumkan satu lagi misi sambil tersengih-sengih. Kesemua calon tertanya-tanya misi apakah yang dimaksudkan oleh pegawai berkenaan.

"Mari aku tunjukkan misi kamu yang terakhir." anggota PASKAL berkenaan memanggil mereka ke suatu kawasan yang lapang. Dalam kesamaran cuaca hujan, dapat dilihat terdapat 10 buah keranda.

"Kamu ada tinggal 8 orang untuk satu kumpulan. Oleh itu, setiap seorang pilih satu keranda. Baki 2 keranda adalah bermakna 2 orang rakan kamu telah terkubur perjuangan mereka. Saya mahu kamu buka keranda tersebut, tulis nama kamu dengan menggunakan marker pen ni kat atas mayat yang dah di kafankan. Kemudian, angkat mayat yang kamu dah tulis nama kamu tu ke dalam trak di nun jauh kat tepi jalan sana..." Komaner PASKAL dengan tag nama 'Azman' berteriak ke arah peserta.

"Mmmaa... Maayaat? Gulpp!" Serentak kesemua calon berpandangan antara satu sama lain. Ada yang menelan air liur, ada yang mimik muka berubah seusai sahaja Komander Azman memberikan arahan, dan ada juga yang pasrah sahaja dengan ketentuan takdir, pasrah dalam kepenatan.

"Ya! Mayat! Mayat ini adalah bukti pengorbanan kamu untuk ke angkasa kelak, jika terjadi apa-apa semasa dalam tempoh penerbangan kamu nanti ataupun semasa menjalankan eksperimen di ISS kelak, kamu semua bakal jadi mayat juga! " Nada suara Komander Azman semakin tinggi sambil berjalan ke hulu ke hilir di kawasan hutan terbabit. Calon-calon angkasawan kumpulan Daeng Mustakim hanya memerhatikan sahaja gelagat Komander Azman sambil menundukkan wajah masing-masing.

"Sebagai calon angkasawan, kamu seharusnya mempunyai semangat juang yang tinggi, tidak takut akan cabaran tak terjangka dan sentiasa bersedia! Sebab itulah kamu dilatih sebegini rupa, kerana kami mahu mencari calon angkasawan yang terbaik di antara yang terbaik! Kalau setakat cabaran macam ni pun kamu semua dah lemau dan putus asa, macam mana nak hadapi latihan-latihan yang sepuluh kali ganda lebih mencabar kat Rusia nanti?" Komander Azman membentak kuat apabila ada calon seakan-akan sudah putus asa.

"Saya nak tanya kamu la, kamu sanggup tak angkat mayat kawan kamu jikalau ditakdirkan perjalanan kamu ke angkasa nanti gagal dan kapal pengangkut soyuz meletup di tengah-tengah perjalanan? Kamu sanggup apungkan rakan-rakan kamu ke luas ISS sekiranya ditakdirkan ISS mengalami kegagalan dan bekalan oksigen semakin sedikit? Cuba fikirkan."

"Sekarang sudah pukul 3.10 pagi. Saya nak task ni disiapkan dalam masa setengah jam, dan lepas habis task ni, korang semua boleh balik ke khemah masing-masing. " Komander Azman memberikan arahan terakhir sambil berlalu pergi.

Lalu, mereka dengan pantas memulakan cabaran terakhir ini walaupun badan sudah terasa hampir-hampir mahu merebahkan ke permukaan bumi. Demi sisa-sisa semangat perjuangan, mayat-mayat yang ada di di dalam keranda itu tadi telah dituliskan nama mereka, lalu atas nama semangat kerjasama sepasukan, mereka mengusung satu persatu jasad tidak bernyawa berkenaan ke trak PASKAL sehingga selesai.

***

Pada hari terakhir, mereka telah menjalani beberapa set ujian psikologi, ujian pengetahuan am, ujian bahasa Rusia dan ujian emparan daya. Bagi ujian psikologi dan ujian pengetahuan am, calon-calon akan diuji oleh beberapa barisan ahli Jawatankuasa Teknikal dibawah Pelan Tindakan Agensi Angkasa Lepas Nasional 2030. Antara soalan yang diajukan kepada calon-calon adalah pendapat mereka mengenai program Angkasawan ini, tahap kesihatan psikologi mereka dan juga pengetahuan umum mengenai bidang astronomi, sains angkasa dan program kosmonaut Rusia. Ujian pengetahuan ini dijalankan selama setengah jam bagi setiap calon yang layak ke peringkat seterusnya.

Ujian emparan daya atau force centrifuge pula merupakan ujian ketahanan fizikal paling mencabar untuk hari terakhir tersebut. Ujian ini telah dilakukan di TUDM Kuantan dimana selepas kesemua para peserta berkemas, mereka akan bergerak dari kawasan Sungai Lembing ke TUDM Kuantan. Force Centrifuge ini kebiasaannya digunakan untuk tujuan latihan oleh pilot ataupun juru terbang pesawat pejuang yang berperanan sebagai sebuah kaedah simulasi bagi menentukan aras daya dan tekanan pada graviti. Simulasi ini mempunyai alat khas yang dipanggil 'Simulator' dan digunakan untuk bertahan daripada kekuatan daya graviti pada situasi yang ekstrem dengan nilai kira naik pada skala 'G'.

Semua calon yang masih meneruskan perjuangan mestilah melalui lima peringkat kekuatan daya graviti ataupun 5G. Walau bagaimanapun, pada permulaan peringkat ujian, anggota TUDM yang berpengalaman telah mengajar kepada mereka cara untuk mengendalikan ujian berkenaan dan beberapa kaedah lain seperti kaedah kejutan anti-graviti ataupun Anti-Gravity Shock Method (AGSM). Kaedah AGSM ini dimana calon-calon akan diarahkan untuk mengenakan satu daya bertekanan sekuat mungkin bagi memastikan pengaliran darah sentiasa mengalir ke bahagian otak. Kebiasaannya, mereka yang menjalani ujian emparan daya ini akan berada dalam keadaan berhalusinasi, tidak sedarkan diri ataupun apa yang dipanggil sebagai 'G-Loc'. Ini kerana ujian ini akan memerlukan seseorang untuk bergerak dengan laju dan perkara ini akan mencetuskan tekanan darah yang rendah lalu peredaran darah tidak sampai ke bahagian otak.

Namun, Dr. Nora Yuhanis mempunyai kelebihan yang tersendiri kerana bukan sahaja memiliki susuk tubuh yang genit dan kecil, malahan, ukuran ketinggiannya tidak mencecah ke angka 165 cm. Ini kerana seseorang yang bertubuh rendah dan kecil lebih mempunyai kelebihan dimana jarak antara organ jantung ke otak adalah lebih dekat, berbanding mereka yang tinggi melampai seperti Daeng Mustakim yang mempunyai ketinggian mencecah 180 cm.

Pada malamnya pula, pengumuman keputusan 8 orang calon terpilih dan terbaik yang akan mewakili negara kelak untuk sesi latihan seterusnya di Pusat Latihan Angkasa Yuri Gagarin di Star City, Rusia akan dilakukan di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang. Pengumuman ini akan disiarkan secara langsung di laman sesawang Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), di laman sesawang rasmi Kementerian MOST SPACE dan juga di saluran televisyen seluruh negara.

***

avataravatar
Next chapter