75 Tewas Pertarungan dengan Raksasa

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Blue River sememangnya seorang jaguh handalan. Serangan Sword Draw itu dilakukan dengan cukup tepat dan cantik sekali. Tetakan pedang itu telah singgah pada musuh sewaktu dia melompat di udara, gerakan ini memerlukan kemahiran dan kawalan masa yang tepat untuk dilakukan. Pemain seperti Seven Fields misalnya akan menghadapi masalah untuk berbuat demikian.

Blue River menyambung serangan dengan Triple Slash. Ini juga sejenis serangan kelas Blade Master. Sebelum Goblin Merchant mencecah tanah, Blue River telah meluncur ke arah raksasa itu dan menetak sebanyak tiga kali berturut-turut. Darah Goblin Merchant bertempiaran di udara.

Seterusnya, Blue River bersedia untuk melakukan serangan Upward Slash pula. Serangan ini akan melambungkan musuh ke udara. Tetapi belum sempat dia berbuat demikian, Blue River melihat sebilah tombak yang aneh menuju ke arah Goblin Merchant juga. Dia memandang ke arah pemegang senjata itu, dan melihat pada Lord Grim.

Sebilah pedang dan sebilah tombak diacukan pada Goblin Merchant bersama-sama. Pedang itu pantas, tombak itu panjang, siapa yang akan sampai dulu?

Blue River dapat berasakan tetakannya mengenai sasaran pada masa yang sama dengan tikaman tombak Lord Grim. Tetapi sewaktu tetakannya itu mengena, Goblin Merchant sudah pun dilambungkan ke udara terlebih dahulu.

Sejurus selepas itu, tombak pertarungan Lord Grim berpusing dalam satu bulatan dan dia berjaya menarik Goblin Merchant bersama-sama dengan tombaknya. Goblin Merchant tercampak ke lokasi berhampiran tempat Lord Grim berdiri. Ini serangan Circle Swing!

Blue River merenung pada wajah Lord Grim yang berdiri di hadapannya. Wajah lelaki ini sentiasa sukar dibaca. Blue River tidak tahu apa yang difikirkannya, tetapi dia sangat tenang. Tanpa ragu-ragu, dia menghunuskan pedangnya dan melakukan sebuah tetakan melintang ke arah Lord Grim.

Lord Grim meloncat ke belakang untuk mengelak. Sewaktu berada di tengah-tengah udara, dia melakukan Sky Strike untuk melambungkan Goblin Merchant yang berada berhampiran dengannya dan diikuti dengan Falling Flower Palm.

Tubuh Goblin Merchant terbang menuju ke arah Blue River.

Sangat laju!

Sekarang barulah Blue River mengerti betapa pantasnya pergerakan Lord Grim. Bagaimana lajunya tangan Ye Xiu sehingga boleh melakukan Sky Strike sewaktu di tengah-tengah udara? Tidak cukup dengan itu, dia juga sempat melakukan Falling Flower Palm sebelum mendarat! Dalam sejenak masa, minda Blue River terfikir tentang sesuatu. Serangan Falling Flower Palm hanya dapat dilakukan pada musuh yang berada di tengah-tengah udara. Maksudnya, sebelum Lord Grim mendarat, dia telah memastikan yang Goblin Merchant terlebih dahulu dilambungkan ke udara supaya dia dapat menghempaskan raksasa itu ke arah Blue River. Semua ini berlaku dalam tempoh kurang dari 2 saat! Adakah Lord Grim ini seorang manusia??

Blue River tidak mempunyai masa untuk berfikir panjang kerana Goblin Merchant sedang terbang menuju ke arahnya sekarang. Dia segera melakukan pertahanan sewaktu Goblin Merchant menghempas ke arahnya. Raksasa itu berlaga dengan pedang Blue River dan Blue River terpaksa berundur beberapa langkah ke belakang hasil daripada impak perlagaan itu.

Niat Blue River sangat jelas. Dia bukan hendak bertarung dengan Lord Grim, dia cuma mahu mencuri Goblin Merchant sahaja. Malangnya, dia tidak mempunyai serangan istimewa seperti Circle Swing yang mampu menarik tubuh Goblin Merchant seperti yang dilakukan oleh Lord Grim. Blue River hanya mampu meningkatkan kuasa serangannya supaya perhatian Goblin Merchant akan tertumpu pada dia seorang.

Blue River melompat tinggi dan melakukan salah satu serangan terhebatnya, Falling Light Blade.

Malangnya, sebelum serangannya itu sempat mengenai sasaran, sekilas cahaya pedang terpancar ke arahnya dengan kelajuan yang menakjubkan. Blue River hanya sempat melihat darahnya memancut ke udara sewaktu cahaya pedang itu mengenainya ketika dia masih berada di udara.

Sekali lagi, ini serangan Sword Draw. Cuma, ia dilakukan oleh Lord Grim pula kali ini.

"Ini mustahil!" fikir Blue River.

Dia melihat dengan jelas yang Lord Grim tidak menukar senjata sewaktu melakukan serangan Sword Draw itu. Dia telah mengeluarkan sebilah pedang dari tombak pertarungannya! Sebaik sahaja serangan Sword Draw itu tamat, pedang itu tiba-tiba lesap. Blue River tertanya sama ada dia sedang berkhayal?

Berbekalkan kemahiran dan pengalamannya, Blue River serta-merta melakukan Quick Recover untuk mengelak dari jatuh tersungkur ke tanah. Pada ketika ini, jarak di antara dia dan Goblin Merchant telah bertambah jauh. Blue River berlari semula ke arah raksasa itu untuk merapatkan jurang.

"Boom!"

Blue River terpelanting ke udara.

"Jahanam!" Blue River menyumpah.

Kali ini, dia telah melakukan kesilapan. Dia terlalu fokus untuk merapatkan jurang sehingga terlupa yang Goblin Merchant akan melepaskan gelombang serangan setiap kali ia bangun selepas terjatuh.

Blue River sekali lagi melakukan Quick Recover. Dia melihat Lord Grim melompat dengan cantiknya untuk mengelakkan serangan gelombang Goblin Merchant dan sudah pun menuju ke arah raksasa itu. Lord Grim melakukan kemahiran Fling untuk mencampakkan Goblin Merchant ke suatu arah yang jauh. Di arah itu, ramai pemain Tyrannical Ambition telah berkumpul dan menantikan ketibaan bos liar yang diidam-idamkan.

Ternyata Blue River telah tewas dalam pertarungan singkat untuk merebut bos liar ini.

Tetapi dia juga tahu segalanya belum berakhir lagi. Semua orang di medan pertarungan ini, termasuk Persatuan Blue Brook, tidak akan sesekali mengizinkan Tyrannical Ambition membunuh Goblin Merchant dengan mudah.

"Kamu dah sampai ke belum?" tanya Ye Xiu sewaktu mengarahkan Lord Grim untuk menuju ke arah para pemain Tyrannical Ambition yang sudah berkumpul. Dia menetak raksasa itu beberapa kali demi memastikan perhatian raksasa itu tertumpu padanya.

"Dah hampir sampai!" Cold Night jauh lebih bimbang berbanding Ye Xiu. Mereka sudah berjaya menarik perhatian Goblin Merchant.

Sekelompok pemain yang ramai menyerbu kawasan itu. Tetapi, Goblin Merchant sedang berada di dalam genggaman Tyrannical Ambition pada waktu ini, oleh itu ramai pemain ragu-ragu untuk menyerang. Mereka semua tidak ingin menyerahkan Goblin Merchant begitu sahaja, tetapi mereka juga tidak ingin bermusuhan dengan Tyrannical Ambition.

Tetapi, ada juga di antara mereka yang langsung tidak gentar dengan Tyrannical Ambition. Misalnya, para pemain persatuan Blue Brook.

Kejadian Blood Gunner masih segar di minda mereka. Jika ketiga-tiga Persatuan Utama tidak ragu-ragu untuk bertindak sewaktu pertarungan dahulu, pasti kejadian kecurian itu tidak berlaku. Oleh itu, Blue River membuat keputusan untuk bertindak tanpa terlalu banyak berfikir kali ini. Lantas, dia memimpin kesemua ahli persatuannya dan mara ke hadapan. Ahli persatuan mereka ada seramai 12 orang semuanya dan ini jumlah yang sama dengan Tyrannical Ambition pada waktu ini.

"Berpecah!" arah Ye Xiu.

Cold Night dan kesemua ahli persatuan yang lain menurut perintah dan bertempiaran ke semua arah.

Ye Xiu telah mengenakan serangan Falling Flower Palm sekali lagi pada Goblin Merchant. Pemain kelas Spitfire dan Elementalist mengambil posisi di bahagian kiri dan kanan. Kebanyakan pemain bersembunyi di sebalik pokok. Sebaik sahaja kemahiran mereka telah tamat tempoh 'cooldown', mereka melakukan serangan secara sembunyi-sembunyi pada Goblin Merchant.

Cold Night pula memimpin sekumpulan pemain yang menyerang dari jarak dekat, tetapi mereka tidak mengerumuni Goblin Merchant. Mereka cuma memberikan perhatian pada pergerakan raksasa itu, dan apabila ada kesempatan, seorang pemain akan melakukan tetakan atau tumbukan terhadap raksasa itu.

Blue River tergamam. Dia tidak pernah melihat kaedah pertarungan sebegini rupa!

avataravatar
Next chapter