95 Tetamu Tidak Dijangka

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Saya baru bangun. Kenapa pula saya kena masuk tidur?" Tang Rou bertanya.

"Saya pula elok sahaja, tak mengantuk," kata Ye Xiu.

"Pukul berapa kamu bangun?" Tang Rou bertanya.

"Pukul 8!"

Mereka berdua terus berborak, membuatkan Chen Guo marah sehingga tidak terkata-kata. Pada ketika ini, pintu kafe internet terbuka dan seorang Pak Cik masuk: "Kamu ke yang tak ada elektrik?"

Ye Xiu dan Tang Rou gembira melihatnya. Mereka menjemputnya masuk sambil mengangguk kepala dan menunduk: "Ya, ya. Pak Cik, akhirnya kamu sampai,"

"Apa yang terjadi?" Pak Cik itu bertanya sambil mengangkat kotak peralatannya dan masuk.

"Kamu berdua pandai-pandailah uruskan!" Chen Guo sudah menyampah dengan mereka berdua. Dia baru sahaja hendak naik apabila Ye Xiu menjerit: "Bos, kami kena bayar kan?"

Chen Guo nyaris-nyaris tergelincir dan terhantuk kepala di lantai apabila mendengar soalannya ini. Setelah beberapa ketika, dia memulihkan diri dan berkata dengan perlahan: "Ambil dari kotak wang,".

Ye Xiu dan Tang Rou serta-merta bertukar menjadi robot pembantu. Mereka mengekori Pak Cik itu ke mana-mana sahaja dan menghidangkan teh dan air untuknya. Setelah Pak Cik tukang elektrik itu memeriksa keadaan, dia menjumpai masalahnya. Tetapi riak wajahnya tidak gembira. Masalah itu bukan mudah untuk diselesaikan, dan Pak Cik itu terfikir untuk melarikan diri.

"Macam mana?" Ye Xiu bertanya.

"Bukan senang nak baiki. Sekarang dah lambat, saya akan datang balik esok!" Pak Cik itu berkata sambil mengemaskan barang untuk beredar.

Ye Xiu panik. Dia baru sahaja hendak merasuah Pak Cik itu dengan rokok, apabila dia terdengar seseorang berkata "Tak boleh". Pada saat genting ini, si cantik Tang Rou menunjukkan kebolehannya. Dia menarik Pak Cik itu dan merayu pertolongannya dengan lembut. Setelah beberapa ketika, dia berjaya memujuk Pak Cik itu. Pak Cik itu berubah sama sekali. Dengan mengangkat kotak peralatannya, dia berpaling tanpa ragu-ragu: "Lihatlah saya!"

Ye Xiu gembira dan mengangkat ibu jari ke arah Tang Rou. Tang Rou membalas dengan senyuman. Seterusnya, mereka berdua menjadi perintis elektrik profesional. Salah seorang memegang lampu suluh, seorang lagi pula membawakan peralatan sementara mendengarkan penjelasan Pak Cik itu tentang punca masalah elektrik ini. Mereka sebenarnya tidak faham apa yang dia katakan dan hanya membalas dengan "Okey, ya, boleh," setiap kali.

Pak Cik ini seorang yang baik hati dan jujur. Bila dia berkata yang masalah ini bukan senang untuk dibaiki, dia memang memerlukan masa yang lama. Pada akhirnya, para pelanggan yang memilih untuk menunggu telah pulang semuanya. Dengan setiap detik yang berlalu, Ye Xiu dan Tang Rou juga mula berasa bersalah. Sekarang sudah pukul 11 malam. Pak Cik itu telah membaiki selama 2 jam dan nampaknya keadaan masih belum bertambah baik lagi.

"Mari kita pergi beli makanan tengah malam dan berehat sebentar!" Tang Rou yang telah memujuk Pak Cik itu untuk terus bekerja berasa lebih bersalah lagi. Dia berasakan yang dia harus sekurang-kurangnya membelanja Pak Cik itu makan.

"Okey, saya pergi beli," Ye Xiu mengangguk. Dia menggaru kepalanya sambil bertanya: "Saya boleh ambil duit dari kotak wang tak?"

Tang Rou merenung Ye Xiu dengan marah. Ye Xiu segera berlari ke restoran untuk membeli makanan. Setelah pulang, dia menjemput Pak Cik itu untuk makan. Pak Cik itu benar-benar kepenatan jadi dia tidak menolak.

"Berapa harga?" Tang Rou bertanya pada Ye Xiu.

"Apa?"

"Makanan tu," kata Tang Rou.

"86. Kamu belum makan malam lagi, kan?" kata Ye Xiu.

"Ya… 86, saya ada 43 saja. Saya hutang dengan kamu dulu!" kata Tang Rou.

"Tak payah!" Ye Xiu ketawa. Gadis ini benar-benar jujur. Dia hendak mereka berdua membahagikan harga makanan.

"Kalau kamu nak belanja, saya tak kisah," Tang Rou tersenyum.

"Makan, makan!" Ye Xiu memang tidak kisah. Dia berpaling ke arah Pak Cik itu: "Pak Cik, terima kasih atas usaha kamu. Berapa lama lagi Pak Cik perlukan?"

"Tak lama. Lebih kurang setengah jam!" Pak Cik itu berkata.

Mereka berdua menghembus nafas lega. Akhirnya ada harapan.

Akhirnya, dia tidak memerlukan setengah jam pun. Selepas 20 minit, semuanya kembali pulih dan kafe internet itu menyala semula.

Setelah Pak Cik itu pulang, hanya Ye Xiu dan Tang Rou sahaja yang masih tinggal di kafe internet itu. Waktu sudah pun tengah malam. Ye Xiu masih kurang pengalaman bekerja di sini, jadi dia bertanya pada Tang Rou: "Ada pelanggan akan datang lagi tak?"

"Saya tak pasti. Mari kita lihat!" Tang Rou memadamkan lampu. Ye Xiu duduk di meja penyambut tetamu dan menghidupkan komputer. "Kalau macam itu, saya pun duduk juga!" Tang Rou datang dan menghidupkan komputer pelayan. Asalkan ada komputer yang digunakan, komputer pelayan harus dihidupkan juga. Memandangkan elektrik baru sahaja dipulihkan, dia tidak tahu sama ada pelanggan akan datang atau tidak. Lebih baik dia gunakan komputer pelayan sahaja daripada menghidupkan komputer lain.

"Kamu tak kisah saya merokok, kan?" Ye Xiu bertanya.

"Tak kisah," jawab Tang Rou.

"Baguslah," Ye Xiu menghembus nafas lega.

"Nak teh?" Tang Rou mengangkat cawannya, dia hendak pergi membuat teh.

"Terima kasih," Ye Xiu tidak menolak.

"Cawan mana?"

"..." Ye Xiu tidak ada cawan dia sendiri. Akhirnya, Tang Rou mengeluarkan sebotol teh hijau Healthy Master dari dalam almari dan memberikannya pada Ye Xiu: "Saya belanja".

"..." Ye Xiu tidak terkata-kata.

Kebanyakan lampu di kafe internet telah dipadamkan. Di ruangan yang besar ini, hanya meja penyambut tetamu yang berlampu. Ia kelihatan seperti sebuah pulau kecil. Tang Rou tidak berkata apa-apa lagi dan memasukkan kad akaunnya untuk memulakan permainan. Dia mengarahkan Soft Mist untuk menuju ke Perkuburan Tulang. Ye Xiu pula membuka pelayar web dan menuju ke laman sesawang rasmi Pakatan Profesional Glory.

Mereka kalah!

Seperti yang dijangka, Pasukan Excellent Era tewas dalam pertandingan berkumpulan. Pada akhirnya, berbekalkan kemenangan Su Mucheng dan Sun Xiang, pasukan Excellent Era meraih 3 mata. Pasukan 301 pula meraih 7 mata.

Pada pusingan ke 20 liga Glory, kedudukan Pasukan Excellent Era tidak berubah. Mereka masih berada pada kedudukan kedua tercorot. Bagaimanapun, harapan semua penonton telah dinyalakan semua pada pusingan ini. Semuanya kerana persembahan menakjubkan One Autumn Leaf membereskan 3 orang pihak lawan serentak. Bagi kekalahan mereka di perlawanan berkumpulan pula, mereka berkata yang itu hanya berlaku kerana Sun Xiang baru menyertai pasukan dan belum menyesuaikan diri lagi.

Semua orang menaruh harapan tinggi terhadap Sun Xiang. Ramai peminat setia sudah pun menyelidik berapa banyak mata yang diperlukan oleh Excellent Era untuk mencapai 8 tempat teratas dan layak ke pusingan kalah mati. Berdasarkan kiraan mereka, Pasukan Excellent Era masih berkemungkinan untuk layak ke pusingan kalah mati. Secara teori, ada kemungkinan, tetapi ia sukar dilakukan. Persembahan mereka setakat ini sangat teruk. Ramai yang menyalahkan Ye Qiu kerana perkara ini.

Ye Xiu menutup laman sesawang itu dan memasukkan kad akaunnya. Sebaik sahaja dia masuk, dia disambut oleh Seven Fields. Seven Fields kemudian menghantar jemputan kepadanya: "Nak 'dungeon' bersama kami, abang jaguh?"

Ye Xiu memusingkan kepala untuk melihat tahap Soft Mist milik Tang Rou. Dia sudah berada pada tahap 18, hampir 19. Dia pasti mencecah tahap 20 malam ini. Ye Xiu hanya ada jumlah yang terhad untuk memasuki Hutan Fros, jadi dia berasa yang dia perlu menyimpan peluang kemasukannya itu demi membuatkan Tang Rou menyesuaikan diri dengan 'dungeon' Hutan Fros itu. Oleh itu, dia menjawab kepada Seven Fields: "Nanti sajalah! Saya nak berlatih dulu. Saya ada kawan di sini. Nanti saya bawakan dia ke mari dan kita boleh 'dungeon' bersama-sama,"

"Okey," Seven Fields tidak membantah. "Kita masih nak pergi ke Laman Tulang nanti?"

"Ya. Kamu seorang sahaja hari ini, kan?" Drifting Water dan Sunset Clouds tidak muncul dalam senarai rakan Ye Xiu.

"Sleeping Moon pun ada!" jawab Seven Fields.

"Jadi, mari kita pergi bersama-sama!"

"Steamed Bun Invasion ada sekali dengan kamu?" senarai rakan Ye Xiu menunjukkan Steamed Bun Invasion sedang 'online'.

"Tak ada. Dia tak berani naikkan tahap, jadi dia pergi ke Arena untuk PK,"

Ye Xiu baru sahaja membaca jawapan Seven Fields apabila Steamed Bun Invasion menghantar mesej: "Dewa! Bila kita nak pergi 'dungeon'?"

"Tak lama lagi. Kamu terus asah kemahiran di Arena! Macam mana keadaan kamu setakat ini?" Ye Xiu bertanya.

Steamed Bun Invasion menjawab "He he" dan emoji senyuman. Nampaknya keadaannya agak baik. Ye Xiu tidak terkejut. Dengan kelajuan tangan Steamed Bun, dia jauh lebih hebat berbanding para pemain baru yang lain. Sementara itu, jaguh handalan yang lain seperti Blue River, Plantago Seed dan Cold Night sibuk menaikkan tahap masing-masing, mereka tidak akan ada masa untuk bermain di Arena!

Setelah menyertai Seven Fields dan Sleeping Moon di Laman Tulang, mereka mula menaikkan tahap. Mereka tidak ada banyak perkara untuk dibualkan. Tang Rou pula sedang menyelesaikan 'dungeon' bersendirian, jadi dia tidak banyak bercakap juga. Seluruh kafe internet ini sangat sunyi. Hanya bunyi ketikan tetikus dan tekanan papan kekunci yang kedengaran. Suasana ini kekal selama lebih kurang sejam. Tiba-tiba, mereka mendengar bunyi tapak kaki. Mereka berdua mengalihkan pandangan dari skrin komputer ke pintu masuk kafe internet. Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi, tetapi tanpa disangka-sangka ada pelanggan yang datang.

Pelanggan di pintu masuk itu menjenguk ke dalam kafe internet, berpusing dan mengumumkan dengan gembira: "Abang Hao, kafe internet ini kosong!"

Tiga orang pelanggan lain muncul di pintu masuk. Mereka melihat ke dalam. Pelanggan awal tadi sudah pun menuju ke meja penyambut tetamu yang berlampu lalu bertanya: "Kamu buka tak?"

Jika ada pelanggan, mereka terpaksa bekerja! Tang Rou tidak mempedulikan mereka. Dia di sini untuk bermain, dia bukannya kerja syif malam. Ye Xiu yang bekerja syif malam, jadi dia yang harus melayan mereka.

Ye Xiu berhenti bermain. Dia menguatkan lampu di meja penyambut tetamu dan bertanya: "Berapa ramai orang?"

Dia mendongakkan kepala dan melihat empat orang. Ye Xiu tersentak. Dia sangat mengenali mereka berempat.

Orang yang baru bercakap dengannya bernama Chen Yehui. Dalam dunia Glory, dia ketua persatuan Excellent Dynasty.

Tiga orang yang lain, Liu Hao, Wang Ze dan Fang Fengran merupakan pemain profesional dalam pasukan Excellent Era. Wajah mereka berempat merah padam dan kelihatan seperti sedikit mabuk. Apabila mereka masuk, sudut pandangan mereka terhadap Ye Xiu terhalang oleh komputer, jadi mereka tidak dapat melihat wajahnya. Tetapi mereka dapat melihat Tang Rou yang comel dan wajah mereka segera menjadi berseri-seri.

Apabila mereka melangkah ke hadapan, Ye Xiu terus duduk dengan tenang. Liu Hao berjalan di hadapan sekali. Sambil bersandar pada meja, dia menjenguk ke arah skrin komputer Tang Rou. Dia ketawa: "Adik, kamu main Glory?"

Tang Rou memalingkan kepala untuk melihatnya. Setelah tersenyum dan menjawab "Ya", dia berpusing semula dan terus sambung bermain.

"Ehem!" Liu Hao tiba-tiba batuk tanpa sebab. Dia hendak menarik perhatian Tang Rou. Dia terus menyambung: "Kamu agak bagus juga!"

"Terima kasih". Tang Rou memalingkan kepala sekali lagi dan tersenyum sopan. Tidak lama kemudian, dia terus tidak mengendahkan Liu Hao.

Liu Hao keliru, sangat keliru! Jika dia bermain Glory, kenapa dia tidak mengenali Liu Hao? Dia pemain yang hebat dan terkenal! Jarak mereka begitu dekat, dan lampu terang juga… adakah kerana gaya rambutnya berbeza hari ini? Dia keliru! Kawan-kawannya di belakang menarik bajunya. Liu Hao memusingkan kepala dan melihat kedua-dua orang rakannya sedang berasa tidak senang hati. Mereka memandang ke arah tepi dengan pandangan yang penuh makna.

Liu Hao melihat ke arah yang dipandang mereka. Barulah dia terpandang Ye Xiu dengan rokok di mulutnya sedang berjalan ke arah mereka.

"Kamu nak pakai komputer ke tak?" Ye Xiu bertanya. 

avataravatar
Next chapter