77 Terus Terbang Ke Mari

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Pemain Persatuan Blue Brook mengejar dari belakang. Di hadapan pula, pemain Herb Garden sudah memunculkan diri. Tyrannical Ambition berhadapan dilema kerana mereka diserang dari hadapan dan belakang serentak.

"Elementalist!" jerit Ye Xiu.

Pemain Elementalist segera melakukan serangan Flame Explosion untuk mencuri tumpuan Goblin Merchant. Raksasa itu menumpukan serangannya pada pemain Elementalist yang terletak di bahagian kanan hutan.

"Mereka memang melakukan serangan tepat pada masanya untuk mencuri tumpuan bos!" Blue River dan rakan-rakannya yakin jangkaan mereka tepat.

"Adakah mereka akan berlari ke arah timur?" tanya Bound Boat.

"Pergi ke arah timur," Blue River memimpin kumpulannya ke arah itu dan bersedia untuk menyerang apabila tepat waktunya.

"Kalau kamu terserempak dengan pemain Tyrannical Ambition, jangan berlembut!" arah Blue River.

"Jangan risau, kami takkan berlembut!" jelas semua rakannya.

Sewaktu mereka berlari ke timur, kesemua pemain menumpukan perhatian pada pokok-pokok. Mereka ingin menyerang para pemain Tyrannical Ambition yang sedang bersembunyi. Malangnya, mereka hanya menemui beberapa ekor Goblin kecil sahaja, tidak ada seorang pun pemain Tyrannical Ambition. Kesemua pemain Tyrannical Ambition yang ditemui berada di tempat yang jauh dari Goblin Merchant.

Para pemain Herb Garden tidak mahu ketinggalan, jadi mereka turut mengubah arah haluan mereka sebaik sahaja melihat pemain-pemain Blue Brook menuju ke timur.

Apabila kedua-dua persatuan itu mengubah haluan, Bound Boat terkedu sebentar. "Adakah mereka sengaja cuba nak menggoda kita ke arah yang salah?"

Blue River turut berasakan ada sesuatu yang tidak kena. "Bawa beberapa pemain ke arah barat!"

Bound Boat memilih beberapa orang pemain. Sekarang Persatuan Blue Brook terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan menuju ke timur untuk menghalang Goblin Merchant, manakala satu kumpulan lagi bersedia untuk menghalang mana-mana pihak lawan yang muncul.

Herb Garden turut melakukan perkara yang sama dan menghantar sekumpulan pemain ke arah barat. Para penonton mungkin salah sangka yang kedua-dua persatuan ini sedang bertindak sebagai satu kumpulan yang besar, tetapi sebenarnya mereka sedang menantikan peluang untuk berbunuhan antara satu sama lain.

Goblin Merchant yang sedang menuju ke arah Elementalist tadi tiba-tiba diserang dengan serangan Repel dari sebalik pokok. Ia berundur seketika sebelum kedengaran dentuman tembakan sekali lagi. Goblin Merchant mengubah haluannya buat kali kedua.

Seperti yang dijangka, tindakan Tyrannical Ambition ini sememangnya bertujuan untuk mengelirukan pihak lawan mereka. Sebelum pemain Blue Brook dan Herb Garden sempat menyedari apa yang berlaku, Goblin Merchant itu telah menuju ke arah Lord Grim.

Jahanam!

Tak sangka Lord Grim berjaya mencuri tumpuan Goblin Merchant semula. Dan Lord Grim pula menuju ke arah utara! Walaupun Herb Garden telah memecahkan persatuan mereka ke arah timur dan barat, mereka masih mempunyai masa untuk bergabung semula dan menghalang laluan musuh. Jika mereka terus berlari, mereka akan menemui jalan mati tidak lama lagi.

Ramai pemain tertanya-tanya apakah rancangan Lord Grim sebenarnya?

"Dia pasti akan mengubah haluan lagi, betul tak?" fikir sesetengah pemain.

Herb Garden memikirkan soalan ini tanpa henti. Mereka sepatutnya menghalang laluan Lord Grim, tetapi arah manakah yang harus mereka tuju?

Pada akhirnya, Plantago Seed terpaksa memecahkan seluruh persatuannya kepada tiga kumpulan. Dia tidak mempunyai pilihan selain daripada bertahan pada setiap arah. Pada ketika ini, Tyrannical Ambition telah berjaya mengawal arah tumpuan Goblin Merchant sepenuhnya. Jadi, Herb Garden hanya mampu bertahan sebaik mungkin.

Arah mana yang dituju?

Itulah soalan di minda semua pemain yang menumpukan perhatian pada pergerakan Goblin Merchant. Tetapi akhirnya, mereka tidak melihat sebarang perubahan arah. Lord Grim sedang memimpin Goblin Merchant tepat ke arah Herb Garden.

Herb Garden sedang menanti dengan satu dozen pemain di arah yang dituju oleh Lord Grim. Mereka segera membentuk formasi untuk mengerumuninya. Pemain kelas Gunner yang menyerang dari jarak jauh sudah pun menyediakan pistol dan melepaskan tembakan. Para pemain ahli sihir pula melepaskan serangan kuasa sakti masing-masing.

Lord Grim tiba-tiba melompat. Para pemain Gunner segera memperbetulkan sasaran mereka. Tetapi, tiba-tiba mereka melihat Lord Grim melakukan putaran 180 darjah di udara, punggungnya dihalakan ke arah mereka.

Punggung pun punggung lah! Para pemain Gunner tidak peduli dan menyasarkan tembakan ke arah punggung Lord Grim.

Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman tembakan.

Siapa yang berjaya menembak dengan begitu cepat sekali? Beberapa orang pemain kelas Gunner tersebut tertanya-tanya dengan kagum.

Tetapi apa yang mereka lihat hanyalah tubuh Lord Grim yang terbang ke arah mereka.

"Jahanam, serangan Aerial Fire!" jerit kesemua Gunner ketakutan. Apabila melakukan serangan Aerial Fire, semakin kuat pistol yang digunakan, semakin kuat momentum yang akan terhasil. Senjata Lord Grim jenis Raifal yang sememangnya kuat. Kesemua Gunner menaikkan senjata mereka dan menembak. Malangnya, tembakan mereka hanya mengenai angin. Lord Grim bergerak dengan terlalu cepat, tembakan mereka gagal mengenai sasaran.

Punggung Lord Grim tiba di hadapan mereka sepantas kilat. Lord Grim kemudian memutarkan tubuhnya semula.

Sekilas cahaya muncul dan Lord Grim menghunuskan sebilah pedang di udara.

"Serangan Falling Light Blade! Cepat berundur!" kesemua pemain kelas Blade Master memberikan amaran.

Cahaya terang menetak dari udara. Ia sememangnya serangan Falling Light Blade dari kelas Blade Master. Kesemua pemain Herb Garden bukan sekadar pemain biasa, jadi mereka berjaya berundur ke belakang untuk mengelakkan serangan itu. Tetakan cahaya tadi singgah ke tanah dan gelombang cahaya pula terhasil. Tetapi kesemua pemain Herb Garden telah berjaya mengundurkan diri daripada terkena gelombang tersebut.

"Mara!"

Setelah gelombang cahaya itu lenyap, kesemua pemain Herb Garden serta-merta mara untuk menyerang.

Payung Seribu Manifestasi milik Lord Grim bergoncang dan senjata itu terbuka. Bahagian rusuk payung itu tiba-tiba pecah. Payung itu berubah kepada bentuk sabit! Batang pemegang payung itu pula memanjang, seolah-olah Lord Grim sedang menghunuskan sebilah pedang.

Perubahan bentuk senjata itu berlaku dalam sekelip mata. Para pemain yang mengerumuni Lord Grim hanya dapat melihat sekilas cahaya, dan seketika kemudian, mereka melihat senjata Lord Grim itu telah berubah bentuk sama sekali. Mereka tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan senjata itu, tetapi ia kelihatan seperti…

Lord Grim menghayunkan tangannya dan Payung Seribu Manifestasi membentuk bulatan 360 darjah di sekeliling tubuhnya. Sebaik sahaja bulatan itu terbentuk, ia memancarkan cahaya berwarna biru.

"Jahanam! Serangan Rising Emblem!" jerit seorang pemain.

Kali ini, kesemua pemain Herb Garden agak terlambat untuk mengelak. Bulatan cahaya biru itu semakin membesar dan membentuk sebuah perimeter di sekeliling kesemua pemain Herb Garden. Kesemua pemain tersebut terlambung ke udara!

Kemahiran kelas Priest cabang Exorcist: Rising Emblem.

Kemahiran ini menggunakan serangan sakti dan akan melambungkan kesemua pemain yang terperangkap dalam perimeter Rising Emblem.

Apabila para pemain Herb Garden dicampakkan ke tanah semula, Lord Grim telah pun menembusi halangan yang mereka bentukkan tadi. Beberapa orang pemain cuba menyerang, tetapi pergerakan Lord Grim terlalu lincah dan sukar untuk disasarkan. Akhirnya, serangan mereka sia-sia sahaja.

Namun, hampir kesemua pemain Herb Garden berjaya melakukan Quick Recover sebaik sahaja terjatuh. Ini menunjukkan betapa tingginya kemahiran yang dimiliki oleh pemain persatuan itu.

Tetapi baru sahaja mereka hendak bangun, sebuah bom tangan telah dicampakkan ke arah mereka.

Kedengaran sebuah letupan dan kesemua pemain Herb Garden tercampak jauh. Di sebalik asap yang terbentuk, Goblin Merchant melangkah dengan senang-lenangnya melepasi mereka semua.

Kesemua pemain Herb Garden ingin menangis! Rupa-rupanya Lord Grim telah mengumpan Goblin Merchant untuk melemparkan bom tersebut ke arah mereka. Bukan sahaja mereka telah diserang dengan bom, tumpuan Goblin Merchant masih tetap pada Lord Grim dan bukannya mereka!

"Kenapalah Goblin Merchant ini kejam sangat? Kenapa lemparkan bom tangan, lemparlah batu-bata!" Fikir mereka semua dengan hati yang pedih.

avataravatar
Next chapter