45 Strategi Asli

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

30:8:71

Ini catatan masa yang direkodkan Ye Xiu bersama kumpulan Endless Night. Rekod masa yang teramat biasa sekali. Kebanyakan kumpulan lima orang akan menyelesaikan Hutan Fros dalam tempoh lebih kurang 30 minit.

Endless Night diselubungi kemarahan dan mengetap giginya sepanjang masa.

Dia telah membazirkan bayaran pimpinan Ye Xiu! Dari mula sehingga tamat, Lord Grim tidak berhenti memberikan arahan, tetapi arahannya biasa-biasa sahaja dan strategi yang digunakannya tidak ada apa-apa yang istimewa. Jika mereka berempat pemain baru, mungkin mereka dapat mempelajari sesuatu. Tetapi Endless Night dan rakan-rakannya tidak memperoleh apa-apa pun. Sepanjang 'dungeon' mereka tidak dapat melihat apa-apa yang hebat pun pada diri Lord Grim. Mereka semua kelihatan seperti orang bodoh.

Endless Night dapat merasakan yang Lord Grim sengaja berpura-pura, jadi dia pun melakukan beberapa kesilapan dengan sengaja demi memaksa Ye Xiu menunjukkan kebolehannya yang sebenar.

Tetapi sebaliknya, jaguh handalan itu hanya menerangkan tentang kesilapan yang dilakukan serta cara untuk mengelakkan kesilapan itu daripada berlaku lagi.

Teman-temannya ketawa di belakangnya. Mereka semua mentertawakan Endless Night yang telah dipermain-mainkan.

Pada akhirnya, mereka hanya menyedari yang sungguhpun Lord Grim belum bertukar kelas watak, dia tetap melakukan lebih banyak 'damage' berbanding dengan dua watak penyerang di dalam kumpulan mereka. Senjata yang digunakannya sangat kuat, tetapi Endless Night tidak pernah melihat tombak pertarungan yang sebegitu rupa.

"Abang, kamu cuba untuk menipu kami!" kata Endless Night apabila keluar dari 'dungeon'.

"Kenapa kamu cakap macam itu? Saya ada buat kesalahan ke?" tanya Ye Xiu.

"...." Endless Night tidak tahu hendak berkata apa. Sungguhpun kepimpinan Ye Xiu biasa-biasa sahaja, dia langsung tidak melakukan kesilapan. Sebaliknya, hanya Endless Night yang telah melakukan kesilapan yang nyata.

Endless Night hanya mampu untuk meyakinkan dirinya yang bayaran untuk Ye Xiu berbaloi, bukan kesilapan.

"Kamu nak berikan bulu kejur Serigala Putih ataupun tidak?" tanya Ye Xiu.

Air mata mengalir semula di pipi Endless Night.

Setelah menerima ganjaran tersebut, Ye Xiu mengucapkan selamat tinggal dan beredar. Endless Night pula hanya mampu untuk terpaku di hadapan skrin komputernya.

Tiba-tiba, ada seseorang telah menyapanya sebanyak dua kali. Endless Night memalingkan kepala dan melihat salah seorang ahli kumpulannya tadi. Temannya itu menunjukkan sebuah forum Glory kepadanya.

"Bila saya mendengar Lord Grim memberikan arahan tadi, saya teringat sesuatu. Cuba tengok ni…"

Endless Night hampir memuntahkan darah. Rupa-rupanya apa yang diajarkan Ye Xiu itu berdasarkan sebuah buku panduan! Kata-kata yang diucapkannya serupa 100% dengan apa yang ditulis dalam panduan tersebut!

"Kita telah ditipu….." ucap teman Endless Night itu. Lapan helai bulu kejur Serigala Putih terbazir begitu sahaja! Mereka membayar untuk sebuah panduan yang dibaca oleh jutaan orang dalam forum.

Endless Night menyerah kalah. Semua ini kesalahan dia sendiri! Lord Grim tidak meminta untuk masuk ke 'dungeon' bersamanya, sebaliknya Endless Night yang memujuknya. Lord Grim juga tidak berkata yang dia hendak memimpin, tetapi Endless Night menyuruhnya untuk memimpin. Semua ini kesalahan dia seorang! Betapa sakitnya hati Endless Night saat ini.

"Binatang!" Endless Night mengetap giginya. Dia kembali ke tempat duduknya dan menghantar mesej kepada Lord Grim.

"Abang, kamu cuba untuk tipu kami dengan menggunakan buku panduan ya?"

"Saya tak tipu. Saya sendiri yang tulis buku panduan itu," jawab Ye Xiu ringkas.

"Eh betul ke?" Endless Night memalingkan kepalanya sekali lagi dan bertanya kepada kawannya: "Siapa yang tulis panduan itu?"

Kawannya itu tidak menyedari pada awalnya. Dia merujuk kembali dan menjawab: "One Autumn Leaf,"

Endless Night semakin naik marah.

"Kamu berlagak apa? Panduan itu ditulis oleh Dewa Ye Qiu!"

"Betul, sayalah Ye Qiu!"

Tak tahu malu, sungguh tak tahu malu! Endless Night tergamam.

"Saya ada hal, jadi saya nak keluar dulu. Kita sambung lagi nanti," begitulah mesej ringkas dari Ye Xiu.

"Sekarang sudah pukul 3 pagi! Kamu ada hal apa?" tulis Endless Night, tetapi mesej tersebut tidak dibaca.

Di Kafe Internet Gembira, Ye Xiu sedang menghantar beberapa botol Cola kepada para pelanggan.

Keadaan sunyi sepanjang malam.

Pada pukul 7 pagi, para pelanggan mula memadamkan komputer masing-masing dan beredar. Lord Grim sudah mencecah tahap 21. Proses menaikkan tahap akan lebih perlahan setelah meninggalkan Beginner's Village. Ini kerana jumlah 'experience' yang diperlukan akan meningkat secara mendadak. Tambahan pula, setiap 'dungeon' mempunyai had kemasukan. Walaupun pemain tahap 20 boleh bermain di Perkuburan Rangka tanpa had, jumlah 'experience' yang diperoleh di 'dungeon' itu teramat sedikit kerana mereka berada sudah berada pada tahap yang tinggi.

Selepas tahap 20, selain daripada 'dungeon', para pemain harus bergantung kepada 'quest' dan membunuh raksasa liar untuk meningkatkan tahap mereka.

Di kemuncak papan pendahulu server kesepuluh, Ye Xiu melihat nama Blue River, Endless Night dan beberapa nama lain, mereka semua sudah mencapai tahap 24. Sudah pasti mereka bermain siang dan malam untuk memperoleh pencapaian sebegitu. Ini menunjukkan perbezaan antara pemain biasa dan pemain daripada persatuan besar. Di belakang mereka, hampir tidak ada seorang pun pemain yang bertahap 22 ataupun 23. Tetapi terdapat ramai sekali pemain bertahap 20 dan 21, iaitu pemain yang bekerja keras seperti Lord Grim dan Seven Fields. Mereka sudah dikira hebat untuk mencapai tahap ini dalam tempoh masa yang sesingkat ini.

"Selamat pagi abang Ye!" Pada waktu ini, para pekerja syif pagi telah pun tiba dan memberikan salam kepada Ye Xiu.

"Selamat pagi," Ye Xiu log keluar dari permainan dan memadamkan komputernya.

"Saya nak balik sekarang," kata Ye Xiu.

"Okay abang," kata mereka semua.

Ye Xiu meregangkan badannya dan menuju ke biliknya di tingkat dua. Sebaik saja dia membuka pintu, dia mendengar bunyi TV dari ruang tamu.

"Bos, awalnya bangun?" tanya Ye Xiu apabila memasuki bilik. Rupanya, Chen Guo telah tertidur di sofa berhadapan TV. Dia tidak berselimut dan menggulungkan badannya kerana kesejukan.

"Bos, pergilah ke bilik dan tidur!" kata Ye Xiu sambil menampar-nampar Chen Guo sebanyak dua kali. Chen Guo terjaga dan memberikan pandangan penuh benci kerana mengganggu dia tidur.

Ye Xiu tidak dapat berbuat apa-apa. Dia melihat pintu bilik Chen Guo tidak ditutup. Dia masuk ke dalam untuk mencari sesuatu yang boleh menutup tubuh Chen Guo. Bilik Chen Guo itu kelihatan serba baru. Dinding, lantai bahkan siling semuanya kelihatan serba baru. Tetapi perhiasan dan katilnya kelihatan seperti fesyen lama. Ye Xiu tidak berfikir banyak. Dia mengambil selimut dari katil Chen Guo yang berselerak dan menyelubungi tubuh Chen Guo. Dia memadamkan TV dan berpaling menuju ke bilik stor untuk tidur.

avataravatar
Next chapter