91 Senjata Utama Excellent Era

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Betul ke?" Chen Guo bertanya dalam kebingungan. Dia terfikir akan kata pepatah: Hanya jauhari yang mengenal manikam.

Dia sangka pemain Glory sepertinya sudah cukup hebat, tetapi setelah mendengar kata-kata dan analisis Ye Xiu, dia sedar yang dia hanyalah sekadar seorang amatur sahaja.

Chen Guo cuba untuk terus menonton perlawanan, tetapi dia sukar untuk menumpukan perhatian.

Sememangnya, apa yang berlaku seterusnya adalah seperti apa yang Ye Xiu jangkakan. Stellar Sword Gao Jie berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan. Dengan bedilan bertalu-talu peluru jarak jauh Dancing Rain Su Mucheng, dia langsung tidak mampu untuk menentang.

Walaupun dia beberapa kali mencuba untuk menerpa ke arah Dancing Rain, Su Mucheng berjaya menjarakkan diri setiap kali. Dia terus mengekalkan jarak di antara mereka dan menyerang tanpa henti.

Jurukamera terus menunjukkan sudut pandangan kamera yang berbeza untuk membenarkan para penonton melihat kemahiran kawalan seorang pemain profesional.

Pengulas dan tetamu kehormat terus bercakap bersama-sama. Mereka sedih melihatkan cubaan Gao Jie untuk merapatkan kedudukan. Sebaliknya, setiap kali Su Mucheng melakukan serangan yang cantik, mereka memujinya. Mereka harus tidak berat sebelah sewaktu memberikan ulasan. Walaupun mereka mempunyai pilihan tersendiri atau pemain yang disukai, mereka tidak boleh membiarkan ia kelihatan sewaktu mengulas.

Bandar yang diliputi salji putih sudah musnah hasil daripada pertarungan sengit antara kedua-dua pemain ini. Asap tebal muncul akibat kesan letupan peluru di merata tempat dan kesan tetakan pedang juga dapat dilihat hasil daripada serangan Stellar Sword.

Akhirnya, perkataan 'Glory' muncul di skrin. Kamera segera ditumpukan pada Stellar Sword. Sebuah adegan gerak perlahan menunjukkan bagaimana Stellar Sword telah dibunuh hasil daripada tembakan Anti-Tank Missile. Melalui gerak perlahan, para penonton dapat melihat dengan jelas Su Mucheng membentukkan tiga butir misil dalam sebuah segitiga untuk menyerang pihak lawannya.

"Ha ha, itu Tri-Shot!" Chen Guo yang sememangnya mahir dengan kelas Launcher mengenali serangan ini. Pemain akan menggunakan kemahiran ini untuk meningkatkan radius serangan Anti-Tank Missile.

"Betul, kamu boleh buat?" tanya Ye Xiu.

"Saya tak boleh buat tiga berturut-turut. Kalau setakat dua, boleh." kata Chen Guo dengan sedih. Dia kemudian bertanya: "Susah kan nak buat gerakan ini? Adik Tang pun tak boleh buat."

"Kelajuan tangan bukan masalah dalam hal ini, tetapi pemain perlu ada kawalan masa yang baik untuk membentuk tiga butir Anti-Tak Missile berturut-turut. Kalau tak ada pengalaman, memang tak boleh buat," jawab Ye Xiu.

"Oh macam itu rupanya." Chen Guo mengangguk.

Skrin menunjukkan Dancing Rain yang telah memenangi perlawanan. Kemudian, skrin menunjukkan sorotan perlawanan tadi sambil pengulas terus memberikan komentar. Pasukan Excellent Era telah memenangi pusingan pertama dan meraih satu mata.

Ada tiga bahagian dalam pertandingan Liga Glory.

Bahagian pertama ialah pertarungan individu. Setiap pasukan akan menghantar tiga orang pemain untuk bertarung 1 lawan 1. Setiap kemenangan akan memberikan 1 mata.

Bahagian kedua pula ialah pertarungan berkumpulan. Setiap pasukan akan menghantar kumpulan yang dibentuk oleh 3 orang pemain. Mereka tetap berlawan 1 lawan 1, tetapi sebaik sahaja salah seorang pemain tewas, ahli kumpulannya yang lain akan masuk bertarung untuk menggantikannya. Apabila sebuah kumpulan tidak lagi mempunyai pemain, mereka kalah. Kumpulan yang menang akan meraih 2 mata.

Mengikut format ini, para pemain yang sudah bertarung di bahagian pertama tidak boleh lagi bertarung di bahagian kedua. Misalnya, memandangkan Gao Jie dan Su Mucheng sudah bertarung dalam bahagian pertama ini, mereka tidak boleh menyertai bahagian kedua nanti. Tetapi, mereka tetap boleh menyertai bahagian ketiga.

Dalam perlawanan ini, terdapat 10 mata yang boleh diraih oleh sesebuah pasukan. Kedudukan sesebuah pasukan dalam Liga Glory ditentukan oleh jumlah mata yang mereka perolehi. Dalam pertarungan 301 lawan Excellent Era ini, Su Mucheng telah menang pusingan pertama dan meraih 1 mata untuk pasukannya. Seluruh Kafe Internet Gembira bersorak gembira.

Di tengah-tengah kemeriahan, sorotan perlawanan dalam pusingan pertama berakhir dan pusingan individu kedua pun bermula.

Dalam pusingan ini, 301 tidak membazirkan kelebihan berlawan di tempat sendiri. Dengan bergantung kepada kelebihan ini, Pasukan 301 memenangi pusingan kedua.

Kali ini, tidak ada seorang pun penonton di kafe internet tersenyum. Mereka semua terdiam membisu sewaktu sorotan pusingan ini dimainkan.

Dalam pusingan individu ketiga, Pasukan Excellent Era kalah lagi sekali. Penonton di kafe internet mula bermuram durja. Mereka sedih sekali. Ada yang menyumpah-nyumpah 301, ada yang meluahkan rasa kecewa dengan Pasukan Excellent Era.

Chen Guo juga tidak gembira. Dia tidak sedar yang Ye Xiu sudah beredar dari sisinya dan pergi ke luar untuk merokok. Cahaya rokoknya jelas terpancar pada malam yang gelap, tetapi ekspresi wajah Ye Xiu sendiri tidak menunjukkan sebarang perasaan.

Setelah sorotan pusingan ketiga selesai, pertandingan bahagian kedua, perlawanan berkumpulan bermula.

Kedua-dua pasukan menunjukkan ahli mereka yang bakal bertanding. Kali ini, semua penonton di Kafe Internet Gembira bersemangat semula.

Senjata utama Excellent Era akhirnya muncul. Dewa Tarung One Autumn Leaf merupakan pemain pertama di dalam kumpulan mereka.

Manakala pihak lawannya adalah pemain terbaik 301, Scene Killer milik kapten pasukan mereka, Yang Cong.

One Autumn Leaf merupakan topik hangat beberapa hari ini. Pada saat ini, memang sukar untuk tidak berbicara tentangnya. Nama Ye Qiu disebut-sebut beberapa kali sebelum perlawanan dimulakan. Pan Lin dan Li Yibo tidak sempat menghabiskan apa yang mereka ingin bincangkan. Tetapi, waktu sememangnya tidak mencukupi kerana terdapat terlalu banyak cerita tentang Ye Qiu dan One Autumn Leaf.

"Okey, perlawanan akan dimulakan, mari kita semua berikan perhatian. Ini merupakan kali pertama Sun Xiang menggunakan One Autumn Leaf untuk mewakili Excellent Era. Jurulatih Li, apa pendapat kamu?" Pan Lin memotong topik sebelumnya dan beralih kepada keadaan perlawanan sekarang.

"Jika kita bandingkan tahap kemahiran individu, Sun Xiang lebih hebat daripada Yang Cong. Selain itu, tahap kekuatan watak mereka juga sangat berbeza. Kesemua watak 301 mempunyai kekuatan yang hampir sama. Scene Killer milik Yang Cong sama kuat dengan Stellar Sword milik Gao Jie. Mereka memang tidak setanding dengan Dewa Tarung One Autumn Leaf," kata Li Yibo.

"Ya, kami tahu. One Autumn Leaf ialah watak yang mempunyai peralatan senjata kelas Perak paling banyak dalam Pakatan Professional, betul tak?" tanya Pan Lin.

"Ya, memang betul kalau kamu lihat pada jumlahnya. Tetapi, seperti yang kita semua tahu, atribut kelengkapan senjata kelas Perak tidak dipertontonkan pada umum, jadi kita tidak tahu berapa kuat senjata itu sebenarnya," jelas Li Yibo.

"Kamu betul. Kadangkala, ada juga senjata kelas Perak yang hanya sekadar sama kuat dengan senjata kelas Oren, Ungu, Biru dan sebagainya, betul tak?" kata Pan Lin

"Betul. Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang musim ini, saya rasa watak-watak tahap 'Dewa' seperti Troubling Rain, Desert Dust, Peaceful Hermit dan sebagainya tidaklah lebih lemah berbanding One Autumn Leaf walaupun mereka tidak mempunyai peralatan senjata kelas Perak sebanyak One Autumn Leaf," kata Li Yibo.

"Selain itu, 'skill point' juga memainkan peranan juga," Pan Lin menyambung.

"Kalau watak itu tahap 'Dewa', tak mungkin mereka kekurangan 'skill point'," Li Yibo ketawa.

"Itu benar. Tetapi tak kira apa pun, Scene Killer sepatutnya bertahap lebih rendah jika dibandingkan, betul tak?" tanya Pan Lin.

"Sudah tentu," jawab Li Yibo. "Tetapi ini tidak bermakna yang Yang Cong pasti kalah. Dalam dunia Glory, kita takkan tahu siapa yang akan menang atau kalah berdasarkan statistik mereka semata-mata,"

"Apa kelebihan yang ada pada Yang Cong?" tanya Pan Lin lagi.

"Pertama sekali, dia ada kelebihan berlawan di tempat sendiri. Saya rasa kita tak perlu berbicara tentang ini. Kedua, Sun Xiang baru sahaja dipindahkan ke Excellent Era. Dia sepatutnya masih belum biasa menggunakan One Autumn Leaf. Kita juga tahu yang kelas wataknya sebelum ini bukanlah Battle Mage. Ini adalah sebuah halangan besar. Inilah kekurangan yang ada pada Sun Xiang, juga kelebihan yang ada pada Yang Cong," rumus Li Yibo.

"Tapi saya dengan Sun Xiang sudah banyak menyelidik tentang Battle Mage," kata Pan Lin.

"Memang betul. Memandangkan Excellent Era menggantikan Ye Qiu dengan Sun Xiang, mereka pasti telah memikirkan perkara ini. Jika mereka sekadar menggantikan Ye Qiu dengan seorang pemain yang langsung tidak tahu apa-apa tentang Battle Mage, ia seperti menggantikan seorang pemain pertahanan dalam dunia bolasepak dengan seorang pemain penyerang. Walau apapun, kalau kita berikan Ye Qiu watak Battle Mage dengan kelengkapan senjata dan kemahiran yang berbeza, dia juga perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri, betul tak?" kata Li Yibo.

"Dengan pengalaman yang ada pada Ye Qiu, mungkin tidak perlukan masa pun!" Pan Lin ketawa.

"Bercakap mengenai pengalaman, Sun Xiang hanya berkecimpung dalam Pakatan Profesional selama setahun setengah. Dia boleh dianggap seorang pemain baru. Ada perbezaan besar antara dia dan Yang Cong…"

"Bagus! Semua orang lihat, Yang Cong membuat keputusan untuk menyerang secara terus. Scene Killer sudah muncul tepat di hadapan mata One Autumn Leaf!!"

Sebelum ini, kedua-dua pemain hanya berdiri tegak dan tidak bergerak, jadi Pan Lin dan Li Yibo sempat membuat analisis dan jangkaan tentang keputusan perlawanan ini. Tetapi, sekarang mereka mula bertarung, jadi Pan Lin segera menghentikan perbualan dan mula memberikan ulasan tentang keadaan terkini.

"Adakah Yang Cong terlalu gopoh?" kata Li Yibo.

"Scene Killer mara ke hadapan! Dia sedang menuju ke bahagian kanan One Autumn Leaf!" Pan Lin menjerit dengan penuh semangat.

"Oh? Dia tidak mara terus ke arah lawannya…" Scene Killer mara ke hadapan tadi, tetapi dia tiba-tiba berhenti dan mengelilingi lawannya secara tiba-tiba. Dia sedang menunggu peluang untuk menyerang dengan penuh sabar.

"Ha ha, saya dah agak. Seseorang yang berpengalaman seperti Yang Cong takkan begitu gopoh. Dia memiliki kesabaran yang tinggi untuk mencederakan pihak lawannya perlahan-lahan. Mari kita lihat bagaimana Sun Xiang akan berhadapan dengannya," Li Yibo ketawa.

"Sun Xiang bergerak! One Autumn Leaf menerpa ke arah Scene Killer," Pan Lin menjerit.

"Alahai, orang muda, orang muda," Li Yibo mengeluh.

"Dia memulakan dengan serangan Sky Strike! Scene Killer melompat ke belakang untuk mengelak dan membalas menggunakan serangan Shining Cut!!!"

"Kali ini…"

"Apa!! Dihalang!!! Sun Xiang menggunakan Dragon Tooth untuk menghalang serangan Shining Cut!! Ini sangat menakjubkan. Semua orang tahu betapa lajunya serangan Shining Cut. Sun Xiang sangat hebat kerana sempat menghalang. Jurulatih Li, apa pendapat kamu?" Pan Lin tidak lagi mengulas, dia sedang menjerit setiap masa.

"Ah! Dia... memang... orang muda…" Li Yibo tidak terkata-kata. Ini kerana dia juga tergamam melihatkan Dragon Tooth digunakan untuk menghalang Shining Cut. Dia sendiri tidak pernah melihatnya sebelum ini.

avataravatar
Next chapter