Sebenarnya, reaksi Tiga Persatuan Utama mengejutkan Ye Xiu. Mereka semua kelihatan sungguh matang dan profesional sekali. Tetapi Tyrannical Ambition yang paling cepat bertindak. Tidak lama selepas Blood Gunner ditewaskan, Endless Night telah menghantar mesej kepada Ye Xiu. Dia langsung tidak menyebut tentang kejadian bos liar itu, sebaliknya terus menjemput Ye Xiu untuk menyertai mereka membunuh Goblin Merchant. Perbincangan tentang bayaran Ye Xiu berjalan dengan lancar, tetapi syaratnya adalah Ye Xiu harus memastikan yang Tyrannical Ambition akan mendapat pembunuh pertama Goblin Merchant.

Ye Xiu tidak membantah. Dia juga sememangnya memerlukan beberapa bahan mentah yang akan diberikan oleh Goblin Merchant sebagai ganjaran. Pada awalnya, dia merancang hendak membeli bahan mentah itu dari pasaran, tetapi memandangkan peluang telah muncul, dia pasti tidak akan melepaskannya. Menaiktarafkan setiap bentuk Payung Seribu Manifestasi ke tahap 15 sememangnya memerlukan banyak bahan.

Ye Xiu mengerti perasaan Blue River yang kecewa. Malangnya, Blue River telah terbawa-bawa dengan perasaan geramnya, jika tidak, dia pasti berpeluang untuk bertarung bersama dengan Lord Grim sekali lagi.

Herb Garden pula langsung tidak berhubung dengan Ye Xiu. Jadi, Ye Xiu tidak memikirkan tentang mereka.

Goblin Merchant boleh muncul pada bila-bila masa sahaja, jadi para pemain tidak tahu bila mereka boleh mula bertindak. Tetapi, setelah bertahun-tahun, semua orang tahu bagaimana hendak menguruskannya. Apa-apa pun, mereka harus menunggu ia muncul terlebih dahulu.

Sebaik sahaja jam berdetik ke jam 12, semua orang mula membentuk kumpulan untuk mengharungi 'dungeon'. Ye Xiu menerima mesej daripada Seven Fields yang bertanya sama ada dia akan menuju ke Hutan Fros.

"Kamu kekurangan orang ke?" tanya Ye Xiu.

"Ya, kurang seorang," jawab Seven Fields.

"Oh, kalau macam itu, saya datang segera," kata Ye Xiu.

'Dungeon' harus diharungi setiap hari kerana ia sumber utama untuk 'experience' dan wang. Biarpun Ye Xiu tidak menerima jemputan daripada Seven Fields, dia akan menyertai mana-mana kumpulan secara rawak. Tetapi dia pasti lebih selesa bersama kumpulan Seven Fields kerana dia akan mendapat hak untuk memilih ganjarannya tersendiri.

Setelah tiba di Hutan Fros, Ye Xiu terserempak dengan Brawler yang bodoh iaitu Steamed Bun Invasion.

"Eh, kenapa kamu yang ada di sini? Mana Sleeping Moon?" tanya Ye Xiu.

Ye Xiu tertanya-tanya sama ada Sleeping Moon masih membencikan dia.

"Saya sedang belajar dari semua abang-abang ini!" jawab Steamed Bun Invasion dengan rendah diri.

Walaupun Ye Xiu tahu Steamed Bun Invasion seorang yang bodoh, sekurang-kurangnya kelajuan tangannya sangat mantap.

"Sleeping Moon dah main sepanjang hari, jadi dia berehat sekarang. Immersed Jade pun sama, dia tak larat nak berjaga malam lagi," Seven Fields menjelaskan.

"Oh, saya pun tak boleh nak main esok," kata Sunset Clouds.

"Abang jaguh pula?" tanya Seven Fields. Sepanjang tiga hari ini, dia sedar yang Ye Xiu telah bermain sepanjang malam setiap hari.

"Saya masih akan terus bermain pada waktu malam," Ye Xiu ketawa.

Mereka membentuk kumpulan dan memasuki 'dungeon'. Walaupun Steamed Bun Invasion pemain paling bodoh di kalangan mereka, dia mempunyai tahap yang paling tinggi antara semua iaitu tahap 23. Semua orang bertanya bagaimana dia berbuat demikian. Rupa-rupanya dia telah bermain tanpa henti sejak hari pertama lagi. Pada hari pembukaan server, dia bermain selama 24 jam berturut-turut tanpa berehat. Pada hari kedua, dia hanya tidur sebentar sahaja sebelum terus bermain. Sehingga sekarang, dia telah bermain selama 48 jam. Dia menggunakan masa 6 jam untuk makan dan tidur, jadi dia telah bermain tanpa henti selama 42 jam lamanya. Ia boleh dibandingkan dengan jadual permainan Persatuan Utama!

Semua orang ketawa mendengarkan pengalaman Steamed Bun Invasion itu dan terus mula membunuh raksasa. Seperti kebiasaannya, Ye Xiu memimpin mereka dan semuanya berjalan lancar.

"Selepas kamu gunakan Sand Toss, lebih baik kamu jangan terus menyerang. Ini semua hanya raksasa biasa, jadi kamu tiada masalah jika kamu nak berbuat demikian. Tetapi kalau ini PK, pihak lawan kamu pasti akan menggunakan serangan secara membabi-buta sebaik sahaja mereka hilang pandangan, jadi kalau kamu terus menyerang, kamu pasti akan terkena pukulan mereka," Ye Xiu sempat memberikan panduan kepada Steamed Bun Invasion.

"Jadi, apa yang patut saya buat?" tanya Steamed Bun.

"Bodoh, pergi ke belakang mereka dan serang dari belakanglah! Bukannya mereka boleh nampak!" Seven Fields dan yang lain turut memberikan panduan.

"Menyerang dari belakang boleh, tapi cara itu memerlukan banyak masa. Kamu akan membazirkan beberapa saat untuk bergerak ke belakang mereka. Sebenarnya, cara yang paling bagus ialah jangan gunakan Sand Toss sebagai pembuka serangan. Kamu gunakannya di tengah-tengah kombo. Bila bertarung, gunakan Sand Toss untuk menyerang apabila mereka tidak menjangkanya. Dengan itu, biarpun kamu terlepas peluang untuk membutakan mereka, kamu masih ada pilihan lain,"

"Jadi, maksud abang, jangan bergantung sepenuhnya pada status Blind?" tanya Steamed Bun Invasion.

"Betul, menggunakan Sand Toss sebagai pembuka serangan ialah kaedah yang sudah ketinggalan zaman. Selain pemain baru, tak ada pemain lain yang berbuat demikian lagi. Sama juga, selain pemain baru, tak ada pemain berpengalaman yang akan terpedaya dengan serangan sebegitu," kata Ye Xiu.

"Tapi, macam mana kalau kita buat serangan hendap? Masa itu, boleh tak gunakan Sand Toss?" tanya Steamed Bun lagi.

"Ini…..boleh juga…." Ye Xiu baru tersedar yang ada strategi baru yang belum dipelajarinya. Zaman sekarang ini, pemain baru pun ada idea yang bernas!

"Tapi kesimpulannya, saya tak boleh bergantung sepenuhnya pada status Blind!" kata Steamed Bun dengan penuh bersemangat.

"Ya, betul!" kata Ye Xiu.

Steamed Bun berasakan yang dia telah mempelajari sesuatu yang baru dan berasa puas hati. Selepas itu, dia mula mencari peluang untuk menggunakan Sand Toss pada raksasa yang ditemuinya.

"Abang jaguh, bila abang nak bawa kami semua membunuh Goblin Merchant?" tanya Seven Fields. Nampaknya, dia sudah mula berasa tamak.

"Oh, saya sebenarnya dah setuju nak membantu Tyrannical Ambition!" jawab Ye Xiu.

"Tyrannical Ambition??" Seven Fields dan rakan-rakannya berasa tidak gembira. "Abang nak sertai persatuan mereka ke?"

"Tidak!"

"Habis?"

"Saya cuma tolong mereka bunuh Goblin Merchant saja,"

"Maksudnya, mereka upah abang?" tanya Seven Fields.

Setahu Seven Fields, memang ada sesetengah kumpulan yang mengupah pemain handalan untuk menyelesaikan 'dungeon' bersama mereka. Ini selalunya dilakukan kerana kumpulan itu tidak cukup kuat untuk membereskan 'dungeon' atau bos tertentu, jadi mereka memerlukan bantuan pemain yang handal.

Tetapi, Tiga Persatuan Utama tidak pernah mengupah sesiapa sebelum ini. Tiga Persatuan Utama tidak mungkin kekurangan pemain handalan, jadi 'dungeon' mana yang mereka gagal selesaikan? Bos mana yang mereka gagal kalahkan? Mereka lambang kekuatan dunia Glory. Kalau mereka tak boleh buat, sesiapa pun tak boleh!

Namun, sekarang abang jaguh ini diupah oleh mereka. Nampaknya, kehebatan dan kemasyhuran Lord Grim tidak boleh dinafikan lagi.

Seven Fields dan rakan-rakannya diselubungi rasa kagum dan cemburu. Mereka berasa cukup malu apabila terkenangkan yang mereka pernah mencuba untuk memujuk Lord Grim menyertai Persatuan Full Moon mereka. Persatuan Full Moon berada pada kedudukan 50 di dalam Heavenly Domain. Kalau mereka hendak jadikan abang jaguh sebagai ketua persatuan sekalipun dianggap satu penghinaan!

Sedang mereka bersembang, Ye Xiu mendapat sebuah mesej. Ia datang daripada Endless Night.

"Abang, Goblin Merchant sudah muncul!"

"Saya tengah menyelesaikan 'dungeon'!" jawab Ye Xiu.

"Samalah dengan kami. Semua orang dalam 'dungeon' sekarang. Kita berhubung lagi selepas kita keluar!" kata Endless Night.

avataravatar
Next chapter