Blue River menyambung tugasnya untuk melakukan serangan dengan penuh rasa bersalah. Sebenarnya, dia telah lama mempelajari kemahiran 'Wave Wheel Slasher'! Tetapi dia tidak menggunakannya kerana dia khuatir akan terlepas sasaran. Dia teringin untuk menebus kesilapannya, tetapi dia telah berbohong yang dia tidak mempelajari kemahiran itu. Apa yang harus dikatakannya jika dia tiba-tiba menggunakan kemahiran tersebut?

"Sebenarnya saya sudah mempelajari kemahiran ini, tetapi saya terlupa"? Mukanya merah padam memikirkan tentang kata-katanya yang tidak masuk akal itu!

Serangan Ice Whirlwind daripada Frost Thain sepatutnya menjadi serangan paling bahaya untuk semua ahli kumpulan ini, tetapi disebabkan oleh persembahan menakjubkan daripada Lord Grim, kebahayaan tidak wujud. Frost Thain juga tidak mempunyai kemahiran lain yang boleh mengancam nyawa ahli kumpulan ini. Setelah menerima serangan bertalu-talu daripada mereka berlima, Frost Thain akhirnya tumbang. Ganjaran mula diberikan, tetapi Blue River dan rakan-rakannya langsung tidak peduli. Mata mereka tertumpu kepada pengumuman sistem permainan.

"Tahniah diucapkan kepada pemain-pemain Persatuan Blue Brook: Blue River, Thundering Light, Lord Grim, Returning Cloud dan Lunar Grace kerana berjaya memecahkan rekod penyelesaian Hutan Fros. Masa: 20:24:11".

Blue RIver dan rakan-rakannya sudah menyedari dari waktu mereka melakukan 'Penyelesaian Satu Gelombang' lagi yang rekod akan dipecahkan asalkan mereka tidak tersilap langkah. Mereka tidak terkejut akan pencapaian ini, tetapi sangat teruja melihatkan perbezaan masa antara rekod baru ini berbanding dengan rekod sebelumnya.

Rekod sebelumnya dicatatkan oleh Herb Garden dengan tempoh masa 26:12:48. Hanya dengan satu percubaan, mereka telah memecahkan rekod dengan jarak masa 5 minit jauhnya!

Bagaimana mungkin rekod ini boleh dipecahkan dengan jarak sebegitu sekali? Pemain veteran seperti Blue River tahu yang sesuatu rekod amat sukar untuk dipecahkan biarpun mereka mencuba sebanyak 8 hingga 10 kali pun. Dan setiap kali mereka berjaya memecahkan rekod, jaraknya cuma dalam tempoh lebih kurang satu minit sahaja. Perbezaan masa selama 5 minit terlalu sukar dipercayai!

Semua pemain lain dalam dunia Glory turut sama terkesima melihatkan pengumuman sistem tersebut.

Setelah memilih kelas masing-masing di tahap 20, Seven Fields dan rakan-rakannya telah berkunjung ke Hutan Fros dan mencari pemain untuk menyertai kumpulan mereka. Pada waktu ini, mereka sedang dibelasah teruk di 'dungeon' ini. Sewaktu melihatkan pengumuman sistem permainan, mereka belum menyelesaikan separuh dungeon pun lagi. Betapa terperanjatnya mereka melihatkan nama Ye Xiu dengan rekod barunya itu.

"Tengok tu! Nama Dewa muncul dalam sistem pengumuman!" jerit Immersed Jade.

"Betul, itu memang dia…." jawab Seven Fields dan yang lain dengan nada sayu. Hati mereka remuk melihatkan nama Persatuan Blue Brook. Mereka memang tahu yang persatuan itu salah satu daripada Tiga Persatuan Terulung dalam dunia Glory dan hanyalah persatuan bertaraf sebegitu yang sesuai untuk abang jaguh mereka. Mereka sepatutnya sudah lebih dari gembira kerana jaguh seperti Ye Xiu telah membantu mereka untuk mencatatkan rekod sebanyak 2 kali sebelum ini, tetapi mereka tetap berasa sedih juga.

"Hutan Fros? Ini 'dungeon' kita sekarang ini, bukan?" tanya Immersed Jade.

"Betul!" jawab Seven Fields.

"Kita dah bertarung selama 20 minit di sini. Kita di mana sekarang?" tanya Immersed Jade lagi.

"Baru separuh jalan…." jawab Seven Fields dengan sedihnya. Inilah perbezaan yang paling ketara antara jaguh handalan dan pemain biasa. Pencapaian mereka sememangnya langit dan bumi jika dibandingkan dengan waktu Ye Xiu sedang memimpin mereka. Ternyata kemahiran mereka langsung tidak boleh dibandingkan dengan jaguh sepertinya.

Pada waktu ini, ahli kumpulan mereka yang kelima ialah seorang 'Cleric' bernama Endless Night. Tugasnya ialah melakukan 'healing', jadi dia tidak bercakap banyak. Mendengarkan perbincangan antara mereka berempat, dia tiba-tiba mencelah: "Jadi, selama ini kamu semua bergantung kepada Lord Grim untuk mendapatkan rekod 'First Clear' itu?"

Seven Fields tercengang mendengarkan soalan itu. Ya, nama mereka semua muncul di sistem pengumuman kerana rekod 'First Clear' mereka. Bahkan Immersed Jade turut menyanjungi mereka semua kerana pencapaian ini. Tetapi hakikat sebenarnya, hanya mereka yang tahu. Disebabkan ini jugalah Seven Fields agak keberatan untuk membenarkan sebarang pemain yang tidak dikenali menyertai kumpulan mereka. Tanpa abang jaguh Ye Xiu, mereka sememangnya tidak dapat menunjukkan sebarang kemahiran atau kehebatan pun!

Apabila Endless Night menyertai kumpulan mereka, dia tidak mengucapkan sebarang kata-kata pujian mahupun menunjukkan yang dia mengagumi pencapaian mereka. Dia hanya berkomunikasi secara minimal sahaja. Seven Fields dan rakan-rakannya menyangka yang Endless Night tidak menyedari mereka pasukan 'First Clear' yang popular. Tetapi kini, mereka masih gagal menyelesaikan 'dungeon' setelah 20 minit berlalu. Lord Grim pula memecahkan rekod 'dungeon' dalam tempoh 20 minit. Ternyata ini membuktikan Lord Grim jaguh sebenar di dalam kumpulan mereka, manakala pemain-pemain lain pula sekadar melengkapkan kuota sahaja.

Sekarang, Seven Fields harus berhadapan dengan realiti dan menjelaskan keadaan.

"Ya betul kata kamu. Semua pencapaian kami selama ini jasa abang jaguh kami."

"Jahanam! Memang saya dah agak dari awal lagi! Saya sudah bersama kamu selama 20 minit dan tak ada seorang pun di antara kamu yang layak digelar pemain handalan," kata Endless Night.

"Kamu tak rasa kata-kata kamu itu agak tajam ke?" tanya Seven Fields. Perasaan mereka bertambah buruk mendengarkan ejekan Endless Night itu.

"Okay beginilah. Mulai dari sekarang, kamu semua ikut jejak langkah saya," kata Endless Night.

"Kenapa pula?" tanya semua orang.

"Sebenarnya, saya pemain handalan daripada Persatuan Tyrannical Ambition. Sebelum ini, saya mahu melihat dan menguji kekuatan kamu semua, jadi saya berdiam diri. Saya sudah terlalu lama bersabar, kamu semua bermain dengan huru-hara! Jadi biar saya yang memimpin kumpulan ini!" kata Endless Night lagi.

"Celaka!" teriak Seven Fields. Manusia jenis apakah dia ini, sehingga langsung tidak malu untuk menggelarkan dirinya sendiri seorang pemain handalan. Abang jaguh Ye Xiu sendiri cukup merendah diri dan menggunakan kemahirannya untuk membuktikan kehebatan!

"Tak payah," jawab Seven Fields dengan dingin. Dia tidak sedikit pun kagum dengan Persatuan Tyrannical Ambition.

"Kamu jangan begini, kita perlu cepat-cepat menyelesaikan 'dungeon' ini. Saya masih ada banyak benda nak buat," kata Endless Night.

"...."

"Saya akan mengetuai kamu semua!"

"...."

"Tolonglah, saya merayu ni!"

"Jahanam! Suka hati kamulah! Pimpinlah kami!" Seven Fields akhirnya mengalah.

"Jaguh handalan jenis apakah dia ini? Melampau betul!" keluh Seven Fields di dalam hatinya.

"Okay, semua ikut arahan saya dari sekarang!". Dalam sekelip mata, Endless Night menukar senjatanya. Tangannya menggenggam sebatang salib. Cahaya perak berkilauan dari tubuh senjata tersebut. Hanya dengan sekilas pandangan, mereka semua tahu ini bukanlah senjata biasa.

"Celaka, dia berpura-pura sepanjang masa ini!" kata Seven Fields.

Secara senyap-senyap, Endless Night menghantar mesej peribadi kepada persatuannya:

"Kita telah tersilap. Lord Grim satu-satunya jaguh handalan dalam kumpulan 'First Clear' ini. Yang lain semuanya sampah!"

"Sudah terlambat. Lord Grim telah dibawa masuk ke Persatuan Blue Brook. Mereka memecahkan rekod dengan jarak lima minit. Terlalu dahsyat. Pencapaian itu pastinya disebabkan oleh bantuan lelaki itu,"

"Ai ai ai ai," keluh Endless Night.

"Kamu sedang buat apa tu?"

"Saya sedang memimpin sampah-sampah ini menyelesaikan Hutan Fros," jawab Endless Night.

Sementara itu, setelah rekod masa Hutan Fros dipecahkan, Persatuan Herb Garden, pemegang rekod sebelum ini, sedang dalam keadaan kacau-bilau.

"20:24:11! Celaka, gila betul! Blue River tidak sedahsyat ini!" kata Plantago Seed, ketua Persatuan Herb Garden dan jaguh handalan yang memimpin kumpulan mereka untuk mencipta rekod sebelum ini.

"Ini semua disebabkan oleh Lord Grim! Dialah punca kekuatan mereka meningkat mendadak," kata ahli pasukannya bernama Malva Nut.

"Biar saya tanya Blue River sendiri!" kata Plantago Seed lalu menghantar mesej peribadi kepada Blue River. Mereka semua jaguh handalan Tiga Persatuan Terulung, jadi mereka saling mengenali sewaktu bertarung di Heavenly Domain.

"Hei kawan, tak adil sebab kamu dapat bantuan seorang jaguh handalan!" kata Plantago Seed kepada Blue River.

"Ha ha ha ha. Kamu geram? Kamu marah? 20:24:11!! Boleh ke kamu pecahkan rekod itu bila dah mencecah tahap 25 nanti?" jawab Blue River dengan megahnya. Di hadapan Lord Grim, sememangnya dia merasa agak tertekan, tetapi dengan orang lain, dia ingin bermegah semegahnya!

avataravatar
Next chapter