70 Penaiktarafan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Pada akhirnya, ketiga-tiga persatuan Utama berhenti mengejar. Ye Xiu menghela nafas lega, menanggalkan fon kepalanya dan memusingkan badan. Dia dapat merasakan kemeriahan daripada para penonton sejak tadi lagi.

"Abang, kamu hebat!" puji semua orang.

Ye Xiu ketawa. "Saya bernasib baik saja!"

"Abang dapat ganjaran apa?" tanya seorang pelanggan.

"Saya dapat Blood Rifle," jawab Ye Xiu. Seven Fields dan rakan-rakannya memberikan senjata itu dengan rela hati kepada Ye Xiu, tetapi bagaimana pula dengan 3 orang pemain lain?

Dalam dunia Glory, walaupun seseorang pemain tidak boleh menggunakan senjata tertentu kerana tidak bersesuaian dengan kelas mereka, dia tetap boleh mengambil senjata itu dan menjualnya. Disebabkan itu, ganjaran dari 'dungeon' agak huru-hara apabila melibatkan kumpulan yang dibentuk secara rawak. Jika seseorang pemain menginginkan sebuah senjata atau peralatan yang khas, lebih baik jika dia menyertai kumpulan khas ataupun bermain bersama kawan-kawannya sendiri. Dengan berbuat demikian, mereka akan dapat memilih senjata atau peralatan yang dimahukan tanpa perlu berebut-rebut. Kumpulan rawak hanya sesuai untuk memperolehi 'experience' ataupun mengumpul wang sahaja.

Setelah mendengarkan permintaan Ye Xiu untuk memiliki Blood Rifle, Seven Fields dan rakan-rakannya tidak membantah. Tetapi mereka risau jika 3 pemain lain akan merebut senjata itu. Syukurlah, mereka semua bekerjasama dan turut menghadiahkan senjata itu pada Lord Grim dengan rela hati.

Mereka semua tidak sempat untuk melihat ganjaran-ganjaran lain kerana telah diarahkan oleh Ye Xiu untuk berlari sepenuh hati. Tetapi, mereka semua sangat gembira mendapat ganjaran daripada bos liar yang hanya muncul 3 kali dalam seminggu. Kali ini, ia memberikan empat jenis peralatan kelas Biru sebagai ganjarannya, kesemuanya berada pada tahap 25. Nasib mereka kurang baik, kerana tidak ada senjata kelas ungu yang diperolehi.

Tetapi, mereka jauh lebih gembira kerana berjaya mencatatkan pembunuhan pertama. Apatah lagi, mereka dapat melihat kemarahan Tiga Persatuan Utama. Kalaulah mereka tahu yang mereka hanya sekadar terlepas peluang untuk mendapatkan empat jenis peralatan kelas Biru sahaja….

Seven Fields dan semua rakan-rakannya termenung melihatkan nama mereka diabadikan pada papan pendahulu. Mereka cukup bangga sekali.

Selepas beberapa ketika, para penonton mula beredar. Cuma Chen Guo yang terus berdiri menunggu Ye Xiu.

"Bos…." Ye Xiu menyapa. "Saya akan pergi ke meja penyambut tetamu sekarang ya!"

Jam menunjukkan pukul 11, sudah tiba waktu untuk Ye Xiu bertugas pada syif malam.

Chen Guo terlalu malu hendak memberitahu yang dia datang ke mari untuk menonton, bukan untuk menyuruh Ye Xiu pergi bekerja.

Ramai pelanggan mula beredar untuk pulang. Walaupun semangat untuk bermain Glory di server baru masih kuat, ramai pelanggan perlu sambung belajar ataupun ada kerja yang harus dilakukan, jadi tidak ada ramai pemain pada waktu malam.

Chen Guo berasakan kafe internetnya sangat kosong berbanding beberapa ketika lalu. Hanya Ye Xiu seorang yang kelihatan duduk seorang diri di meja penyambut tetamu. Dari jauh, Chen Guo dapat melihat yang dia sudah kembali memasuki dunia Glory sekali lagi. Nampaknya, selain daripada makan dan tidur, dia hanya tahu bermain Glory sahaja sepanjang hari.

Chen Guo melangkah ke bahagian kafe internet yang lain. Tang Rou masih di depan komputernya, menumpukan sepenuh perhatian bermain. Dia langsung tidak berkelip!

Chen Guo tahu yang Tang Rou pasti kepenatan selepas menyelesaikan 'quest' demi 'quest'. Dia menepuk bahu Tang Rou.

"Ya, kenapa kakak?" tanya Tang Rou.

"Dah pukul 11!" kata Chen Guo sambil menarik fon kepala Tang Rou.

"Hah? Pukul 11 dah? Saya tak perasan langsung!" Tang Rou terkejut.

"Kamu dah tahap berapa?" tanya Chen Guo.

"Baru tahap 6…." disebabkan jumlah pemain yang ramai, Tang Rou agak perlahan dalam menaikkan tahapnya.

"Tak nak tidur lagi ke?" tanya Chen Guo lagi.

"Kakak pergilah tidur dulu! Saya nak main lagi!" Tang Rou kembali memakai fon kepala dan sambung bermain.

"Kalau macam tu, saya pergi dulu. Jangan tidur lambat!" kata Chen Guo tetapi Tang Rou tidak menjawab kerana dia tidak mendengar apa-apa setelah memakai fon kepala.

Chen Guo beredar sambil berasa sedikit sedih. Pada mulanya, dia peminat tegar permainan Glory. Tetapi jika dibandingkan dengan Ye Xiu dan Tang Rou, dia jauh ketinggalan dalam usahanya bermain. Adakah dia sudah kehilangan semangat atau minat bermain? Chen Guo tiba di tingkat kedua dan terus berehat.

Selepas Ye Xiu masuk semula dalam permainan, Seven Fields dan rakan-rakannya terus menghujankan soalan demi soalan padanya. Mereka risau jika apa-apa terjadi padanya kerana dia tiba-tiba menghilangkan diri.

"Tak ada apa-apa, saya baik-baik sahaja. Tapi kamu semua perlu berhati-hati, tahu?" Ye Xiu berpesan pada semua orang.

"Jangan risaukan kami!" jawab Seven Fields.

Bagi Seven Fields, dia sangat mengagungkan Ye Xiu. Dahulu, dia sangat mengagumi Tiga Persatuan Utama, tetapi setelah bertemu Ye Xiu, dia sedar apakah maksud sebenar 'jaguh handalan'. Sekarang, dengan bantuan Ye Xiu, mereka telah berjaya mencuri bos liar dari Tiga Persatuan Utama dan memalukan mereka semua. Perasaan gembira di hati mereka jauh mengatasi perasaan bimbang.

Sementara itu, Immersed Jade dan Steamed Bun Invasion yang merupakan pemain baru tidak tahu apa yang telah dikecapi mereka. Mereka cuma berasa gembira kerana mendapat ganjaran.

"Saya akan kembali ke Bandar Bulls," Ye Xiu memberitahu semua orang.

"Jumpa lagi, abang jaguh!" jawab mereka semua.

"Semua orang berhati-hati," sekali lagi Ye Xiu mengingatkan mereka. Lord Grim menuju ke Bandar Bulls. Di sini, dia tidak akan diserang, jadi dia boleh membuka 'Equipment Editor' dengan senang hati. Dia memasukkan Blood Rifle yang baru diperolehi ke dalam Editor itu.

Dalam tempoh dua hari lepas, dia telah mengumpul banyak bahan mentah. Payung Seribu Manifestasi mempunyai beberapa bahagian yang boleh dinaiktarafkan. Ye Xiu mula menanggalkan kanopi payung dengan berhati-hati. Kanopi itu mempunyai 8 bahagian. Rusuk payung itu menggabungkan kesemua bahagian untuk membentuk kanopi.

Dia memilih satu bahagian kanopi dan meletakkannya pada 'copy template'. Kemudian, dia mengambil 5 keping Sutera Labah-Labah Kukuh untuk digabungkan pada kanopi itu. Setelah selesai, Sutera Kukuh itu telah mengubah penampilan kanopi payung. Ye Xiu mengulangi proses ini sebanyak 7 kali untuk melengkapkan penaiktarafan bahagian kanopi.

Seterusnya, dia ingin menaiktarafkan bahagian pistol dan pedang yang tersembunyi dalam senjatanya.

Batang payung ditanggalkan dan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu batang payung dan pedang yang tersembunyi dalam batang tersebut. Kedua-duanya diletakkan dalam 'copy template'.

Dia menggabungkan batang payung dengan Blood Rifle dan pemegang Saber yang diperoleh dari Skeleton Warrior. Manakala pedang yang tersembunyi pula digabungkan dengan Saber itu sendiri.

Setelah selesai, dia perlahan-lahan memasang semula Payung Seribu Manifestasi yang baru.

avataravatar
Next chapter