68 Pembunuhan Pertama Blood Gunner

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Sudah tiba masanya untuk menggunakan strategi bagi mengatasi Red Blood dari Blood Gunner Yagg.

Perkara pertama yang dilakukan Ye Xiu, menyerahkan posisi ketua kumpulan kepada Seven Fields.

Dia kemudian menjerit: "Semua orang berundur!"

Seven Fields dan semua yang lain tidak pernah membunuh Blood Gunner sebelum ini, tetapi mereka pernah mendengar cerita tentangnya. Mereka tahu apa yang bakal berlaku sebaik sahaja Blood Gunner masuk pada keadaan 'Enraged', jadi mereka segera berundur.

Di bawah pimpinan Seven Fields, kelapan-lapan pemain berundur keluar dari zon tumpuan serangan Blood Gunner. Ye Xiu pula mengarahkan Lord Grim untuk menghunuskan tombak pertarungan dan menyerang dengan kelajuan sepantas kilat. Dengan serta-merta, nyawa Blood Gunner mencecah 10 peratus. Red Blood!

"Ha ha ha ha ha….." ketawa ngeri Blood Gunner kedengaran sekali lagi.

Cahaya berwarna merah darah sekali lagi terpancar dari tubuhnya. Tetapi kali ini, bukan beratus-ratus tentera raksasa yang muncul. Sebaliknya, hanya seekor raksasa sahaja! Ye Xiu bukan lagi ketua kumpulan, jadi hanya seekor sahaja raksasa yang boleh dihasilkan.

Sekarang, Ye Xiu hanya perlu memastikan Blood Gunner tidak menyerang teman-temannya yang lain dalam keadaan 'Enraged' ini.

Tugas ini teramatlah mudah bagi Ye Xiu.

Seven Fields dan semua pemain lain masih tidak berani masuk semula ke zon pertarungan. Sungguhpun mereka pernah membaca panduan mengenai cara menewaskan Blood Gunner sebelum ini, mereka masih was-was. Bolehkah mereka bertarung semula selepas Blood Gunner selesai menyeru tenteranya? Mereka tidak pasti.

"Bunuh!"

Jeritan dari Lord Grim memecahkan kebuntuan dan keraguan mereka.

Mereka berlapan mara dengan penuh semangat dan menyerang Blood Gunner semula. Raksasa yang diseru oleh Blood Gunner tadi dilumatkan serta-merta. Pertarungan diteruskan semula!

"Blood Gunner akan membuat seruan lagi tak, abang?" tanya Seven Fields.

"Ya, dia akan menyeru sekali lagi bila nyawanya tinggal 5%. Selain itu, dia juga akan melepaskan sebuah tembakan yang sangat dahsyat secara rawak sebelum mati," jawab Ye Xiu.

"Melampau betul bos ni!" kata Seven Fields sambil ketawa.

"Kamu cuma perlu tumpukan perhatian untuk mengelakkan tembakan itu, semuanya akan baik-baik sahaja. Tembakan terakhir itu sangat kuat, kalau kena, pasti mati," kata Ye Xiu lagi.

"Macam mana kita nak elakkan tembakan itu?" tanya Sleeping Moon.

"Lari sampai ke hujung dunia!" gurau Ye Xiu.

Apabila nyawa Blood Gunner mencecah 5%, mereka berlapan sekali lagi mengundurkan diri. Sekali lagi, hanya seekor raksasa yang muncul dan dilumatkan oleh mereka berlapan.

Sedikit lagi. Hanya sedikit lagi. Mereka terus menyerang dengan sepenuh kekuatan dan sepenuh hati.

Ketika itu, Ye Xiu menerima mesej daripada Endless Night.

"Ha ha, masih bertarung lagi ke? Kamu mesti bekerja keras kan? Saya nasihatkan kamu, baik kamu sertai kumpulan kami sekarang juga!"

Ye Xiu tidak mempedulikannya. Dalam keadaan genting seperti ini, dia perlu memberikan sepenuh perhatian membunuh Blood Gunner Yagg. Waktu ini ialah segala-galanya.

Kesemua pemain dari Tiga Persatuan Utama semakin mendekati. Tetapi nyawa Blood Gunner masih berbaki sedikit lagi. Seven Fields dan semua yang lain mula khuatir. Adakah mereka sudah kehabisan waktu?

"Cheng cheng cheng cheng..."

Mereka dapat mendengar bunyi peluru pemain kelas Gunner yang sedang dimasukkan ke dalam senjata masing-masing.

"Berpecah!" jerit Ye Xiu secara tiba-tiba.

Mereka semua berlari sejauh mungkin tanpa menoleh ke belakang lagi.

Melihatkan mereka semua berlari, kesemua pemain Tiga Persatuan Utama menghentikan langkah masing-masing.

"Jahanam, sudah tinggal sedikit sahaja nyawanya? Tak mungkin!!" jerit seorang pemain.

"Semua ikut saya!" kata Blue River. Dia segera menyerahkan posisi ketua kumpulan kepada seorang rakannya dan dia hanya membawa sepuluh orang pemain terhandal untuk mara bersamanya.

Tyrannical Ambition dan Herb Garden membuat keputusan yang sama. Mereka membentuk kumpulan 10 orang. Dengan ini, jika Blood Gunner menjadi 'Enraged' sekali lagi, dia hanya mampu menyeru 30 ekor raksasa sahaja.

Ketiga-tiga kumpulan mara ke hadapan dengan penuh semangat. Mereka sedang bersaing antara satu sama lain sekarang, siapa cepat dia dapat!

"Wahai musuh-musuhku, saya cadangkan setiap kumpulan hantar 3 orang pemain untuk membunuh setiap orang ahli kumpulan Lord Grim. Apa kata kamu?" jerit Blue River.

Mereka semua tidak boleh mengambil sebarang risiko lagi dengan membiarkan kumpulan Ye Xiu terus hidup. Paling tidak, mereka harus mengusir kumpulan itu sejauh-jauhnya supaya dapat merampas Blood Gunner dengan mudah.

Blue River berasa kesal memikirkan Lord Grim. Jika dia terus enggan bekerjasama dengannya, situasi ini akan menjadi rumit.

Cold Night dari Tyrannical Ambition bersetuju dengan cadangan ini dan menghantar 3 orang pemain dari kumpulannya.

Blue River melihat ke arah Herb Garden. Mereka turut menghantar 3 orang pemain, tetapi ketua mereka Plantago Seed tidak kelihatan di mana-mana.

"Mana perginya Plantago Seed?" tanya Blue River. 

"Dia sudah mati," jawab seorang pemain Herb Garden dengan penuh rasa malu.

"Mati?" Blue River terkejut. Dia ketawa terbahak-bahak sehingga sakit perutnya.

Walaupun keadaan sangat huru-hara sewaktu Blood Gunner menyeru tentera raksasanya, Plantago Seed memiliki kemahiran yang tinggi dan senjata serta kelengkapan yang kuat. Dia sepatutnya bertahan lebih lama dari pemain-pemain yang lain. Tetapi pada akhirnya, dia mati dahulu! Blue River dapat membayangkan betapa geram perasaannya.

Betapa sedihnya pemain Herb Garden mendengarkan ketawa Blue River itu, tetapi…..mereka bakal lebih sedih lagi apabila mendengarkan apa yang berlaku seterusnya.

"Kenapa kamu ketawa macam itu sekali?" tanya Cold Night.

"Plantago Seed dah mati! Ha ha ha ha ha!" jawab Blue River.

"Betul ke? Tahniah….." Cold Night sedikit pun tidak ambil peduli.

"Tahniah untuk kamu juga!" kata Blue River lagi.

Semua pemain Herb Garden hendak muntah darah!

Perbualan antara mereka terhenti apabila Ye Xiu menjerit: "Saya nasihatkan kamu semua berhati-hati!"

Blue River masih berasa riang gembira mendengarkan berita kematian Plantago Seed. Dia menjawab: "Jangan risaulah abang. Kami semua baik-baik sahaja!"

"Baguslah kalau macam itu!" Ye Xiu ketawa.

"TAK BAGUS!!!" jerit Thousand Creations tiba-tiba. Dia menjerit kerana dia telah didatangi suatu perasaan buruk entah dari mana.

"Apa kena dengan kamu ni?" tanya Blue River.

"YA YA YA YA YA!!!" jerit Blood Gunner dengan kuatnya dan tubuhnya memancarkan cahaya merah darah buat kali ketiga.

Selain itu, dia kelihatan berdiri dengan gaya yang agak aneh. Tangan kanannya memegang pistol yang disandarkan pada dadanya, tangan kiri pula memberikan sokongan pada tangan kanan.

"Bangsat, tembakan rawak!!!" kesemua pemain dari Tiga Persatuan Utama segera merebahkan badan ke tanah.

Tembakan rawak pun dilepaskan.

Blood Gunner tidak berhenti-henti menjerit. Peluru berterbangan ke semua arah pada masa yang sama. Sungguhpun pistol yang digunakannya dari jenis revolver, tembakan yang pantas itu seolah-olah lebih laju dari sebuah 'machine gun'!

Pemain dari Tiga Persatuan Utama melindungi diri masing-masing dan berlari lintang-pukang. Tiga orang pemain terkena tembakan rawak itu dan mati serta-merta. Tembakan itu terlalu laju, mereka gagal mengelak. Semua pemain yang lain pula menunjukkan bermacam-macam gaya. Ada yang mencangkung, ada yang terbaring, ada yang memutar-mutarkan badan. Semuanya cuba untuk terus hidup!

Tetapi pemain yang paling berisiko tinggi sekali pastilah Lord Grim, kerana dia adlah pemain yang paling hampir dengan Blood Gunner.

Mujurlah dia seorang jaguh handalan. Dia menggunakan teknik Shadow Clone untuk mengelakkan tembakan rawak, dan tubuhnya menjelma di udara.

Dia menjunam ke tanah dengan menggunakan kemahiran kelas Fighter iaitu Eagle Stamp. Dia memijak tepat kepala Blood Gunner dengan sepenuh kuasanya.

Ini diikuti dengan penghunusan tombak pertarungannya. Circle Swing!

Blood Gunner akan mendapat 'Super Armor' sewaktu dia melakukan tembakan rawak, tetapi Circle Swing tidak terkesan dengan Super Armor itu.

Lord Grim menikam tombaknya ke permukaan bumi. Di penghujung tombaknya... tubuh Blood Gunner Yagg.

Tembakan rawak berhenti. Tetapi Lord Grim tidak berhenti menyerang. Dia menggunakan Sky Strike, Dragon Tooth dan Falling Flower Palm seterusnya.

Akhirnya Blood Gunner Yagg menjerit buat kali terakhir.

Pengumuman Sistem: Tahniah kepada Seven Fields, Lord Grim, Steamed Bun Invasion, Grazing Fire, Bright Mushroom, Sleeping Moon, Drifting Water dan Immersed Jade kerana telah berjaya menjadi kumpulan pertama yang membunuh Blood Gunner Yagg!!

Wajah kesemua Tiga Persatuan Utama pucat lesi.

Ye Xiu pula menghantar mesej kepada kumpulannya: "Saya cuma nak Senapang Darah. Kamu semua boleh ambil ganjaran-ganjaran yang lain sesuka hati kamu!"

avataravatar
Next chapter