98 Mengajar Bersungguh-Sungguh

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Sleeping Moon berasa kecewa. Ini bermaksud kemahiran dia dan Seven Fields tidak cukup hebat. Dia tidak mahu menerima hakikat ini, tetapi apabila melihatkan kemahiran Lord Grim, Soft Mist dan Steamed Bun Invasion, mereka sememangnya jauh lebih hebat berbanding dia.

Pergerakan mereka yang tidak henti-henti dan kelajuan melepaskan serangan ternyata menunjukkan kepantasan tangan mereka. Jurang perbezaan di antara mereka sangat ketara.

Seven Fields dan Sleeping Moon terus membunuh raksasa dengan hati yang pilu. Ye Xiu terus memberikan tunjuk ajar kepada kedua-dua anak muridnya. Sleeping Moon hendak belajar juga, tetapi dia mempunyai kelas yang berbeza. Lord Grim sedang mengajar Battle Mage dan Brawler, jadi Sleeping Moon tidak boleh belajar apa-apa. Dia pula lebih rela mati daripada merayu Lord Grim supaya memberikan tunjuk ajar khas padanya. Kemudian, Sleeping Moon terfikirkan sesuatu. Mungkin dia boleh merapatkan diri dengan Sunset Clouds, kerana pemain itu seorang Blade Master seperti dia juga. Mungkin dia boleh belajar sesuatu daripadanya.

Sedang dia khayal berfikir, dia terdengar Lord Grim berkata: "Moon Moon Kecil, apa yang kamu lakukan?"

Sleeping Moon tersedar dan melihat. Dia sudah membunuh raksasa yang diserang tadi, dan sedang memukul angin sahaja sekarang!

Dia berpura-pura yang tidak ada apa-apa berlaku dan terus kembali bertarung. Kemudian, dia terdengar gadis baru tadi berkata: "Jadi, senang saja rupanya?"

"Bila tiba waktunya, kita harus tarik lebih ramai raksasa lagi. Saya cuma nak biarkan kamu biasakan diri dengan 'dungeon' ini sekarang. Kamu harus beri perhatian pada posisi, corak serangan, kelajuan serangan dan kelajuan pergerakan semua raksasa. Steamed Bun juga," kata Ye Xiu.

"Kenapa kita perlu berikan banyak sangat perhatian?" Steamed Bun sedang membunuh Goblin di 'dungeon' ini dengan senang-lenang, jadi dia tidak terlalu serius.

"Kadangkala, rekod akan dipecahkan dengan jarak masa beberapa saat sahaja. Perbezaan sedikit ini datang daripada perkara-perkara kecil," jelas Ye Xiu.

"Jadi, saya belum cukup bagus lagi sekarang?" Steamed Bun bertanya.

"Belum cukup bagus. Tapi cukuplah untuk hari ini! Sepanjang perjalanan hari ini, saya akan berikan penjelasan ringkas. Bila dah selesai nanti, kamu pergi ke Arena semula. Jangan naikkan tahap sekarang. Tunggu saya kumpulkan beberapa orang lagi dan kita akan berlatih lebih lanjut." Ye Xiu tiba-tiba terfikir kebodohan Steamed Bun agak merbahaya. Dia perlu lebih banyak berlatih lagi.

Mujurlah Steamed Bun Invasion ketagih dengan PK. Dia gembira dan bersetuju apabila mendengarkan yang dia tidak perlu terus berlatih di 'dungeon' lagi.

Ye Xiu pula terfikir sesuatu yang lain: "Sekarang berapa banyak markah kamu di Arena?"

"98 mata," kata Steamed Bun dengan bangga. Dia telah bermain satu lawan satu di Arena dan setiap kemenangan akan memberikannya 1 mata. Jadi, dia telah menang sebanyak 98 kali.

"Jangan bazirkan mata kamu. Kumpul sampai 250 mata kemudian tukarkannya dengan senjata kelas Ungu tahap 25," kata Ye Xiu.

Arena agak mirip dengan kancah profesional. Ada pelbagai jenis perlawanan yang boleh dimainkan. 1 mata akan diberikan untuk kemenangan 1 lawan 1. Bagi perlawanan 1 lawan 1 secara berkumpulan pula, 2 mata akan diberikan pada kumpulan yang menang. Tetapi perlawanan berkumpulan sedikit berbeza. Ia tidak semestinya 5 lawan 5 dengan seorang pemain simpanan diberikan. Sebaliknya, para pemain boleh memilih untuk berlawan 2 lawan 2 atau 3 lawan 3 dan sebagainya. Paling tinggi sekali ialah 5 lawan 5 dengan 1 pemain simpanan, sama seperti kancah profesional.

Mata yang diraih boleh ditukarkan dengan kelengkapan senjata. Pada tahap 50 hingga 70, peralatan kelas Oren juga boleh didapati.

Kelengkapan senjata kelas Oren tahap 50 memerlukan 8000 mata. Kelengkapan kelas Oren tahap 60 memerlukan 10,000 mata. Kelengkapan kelas Oren tahap 70 pula 12,000 mata.

Selain itu, bermula dari tahap 50 di Arena, para pemain akan kehilangan mata jika mereka kalah. Jadi, bukan mudah untuk mengumpulkan mata yang banyak.

Tetapi, ada sebuah jalan singkat yang membolehkan para pemain mengumpul banyak mata dalam satu perlawanan sahaja. Jalan singkat tersebut ialah berjudi.

Para pemain boleh berjudi menggunakan mata, wang dalam permainan malah kelengkapan senjata sendiri juga.

Tidak ada had taruhan. Jika seorang pemain bertaruh 1000 mata, pihak lawannya juga harus bertaruh 1000 mata. Tetapi tetap ada ruang untuk perbincangan. Misalnya, pemain yang kalah boleh membayar 500 mata sahaja jika dipersetujui oleh pihak yang menang. Sistem permainan akan menjadi orang tengah, jadi tidak ada ruang untuk menipu.

Kebiasaannya, para pemain akan mendapat keuntungan sebanyak 100 mata atau kurang dari itu. Ini kerana tidak ada pemain yang yakin akan menang setiap kali. Memang ada para pemain yang berani bertaruh dalam jumlah besar. Mereka kebiasaannya musuh antara satu sama lain dan kebencian di antara mereka digunakan untuk menentukan siapa yang lebih handal. Ada juga para pemain yang memang handal berjudi dan lebih berbakat dalam mengumpul mata pertaruhan berbanding pemain lain.

Server kesepuluh ini masih baru. Dengan kemahiran yang ada pada Steamed Bun, tidak ada bezanya jika dia bertarung dalam perlawanan berjudi ataupun perlawanan dengan pihak lawan yang sama kuat dengannya. Ye Xiu cuma terfikir yang senjata kelas Ungu tahap 25 di dalam Arena sebuah senjata yang bagus. Jadi, memandangkan Steamed Bun sudah ketagih dengan PK, dia boleh memiliki senjata ini dengan mudah untuk meningkatkan kekuatannya.

"Oh? Senjata itu kuat ke?" orang baru selalu bertanyakan soalan seperti ini. Ye Xiu menjelaskan kepadanya.

Mereka meneruskan perjalanan di dalam 'dungeon' dan Ye Xiu memberikan penerangan sepanjang jalan. Dia menerangkan dengan lebih banyak lagi apabila sampai kepada bos. Ini kerana, para pemain biasanya tidak akan menghadapi masalah apabila membunuh raksasa biasa. Tetapi macam-macam boleh berlaku apabila menghadapi bos. Jadi, setiap saat sangat berharga apabila berhadapan dengan bos seperti ini.

Ini kali pertama Tang Rou berada di Hutan Fros, jadi Ye Xiu mengajarnya tentang sifat bos ini dengan terperinci. Steamed Bun turut mempelajari perkara baru biarpun dia sudah beberapa kali menewaskan bos ini. Sama juga dengan Seven Fields dan Sleeping Moon walaupun mereka sudah banyak kali berhadapan dengan bos tersebut. Ternyata mereka banyak menimba ilmu dengan ajaran daripada Ye Xiu.

Pada akhirnya, mereka menghabiskan tempoh masa 35 minit untuk menyelesaikan 'dungeon' ini. Tempoh ini agak lama kerana Ye Xiu terlalu banyak bercakap.

Setelah keluar dari 'dungeon', Ye Xiu yang kehausan mengambil teh hijau dan minum dengan gelojoh. Dia memusingkan kepala dan bertanya pada Tang Rou: "Macam mana? Kamu faham tentang semuanya sekarang?" Tunjuk ajarnya tadi sebenarnya khas untuk Tang Rou.

Tang Rou ketawa dengan riang: "Tak nak teka lagi! Saya memang tak tahu."

Ye Xiu berpaling semula ke skrinnya. Steamed Bun masih sedang meminta Tang Rou untuk meneka zodiak dia! Ye Xiu hampir sahaja memuntahkan teh hijau dari hidungnya. Mujurlah Tang Rou menjawab kepadanya: "Senang saja!"

"Jadi, pergi selesaikan 'dungeon' itu sendirian!" kata Ye Xiu.

"Sendirian?" Tang Rou kebingungan.

"Kamu kata senang, jadi patut tak ada masalah kan?" kata Ye Xiu lagi.

"Saya akan bereskan supaya kamu boleh tengok sendiri!" Tang Rou tidak bercakap lebih lanjut dan terus masuk ke 'dungeon' semula. Hutan Fros ini sememangnya lebih besar dan sukar berbanding dengan 'dungeon' di Beginner's Village. Tetapi, Tang Rou tetap yakin dia boleh melakukannya.

Soft Mist keluar dari kumpulan dan masuk ke 'dungeon' seorang diri. Ini membuatkan Seven Fields dan Sleeping Moon keliru.

"Abang jaguh?" Seven Fields tertanya-tanya.

"Oh, dia nak pergi berlatih," jawab Ye Xiu.

"Seorang diri di Hutan Fros?" Seven Fields hendak pengsan. Mereka semua seolah-olah bukan lagi manusia!

"Ha ha, dia takkan dapat melakukannya," kata Ye Xiu.

Walaupun Tang Rou tidak lagi berada dalam saluran suara yang sama sewaktu mereka semua berada di 'dungeon', dia sedang duduk di sebelah Ye Xiu. Dia mendengar dengan jelas kata-kata Ye Xiu itu lalu memusingkan kepalanya: "Siapa kata saya tak mampu!"

"Saya kata!" Ye Xiu ketawa.

Tang Rou tidak menjawab dan terus membunuh raksasa-raksasa.

"Kamu semua pergilah cari pemain lain untuk selesaikan 'dungeon'. Saya tak nak selesaikan 'dungeon' sekarang," Ye Xiu berkata pada Seven Fields dan Sleeping Moon.

Mereka berdua pergi mencari pemain lain seperti yang diarahkan. Steamed Bun Invasion pula mempunyai misi untuk mengumpulkan mata dan memperolehi senjata kelas Ungu, jadi dia sangat teruja. Dia menjerit dengan kuat "250! 250! Matlamat saya ialah 250 mata!". Dia berlari ke arah Arena dan meninggalkan rakan-rakannya. Ye Xiu terus tertanya-tanya "Dia ni okey ke tak?" di dalam hatinya.

Ye Xiu tidak boleh mengawal si bodoh seperti Steamed Bun, tetapi Tang Rou masih boleh diajar lagi. Ye Xiu menarik kerusinya dan duduk di belakang Tang Rou. Dia minum teh dan merokok sambil menonton Tang Rou berlawan secara sendirian di Hutan Fros. Ye Xiu sedang menantikan sesuatu yang buruk untuk berlaku.

Dengan kemahiran Tang Rou, tidak ada masalah baginya untuk berlawan secara sendirian di Hutan Fros. Dia sudah arif dengan kesemua kemahiran Battle Mage di bawah tahap 20. Sementara itu, kemahiran tahap 20 yang baru dipelajari, Circle Swing dan Neutral Chaser telah dijelaskan oleh Ye Xiu. Pada ketika ini, dia sedang asyik bertarung. Dia membunuh semua raksasa dengan lancar.

Tetapi akhirnya, sebelum bos pertama muncul, sesuatu yang buruk akhirnya berlaku.

Setelah menarik raksasa, dia terus bermain dengan lancar. Tangan kirinya menekan papan kekunci dengan lincah dan menggunakan Falling Flower Palm untuk menyerang. Tetapi, Soft Mist tidak memberikan sebarang reaksi. Setelah kebingungan sebentar, Tang Rou terbaca sesuatu yang ditulis oleh sistem permainan: "Tidak cukup Mana".

Tang Rou segera memberikan sebuah posyen Mana untuk diminum oleh Soft Mist. Tetapi, ada dua jenis posyen. Posyen yang memulihkan serta-merta, atau posyen yang memulihkan dengan perlahan. Posyen yang digunakannya jenis perlahan, jadi Soft Mist memerlukan sedikit masa untuk memulihkan Mana. Kebiasaannya, ini mengambil tempoh 10 saat, tetapi tempoh ini juga bergantung kepada kualiti posyen yang digunakan.

Apabila Tang Rou sedang menunggu posyen itu untuk memberikan kesan, dia menggunakan kemahiran yang lain untuk membunuh raksasa. Akhirnya, selepas 10 saat, dia kehabisan Mana sekali lagi. Posyen mempunyai 'cooldown' sebanyak 1 minit, jadi dia tidak boleh menggunakan sebarang kemahiran sepanjang 50 saat akan datang.

Tang Rou hanya mampu mengarahkan Soft Mist untuk mengelakkan serangan musuh dan menyerang menggunakan serangan biasa. Dia berasa dalam situasi yang sukar. Setelah bertarung dengan susah-payah selama 50 saat, dia minum sebuah lagi posyen dan dapat menggunakan kemahiran selama 10 saat sebelum sekali lagi kehabisan Mana.

"Ha ha ha…" Ye Xiu ketawa. Ketawanya ini sangat menyakitkan telinga Tang Rou. Dia hanya mampu mengetap gigi dan bertahan. Dia sudah banyak membazirkan masa dan telah tercedera kerana diserang. Sekarang, dia perlu menggunakan posyen lain untuk memulihkan nyawanya pula.

"Bila kita nak pecahkan rekod, mana ada masa untuk berehat dan pulihkan diri?" Ye Xiu berkata dari belakang.

"Oh, saya takkan lupa untuk minum posyen," kata Tang Rou.

"Sebenarnya, ia bukan tentang minum posyen sahaja. Apa yang lebih penting ialah rentak apabila menggunakan kemahiran dan jenis posyen yang diperlukan supaya kamu boleh bertahan lama. Kamu ke tepi dan tengok saya bermain sebentar! Saya akan tunjukkan pada kamu," kata Ye Xiu.

avataravatar
Next chapter