Di antara Ye Xiu dan Tang Rou, salah seorang masuk tidur selepas makan tengahari, seorang lagi pula tidur selepas kerjanya selesai pada pukul 3 petang. Apabila tiba waktu untuk makan malam, tidak ada seorang pun di antara mereka yang terjaga. Chen Guo terpaksa makan malam bersama para pekerja lain dengan perasaan marah. Pada awalnya, dia tidak mahu meninggalkan sebarang makanan untuk mereka berdua, tetapi dia kemudian berlembut hati dan meninggalkan sedikit makanan juga.

Pada pukul 8 malam, Ye Xiu yang sudah tidur selama 8 jam bangun dengan segar. Selepas merokok, dia berkumur dan membasuh muka. Kemudian, barulah dia keluar dari bilik dan menuju ke bawah.

Dia perasan kafe internet itu berada dalam keadaan gelap sekali lagi. Ia sama dengan keadaan sewaktu persaraan Ye Qiu diumumkan. Ye Xiu terpinga-pinga. Kemudian, barulah dia terfikir yang kafe internet ini akan mempamerkan setiap perlawanan dalam Kejohanan Pakatan Profesional Glory. Dia melihat pada tarikh. Hari ini merupakan perlawanan Glory yang ke 20.

Dia melihat tirai projektor pada ruang legar sudah dibuka seperti sebelumnya. Skrin projektor sedang mempamerkan saluran e-sukan. Perlawanan belum lagi bermula tetapi ramai penonton sudah berada di tempat masing-masing sejak awal lagi. Ada juga yang menonton sambil bermain.

Ye Xiu menuju ke meja penyambut tetamu dan bertanya pada gadis yang bertugas: "Perlawanan di antara siapa malam ini?"

Gadis itu tidak terlalu berminat dengan Glory. Dia sedang asyik menonton drama Korea. Tetapi sebagai pekerja kafe internet itu, dia tetap tahu apa yang berlaku. "Perlawanan kelab Excellent Era!"

Ye Xiu mengangguk. Dia faham sekarang.

Terdapat 20 kelab kesemuanya dalam Pakatan Profesional Glory. Kesemua kelab ini akan bertarung antara satu sama lain. Pada hari pertarungan, akan ada 10 perlawanan serentak. Memandangkan saluran televisyen tidak boleh menyiarkan kesemua perlawanan, hanya perlawanan paling penting yang dipilih. Tetapi, para penonton boleh juga menggunakan internet untuk menyaksikan kesemua 10 perlawanan pada masa yang sama.

Kafe Internet Gembira dan Kelab Excellent Era terletak di bandar yang sama, jadi kebanyakan pelanggan pastilah menyokong pasukan bandar mereka sendiri. Disebabkan itu, Kafe Internet Gembira kebiasaannya menyiarkan perlawanan Kelab Excellent Era.

Ye Xiu menyedari yang walaupun para penyokong bersedih akan persaraannya, sokongan mereka terhadap Excellent Era tidak berubah. Mereka semua tidak sabar hendak menyaksikan persembahan jaguh handalan baru, Sun Xiang. Mereka berharap Excellent Era akan dapat bangkit semula dari kejatuhan mereka pada musim sebelumnya. Pada waktu ini, kelab itu berada pada kedudukan kedua tercorot. Tetapi musim ini baru separuh jalan, jadi semua penyokong masih berharap keajaiban akan berlaku.

Kesemua perlawanan akan bermula pada pukul 8.30 malam. Masih ada 10 minit lagi sebelum ia bermula. Selepas melayan kesemua pelanggan, Chen Guo datang ke arah Ye Xiu di meja penyambut tetamu.

"Bos," Ye Xiu segera memberikan salam.

"Saya ada tinggalkan kamu makanan," kata Chen Guo.

"Terima kasih," Ye Xiu pergi mendapatkan makanan tersebut.

"Kamu siarkan perlawanan Excellent Era?" Ye Xiu berbual dengan Chen Guo sambil makan.

"Ya," Chen Guo mengangguk. 

"Mereka lawan siapa?" tanya Ye Xiu.

"301," jawab Chen Guo.

"Oh," Ye Xiu mengangguk. Dia memang jauh lebih mengenali pasukan-pasukan profesional berbanding Chen Guo. 301 ialah nama singkatan bagi Pasukan 301 Degrees. Mereka kelab yang telah lama berkecimpung dalam dunia Glory. Pada musim ini, mereka berada pada kedudukan pertengahan, dan persembahan mereka agak stabil. Walaupun pasukan mereka tidak mempunyai akaun yang kuat seperti Dewa Tarung One Autumn Leaf, keenam-enam akaun mereka mempunyai kekuatan yang setara. Di antara kesemua enam watak yang dikawal oleh kapten mereka, Yang Cong, wataknya yang bernama Assassin Scene Killer memiliki Pedang Kembar Perak: Chaotic Winding Shadow Swords. Dia memiliki cara permainan yang ganas dan teratur, seorang pihak lawan yang menakutkan.

Sewaktu bahagian pertama liga, kelab Excellent Era telah dibuli-buli oleh semua kelab lain. Tetapi, mereka ingin bangkit semula dengan bantuan jaguh handalan baru. Ini merupakan perlawanan pertama Sun Xiang sejak menyertai kelab ini, jadi semua stesen televisyen memilih untuk menyiarkan perlawanannya.

8.30. Perlawanan bermula tepat pada masa. Ye Xiu sudah pun menghabiskan makanan malamnya dengan cepat. Suasana di kafe internet mula meriah. Semua orang memberikan pendapat masing-masing tentang perlawanan ini dan mengumumkan jangkaan mereka. Ye Xiu melihat Chen Guo juga berasa sangat teruja. Dia memang layak digelar salah seorang peminat Glory paling fanatik.

Perlawanan ke-20 musim kelapan Kejohanan Pakatan Profesional Glory, 301 Degrees lawan Excellent Era!

Tajuk itu muncul di skrin. Pengulas perlawanan merancakkan suasana dengan melolong seperti serigala sambil memperkenalkan tetamu jemputan hari ini: Li Yibo.

Ye Xiu sangat mengenali Li Yibo. Tidak ramai orang yang tidak dia kenali di kalangan pemain profesional. Li Yibo merupakan bekas pemain profesional, tetapi dia telah bersara empat tahun lepas. Kemahirannya dianggap sangat tinggi dan dia juga sangat mahir dalam mencipta hubungan dengan orang ramai. Sewaktu dia menjadi pemain profesional, hubungannya dengan pihak media sangat baik. Selepas bersara, dia seringkali menjadi tetamu kehormat bagi pengulas perlawanan profesional.

Pada ketika ini, Li Yibo sedang berbual dengan rancak di hadapan kamera sambil mengulas tentang kedua-dua pasukan. Fokusnya pastilah tentang perubahan terkini kelab Excelent Era, dan tentulah dia tidak dapat mengelak untuk berbicara tentang pengumuman persaraan Ye Qiu. Dengan wajah yang serius, Li Yibo menceritakan tentang pengalamannya bersama Ye Qiu suatu masa dahulu. Ye Xiu tergamam mendengarkan ceritanya itu. "Eh si jahanam, saya dan kamu tak pernah berbual lebih daripada 10 patah perkataan. Reka cerita! Terus reka cerita lagi!"

Dengan tenang, Li Yibo mencipta ceritanya sendiri. Ternyata ini skrip yang telah disediakan terlebih dahulu. Tidak lama kemudian, dia berbual kosong dengan pengulas sebelum perlawanan dimulakan secara rasmi.

301 Degrees lawan Excellent Era. Pertarungan individu: Pusingan 1. Pengenalan pemain.

301 Degrees, Pemain: Gao Jie. Watak: Stellar Sword.

Seluruh kafe dipenuhi dengan bunyi mendesis. Ada juga yang menyumpah dan melemparkan kata-kata kesat. Pada penyokong Excellent Era, mana-mana pihak lawan pun musuh mereka. Mereka tidak sabar melihat pihak lawan ini dibelasah teruk.

Seterusnya, Excellent Era, Pemain: Su Mucheng. Watak: Dancing Rain.

"OH OH OH OH, SU MUCHENG!!!!!"

Ye Xiu terkejut mendengarkan sorakan dan bunyi siulan yang begitu kuat sehingga dia hampir terjatuh dari kerusi. Chen Guo di sebelahnya menjerit dengan paling kuat sekali, sehinggakan jeritan itu seperti menusuk ke hati dan tulang Ye Xiu.

"Hebatnya reaksi mereka semua, ha ha ha…" Ye Xiu ketawa. Dia tahu Su Mucheng memang popular, tetapi adegan ini membuatkan dia melompat terkejut.

"Sudah tentulah!! Dia jaguh handalan wanita nombor satu!!" kata Chen Guo dengan bangga. Su Mucheng ialah idola utamanya.

"Jaguh handalan wanita nombor satu? Siapa kata?" tanya Ye Xiu dengan bingung.

"Semua orang kata begitu!" jawab Chen Guo.

"Itu melebih-lebih saja," kata Ye Xiu pula.

"Kalau bukan dia, siapa lagi?" tanya Chen Guo.

"Kalau berdasarkan kemahiran, pemain wanita paling handal sepatutnya Chu Yunxiu," jawab Ye Xiu.

"Chu Yunxiu dari pasukan Misty Rain?" tanya Chen Guo lagi.

"Ya, betul,"

Chen Guo berfikir sejenak. Tetapi, perlawanan sudah bermula dan fikirannya serta-merta melayang. Dia menjerit "OH OH OH SU MUCHENG" sekali lagi, seolah-olah idolanya itu boleh mendengar suaranya.

"Dia ini memang fanatik!!" kata Ye Xiu dengan terkejutnya. Ye Xiu terfikir, jika dia memanggil Su Mucheng untuk berkunjung ke kafe internet ini, adakah Chen Guo akan terlalu teruja sehingga membakar kafe internet demi meraikan kedatangan Su Mucheng?

avataravatar
Next chapter