94 Kesilapan pada Saat Genting

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Kekalahan pada perlawanan pusingan kedua tadi tidak dapat dielakkan, tetapi 301 sentiasa mensasarkan kemenangan pada akhirnya. Persembahan memberangsangkan pada perlawanan berkumpulan akan membawa mereka kepada kejayaan. Perkara paling penting dalam perlawanan ini ialah pada pusingan terakhir. Kadangkala kemenangan bukan segala-galanya, kekalahan juga penting!" kata Ye Xiu. 

Chen Guo tergamam. Kebiasaannya, dia berasakan yang analisis dari pengulas dan tetamu kehormat sudah sangat hebat. Tetapi setelah mendengar kata Ye Xiu, dia berasakan yang kata-kata pengulas dan tetamu kehormat langsung tidak penting. Adakah pengulas dan tetamu kehormat sengaja tidak membuat analisis yang kukuh demi meningkatkan rasa berdebar-debar pada penonton? Atau adakah Ye Xiu berada pada tahap yang terlalu tinggi? Chen Guo tidak pasti, tetapi mendengarkan tentang kelajuan tangan di luar kawalan dan sebagainya… ia terasa seperti sebuah fantasi. Ye Xiu bukan sekadar mengarut sahaja, kan? 

"Orang muda! Mereka belum mencapai tahap yang diperlukan lagi," Ye Xiu menggeleng-geleng kepala dan mengeluh.

Chen Guo merenung pada perlawanan dengan bingung. Pada ketika ini, seluruh kafe internet terdiam membisu, sama seperti sewaktu Excellent Era tewas pada pusingan pertama. Semua orang berasa gugup melihatkan pasukan kegemaran mereka. Mereka tidak sama dengan Chen Guo. Chen Guo yang telah mendengar analisis Ye Xiu telah membuat kesimpulannya sendiri tentang pertarungan ini, tetapi para penonton masih berharap yang Excellent Era akan dapat menyerang balas.

Malangnya, harapan mereka tidak menjadi kenyataan. Di tengah-tengah jeritan Pan Lin, Dancing Rain telah tumpas. Walaupun mereka boleh memanggil pemain keenam untuk masuk menggantikannya, pemain tersebut harus muncul di sebuah kawasan yang ditentukan. Su Mucheng tidak dapat menahan serangan Scene Killer sehingga pertukaran itu dilakukan.

Setelah Dancing Rain terbunuh, pemain keenam Excellent Era masuk ke gelanggang secara automatik. Dia juga tahu keadaan tidak baik jadi dia bergegas untuk menyelamatkan semua orang.

Ulasan Pan Lin tidak pernah berhenti. Melihatkan pemain keenam Excellent Era masuk ke gelanggang, dia segera berkata: "Bagus! Pemain keenam Excellent Era sudah masuk. Pemain yang masuk ialah… Merciless Magic milik He Ming, dia seorang pemain kelas Elementalist. Jurulatih Li, kamu rasa He Ming boleh mengubah keadaan Excellent Era sekarang?" 

"Ya, pemain keenam selalunya boleh mengubah keadaan sesebuah pertandingan. Tetapi, pertukaran ini bukannya dilakukan dengan rela oleh Excellent Era. He Ming terpaksa masuk kerana Su Mucheng telah tewas. Ini masalah bagi mereka. Tambahan pula, 301 pasti sudah bersedia menghadapi pertukaran ini. He Ming pula bukanlah seorang pemain kelas atasan. Merciless Magic juga sama. Saya khuatir, bergantung kepada dia untuk mengubah keadaan bukanlah sesuatu yang realistik," kata Li Yibo.

"Jadi, apa yang kamu rasa dia harus lakukan?" tanya Pan Lin.

"Dia harus terlebih dahulu menyelaraskan diri dengan ahli pasukan yang lain. Ini sangat penting," kata Li Yibo.

"Tapi saya rasa pemain Excellent Era agak huru-hara. Saya tak tahu sama ada mereka ada rancangan tentang apa yang harus dilakukan," kata Pan Lin.

"Sun Xiang tetap memainkan peranan paling penting. Saya rasa persembahan individu dia terlalu menyerlah. Mungkin dia terlalu diagung-agungkan sehingga sekarang, ini menyebabkan dia berasa yang dia jauh lebih hebat dari kesemua anggota pasukannya yang lain. Ini juga menyokong apa yang saya katakan terlebih dahulu. Sun Xiang baru sahaja menyertai Excellent Era beberapa hari lepas. Dia masih belum menyesuaikan diri!" Li Yibo menggunakan salah satu kemahirannya lagi. Dengan menyebut tentang teorinya yang Sun Xiang belum menyesuaikan diri dengan One Autumn Leaf, dia telah menjawab soalan yang diajukan kepadanya dan juga membuatkan dia kelihatan bijak dan profesional pada masa yang sama.

Tidak ada sesiapa yang tahu sama ada Pan Lin telah ditipu atau tidak. Apa-apa pun, dia tetap memuji Li Yibo, seolah-olah mengatakan yang Li Yibo sentiasa betul.

Pada ketika itu, Chen Guo berpaling dan melihat ke arah Ye Xiu dengan terkejut. Apa yang dikatakan oleh tetamu kehormat itu sama sekali dengan apa yang dianalisa oleh Ye Xiu. Tetamu kehormat itu mengatakan yang pasukan Excellent Era sedang menghadapi masalah kerana Sun Xiang belum menyesuaikan diri, Ye Xiu pula berkata yang masalah itu disebabkan oleh strategi yang digunakan oleh pihak lawan.

"Bagus! Seterusnya, mari kita lihat jika He Ming mampu mengubah keadaan untuk Excellent Era," Pan Lin terus mengulas perlawanan itu. Chen Guo tidak bertanya lebih lanjut. Walaupun idolanya Su Mucheng telah tewas, dia masih menaruh harapan kepada penggantinya, He Ming.

"Mara mara mara!!" para penonton di kafe internet berfikir di dalam hati, tetapi tidak ada yang menjerit. Mereka seolah-olah risau yang para pemain akan mendengar mereka dan terganggu.

Satu-satunya bunyi yang kedengaran di kafe internet itu ialah bunyi pertarungan dan ulasan. Apabila He Ming masuk ke gelanggang, dia mengeluarkan kemahiran ilmu sakti tidak henti-henti setelah belajar dari kesilapan Su Mucheng. Ini menyukarkan Scene Killer yang harus berada dalam jarak dekat untuk menyerang, tetapi He Ming menggunakan segala kemahirannya untuk menghalang dia daripada mendekati. Dengan mengekalkan rentak ini, He Ming menuju untuk bergabung semula dengan kesemua rakannya yang lain.

Persembahan He Ming dipuji oleh Li Yibo. Para penonton di Kafe Internet Gembira mula berasa resah sekali lagi. Mereka seolah-olah melihat sinar harapan semula dan suasana kembali ceria.

Tetapi, apabila He Ming baru sahaja hendak bergabung dengan rakan-rakannya, kedengaran bunyi letupan. Tayangan di projektor besar tiba-tiba hilang, begitu juga kesemua komputer di kafe internet itu. Beberapa lampu yang menyala juga terpadam. Seluruh kafe internet gelap.

Keadaan menjadi riuh rendah! Para penonton yang teruja naik marah dan mengeluarkan pelbagai bunyi. Ada juga yang menjerit dengan kuat dan bertanya: "Pengurus kafe!! Apa yang terjadi?"

Di tengah-tengah jeritan itu, lampu kecemasan kafe internet menyala dan keadaan terang semula. Sebaik sahaja lampu kecemasan itu menyala, barulah mereka semua sedar yang ada gangguan bekalan elektrik.

"Macam mana boleh terjadi?" Chen Guo menuju ke luar untuk melihat lampu jalanan. Ia semua masih terang menyala.

Beberapa pelanggan menunggu dengan sabar. Ada yang masih bertanya tentang apa terjadi dengan kuat. Ada juga yang segera bangun dan beredar.

"Adik Li, pergi periksa pemutus litar!" Chen Guo memanggil pengurus kafe itu untuk melihat keadaan. Pada ketika itu, para pelanggan di tingkat dua juga turun untuk bertanya.

Adik Li segera kembali: pemutus litar masih dalam keadaan baik. Dia tidak tahu apakah masalahnya.

Chen Guo berasakan yang dia tidak boleh melakukan apa-apa selain menunggu orang untuk datang membaiki. Sebaik sahaja semua pelanggan mendengar berita itu, mereka bergegas ke meja penyambut tetamu untuk membayar yuran dan beredar.

"Tak ada elektrik, macam mana mereka semua nak bayar?" Ye Xiu berdiri di tepi meja penyambut tetamu. Oleh kerana semua pelanggan bergegas datang, dia tersangkut di situ dan harus bertanya pada Chen Guo.

"Bayar secara manual lah, macam mana lagi?" Situasi Chen Guo sama seperti Ye Xiu. Dia juga tersangkut di meja penyambut tetamu. Selepas menjawab soalan Ye Xiu, dia memalingkan kepala dan menjerit: "Jangan berhimpit-himpit!! Beratur seorang demi seorang!!"

Seorang pelanggan yang terhimpit di belakang Chen Guo berasa malu: "Saya tak boleh buat apa-apa, bos. Saya tak boleh bergerak, tengok sendiri,"

"Kalau kamu cuba bersandar pada tubuh saya sekali lagi, saya bunuh kamu!!" Chen Guo mengugut.

Pelanggan itu seorang yang baik hati. Dia bukan bersandar dengan sengaja. Selepas diugut Chen Guo, dia terpaksa menahan kesemua para pelanggan yang berasak-asak seakan-akan dia adalah Zhang Wuji menentang enam sekta utama. (Nota penterjemah: Zhang Wuji watak yang sangat popular dalam novel Cina 'The Heaven Sword and Dragon Saber'). Pelanggan itu kesakitan dan berasa perit sekali.

Syukurlah, sekarang waktu petang dan ada ramai pekerja di kafe internet. Mereka semua masing-masing menolong para pelanggan untuk menyelesaikan bayaran.

Chen Guo mencuba untuk menghimpit dirinya menuju ke bahagian belakang meja penyambut tetamu, tetapi gagal. Dia melihat Ye Xiu juga sedang berasak-asak. Setelah berhempas pulas, dia berjaya mengeluarkan sebelah tangannya. Dan… di tangannya ialah sebatang rokok!!!

"Kamu nak merokok sekarang???" Chen Guo melihat Ye Xiu meletakkan rokok ke mulutnya dan naik marah! Manusia jenis apa Ye Xiu ini?

"Apa lagi saya nak buat?" tanya Ye Xiu. Memandangkan dia tidak ada pemetik api, dia memanggil gadis di meja penyambut tetamu: "Mari sini, mari sini. Tolong saya nyalakan rokok,"

"Jangan layan dia!!" kata Chen Guo.

Gadis itu mendengar kata bosnya dan tidak mempedulikan Ye Xiu. Tetapi akhirnya, salah seorang pelanggan datang dan berkata: "Abang, saya ada pemetik api,"

"Terima kasih, terima kasih!!" Ye Xiu mengambil pemetik api itu dan menyalakan rokoknya. Selepas menghembus, dia melihat ke arah Chen Guo. Chen Guo hendak muntah darah. Sementara Ye Xiu sedang merokok dengan gembira, dia sedang terhimpit sehingga dadanya seakan-akan hendak dilenyekkan.

Nasib baik, keadaan kembali tenang tidak lama kemudian. Chen Guo mengeluh apabila berjaya sampai ke belakang meja penyambut tetamu. Ye Xiu juga sama, tetapi dia tidak berbuat apa-apa dan terus merokok sahaja.

Chen Guo sibuk menyelesaikan kesemua bayaran para pelanggan secara manual. Melihatkan Ye Xiu masih merokok dengan selesa, dia segera mengarahkan: "Pergi panggil pembaiki datang,"

"Apa nombor dia?" tanya Ye Xiu.

"Cari sendiri," Chen Guo menyerahkan telefon bimbitnya.

Ye Xiu mengambil telefon bimbit itu dan membuka senarai hubungan. Pembaiki 1, Pembaiki 2, Pembaiki 3, Pembaiki 4….

"Pembaiki yang mana satu?" Ye Xiu bertanya.

"Empat…" jawab Chen Guo.

"Bos, kamu genius," Ye Xiu memuji. Dia menghubungi Pembaiki 4. Pembaiki itu bertanyakan tentang keadaan di sana, meminta alamat dan memberitahu yang dia ada seorang pekerja berhampiran dan boleh datang dengan cepat.

Setelah memutuskan panggilan, Ye Xiu memberitahu Chen Guo tentang situasi terkini. Chen Guo hanya mengangguk dan tidak berkata apa-apa lagi.

Para pelanggan akhirnya diselesaikan semuanya. Setelah mendengar yang pihak kafe internet telah memanggil tukang elektrik, beberapa orang pelanggan yang ketagih memilih untuk menunggu dan tidak beredar. Tetapi jumlah mereka sedikit sahaja. Kebanyakan pelanggan sudah pun pergi. Chen Guo sedar yang biarpun tukang elektrik akan datang untuk memulihkan keadaan, dia tidak tahu pukul berapa mereka akan selesai. Dia melambai-lambaikan tangannya untuk memberitahu kesemua pekerja yang mereka boleh pulang awal hari ini. Para pekerja yang sedang bekerja terus pulang. Mereka sememangnya tidak peduli tentang keadaan kafe itu!

Sementara itu, Ye Xiu kelihatan bimbang. Dia berlari ke luar dari semasa ke semasa untuk melihat di sekelilingnya. Ada pelanggan yang turun dari tingkat atas dan bertanya: "Apa yang terjadi?"

"Tak ada apa, elektrik putus," Chen Guo mendengar suara itu dan tahu yang itu suara Tang Rou.

"Ah? Elektrik putus? Boleh baiki tak?" Tang Rou bertanya.

"Ada orang yang akan datang. Tapi sudah lama saya menunggu, dia belum muncul lagi!" kata Chen Guo.

"Betul ke? Kenapa dia tak sampai lagi!" Tang Rou keluar dan terserempak dengan Ye Xiu yang baru sahaja selesai merokok di luar. Chen Guo melihat mereka berdua. Mereka sama sekali! Mereka sangat mengambil berat tentang kafe internet ini. Chen Guo berasa gembira di dalam hati. Selepas keluar dan masuk semula, Tang Rou bertanya Ye Xiu dengan nada kecewa: "Kalau tak ada elektrik, kita tak boleh menaikkan tahap?"

"Betul!" Ye Xiu juga mengerutkan keningnya dengan risau: "Ini saat yang sangat genting di mana saya perlu cepat-cepat menaikkan tahap ke tahap 25. Bos, kenapa kafe internet yang teruk ini perlu membuat kesilapan pada saat genting?"

"Kamu berdua pergi masuk bilik dan tidur!!!" Chen Guo menghentak kakinya dengan marah.

avataravatar
Next chapter