31 Ini Bakat Sebenar

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Hai! Izinkan saya memperkenalkan diri. Saya Blue River dari persatuan Blue Brook. Akaun utama saya adalah Blue Bridge Spring Snow!"

Setelah permohonan persahabatannya diterima oleh Ye Xiu, Blue River serta merta menghantar mesej ini. Dia tidak memberikan mesej ringkas seperti "Adakah awak ada di situ?", sebaliknya memilih untuk terus memperkenalkan dirinya. Tindakan seperti ini biasanya dilakukan oleh seorang yang sangat yakin pada diri sendiri.

"Oh, hai," jawab Ye Xiu ringkas. Dia sudah berada dalam komuniti Glory selama sepuluh tahun, maka sudah tentulah dia mengenali nama Persatuan Blue Brook, salah satu daripada tiga persatuan terulung. Tetapi Ye Xiu tidak pernah mendengar tentang Blue Bridge Spring Snow. Lain pula ceritanya jika disebut tentang Huang Shaotian dan Santo Pedang Troubling Rain miliknya, sudah pasti itu lebih dikenali oleh Ye Xiu.

Blue River tidak menyedari yang dia sedang berbual dengan seorang jaguh yang jauh Lord Grim mengenali siapakah dia. Dia cuba untuk menenangkan keadaan dan bertanya,

"Abang sedang buat apa tu?"

"Membereskan dungeon," jawapan Ye Xiu masih ringkas. Dia tidak berminat untuk berbual panjang. Pada masa yang sama, Lord Grim dan Chasing Haze sudahpun memasuki Hutan Hijau semula.

"Oh begitu. 'Dungeon' mana, abang?" tanya Blue River.

"Hutan Hijau," jawab Ye Xiu.

Blue River tercengang selama 5 saat. Kemudian, dia meneka tentang satu-satu penjelasan yang logik.

"Abang sedang membantu kawan untuk menaikkan tahap ke?"

"Boleh kata begitulah…." jawab Ye Xiu.

"Oh macam itu. Abang, kami kekurangan orang di Hutan Fros. Abang berminat nak menyertai kami tak?" kata Blue River.

"Oh, kenapa saya pula?" tanya Ye Xiu.

"Kenapa kamu ya? Bagus soalan itu!" kata Blue River dalam hati.

"Kerana kamu ialah orang yang mencuri dua 'first clear' dari kami di dalam Gua Labah-Labah! Kamulah orangnya yang membuatkan kami semua marah dan malu dalam masa yang sama!" sambungnya di dalam hati sekali lagi.

Fikiran Blue River mengimbas kembali maklumat yang diperolehnya beberapa hari lalu. Pertama sekali, salah seorang ahli kumpulan Lord Grim telah melontarkan fitnah terhadap Lord Grim sendiri apabila berjaya mendapat 'first clear' dengan menewaskan Midnight Phantom Cat. Namanya adalah Sleeping Moon. Dia menegaskan yang Lord Grim telah sengaja menyebabkan kematian semua ahli kumpulannya yang lain demi membolot ganjaran seorang diri. Tetapi tidak lama kemudian, mereka berdua membentuk kumpulan yang sama sekali lagi! Dengan kumpulan ini, mereka mendapatkan 'first clear' sebanyak dua kali di Gua Labah-Labah pula! Sama ada mereka ini sebenarnya kawan rapat ataupun musuh dalam selimut, tidak ada siapa pun yang tahu!

Jika mereka mampu mendapatkan 'first clear' sebanyak dua kali, pastilah kekuatan kumpulan mereka tidak boleh dipandang rendah. Tambahan pula, Blue River dapat menjangka yang Lord Grim pastinya merupakan pemain utama di dalam kumpulan itu, pemain yang menjadi sumber kekuatan semua ahli yang lain. Teorinya ini diperkuatkan lagi apabila dia melihat aturan pemain dalam kumpulannya. Sewaktu 'first clear' yang pertama di Gua Labah-Labah, ketua kumpulannya adalah Sleeping Moon. Tetapi sewaktu menewaskan Maharaja Labah-Labah, ketua kumpulannya bertukar kepada Lord Grim pula.

Status ketua kumpulan bukanlah sesuatu hal yang boleh dimain-mainkan. Ketua kumpulan mempunyai kuasa untuk menendang keluar pemain dan mengaturkan posisi masing-masing. Tidak mungkin kumpulan mereka memberikan status sepenting ini kepada seorang yang dituduh sebagai pembolot ganjaran. Semua tanda-tanda ini menunjukkan betapa pentingnya Lord Grim terhadap kumpulan mereka. Tanpa dia, mustahil mereka berjaya mendapatkan 'first clear' sebanyak dua kali!

Sudah tentunya pemain ini merupakan bakat sebenar, dan seorang bakat yang masih belum menyertai mana-mana persatuan. Seorang bakat dari sebuah persatuan tidak akan bersendirian di dalam server baru!

Semua fakta dan maklumat ini telah dianalisa oleh pemain-pemain Persatuan Blue Brook melalui pertanyaan dan pemerhatian sepanjang hari. Akhirnya, mereka membuat kesimpulan ini.

Bak kata pepatah, bukan sukar untuk mengumpulkan seribu orang askar, tetapi teramat sukar untuk mencari seorang jeneral yang berkaliber. Seorang yang mempunyai bakat seperti ini harus diburu dari awal, sebelum dia dicuri oleh orang lain!

Kerana itulah, Blue River menghantar permohonan persahabatan sebanyak 18 kali berturut-turut. Syukurlah dia tidak pernah berputus asa dan berjaya mendapatkan perhatian Ye Xiu pada akhirnya.

Tetapi, bagaimana dia hendak menjelaskan tentang sebab dia memburu Lord Grim? Dia memutuskan untuk memberitahu yang dia perasan Lord Grim telah mendapat rekod 'first clear' sebanyak tiga kali berturut-turut di server baru ini. Dia beranggapan yang Lord Grim ialah seorang jaguh, dan sekadar ingin menjadi kawan sahaja.

"Sejujurnya, kami sedang mempersiapkan diri untuk memecahkan rekod Hutan Fros. Tetapi, kami kekurangan seorang jaguh seperti abang, seorang jaguh tahap tinggi. Kalau kita berjaya memecahkan rekod, kita akan hadiahkan senjata tahap ungu untuk abang. Macam mana? Persatuan kami hanya inginkan rekod itu sahaja,"

Blue River tidak tergesa-gesa untuk memancing Ye Xiu. Oleh kerana Ye Xiu memberikan isyarat yang dia seakan-akan tidak berminat langsung akan persatuan Blue Brook, Blue River mula beranggapan yang dia sebenarnya seorang jaguh dari persatuan pesaingnya. Mungkin dia sedang bermain secara suka-suka di server baru ini tanpa tujuan tertentu. Ataupun, dia sememangnya tidak peduli langsung tentang persatuan dan ialah bakat liar yang jarang sekali wujud!

Jika dia tergolong dalam kelompok pertama, Blue River tidak boleh berbuat apa-apa, sudah tentulah dia tidak akan berjaya memancingnya. Jika dia merupakan kelompok kedua, Blue River masih mempunyai peluang.

Kerana itulah Blue River ingin menjemput Lord Grim untuk memasuki 'dungeon' bersama-sama dengan kumpulannya. Mereka akan menjadi kawan, dan akan mempunyai peluang untuk menilai sendiri betapa hebat lelaki ini sebenarnya. Mereka harus benar-benar diyakinkan akan kebolehannya sebelum membuat keputusan untuk menjemputnya menyertai persatuan mereka ataupun tidak. Mereka langsung tidak kisah untuk memberikannya senjata kelas ungu, malah ia harga yang cukup murah jika mereka berjaya mendapatkan khidmat seorang jaguh sejati.

Mata Ye Xiu terbuka luas melihatkan jemputan ini.

"Saya tak perlukan senjata kelas ungu. Tapi, kalau boleh, saya nak sesuatu yang lain," kata Ye Xiu.

"Apa dia?" tanya Blue River.

"Bahan mentah yang jarang dijumpai," jawab Ye Xiu.

"Ha ha, nampaknya abang cukup memahami permainan Glory ini! Baik, cuba abang beritahu apa yang abang mahukan!" Blue River mula sedar yang lelaki ini bukanlah seorang yang naif. Dia tidak peduli tentang senjata-senjata biasa ataupun tahap kelas senjata tersebut. Dia tahu bahan-bahan mentah jauh lebih berharga kerana ia boleh digunakan di sebarang tahap permainan dan tidak akan jatuh harganya.

"Saya nak 72 keping Sutera Kukuh Labah-Labah", kata Ye Xiu.

"Tiada masalah," jawab Blue River dengan tenang. Sungguhpun Sutera Kukuh Labah-Labah agak jarang dijumpai, 'dungeon' awalan boleh diselesaikan tanpa sebarang batasan. Tambahan pula, bos biasa turut memberikan ganjaran sutera tersebut. Ia bukanlah sesuatu bahan yang terlalu sukar untuk dijumpai.

"Dan juga sebuah kalung Mithril Ahli Sihir Putih," kata Ye Xiu lagi.

"Okay, tiada masalah juga. Sekarang juga saya boleh bagi!" jawab Blue River sambil tersenyum. Kalung Mithril seangkatan dengan Saber yang Ye Xiu peroleh daripada Skeleton Warrior. Ianya sekadar perhiasan sahaja dan tidak bernilai. Kebiasaannya, pemain wanita menggunakannya sebagai barang kemas.

"Lagi satu. Saya nak 8 bilah Taring Serigala Putih," sambung Ye Xiu.

Kali ini, Blue River tergamam.

"Abang….mula-mula abang nak Sutera Kukuh Labah-Labah, lepas tu kalung Mithril, sekarang abang nak Taring Serigala Putih juga? Abang tak rasa abang dah melampau ke?" tanya Blue River dengan nada yang tidak gembira.

avataravatar
Next chapter