83 Hampir Mencapai Batasan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

13:24:21.

Mungkin pada pandangan kebanyakan pemain, ini hanyalah sebuah lagi rekod pada papan pendahulu. Tetapi bagi ketua Tiga Persatuan Utama iaitu Endless Night, Plantago Seed dan Blue River, mereka tidak pernah berhenti memikirkan tentang mencatatkan nama persatuan mereka pada papan pendahulu tersebut. Jadi, mereka sangat mengerti maksud rekod yang baru dicatatkan ini.

13:24:21. Walaupun rekod ini dicatatkan di server kesepuluh, ia jelas sekali merupakan rekod yang paling tinggi di antara kesemua server Glory.

Rekod ini tidak mendatangkan sebarang ganjaran, pada asalnya ia hanya wujud demi membolehkan para pemain bersaing antara satu sama lain. Tetapi kemudian, Glory telah mewujudkan sebuah sistem di mana para pemain boleh membandingkan rekod masa yang tercipta di antara semua server. Rekod terbaik sepanjang masa bagi Hutan Fros hanyalah 14:31:58. Walaupun Blue River dan pemain-pemain lain tidak dapat mengingati setiap angka dengan jelas, mereka tahu ia tidak pernah lebih rendah dari tempoh 14 minit. Tetapi sekarang, Excellent Dynasty telah berjaya memecahkan rekod tersebut dengan jarak lebih dari seminit!

Para pemain Herb Garden hanya sempat untuk meraikan kejayaan mereka selama satu minit sahaja. Para pemain Tyrannical Ambition pula langsung tidak dapat meraikan apa-apa.

Kumpulan yang diketuai Ye Xiu untuk memecahkan rekod telah pun melebihi tempoh masa 15 minit. Jelas sekali mereka telah gagal.

"JAHANAM!" Sewaktu pengumuman rekod baru itu muncul, keempat-empat pemain Tyrannical Ambition dengan kuasa serangan yang tinggi tergamam. Tidak kira betapa kuat mereka mencuba, usaha mereka sia-sia sahaja. Sepanjang pertempuran, mereka sangat berhati-hati. Tapak tangan mereka berpeluh-peluh tetapi mereka tidak berani untuk mengelapnya kerana tidak mahu melambatkan rekod biarpun buat tempoh sesaat. Tetapi sekarang? Mereka baru sahaja menyangka yang rekod Herb Garden akan dapat dipecahkan tanpa sebarang masalah, tetapi rekod 13:24:21 telah menghancurkan impian mereka.

Mereka berempat terus tergamam, tetapi bunyi pertarungan masih terngiang-ngiang di telinga. Mereka semua memulihkan diri dan melihat Lord Grim masih bertarung dengan Frost Thain.

"Abang, abang nampak tak pengumuman sistem tadi?" tanya salah seorang pemain.

"Saya nampak," jawab Ye Xiu.

"Kita dah terlambat," keluh salah seorang pemain lagi.

"Sekurang-kurangnya, kita perlu menyelesaikan 'dungeon' ini, betul?" Ye Xiu ketawa.

"Kamu masih ketawa. Memandangkan keadaan sudah jadi begini, kamu takkan dapat apa-apa ganjaran," kata salah seorang pemain sambil mula menyerang semula.

"Ya, nasib saya tak baik," kata Ye Xiu.

"Excellent Dynasty… jahanam, 13 minit, bukankah ini merupakan rekod paling tinggi di antara kesemua sepuluh server Glory?" tanya seorang pemain yang tidak begitu pasti.

"Ya! Tak pernah ada rekod yang dipecahkan dalam tempoh bawah 14 minit sebelum ini,"

"Jadi… kita jauh ketinggalan?"

"Betul, paling cepat pun kita hanya mampu menghabiskan 'dungeon' ini dalam 16 minit," kata Ye Xiu.

"Haih... " Sewaktu mereka mengeluh, Frost Thain akhirnya ditewaskan. Rekod akhir mereka adalah 17:07:66. Mereka berjaya memecahkan rekod Herb Garden yang terdahulu dan boleh dianggap sebagai rekod kedua terbaik di server kesepuluh. Tetapi rekod tempat kedua tidak memberikan apa-apa makna bagi Tyrannical Ambition.

Apabila Lord Grim dan keempat-empat pemain lain keluar dari 'dungeon', Endless Night dan rakan-rakannya masih bertarung di 'dungeon' mereka sendiri. Cold Night masih belum pulang dari membuat laporan di server lama. Di pihak lain pula, para pemain Herb Garden seolah-olah telah tercampak ke neraka setelah berada di syurga. Mereka baru sahaja meraikan rekod yang berjaya dipecahkan, tetapi muncul pula rekod baru yang mengatasi mereka sebanyak 4 minit. Mereka telah menerima tamparan besar. Tetapi, bukan itu sahaja. Tidak lama kemudian, mereka sedar yang kumpulan Lord Grim telah berjaya mengatasi rekod mereka juga. Usaha para pemain Herb Garden sia-sia sahaja.

Pada ketika itu, Plantago Seed menerima mesej daripada Blue River: "Tragedi! Memang tragedi,"

"Jahanam, 13 minit! Macam mana mereka buat? Siapa pemain yang ada di Excellent Dynasty?" Plantago Seed tidak mempedulikan ejekan Blue River. Sebaliknya, dia hendak berbincang bagaimanakah rekod sebegitu mampu diciptakan.

"Excellent Dynasty…" Blue River tidak menjawab mesej Plantago Seed. Dia hanya memikirkan nama persatuan itu.

Dia tidak mengenali persatuan Excellent Dynasty. Persatuan itu berada pada tahap yang lebih rendah berbanding Tiga Persatuan Utama, tetapi ia tetap sebuah persatuan yang terkenal. Pada masa dahulu, ia merupakan salah satu persatuan yang paling kuat. Pada ketika itu, kelab Excellent Era mendominasi Pakatan Profesional selama tempoh 3 tahun.

Betul, Excellent Dynasty, kelab yang menyokong mereka ialah bekas pasukan Ye Xiu, Kelab Excellent Era.

Pakatan Profesional merupakan kemuncak bagi komuniti Glory. Setiap tindakan kelab itu akan memberikan impak yang besar pada permainan Glory. Begitu juga dengan persatuan yang disokong oleh kelab profesional. Apabila kelab mereka meningkat naik, begitu jugalah persatuannya. Tetapi, pencapaian Excellent Era sejak kebelakangan ini tidak begitu memberangsangkan. Persatuan mereka telah jauh ketinggalan berbanding Persatuan Blue Brook, Tyrannical Ambition dan Herb Garden. Namun, mereka mempunyai asas yang kukuh. Walaupun ketinggalan, mereka tidak merosot dengan terlalu teruk. 

Di dalam server kesepuluh, Tiga Persatuan Utama terlalu sibuk bersaing antara satu sama lain sehingga tidak mempedulikan mana-mana persatuan lain. Siapa sangka Excellent Dynasty menyerang secara tiba-tiba. Sebelum ini, mereka menyembunyikan kekuatan sebenar. Nama mereka langsung tidak muncul pada mana-mana papan pendahulu. Tetapi sekarang, mereka telah menggegarkan dunia dengan pencapaian ini. Dalam sekelip mata, mereka telah memegang rekod masa penyelesaian Hutan Fros.

13:24:21!!

Mereka bukan sahaja memecahkan rekod server kesepuluh, tetapi turut memecahkan rekod sepanjang zaman Hutan Fros dalam tempoh lebih dari seminit. Adakah Excellent Dynasty bakal merampas kembali takhta mereka?

Sewaktu memikirkan perkara ini, Blue River segera teringat tentang perubahan terkini Kelab Excellent Era. Kapten pasukan generasi lama, Ye Xiu, telah bersara dan digantikan dengan jaguh handalan generasi baru iaitu Sun Xiang. Sun Xiang juga telah mewarisi akaun Dewa Tarung One Autumn Leaf. Mereka bercadang untuk membina semula reputasi dan pencapaian mereka. Adakah kemunculan semula Excellent Dynasty berkait rapat dengan perubahan Kelab Excellent Era? Jika begitu, mana mungkin pemain bertaraf biasa seperti mereka mampu bersaing dengan pemain profesional? Malah, kemungkinan besar rekod baru ini dicipta oleh pemain profesional juga!

"Mereka semua jaguh handalan," di luar 'dungeon' Hutan Fros, Ye Xiu sedang berbual dengan Endless Night yang baru sahaja menyelesaikan 'dungeon' dan juga Cold Night yang baru pulang dari server lama.

Cold Night telah membuat laporan di server lama, sama seperti Blue River. Akhirnya, sewaktu dia pulang ke server kesepuluh, dia mendapat tahu yang sebuah perkara besar telah berlaku. 13:24:21. Cold Night terkejut dengan angka itu. Dia segera berlari ke luar 'dungeon' dan terdengar pendapat Ye Xiu.

"Memanglah! Kami pun boleh teka yang mereka semua jaguh handalan," kata Endless Night.

"Mereka bukan jaguh handalan biasa. Kumpulan mereka mungkin ada sekurang-kurangnya 3 orang pemain yang bertahap profesional," kata Ye Xiu.

Cold Night dan Endless Night tergamam. Menjadi pemain profesional ialah satu tahap yang tidak mungkin dapat mereka capai. Kerana terkejut, mereka terlupa bertanya bagaimana Ye Xiu dapat meneka perkara ini dengan begitu jelas sekali.

"Rekod ini hampir mencapai batasan bagi Hutan Fros," kata Ye Xiu.

"Hampir?" Endless Night dapat menangkap kata kunci yang digunakan oleh Ye Xiu.

"Jadi maksud kamu, ini belum lagi batasannya?" tanya Cold Night.

"Mana mungkin batasan dapat dicapai dengan mudah?" Ye Xiu ketawa.

"Jadi, apa yang kamu cuba nak katakan?"

"Tunggu sehingga saya mencecah tahap 25 dan kita akan cuba lagi! Kamu semua juga cepat sikit!" kata Ye Xiu.

"Cepat sikit apa?" mereka berdua keliru.

"Ganjaran yang saya mahukan! Kamu ada masa untuk mengumpulkannya sekarang!" kata Ye Xiu.

"JAHANAM!" mereka berdua menjerit serentak. Sesuatu yang mengejutkan baru sahaja berlaku tetapi lelaki ini masih memikirkan tentang bahan mentah dan kelengkapan senjata...

avataravatar
Next chapter