14 Gua Labah-Labah (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Semua orang tunduk dan menyembah Lord Grim, termasuklah Sleeping Moon. Sememangnya harus diperakui kemahiran yang dipertunjukkan oleh Lord Grim itu adalah mustahil buat seorang watak tahap 10. Ia sangat menakjubkan!

"Abang, cara abang menggunakan semua kemahiran 'Battle Mage' ini...sangat luar biasa!" kata Seven Fields dengan ikhlas.

"Ha ha, boleh tahanlah!" Lord Grim dikerumuni oleh tujuh ekor raksasa, tetapi dia tidak berhenti-henti menikam dan menetak seolah-olah sedang memotong daging menggunakan pisau. Semua ahli lain berasa malu kerana hanya mampu melihat sahaja persembahan Lord Grim. Sungguhpun mereka semua adalah pemain berpengalaman, mereka khuatir akan menganggu rentak jika turut serta membantu menyelesaikan raksasa-raksasa tersebut. Pada asalnya mereka beranggapan bahawa Lord Grim akan menghadapi masalah untuk menyelesaikan semua musuh tanpa bantuan mereka, tetapi ternyata mereka benar-benar tersilap.

Sebaik sahaja tujuh ekor labah-labah tersebut dibunuh, kedengaran bunyi jeritan yang aneh. Bos pertama sudah pun tiba, diiringi dengan kabus tebal berwarna ungu.

"Labah-labah beracun!" jerit Seven Fields.

Kabus ungu tersebut menerpa dengan pantas dan menyelubungi kawasan yang luas. Dua orang ahli pasukan gagal mengelaknya dan terpaksa menggunakan ubat penawar serta-merta. Malangnya, nyawa mereka tetap terus berkurangan sungguhpun penawar tersebut sudah ditelan!

"Kenapa tak berkesan??" tanya mereka dengan cemas.

"Ubat penawar kamu itu berkualiti rendah," kata Ye Xiu.

"Jahanam!" kata mereka berdua serentak. Mereka benar-benar tidak menyangka akan berhadapan dengan situasi seperti ini sungguhpun sudah bersedia secukupnya. Apa gunanya mereka membuat persiapan jika ubat penawar gagal digunakan pada saat-saat genting?

Lord Grim lantas menggunakan kemahiran 'Heal' pada mereka berdua. Sebaik sahaja selesai, dia menerpa ke arah bos tersebut. Dia juga memberikan arahan kepada Sleeping Moon dan Seven Fields yang tidak diracuni.

"Seven Fields, pergi berdiri di arah jam pukul 1. Moon Moon kecil, pergi berdiri di arah jam pukul 4."

"Moon Moon kecil…" Sleeping Moon terasa seakan ingin muntah darah mendengarkan panggilan sebegitu, tetapi dia sedar ini bukanlah masanya untuk dia bertekak dengan Ye Xiu. Seven Fields pula serta-merta mendapatkan posisi berdasarkan arahan Ye Xiu.

Kabus beracun ungu tadi sudah semakin merebak. Bos labah-labah ini mempunyai saiz yang besar dan tegap. Ia sekurang-kurangnya 3 kali lebih besar dari labah-labah biasa. Sungguhpun ia lebih mudah untuk diserang jika dibandingkan dengan Midnight Phantom Cat, ia mempunyai kelebihan tersendiri iaitu tidak mudah untuk dilambungkan oleh serangan-serangan seperti 'Uppercut' misalnya.

Apabila Lord Grim menikamnya, ia tidak menunjukkan sebarang tanda kesakitan pun. Ternyata bukan mudah untuk menewaskan raksasa ini.

Tetapi Ye Xiu sedikitpun tidak gusar mahupun terkejut. Jari-jemarinya mula bergerak laju dan Lord Grim menunjukkan kombo 4 kali sekali lagi. Kali ini, labah-labah tersebut menjerit. Ia bertindak untuk menghembuskan kabus tebal sebagai balasan. Sayangnya, Lord Grim sudahpun mengundurkan diri dan mengelak daripada diselubungi kabus tersebut.

Sungguhpun raksasa ini memiliki saiz besar, kelajuannya sama pantas dengan labah-labah bersaiz biasa. Ia melompat ke arah Lord Grim, seakan-akan sebuah gunung yang ingin menghempap mangsanya. Lord Grim bergolek ke tepi untuk mengelak.

Pada saat ini, 'Moon Moon kecil' berteriak: "Helo abang! Abang suruh kita berdiri di sini supaya abang boleh berlawan seorang diri ke??" tanyanya dengan nada sinis.

"Kamu berdua gerak ke arah pukul 7 dan pukul 9!" teriak Ye Xiu ke arah ahli pasukan yang lain.

"Berapa jarak di antara kita?" tanya mereka berdua sambil berlari.

"Jarak 2 meter!" kata Ye Xiu.

Setelah mengambil posisi, kumpulan mereka telah membentuk sebuah bulatan. Mereka masing-masing masih tidak tahu apa yang sedang dilakukan. Adakah Ye Xiu sekadar memberikan mereka posisi yang sesuai untuk mereka menyaksikan dia bertarung secara solo?

Lord Grim mengelak ke kiri dan kanan sebelum akhirnya menghalakan raksasa tersebut ke arah kawan-kawannya. Mereka yang lain bersedia untuk memulakan pertarungan. Raksasa itu melompat tinggi dan menumpukan serangan ke arah Sleeping Moon. Sleeping Moon baru sahaja ingin mengelak, tetapi Ye Xiu menjerit, "Jangan bergerak!".

"Balas dendam! Pasti dia nak membalas dendam terhadap saya!" kata Sleeping Moon di dalam hatinya.

Dia tidak mempedulikan arahan Ye Xiu dan bergolek ke tepi untuk mengelakkan daripada dihempap raksasa gergasi itu. Tetapi pada saat itu, barulah dia sedar bahawa Lord Grim telah mengenakan serangan 'Sky Strike' pada arah perut raksasa tersebut. 'Sky Strike' mempunyai kuasa lambungan yang lebih kuat daripada serangan biasa. Raksasa tersebut dilantunkan ke arah lain akibat daripada impak serangan Ye Xiu itu dan jatuh tepat ke arah pusat bulatan yang dibentuk oleh empat pemain tadi.

"Seven Fields, lakukan 'Front Kick'! Pemain pukul 9, lakukan 'Lunge'. Pemain pukul 7, 'Repel'! Moon Moon kecil, cepat balik ke posisi asal kamu!" arah Ye Xiu. Menggunakan ilmu pengetahuannya, Ye Xiu sudah berjaya mengenalpasti kemahiran apakah yang paling sesuai digunakan oleh semua ahli pasukannya.

Seven Skills dengan pantas mematuhi arahannya. 'Front Kick' adalah kemahiran kelas 'Striker', ia mampu untuk menolak musuh ke belakang. Sungguhpun kesannya tidak sekuat biasa pada raksasa gergasi ini, ia masih tetap tertolak juga.

Pemain yang berada pada arah pukul 9 lantas melakukan 'Lunge'. Kemahiran kelas 'Blade Master' ini turut sama mempunyai kesan tolakan seperti 'Front Kick'. Raksasa tersebut ditolak sekali lagi. Pada saat ini, mereka semua sudah mengerti akan rancangan Ye Xiu.

Pemain yang berada di arah pukul 7 menyambung rentak dengan kemahiran 'Repel' miliknya.'Repel' adalah kemahiran kelas 'Knight'. Ia melantunkan raksasa tersebut ke arah pukul 4, iaitu posisi Sleeping Moon. Malangnya, oleh kerana kebodohan dan salah sangka, Sleeping Moon gagal untuk berada pada posisi yang ditempatkan. Sungguhpun dia cuba untuk berlari ke arah posisi asal tersebut, dia tidak cukup laju.

Niat Ye Xiu adalah untuk menjadikan raksasa labah-labah gergasi ini seperti bola snuker yang boleh dilantunkan sesama sendiri. Ye Xiu sedar bahawa semua pemain ini sudah sangat mengenali antara satu sama lain memandangkan mereka sudah bersahabat buat jangka masa yang lama. Persahabatan ini pastinya akan membentuk sebuah rentak yang stabil dan boleh digunakan untuk menyelesaikan raksasa ini dengan mudah. Sayangnya, ia dirosakkan oleh Sleeping Moon pula. Melihatkan situasi ini, Seven Fields dan 2 ahli pasukan yang lain berasa sungguh marah!

Pada saat-saat genting tersebut, di saat semua orang menyangka bahawa rentak mereka akan gagal dan raksasa labah-labah akan terlepas, Lord Grim tiba-tiba muncul di posisi pukul 4!

Semua orang terkesima. Bukankah Lord Grim berada di posisi pukul 11 tadi? Mereka tidak melihat dia bergerak walau sedikitpun, bagaimanakah dia boleh berada di posisi pukul 4 pula? Mereka semua melihat ke arah pukul 11 sekali lagi, dan betapa terkejutnya mereka apabila menyedari terdapatnya seorang lagi Lord Grim di posisi itu juga!

"Jahanam!" Seven Fields sudah mengerti.

Kemahiran Ninja Tahap 10: Teknik 'Shadow Clone'

avataravatar
Next chapter