44 Bayaran Berbeza

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"HA HA HA HA...." Seven Fields dan rakan-rakannya ketawa terbahak-bahak. Jika beberapa ketika dahulu orang ramai merenung ke arah mereka kerana Immersed Jade berteriak "Dewa!" sekuat-kuat hatinya, lebih ramai lagi orang melihat mereka semua kali ini kerana bunyi ketawa yang sangat kuat itu.

Di sebalik bunyi ketawa tersebut, kelihatan seorang pemain bernama Endless Night yang tidak henti-henti memberikan 'emoji' sedih di dalam ruangan sembang.

"Apa yang terjadi itu?" tanya semua pemain sesama sendiri, tetapi tidak ada yang tahu jawapannya. Mereka semua menghampiri kelompok pemain tersebut dan cuba untuk mencuri dengar.

Endless Night yang sedang kemarahan bertanya: "Habis, kelas apa yang kamu perlukan?"

"Saya nak tiga Elementalist api dengan kuasa serangan sakti yang lebih tinggi dari 430. Kemudian, seorang Witch dengan kemahiran Doll Shuru bertahap 22 ataupun Auto Level, serta boleh menggunakan Shadow Cloak. Teknik mereka harus mantap dan tangan mereka harus stabil, mereka tidak boleh melakukan sebarang kesilapan," kata Ye Xiu.

Endless Night terpinga-pinga. Jika mereka menggunakan tiga Elementalist, kumpulan ini pasti akan mempunyai kuasa serangan paling tinggi sekali, tetapi Elementalist mempunyai kuasa pertahanan dan jumlah nyawa yang rendah. Witch pula hanya sekadar mampu mengenakan perisai kulit, jadi kuasa pertahanannya hanya lebih kuat sedikit sahaja jika dibandingkan. Keseluruhan kumpulan akan mempunyai kuasa serangan yang kuat tetapi pertahanan yang rendah. Jika perhatian bos tertumpu pada mereka, habislah semuanya. Kumpulan ini sememangnya tidak boleh melakukan walau satu kesilapan pun.

Endless Night tidak berani untuk membantah apa yang diminta oleh Lord Grim kerana rekod 20:24:11 sekarang ini sememangnya sukar untuk dipecahkan. Jika seorang pemain melakukan kesilapan, habislah peluang mereka.

"Saya tak dapat mengumpulkan pemain sebegitu sekarang. Saya perlukan masa yang lebih lama," kata Endless Night. Sebenarnya, bukan sahaja Tyrannical Ambition, malah kebanyakan persatuan lain pun tidak mempunyai Elementalist dengan kuasa serangan sakti melebihi 430.

Serangan sakti melebihi paras 430 bermaksud mereka harus mempunyai senjata Tongkat kelas ungu bertahap 20, dan Tongkat ungu bukan mudah untuk dijumpai. Tambahan pula, Lord Grim mahukan elemen api. Tyrannical Ambition hanya mempunyai tiga senjata Elementalist berkelas ungu pada waktu ini, tetapi tiada di antaranya yang mempunyai elemen api.

"Tak ada masalah. Bila kamu dah berjaya kumpulkan ahli yang saya perlukan, hubungi saya semula," kata Ye Xiu.

"Selain itu, ada pilihan lain lagi tak?" tanya Endless Night.

"Ada. Pemain tahap 25," kata Ye Xiu.

Pemain bertahap 25 sememangnya berbeza sama sekali dari segi senjata, kemahiran dan kekuatan. Dalam server lama, rekod utama selalunya dicatatkan oleh sekumpulan pemain yang sudahpun mencecah tahap 25.

"Baiklah, saya akan tambah kamu dalam senarai kawan saya dulu," kata Endless Night.

"Okay," kata Ye Xiu.

Endless Night mula menunjukkan sisi sebenarnya. "Jadi, kita tak perlu pecahkan rekod sekarang. Kita semua boleh masuk ke 'dungeon' sekali lagi. Apa kata kamu ikut sekali?"

"Jahanam!" teriak Seven Fields dan rakan-rakannya. Lelaki ini sememangnya tak tahu malu!

"Boleh, kalau macam itu saya akan kurangkan kadar bayaran saya," jawab Ye Xiu.

"Untuk tujuan ini pun kamu nak kenakan bayaran? Takkan kamu kenakan bayaran pada Seven Fields dan rakan-rakannya juga?"

"Untuk mereka, saya tak kenakan bayaran. Tetapi mereka memberikan semua ganjaran pada saya seorang, sebagai ketua kumpulan," terang Ye Xiu.

"Itu tidak ada masalah, kami semua boleh buat perkara yang sama," kata Endless Night dengan gembira.

Seven Fields dan rakan-rakannya tidak sedap hati. Memang benar mereka memberikan semua ganjaran kepada abang jaguh mereka, tetapi mereka tahu Ye Xiu seorang yang jujur dan baik hati. Dia tidak pernah cuba merebut ganjaran yang lebih sesuai untuk digunakan oleh Seven Fields dan rakan-rakannya yang lain. Malah sewaktu di Gua Labah-Labah, dia memberikan senjata kelas Ungu kepada Sleeping Moon yang pernah bermusuhan dengannya!

"Seperti yang kamu boleh lihat, saya masih belum memilih kelas, jadi saya nakkan semua ganjaran. Semua sekali," kata Ye Xiu.

"Ganjaran kecil sebegitu tak ada masalah. Jom semua, kita masuk!" arah Endless Night kepada teman-temannya. Akhirnya, Ye Xiu meninggalkan kumpulan Seven Fields dan menyertai kumpulan Endless Night. Kumpulan ini menggunakan komposisi biasa iaitu seorang 'Main Tank', seorang 'healer' serta tiga orang yang bertanggungjawab melakukan serangan. Setelah Lord Grim menyertai kumpulan, Endless Night memberikan posisi ketua kumpulan kepadanya.

"Mari! Ye Xiu mengarahkan Lord Grim ke dalam 'dungeon'.

"Jom!" Endless Night memimpin tiga orang kawannya. Dia cukup gembira dengan apa yang telah berlaku. Dia tidak berminat untuk memecahkan rekod, dia hanya mahu melihat sejauh mana kekuatan Lord Grim.

Salji dan ais berterbangan di Hutan Fros. Suasana senyap sunyi. Mereka berlima hanya berdiri dalam satu barisan dan tidak ada seorang pun yang bergerak atau bercakap.

"Hey hey!" Endless Night seolah-olah mencuba fon kepalanya.

"Kamu 'hey' apa?" tanya Ye Xiu.

"Kenapa diam saja?" tanya Endless Night pula.

"Kamu tanya siapa?" kata Ye Xiu.

"Saya tanya kamulah!" jawab Endless Night.

"Kenapa saya perlu bercakap?" kata Ye Xiu.

"Untuk memimpin kamilah!" Endless Night menjawab dengan geram

"Eh saya kena pimpin kamu semua ke?" tanya Ye Xiu lagi.

"Ya, saya nak kamu pimpin kami!" kata Endless Night.

"Mana bayaran pemimpin?" tanya Ye Xiu.

Suasana serta-merta menjadi kecoh.

"Abang, janganlah melampau sangat!" kata Endless Night.

"Ha ha," Ye Xiu hanya ketawa.

"Berapa banyak yang abang perlukan sebagai bayaran pemimpin?" Endless Night sedar yang dia sedang berurusan dengan seseorang yang cukup sukar.

"Saya nak 10 helai bulu kejur Serigala Putih!" jawab Ye Xiu.

"Abang, melampaulah!" teriak mereka berempat serentak. Bulu kejur Serigala Putih berbeza dengan bulu biasa Serigala Putih. Bulu kejur hanya boleh didapati dengan menewaskan bos tersembunyi Hutan Fros iaitu Serigala Putih sendiri. Ia bahan mentah yang sangat jarang dijumpai.

"Kalau macam tu, saya takkan memimpin!" kata Ye Xiu.

Endless Night berfikir sebentar. Jika dia ingin melihat kebolehan sebenar Ye Xiu, Ye Xiu harus diberikan tugas untuk memimpin. Oleh itu, dia tidak mempunyai pilihan lain. "Baiklah, tapi saya hanya akan berikannya pada kamu selepas kita keluar dari 'dungeon'. Saya tak bawa bulu kejur bersama saya sekarang,"

"Bolehkah saya percayakan kata-kata dia?" tanya Ye Xiu kepada tiga orang ahli yang lain. Persatuan-persatuan besar tidak akan mungkir janji, misalnya Persatuan Blue Brook dan ketuanya Blue River. Tetapi Ye Xiu agak ragu-ragu dengan pemain seperti Endless Night ini.

"Kamu boleh percayakan dia," jawab ahli kumpulan yang lain.

"Baiklah kalau begitu!" jawab Ye Xiu.

"Kalau macam itu, cepatlah bergerak!" kata Endless Night.

"Okay, Main Tank, kamu tarik semua raksasa. Pemain serangan, bersedia untuk menyerang. Healer, kamu sembuhkan Main Tank," arah Ye Xiu.

Mereka berempat terpinga-pinga dan langsung tidak bergerak.

"Itu sahaja arahan kamu?" tanya Endless Night.

"Sudah tentu,"

"Pimpinan jenis apa ini?" Endless Night seakan-akan hendak pengsan.

"Kamu semua kan pemain handalan. Kamu tahu apa yang patut dilakukan," kata Ye Xiu.

Endless Night berasakan seolah-olah tertipu. Jika sekadar diberikan arahan ringkas dan mudah seperti itu, mereka tidak perlukan pemimpin pun! Tak boleh! Dia harus memastikan bayaran sepuluh helai bulu kejur itu berbaloi!

"Tak boleh, tak boleh. Kamu harus berikan tunjuk ajar langkah demi langkah," kata Endless Night.

"Okay…..beginilah. Knight, kamu tarik dua ekor Goblin di arah jam pukul 10. Akan ada tiga kemungkinan. Jika mereka berdua menggunakan serangan jarak jauh, kamu harus dekati mereka secepat mungkin. Jika kamu diserang sewaktu menghampiri mereka, gunakan Descending Phoenix Hammer. Kamu akan dapat melompat untuk mengelak serangan itu dan gelombang yang dihasilkan akan melambungkan mereka berdua. Bila kamu sudah berada dalam jarak dekat, tarik perhatian mereka dengan berhati-hati. Jika seekor menggunakan serangan jarak dekat dan seekor lagi serangan jarak jauh, gunakan Falling Star Hammer untuk mengganggu Goblin yang menggunakan serangan jarak jauh. Bila Goblin yang menggunakan serangan jarak dekat datang menghampiri, gunakan Repel. Tarik perhatian Goblin yang menggunakan serangan jarak jauh terlebih dahulu. Jika ada dua ekor yang menggunakan serangan jarak dekat, gunakan Descending Phoenix Hammer kemudian gunakan Repel ada salah seekor daripadanya. Tarik perhatian seekor lagi yang tidak dikenakan Repel. Faham?" terang Ye Xiu dengan cukup panjang lebar.

Pemain kelas Knight tersebut menangis. "Kamu berikan arahan panjang lebar sampai macam ini sekali. Kamu ingat saya bodoh ke?"

avataravatar
Next chapter