"Dragon Tooth telah menghalang serangan lawan, Sun Xiang mula menyerang balas!!"

"Itu serangan Neutral Chaser daripada Dragoon Tooth tadi… Ah, malangnya. Pedang berkembar Scene Killer telah menghalang. Tetapi, asalkan Chaser meletup, efek tambahan akan berlaku. Sekarang ini, kelajuan pergerakan One Autumn Leaf telah meningkat."

"Sky Strike, Full Swing, Normal Stab, Double Stab…"

"Scene Killer berjaya mengelakkan semuanya, tetapi nampaknya keadaan semakin sukar buatnya, betul tak Jurulatih Li?" Pan Lin berasakan yang Li Yibo tidak mengatakan apa-apa buat jangka masa yang lama, jadi dia perlu mengutarakan sebuah topik untuk dibincangkan.

"Ya…" Li Yibo bersetuju dengan rasa keberatan.

Pan Lin dapat berasakan yang ada sesuatu tidak kena pada Li Yibo. Pertarungan ini sangat sengit. One Autumn Leaf milik Sun Xiang sedang menggunakan seragan biasa demi melengah-lengahkan masa sementara kesemua kemahirannya berada dalam keadaan 'cooldown'. Dia menyerang tanpa henti. Walaupun dia tidak dapat mengenai sasaran setiap kali, Scene Killer telah ditekan sehingga tidak berpeluang untuk menyerang balas.

Scene Killer telah beberapa kali menerima pukulan daripada One Autumn Leaf. Sementara nyawa Scene Killer terus berkurangan, kemahiran One Autumn Leaf mencipta lima Chaser yang terbang keluar dan meletup. Kesemua efek tambahan daripada Chaser itu memperkuatkan dirinya dan dia jelas menunjukkan keistimewaan Battle Mage iaitu 'semakin lama berlawan, semakin kuat'.

"Nampaknya Sun Xiang sangat menyesuaikan diri dengan One Autumn Leaf, betul tak?" Pan Lin berkata sedemikian memandangkan tetamu kehormatnya masih lagi tidak bercakap apa-apa.

"Ya…" Li Yibo hanya berkata sepatah perkataan sekali lagi.

"Dia layak digelar seorang pemain baru yang berbakat besar. Jurulatih Li, adakah kamu rasa kemahiran Sun Xiang sudah mencecah tahap tertinggi?" Pan Lin bertanya.

"Ini…susah nak kata. Kesemua jaguh handalan kelas atasan Pakatan Profesional menggunakan akaun tahap 'Dewa', tetapi ini kali pertama Sun Xiang menggunakan akaun bertahap sebegini, jadi saya perlu melihat lebih lanjut lagi sebelum membuat penilaian." Li Yibo akhirnya memulihkan diri. Dia terkedu tadi kerana kemahiran Sun Xiang jauh mengatasi ramalannya. Dia tiba-tiba berasakan yang dia sudah ketinggalan zaman. Kebelakangan ini, dia muncul dalam program Glory setiap hari dan bercakap besar tentang kebolehannya membincangkan kekuatan para pemain. Tetapi, sudah berapa lama dia tidak bermain Glory? Adakah bakat dunia Glory pada hari ini sudah mencecah tahap yang begitu mengagumkan sekali?

Apabila dia memikirkan ulasannya selama ini, ada beberapa bahagian yang dia kurang faham dan terpaksa beralih kepada topik lain. Tetapi, kali ini Sun Xiang benar-benar mengejutkannya. Dia sangat terkejut sehingga terlupa menunjukkan kebolehannya untuk berpura-pura faham sedangkan dia tidak faham apa-apa langsung.

Keadaan di medan pertarungan sangat berat sebelah. Analisis Li Yibo tentang kelebihan Yang Cong ternyata silap sama sekali. Dia hanya dapat melihat kehebatan Sun Xiang dan kekuatan One Autumn Leaf.

Para penonton di Kafe Internet Gembira sangat teruja melihatkan serangan tanpa henti dari Sun Xiang. Semua orang bersorak dengan kuat. Chen Guo juga turut berasa sangat teruja.

"Dewa Tarung sudah muncul!!" jerit salah seorang penonton dan kesemua penonton lain menyahut jeritan ini. Semua orang mula menjerit mengikut rentak masing-masing. Chen Guo juga turut sama menjerit sekuat hati sambil menepuk tangan.

Pengulas perlawanan sedang melakukan tugasan dengan baik, tetapi sebenarnya perlawanan ini tidak perlu diulas! Serangan bertalu-talu One Autumn Leaf tidak perlu dijelaskan kepada semua orang.

Apabila Scene Killer dibunuh oleh senjata tombak pertarungan Evil Annihilation milik One Autumn Leaf, kesemua penonton bersorak, bertepuk, menjerit dan bersiul. Ini bukan sekadar kemenangan biasa. Kemahiran Sun Xiang dalam mengendalikan One Autumn Leaf telah menghidupkan semula harapan semua peminat. Kemenangannya ini mengingatkan mereka kepada zaman kegemilangan One Autumn Leaf, sewaktu kemasyhurannya menggegarkan seluruh Pakatan Profesional.

Apabila seorang ahli kumpulan terbunuh, seorang lagi akan mengambil tempatnya. Tidak ada masa untuk berehat. Pada ketika ini, 301 menghantar seorang lagi ahlinya untuk bertarung. Malangnya, mungkin kerana dia ketakutan melihat kehebatan One Autumn Leaf dalam pertarungan sebelumnya, pemain 301 itu tidak bertarung dengan lancar. Akhirnya, dia menjadi pemain yang paling cepat ditewaskan sepanjang 5 perlawanan yang telah berlangsung.

One Autumn Leaf sudah bertarung dua pusingan, tetapi nyawanya hanya berkurangan sebanyak ¼. Pan Lin, Li Yibo dan kesemua penonton di Kafe Internet Gembira mula membincangkan dan meramal yang ini akan menjadi pertarungan 1 lawan 3. Melihatkan keadaan sekarang, ia sangat mungkin berlaku.

Pemain ketiga 301 muncul. Dibandingkan dengan pemain kedua tadi, pemain ini jauh lebih penakut. Dia langsung tidak berani bertarung dengan One Autumn Leaf dari jarak dekat. Sebaik sahaja One Autumn Leaf hendak menyerang, dia berlari lintang-pukang demi menyelamatkan nyawanya.

Para penonton di kafe internet ketawa terbahak-bahak. Pemain ketiga ini kelihatan seperti dia langsung tidak berani hendak bertarung, tetapi dia tidak mempunyai pilihan. Akhirnya dia hanya sekadar melompat-lompat di sekeliling medan pertarungan dengan comelnya.

"Dia ini memang penakut. Ha ha ha ha!" kata salah seorang penonton. Dalam sekelip mata, mereka semua telah melupakan kekalahan Excellent Era dalam pusingan individu tadi. Gelagat penakut pemain 301 ini membuatkan One Autumn Leaf kelihatan jauh lebih kuat lagi.

"Saudara Xu, kamu jangan menyusahkan saya!" Sun Xiang menghantar mesej untuk menghina pihak lawannya.

Tetapi dari mula hingga ke akhirnya, pihak lawannya itu hanya bertahan dan berlari. Sun Xiang terpaksa menghabiskan sedikit masa untuk mengejar dan membunuhnya. Tetapi, dia masih tidak berpuas hati, jadi dia menghantar satu lagi mesej: "Apa gunanya kamu lari? Akhirnya kamu dibunuh juga kan?"

Semua penonton berfikir: "Syukurlah, semuanya sudah tamat."

Pan Lin dan Li Yibo terpaksa menahan lidah mereka sepanjang pertarungan kerana mereka tidak boleh menghina pemain. Akhirnya Pan Lin berkata: "Sun Xiang menghadapi kesukaran dalam pusingan ini. Xu Bin (pemain ketiga) layak digelar "Raja Usaha"! Kesemua penonton dan kita para pengulas memang penat selepas menonton pertarungan tadi!"

"Tetapi, ini menunjukkan semangat pemain profesional. Dalam pertarungan ini, kita dapat melihat kekuatan Xu Bin," kata Li Yibo.

Mereka berdua memuji Xu Bin, tetapi sebenarnya mereka sedang mengejek pemain tersebut dalam diam.

"Okey, ada sedikit masa untuk kita berehat sebelum pertandingan berkumpulan. Mari kita tonton sorotan perlawanan tadi dan menyaksikan semula kehebatan Sun Xiang dan One Autumn Leaf menentang 3 orang pemain lawan."

Sorotan pertandingan dipaparkan, Pan Lin dan Li Yibo memberikan ulasan sedikit demi sedikit. Tempoh perlawanan Sun Xiang menentang Xu Bin mengambil masa lebih lama daripada perlawanan pusingan pertama dan kedua digabungkan. Pan Lin dan Yi Libo mengejek pemain-pemain 301 secara halus.

Setelah sorotan pertandingan selesai, masih terdapat sedikit masa sebelum perlawanan berkumpulan bermula. Iklan mula disiarkan sementara semua penonton berehat sebentar. Mereka semua pergi ke tandas, pergi minum air, pergi merokok… kesemua penonton berada di merata tempat dan membuatkan kafe internet itu kelihatan seperti sebuah pasar.

Chen Guo sudah biasa dengan keadaan ini. Dia berpaling untuk melihat pada Ye Xiu. Ye Xiu sekali lagi keluar untuk merokok di pintu masuk. Dia kelihatan seperti seorang yang kesepian apabila merokok seorang diri, disinari cahaya malam yang gelap.

Chen Guo tidak faham kenapa dia perlu merokok di luar sedangkan mereka duduk di zon merokok. Perlu ke dia berdiri di pintu dan kelihatan begitu sepi sekali? Chen Guo tidak dapat menahan dirinya. Dia pergi ke arah Ye Xiu dan memanggilnya.

"Apa kamu buat di sini?" Ye Xiu bertanya.

"Kamu buat apa berdiri seorang diri di luar ni? Mari sini dan duduk!" arah Chen Guo.

"Saya takut asap rokok saya menganggu kamu." Ye Xiu menggoncang-goncangkan rokok pada mulutnya. Dia mampu bercakap dengan lancar walaupun sedang merokok, dan rokok itu juga tidak jatuh walaupun dia membuka mulut untuk bercakap. Dia memang hebat dalam merokok.

Chen Guo tersentak. Ye Xiu sanggup keluar demi tidak mengganggu dia? Macamlah dia baik sangat!

"Kalau kamu kurangkan merokok, tak boleh ke?" Chen Guo bertanya.

Ye Xiu mengangkat tangannya dan mengambil rokok itu. Dia melempar rokok tersebut dengan tepat sekali ke dalam tong sampah. Kemudian, dia kembali masuk dan duduk.

Chen Guo hanya memandangnya dan tidak berkata apa-apa pada akhirnya. Siaran perlawanan juga sudah mula menunjukkan bahagian paling penting: pertandingan berkumpulan.

Kebiasaannya, setiap pasukan akan mempunyai 6 orang pemain utama demi memastikan yang mereka boleh bertarung pada setiap bahagian dalam sesebuah perlawanan. Pakatan Profesional Glory telah membuat peraturan yang hanya 9 orang pemain boleh disenaraikan dalam sesebuah perlawanan. Nama setiap pemain akan diumumkan sebelum perlawanan bermula. Disebabkan itu, setiap kelab mempunyai 9 hingga 11 orang pemain profesional dalam pasukan mereka. Walaupun ada juga beberapa kelab miskin yang hanya mempunyai enam orang pemain, mereka biasanya akan meningkatkan jumlah pemain tidak lama kemudian. Jika mereka hanya bergantung pada 6 orang pemain, keputusan perlawanan mereka pasti akan terjejas jika salah seorang daripada mereka jatuh sakit atau berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

Setiap kelab dalam Pakatan Profesional mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemain utama yang disokong oleh 5 orang pemain terkenal. Selain daripada keenam-enam pemain ini, semua kelab gemar untuk melatih dan mendapatkan khidmat pemain baru yang berbakat.

Ada banyak cara untuk menemui pemain baru yang berbakat besar. Ada yang menawarkan diri. Ada yang ditemui melalui perlawanan bukan profesional. Ada di antara mereka yang merupakan pemain dengan rekod menakjubkan dalam Arena Glory. Pakatan Profesional telah beroperasi dengan lancar selama hampir tujuh tahun. Mereka ada sistem yang kukuh untuk segala perkara. Dunia Glory tidak kurang hebatnya berbanding acara sukan tradisional seperti bolasepak atau bola keranjang.

Jika tidak ada apa-apa yang tidak dijangka berlaku pada keenam-enam pemain utama, ketiga-tiga bahagian perlawanan biasanya disertai oleh mereka berenam.

Begitulah juga dalam perlawanan antara 301 dan Excellent Era ini. Dalam pertarungan berkumpulan, kesemua dua belas pemain yang terlibat dengan perlawanan individu dan berkumpulan tadi akan bertarung semula.

Setelah Pan Lin memberikan sebuah jeritan yang penuh bersemangat, pertarungan berkumpulan bermula secara rasmi.

301 adalah pasukan tuan rumah, jadi mereka memilih medan pertarungan. Tetapi Pasukan Excellent Era baru sahaja memenangi perlawanan 1 lawan 3 hasil daripada kekuatan Sun Xiang, jadi kedua-dua pihak mempunyai kelebihan tersendiri. Pan Lin dan Li Yibo juga membincangkan sama ada pusingan ini akan menjadi detik perubahan nasib Pasukan Excellent Era ataupun tidak.

"Dah mula! Dah mula!" Apabila pertarungan dimulakan, Chen Guo bersama-sama dengan kesemua penonton di kafe internet bertepuk tangan.

"Jangan seronok sangat!" kata Ye Xiu.

"Kita sedang menonton pertandingan. Kalau kita tidak bersemangat, tak seronoklah. Kamu pun patut bersemangat juga!" Chen Guo putus asa dengan Ye Xiu. Dia boleh bermain sepanjang malam dan masih tidak berasa penat. Tetapi, kenapa pada waktu-waktu lain, dia kelihatan tidak bermaya? Chen Guo benar-benar tidak faham.

"Makin tinggi harapan kamu, makin besar kekecewaan nanti!" kata Ye Xiu.

"Apa maksud kamu?" Chen Guo keliru.

"Tonton saja pertarungan ini. Ia dah bermula." Ye Xiu berkata dengan tenang.

avataravatar
Next chapter