14 Permaisuri Iron Tulip

"SAYA akan selesaikan dulu masalah saya di sini sebelum saya ikut kamu kembali ke Kerajaan Iron Tulip. Betul atau tidak saya ialah Permaisuri kamu, saya tidak yakin kalau saya lulus menjadi seorang Permaisuri. Lagipun seumur hidup saya, saya hanya tahu buat kerja di bahagian rumah dan tidak pernah belajar tentang etika menjadi Permaisuri. Saya juga tidak ada pengetahuan tentang seorang Permaisuri." Aubree terus duduk di atas rumput sambil melontarkan pandangannya ke tengah kolam.

Pandangan di kolam itu sangat cantik. Bulan pada malam ini sangat cerah dan indah. Tanpa halangan dari gerumpulan awan, cahaya penuh dari bulan mengambang ini memancar ke kolam, memberikan sebuah pandangan menakjubkan. Pemandangan ini sepatutnya hanya ada di dalam lukisan saja kerana ianya terlalu indah.

[Yang Mulia jangan risau. Saya sudah hantar informasi mengenai Permaisuri kepada pengikut-pengikut Permaisuri yang lain. Mereka akan datang ke sini secepat mungkin setelah mendapat khabar itu.]

"Saya juga mempunyai pengikut saya?"

White menganggukkan kepalanya sekali dengan gerakan yang lembut. [Tentu, Yang Mulia. Semua pengikut Yang Mulia sangat setia kepada Yang Mulia dan sanggup menunggu kedatangan Yang Mulia. Mereka sekarang bersembunyi di sebuah tempat kerana Raja Kong yang menguasai Kerajaan Iron Tulip. Jika mereka tahu Yang Mulia ada di sini, mereka akan datang ke sini untuk berkumpul bersama Yang Mulia lagi.]

Aubree berfikir sejenak. 'Pengikut setia? Ini macam lebih kurang kumpulan tertera peribadi, begitu? Jadi kalau mereka ialah pengikut setia kepada Permaisuri Iron Tulip, bermakna saya boleh gunakan mereka dan jadikan mereka tentera Elf seperti yang saya inginkan.'

Aubree menganggukkan kepalanya. "Tapi saya tidak boleh tunggu kedatangan mereka sampailah mereka boleh tolong saya keluar dari kediaman Putera Ketiga itu. Sementara menunggu mereka datang, saya mahu mencuba masuk Black Market. Kamu tahu di mana Black Market yang terdekat sini?"

[Ya, saya tahu, Yang Mulia.]

"Bagus, saya mahu kamu ikut saya ke Black Market untuk mendapatkan duit. Lagipun, saya tidak pernah masuk Black Market di sini. Setidaknya, saya boleh kumpulkan informasi tentang Black market."

[Yang Mulia katakan ke mana saja Yang Mulia hendak pergi, saya akan mengikuti Yang Mulia ke mana saja Yang Mulia pergi.]

Aubree tersenyum puas setelah mendengar kata-kata White. Dia tidak menyangka kalau White ini sangat setia dengan Permaisuri Kerajaan Iron Tulip. Tiba-tiba, Aubree menjadi risau. Dia takut kalau dia bukanlah Permaisuri yang dikatakan dan jika ada Permaisuri lain yang datang, dia akan dibunuh pula nanti.

[Yang Mulia jangan risau. Saya yakin yang Yang Mulia ialah Permaisuri kami. Jika ada orang lain yang mengaku dia ialah Permaisuri sebenar, saya sendiri yang akan membunuh orang palsu itu.]

Aubree; "..."

Dia tidak menyangka pula kalau White akan tahu apa yang dia fikirkan. Sekarang dia makin risau pula kalau Aubree bukanlah Permaisuri yang diharapkan kerana White sendiri yang akan membunuh orang itu jika didapati palsu.

'Macam mana kalau saya terbukti benar yang saya ialah palsu?'

***

***

AUBREE kembali ke rumah sewa mereka. Bila Aubree masuk ke dalam, dia melihat Julie sudah duduk di katil sambil mengeringkan rambutnya dengan tuala. Aubree terpegun melihat Julie yang hanya memakai baju tidur dengan kakinya disilangkan di atas katil. Dia sedang sibuk mengeringkan rambutnya sampai tidak sedar yang Aubree sedang memerhati Julie. Aubree yang masih terkesan itu terus memerhati Julie, apalagi yang dia lihat sekarang ialah seorang Elf perempuan yang sangat cantik.

'Wah, cantiknya... Kenapa Elf semuanya terlahir cantik, ya? Kalau macam nilah, lelaki atau perempuan tentu akan cair terus!'

Julie memandang ke arah Aubree setelah sedar ada orang berdiri di pintu. Berkerut dahinya melihat Aubree masih berdiri di sana dan tiada tanda-tanda lain hendak berganjak dari sana. "Kenapa kau masih berdiri di sana? Pergi mandilah cepat. Kau keluar tadi tidak pun beritahu saya ke mana kau pergi," Julie berkata.

Aubree tersedar dari lamunan. Dia terus mencapai tuala dan terus berjalan masuk ke dalam bilik mandi. 'Hiuh, hampir saja. Kenapa saya boleh jadi keras di sana pula? Julie tu perempuan... pasal apa pula saya tenung dia macam tu?'

Setelah 15 minit berlalu, barulah Aubree selesai di kamar mandi dan keluar dari sana. Aubree bergerak ke almari pakaiannya untuk memakai baju.

"Ke mana kau pergi tadi, Aubree? Takkan kau pergi beli sesuatu di kedai pula, semua kedai kan tutup?" tanya Julie.

Aubree terdiam sekejap. Pergerakan tangannya juga terhenti. 'Nak jawab apa ya? Takkan saya nak cakap yang saya pergi jumpa dengan Harimau Bertanduk yang kami jumpa di hutan tadi? Nanti dia histeria pula.'

"Saya saja pergi ambil angin sekejap di luar. Saya tengok bulan malam ini indah, jadi apa salahnya saya menikmati malam ini," Aubree bercakap dengan lancar walaupun dia berbohong.

Julie memandang ke luar. Dia melihat bulan mengambang di langit yang memancarkan cahaya bulan yang indah. Julie mengangguk tanda percaya dengan Aubree. Dia kembali mengeringkan rambutnya.

Setelah Aubree siap memakai baju, dia berbaring di atas katil dan bersedia untuk tidur. "Selamat malam, Julie." Setelah mengucapkan selamat malam, Aubree akhirnya tertidur.

Julie memandang Aubree yang sudah nyenyak tidur itu. Dia tersenyum kecil. Setelah rambutnya kering, Julie terus berdiri untuk memadamkan api lilin sebelum bergerak naik ke atas katil. Setelah menarik selimut sehingga ke paras dada, Julie menutup mata dan dia pun tertidur.

***

***

"Hari ini saya nak keluar berjalan-jalan di sekitar desa ini. Sediakan apa yang patut," Putera Kilan memandang setiap pembantu yang berbaris di depannya.

Mendengar arahan itu, semua pembantu rumah segera melaksanakan tugas itu.

Aubree yang juga ada diantara mereka, berjalan keluar dari ruang tamu itu agar dia boleh melaksanakan pekerjaan lain yang tidak memerlukan Aubree untuk bekerja di dekat Putera Kilan.

"Kamu, tetap di sini..."

Beberapa orang pembantu rumah melirik ke arah Aubree bila Putera Kilan memerintah dia untuk tetap diam di sana. Kerana bukan mereka yang diperintah oleh Putera Kilan untuk tetap tinggal, mereka pun beredar untuk melakukan kerja mereka.

Sementara Aubree, dia baru saja melangkah dua langkah bila Putera Kilan memerintah dia untuk berhenti. 'Aduh, dia suruh pula saya berhenti. Apa lagi putera ni nak dari saya? Dia tidak ingatkah yang selama ini dia membenci 'saya' dan kalau boleh, dia tidak mahu pun memandang wajah saya lagi. Apa yang dia nak kali ini?'

Aubree memandang Putera Kilan dengan wajah tenang sedangkan di dalam hatinya, sumpah-seranah tidak pernah berhenti.

"Ya, Yang Mulia. Yang Mulia ada perlukan apa-apa?"

Putera Kilan mengerutkan keningnya ketika mendengar soalan Aubree. Dia merasa ada sesuatu yang pelik dengan soalan Aubree. 'Kenapa dia tanya begitu sedangkan dia tahu ini sebahagian dari tugas dia?'

"Kamu nak pergi ke mana?" Tenang saja suara Kilan bertanya kepada Aubree.

Soalan itu membuatkan Aubree bingung sekejap. 'Ke mana? Tentulah saya nak pergi buat kerja? Apa dia fikir saya akan melencong dan mengelak dari buat kerja?'

"Saya mahu menyediakan keperluan untuk Yang Mulia semasa Yang Mulia akan pergi keluar nanti."

"Tak perlu. Kamu hanya perlu berdiri di sini dan tolong saya bersiap."

"Baik, Yang Mulia."

Aubree menunduk hormat kepada Putera Kilan, menunjukkan yang dia akan mengikuti arahan dari Putera Ketiga itu, tapi yang sebenarnya, Aubree sengaja menunduk untuk menyembunyikan wajah bengangnya kerana arahan dari Putera Kilan.

Aubree sebenarnya mahu mengelak daripada berada di satu ruangan dengan Putera Kilan. Dia tidak mahu ada sentuhan fizikal bersama dengan Putera Ketiga itu lagi bila memikirkan tentang perasaan pemilik asal badan ini.

Aubree merasa yang citarasa pemilik asal badan ini sangatlah rendah kerana Aubree yang asal menyukai Putera Ketiga itu. Walaupun semua Elf menganggap jika Putera Ketiga ini tampan dan baik hati, tapi tidak bagi Aubree.

Aubree pun masuk ke ruang bilik tidur Putera Ketiga untuk menyediakan beberapa pakaian untuk Putera Ketiga pakai semasa keluar nanti. Dia beredar begitu saja tanpa memberikan pandangan kedua terhadap Putera Ketiga itu.

Putera Ketiga hanya merenung gelagat Aubree dari hujung anak mata. Satu perasaan yang tidak selesa kembali menceroboh ruang hati Putera itu. Dia seakan-akan merasa yang dia telah diabaikan tapi kenapa?

avataravatar
Next chapter