webnovel

Peluang

Saat ini Aubree sedang berdiri di sebuah pondok sambil menggaru-garu belakang kepalanya. Wajahnya yang nampak tidak bersalah itu hanya memandang ke arah Tuan Gildam yang sedang duduk di depannya.

Tuan Gildam pula hanya duduk di bangku. Jari telunjuknya diketuk-ketuk ke permukaan meja sambil anak matanya memandang ke bawah.

Baru hari ini Tuan Gildam pulang ke Menara Kristal setelah melakukan misi di luar kawasan tapi berita yang diberitahukan oleh salah seorang jeneral membuatkan Tuan Gildam hampir saja pengsan kerana merasa cemas.

Tuan Gildam tidak menyangka yang selama ketiadaannya, Aubree terjebak dalam masalah yang lagi teruk.

Dia hampir termuntah darah saat dia mengetahui yang Aubree sudah memecahkan gelas kesayangan milik Puteri Meliani semasa makan malam di taman Meliani.

Tuan Gildam tahu jika Aubree berani membuat masalah dengan Meliani, kedudukannya di Menara Kristal tidak akan selamat dan membaik.

Semua Elf di sini menganggap identiti Meliani sebagai seorang dewi yang menjaga Dunia Elf kerana dia adalah pemilik Kristal Kehidupan.

Sedangkan Aubree di sisi lain, hanya diketahui sebagai pemilik yang kedua dan baru saja datang ke sini. Kalau bukan kerana Kristal Kehidupan yang memilih Aubree, semua Elf akan menganggap Aubree sebagai seorang Elf yang hanya inginkan kuasa dari Kristal Kehidupan.

Tuan Gildam tahu jika ramai Elf yang masih tidak menyukai Aubree sebagai pemilik Kristal Kehidupan yang kedua kerana mereka sudah terbiasa dan lebih menyukai Meliani sebagai pemilik Kristal Kehidupan.

Jadi jika Aubree membuat sedikit saja masalah, semua Elf akan mengkritik Aubree dan kesan dari masalah ini akan lebih teruk dari yang Tuan Gildam sendiri ramalkan.

Aubree yang dari tadi berdiri sedang menunggu Tuan Gildam untuk bercakap tapi hampir sejam dia berdiri, tiada satu perkataan pun yang keluar dari mulut Tuan Gildam.

Tuan Gildam hanya merenung ke arah Aubree sambil mengetuk jari ke meja sebelum dia mengeluh setelah melihat wajah Aubree. Kemudian, dia akan memandang ke tempat lain pula seolah-olah dia merasa tidak selesa setelah melihat wajah Aubree.

Aubree tidak berhenti berfikir, 'Ada apa di muka saya ya? Takkan saya lupa cuci muka pagi ni? Kenapa Tuan Gildam nampak macam menyesal lepas dia tengok muka saya?'

"Jadi, Tuan Gildam... Ujian saya lepas ini akan diadakan di mana?" tanya Aubree.

Dia sudah tidak tahan dengan suasana sepi diantara mereka jadi dia memilih untuk membuka perbualan terlebih dulu.

Tuan Gildam memandang Aubree dengan wajah garang. "Kamu ingat masih ada yang berminat untuk menonton ujian ni? Dalam mimpi!"

Aubree terdiam kerana tidak faham. Hanya matanya yang terkebil-kebil. "Uuhh...?"

"Ujian kamu ini akan dilakukan di tengah-tengah stadium dan akan ditonton oleh semua Elf. Jika keadaan kamu sudah begini, dicemuh dan dikritik oleh semua Elf, siapa yang hendak menonton kamu dalam ujian nanti? Kamu harus membuktikan kepada semua Elf tentang kemampuan kamu agar semua Elf boleh menerima kamu lagi..."

"Sekarang ini, keadaan tidak menyebelahi kamu dan kamu harus mencari cara agar para Elf tidak membenci kamu lagi. Saya tidak mampu membantu kamu berkaitan hal-hal lain kecuali ini. Jika kamu mahu para Elf-Elf menerima kamu di tempat ini, kamu harus lulus dalam ujian ini..."

Aubree memberikan senyuman kecil kepada Tuan Gildam dengan lagak selamba. "Jangan risau, Tuan Gildam. Saya sudah berlatih dalam masa yang lama hanya untuk saat ini. Tuan Gildam hanya perlu serahkan benda lain untuk saya selesaikan..."

'Ingat saya siapa? Saya bekerja sebagai pembunuh upahan sebelum ini, takkan benda senang begini saya tidak dapat buat? Kalau ujian ini pun saya tidak lulus, biarlah tujuh keturunan saya disumpah pun tak mengapa...'

Serentak dengan itu, kepala Tuan Gildam menoleh ke arah Aubree dengan tajam. "Serahkan semua benda pada kamu? Kamu lupa, terakhir kali saya biarkan kamu urus hal kamu sendiri, kamu pula buat hal di kediaman Puteri Meliani... Jadi beritahu saya, adakah patut saya berikan satu kali lagi peluang kepada kamu?"

Mendengar suara Tuan Gildam yang sangat kuat itu, secara automatik Aubree menarik kepalanya ke belakang.

"Pasal masalah saya pecahkan gelas kesayangan Meliani itu bukan salah saya... Lagipun, kalau saya tahu gelas itu gelas kesayangan dia, sejak awal saya tidak akan guna gelas tu!" kata Aubree.

Wajah Tuan Gildam berubah menjadi merah kerana merasa marah dengan jawapan dari Aubree. "Kamu—"

Aubree cepat-cepat memandang ke tempat lain saat melihat wajah marah milik Tuan Gildam.

Melihat sikap Aubree seperti itu, Tuan Gildam tidak jadi hendak melampiaskan amarahnya. Setelah dia memikirkan apa yang dikatakan oleh Aubree, dia tahu apa yang dikatakan oleh Aubree ada betulnya juga.

Jika gelas itu ialah gelas kesayangan Meliani, tidak mungkin dia akan membiarkan sesiapa menyentuhnya dan memecahkan gelas itu.

Tapi kerana status Meliani yang tinggi, Tuan Gildam tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu mendiamkan diri. Dia tidak mahu masalah lain muncul pula.

Tuan Gildam mengeluh kesal sebelum dia memandang ke tempat lain. "Oleh kerana saya baru saja pulang dari misi saya, saya perlukan rehat yang secukupnya. Ujian kamu akan diadakan dalam masa seminggu saja lagi. Saya mahu tengok sampai mana latihan yang sudah kamu lakukan. Lusa, datang kembali ke padang latihan dengan pakaian yang sesuai..."

Aubree terus menunduk tanda mengikuti arahan Tuan Gildam. "Baik, Tuan!"

Tuan Gildam mengeluh lagi sambil mengayunkan tangannya. "Baik, kamu boleh pergi... Saya harap dalam masa beberapa hari ini kamu menjaga sikap kamu sebelum ujian itu diadakan. Saya tidak akan mampu menolong kamu atau membantu membersihkan semua masalah jika kau terlihat dalam masalah baru..."

Aubree tersenyum kecil. Dia tahu Tuan Gildam sedang merisaukan keadaannya saat ini. "Tenang, Tuan Gildam. Saya tidak akan buat masalah lagi selepas ini..."

Tuan Gildam tidak mengatakan apa-apa lagi dan hanya merenung Aubree yang berjalan sambil melompat-lompat kecil, meninggalkan pondok itu.

Sekali lagi, satu hembusan nafas yang berat dilepaskan oleh Tuan Gildam.

Next chapter