"Sebulan sahaja lagi, aku perlu gunakan masa ini untuk meningkatkan asas Pertapaan aku dengan pertarungan." Dengan berhati-hati, dia menyimpan semula cermin tembaga itu ke dalam beg sakti. Dia tahu dia perlu merahsiakan kuasa cermin itu. Jika terbongkar, cermin itu pasti akan terjatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya dan dia pasti akan terbunuh.

Dia melihat tubuhnya dan tersedar yang dirinya berlumuran dengan kekotoran. Dia hampir terlupa dengan keadaan dirinya itu kerana begitu teruja. Setelah bertenang sedikit, dia keluar dari Gua Dewa dan menuju ke anak sungai berhampiran dan mencuci dirinya dengan bersih.

Sekembalinya dia di Gua Dewa, langit mulai cerah. Lantas, dia mengeluarkan Kitab Pemekatan Qi dan mula mentelaahnya.

"Barang siapa yang berjaya menguasai peringkat kedua Pemekatan Qi, maka dapatlah dia mengamalkan Kemahiran Dewa. Barang siapa yang berjaya menguasai peringkat kelima, maka dapatlah dia mempelajari Hikmat Meringankan Badan, yang mirip Kemahiran Terbang dewa." Meng Hao memejamkan mata dan membayangkan Hikmat Meringankan Badan Pemekatan Qi peringkat kelima.

Pada saat itu, tiba-tiba dia merasakan suhu Gua Dewa telah meningkat dengan pantas. Tanpa disangka, api tiba-tiba muncul di tangan kanannya. Memandangkan dia masih berfikiran seperti manusia biasa, dia menjadi sangat teruja melihatnya dan menyebabkan api itu padam.

Meng Hao cuba menenangkan diri dan memulakan Pertapaannya serta-merta. Malangnya, setelah banyak kali mencuba sehingga matahari sudah berada tegak di atas kepalanya, dia hanya boleh hasilkan beberapa cetusan yang menyebabkan tenaga rohani di dalam badannya habis.

"Susah betul seni Ular Api ini," kata Meng Hao dengan dahi yang berkerut. Tetapi, dia seorang yang tidak mudah untuk berputus asa. Oleh itu, dia terus memulakan latihan pernafasan buat seketika dan mahu mencubanya lagi.

Siang berganti malam. Malam berganti siang. Dua hari telah berlalu. Meng Hao masih terus mencuba dan masih gagal, hinggakan dia sudah tidak berupaya lagi. Setiap kali tenaga rohaninya habis, dia akan melakukan latihan pernafasan. Dia melakukannya berulang kali sehingga keyakinannya menjadi semakin mantap.

"Mustahil aku tidak boleh lancarkan seni ular api itu!" Meng Hao menggetap gigi dan menepuk beg saktinya. Beberapa saat kemudian, Teras Syaitan muncul di dalam tangannya.

Dia tahu jika dia menelan Teras itu dan ditambah pula dengan kuasa ajaib cermin itu, dia tidak akan ada Teras Syaitan lagi untuk dibuat salinan ketika dia mempunyai Batu Rohani yang mencukupi nanti.

"Tak perlu fikir sangatlah. Paling teruk pun, aku boleh kembali memburu haiwan syaitan di pergunungan itu." Dia teragak-agak seketika, tetapi kemudian dia terus memasukkan Teras Syaitan ke dalam mulutnya dan memulakan latihan pernafasan sambil memejamkan matanya. Tenaga rohani di dalam dirinya mula meletus dan mengalir di setiap inci tubuhnya.

Masa terus beredar. Menjelang tengah hari, Meng Hao membuka matanya. Matanya bersinar terang. Asas Pertapaannya menjadi lebih kuat. Namun begitu, ia masih berada di peringkat kedua.

"Aku rasa dalam tiga atau mungkin lima kali lagi, aku boleh mencapai peringkat ketiga Pemekatan Qi." Dia berasa agak kecewa apabila menyedari yang semakin tinggi asas Pertapaan, semakin sukar untuk mencapai peringkat seterusnya. Namun, hatinya kembali dipenuhi dengan harapan ketika dia teringat tentang cermin tembaga itu. Dia menggenggam dan mengangkat penumbuknya ke udara.

Sebaik sahaja dia mengangkat penumbuknya, api mula muncul; tertumpu pada tangan kanannya dan menjadi ular api kecil sepanjang jarinya yang memancarkan kepanasan tinggi. Meng Hao dapat merasakan tenaga rohaninya telah berkurangan sebanyak tiga puluh peratus dengan sekelip mata.

Walaupun mukanya kelihatan pucat, tetapi matanya bersinar; menunjukkan dia sudah mulai faham dan mulutnya mengukir sebuah senyuman. Dia meloncat keluar dari Gua Dewa dan menghayunkan tangan kanannya. Ular Api itu tercampak lalu menghentam pokok berdekatan.

Dentuman kuat kedengaran. Seluruh pokok itu dijilat api dan dalam beberapa ketika, ia tumbang dan hangus menjadi abu.

"Aku perlu cari peluang untuk tunjukkan kemahiran ini pada Si Gempal. Dia pasti akan puji aku." Meng Hao berasa bangga dan tersenyum lebar.

Separuh purnama berlalu dan selama itulah Meng Hao memburu haiwan syaitan di pergunungan dan berlatih seni Ular Apinya. Dia berusaha lebih keras daripada mempelajari pendidikan sekularnya. Tidak lama kemudian, dia berjaya menguasai seni itu dan berjaya mengurangkan jumlah tenaga rohani yang diperlukan untuknya. Namun, ia masih memerlukan tenaga yang agak tinggi iaitu selama lebih kurang sepuluh helaan nafas.

Dia juga telah pergi ke Sekta Luaran dan cuba menggunakan cermin itu pada beberapa muridnya secara rahsia. Tetapi tiada sebarang tindak balas yang didapati. Setelah beberapa kali mencuba, Meng Hao membuat kesimpulan, cermin tembaga itu hanya boleh digunakan pada makhluk berbulu lebat. Ia agak mengecewakan, tetapi cermin itu tetap mempunyai kuasa yang lebih daripada yang dihajatinya.

Malangnya, sepanjang separuh purnama ini, dia tidak pernah terserempak dengan mana-mana haiwan syaitan, dan asas Pertapaannya hampir tidak mempunyai kemajuan. Nasibnya baik kerana setiap kali dia berlatih seni Ular Api, asas Pertapaannya akan meningkat sedikit sewaktu tempoh pemulihannya. Namun, dia tidak berani untuk berlatih di pergunungan yang liar; hanya di dalam Gua Dewa.

"Hanya tinggal sepuluh hari lagi untuk Hari Pengagihan Pil. Aku akan masuk lebih dalam lagi di pergunungan itu." Meng Hao membuat keputusan untuk bertolak awal pagi, menuju jauh ke dalam pergunungan itu.

Dia tidak berehat semasa waktu siang dan tatkala malam menjelma, dia terlupa bilangan banjaran gunung yang telah dilewatinya. Akhirnya, dia terserempak dengan haiwan syaitan berupa beruang di kaki sebuah gunung hitam.

Ketika bertarung, dia menggunakan Ular Api dan cermin tembaga yang berkuasa itu. Setelah lima letupan yang disambut dengan jeritan ngeri yang menyedihkan, makhluk itu mati dengan berlumuran darah.

Sebaik sahaja dia mahu mengorak langkah untuk masuk lebih dalam lagi setelah mengambil Teras makhluk itu, bulu romanya meremang. Tidak jauh di hadapannya telah muncul lima ekor haiwan syaitan yang berkepala gajah dan berbadan harimau. Mereka merenung tajam ke arahnya.

Dengan kuasa cermin itu, seekor haiwan syaitan memang mudah untuk ditangani. Tetapi, lima ekor adalah sangat sukar. Perlahan-lahan, dia berundur, dengan tangan kanannya memegang erat cermin itu.

Tiba-tiba, kedengaran satu ngauman yang sangat kuat datang dari arah rimbunan pokok yang melitupi gunung hitam itu. Ngauman itu semakin kuat sehingga menjadi sekuat letupan besar di udara. Riak wajah Meng Hao berubah, lantas dia melarikan diri sepantas yang mungkin. Dia berlari bagaikan tidak cukup tanah.

Dia patut bersyukur kerana lima ekor haiwan syaitan itu tidak mengejarnya dan tidak lama kemudian, dia sudah berada jauh di dalam pergunungan itu.

"Ngauman itu hampir sama dengan jeritan Pak Cik Shangguan. Nampaknya, ada banyak haiwan syaitan di dalam gunung hitam itu, malah haiwan syaitan yang lebih Dahsyat." Sambil berlari, dia berpaling ke arah gunung hitam itu dan menyedari betapa bahayanya tempat itu.

Sepuluh hari berlalu dengan pantas. Dengan menjadikan gunung hitam itu sebagai sempadan, Meng Hao terus mengembara ke dalam pergunungan itu. Namun, dia tidak terserempak langsung dengan haiwan syaitan lagi. Oleh itu, Teras Syaitan Beruang di dalam beg saktinya menjadi semakin berharga dan dia enggan memakannya lagi.

Akhirnya, Hari Pengagihan Pil telah tiba, dan suasana semakin gamat dengan gemerincing loceng. Meng Hao meninggalkan Gua Dewa dan memasuki Mazhab Luaran. Ketika dia meninggalkan mazhab itu sepurnama yang lalu, asas Pertapaannya berada di peringkat pertama Pemekatan Qi. Kini, ia telah meningkat ke peringkat kedua. Walaupun masih belum dapat mencapai peringkat ketiga, jika cermin tembaga itu berkesan seperti yang dibayangkannya, dia pasti akan mencapai kemajuan dalam masa singkat.

Dengan sikap dirinya yang masih takut menghadapi kekalahan, Meng Hao memasuki Dataran Pengagihan Pil. Ramai murid memandang dan mengecamnya sebaik sahaja dia melangkah masuk.

Tindakannya sepurnama yang lalu telah mengejutkan Sekta Luaran. Walaupun peringkat Pertapaannya rendah dan sepurnama telah berlalu, perkara itu masih lagi menjadi sebutan ramai.

Kali ini, pengagihan telah diketuai oleh seorang lelaki pertengahan umur, bukan lagi Shangguan Xiu. Sama seperti sebelum ini, Pil Pertapaan Rohani dan separuh Batu Rohani akan diagihkan. Tetapi, kali ini tiada pengagihan Pil Perseorangan.

Medan itu mula diselubungi kegelapan. Sebaik sahaja dia menyimpan pil dan Batu Rohani ke dalam beg saktinya, Meng Hao segera beredar tanpa ragu-ragu. Sedang dia melangkah pergi, matanya meliar melihat di persekitaran medan itu dan kelihatan beberapa orang Petapa yang menghalang anak murid daripada menelan pil ubat dan Batu Rohani itu.

Restu Kakak Seguru Xu nampaknya berkesan. Ditambah pula dengan gerakan pantasnya keluar dari sana, dia hanya menerima beberapa renungan tajam. Tiada siapa cuba merampas apa-apa daripadanya.

Dia menarik nafas lega setelah berjaya meloloskan diri. Dia sedar nama Kakak Seguru Xu hanya boleh melindunginya sementara sahaja. Kali ini dia terlepas, tapi dalam beberapa purnama lagi, pasti ada orang yang akan bertindak ke atasnya.

"Selagi cermin tembaga ini masih berkuasa, dalam beberapa bulan lagi… kita akan lihat, siapa yang lebih kuat!" Dengan penuh keyakinan, dia menundukkan kepalanya dan berlalu pergi dengan lebih pantas.

Dia sudah tidak sabar untuk menggunakan cermin tembaga itu. Dengan sepantas mungkin, dia menuju pulang ke Gua Dewa dari Sekta Luaran. Ketika menghampiri gua itu, dia berhenti secara tiba-tiba sambil cuba mengamati dengan lebih jelas. Ada seorang lelaki yang baru sahaja keluar dari hutan itu.

Lelaki itu memakai jubah hijau dan kelihatan dalam lingkungan 24 atau 25 tahun. Riak wajah angkuh kelihatan di muka garang lelaki itu. Dia berdiri menjeling Meng Hao. Daripada asas Pertapaannya, dia bukan orang biasa. Itu adalah peringkat ketiga Pemekatan Qi. Lelaki itu menghalang laluan Meng Hao.

"Selamat sejahtera, Abang Seguru Zhao," ucap Meng Hao. Wajahnya berubah sambil dia berundur beberapa langkah ke belakang. Dia menyorokkan tangan kiri di belakangnya, dan mula mengipas-ngipas tangannya. Dia pernah lihat lelaki ini. Semua orang dalam Sekta Luaran kenal Abang Seguru Zhao Wugang. Lelaki ini sangat kejam dan zalim dan ada beberapa orang murid peringkat rendah telah terbunuh di tangannya di Zon Pembunuhan. Zhao Wugang juga merupakan orang yang mengampu murid peringkat keempat ke atas, tetapi menunjuk pandai pada murid peringkat pertama dan kedua.

"Kau kenal aku, bukan?" Zhao Wugang dengan angkuhnya bersuara. "Aku tak perlu buang masa memperkenalkan diri aku lagi. Serahkan pil ubat dan Batu Rohani itu." Orang lain tidak berani untuk menyentuh Meng Hao, tetapi Zhao Wugang sudah lama berada di Sekta itu dan tahu luar dalamnya. Dia tahu Kakak Seguru Xu selalu menyendiri dan mengabaikan nyawa orang di bawahnya.

"Abang Seguru Zhao, boleh tak abang lepaskan saya?" Meng Hao bersuara, sambil dia berundur beberapa langkah. "Saya… saya hanya murid biasa, dan baru sahaja dapat Batu Rohani dan pil ubat ini. Tolonglah biar saya menyimpannya." Lelaki ini sudah mencapai peringkat ketiga asas Pertapaan, satu peringkat lebih tinggi daripadanya. Lagipun, dia tidak pernah bertarung dengan sesiapa sebelum ini. Mukanya menjadi pucat ketakutan.

"Beginikah sikap seorang cendekiawan?" Dia mengejek Meng Hao, kemudian ketawa terbahak-bahak. "Biar betul kau ini seorang cendekiawan sebelum datang ke sini? Marilah, deklamasikan beberapa sajak untuk Abang Seguru ini. Mungkin ia boleh ceriakan aku dan aku akan lepaskan kau."

"Abang Seguru Zhao..." Meng Hao sangat gementar. Dia juga sangat marah, tetapi dia tiada pilihan selain bersabar dan cuba menenangkan hati lelaki itu. "Orang bijak pandai pernah berkata, jika..."

"Diam! Aku akan rampas pil ubat dan Batu Rohani kau, sekali dengan Gua Dewa. Mulai sekarang, kita adalah rakan seguru di dunia luar, tapi di dalam gua, kau hamba aku. Kalau kau berani bersuara lagi, aku akan buat kau faham maksud pepatah, 'mati lebih baik daripada hidup!'" Dia mula melangkah ke arah Meng Hao dengan renungan mautnya.

Asas Pertapaannya sudah pun berada di peringkat ketiga dan dia memerlukan jumlah tenaga rohani yang banyak. Oleh itu, sudah tentu dia tertarik dengan Gua Dewa kepunyaan Meng Hao. Namun, dia masih takut pada Kakak Seguru Xu, jadi dia mendapat idea untuk menjadikan Meng Hao sebagai hamba. Tidak lama lagi, Kakak Seguru Xu pasti akan terlupa tentang Meng Hao dan dia boleh bunuh sahaja Meng Hao. Jika dia tidak bunuh Meng Hao pun, dia akan menjadikan Meng Hao cacat lalu memaksa dia kekal di samping dirinya sambil mendeklamasikan sajak yang memuji kehebatannya.

"Gua Dewa ini milik Kakak Seguru Xu. saya tak boleh bercakap bagi pihak dia. Abang Seguru Zhao, tolong lepaskan saya." Di belakang badan Meng Hao, tenaga rohani telah terkumpul di dalam tangan kanannya. Dia tahu yang dia bukan tandingan Zhao Wugang, tetapi Gua Dewa itu sangat bernilai, malah Batu Rohani itu juga sangat berharga. Jangan harap dia akan serahkan begitu sahaja. Oleh itu, dengan hatinya yang meluap-luap api kemarahan dan kegelisahan, dia menggunakan nama Kakak Seguru Xu.

"Aku dah beri kau peluang dan kau sia-siakannya," dengus Zhao Wugang. "Kau memang cari masalah. Aku akan ajar kau maksud lebih rela mati daripada hidup!" Tanpa berfikir panjang, dia meluru ke arah Meng Hao dengan tangannya yang berupa kuku tajam. Meng Hao kelihatan sangat terkejut dan takut dan reaksi ini menyebabkan Zhao Wugang berasa lebih seronok. Dia memang suka melihat orang yang lebih lemah daripadanya berasa takut begitu.

Dia sudah dapat membayangkan Meng Hao terbaring ke tanah di hadapannya, badannya terketar-ketar. Dia baru sahaja mahu berangan sambil berbangga diri dan sejurus sebelum dia dapat mencapai Meng Hao, riak wajah ketakutan Meng Hao hilang, diganti dengan wajah yang serius. Meng Hao menghayunkan tangan kanan dari belakang badannya, dan Ular Api yang marak sepanjang jari dihalakan kepada Zhao Wugang.

Hati Meng Hao berdegup kencang. Dia tahu yang seni Ular Api itu tidak cukup kuat untuk membunuh pihak lawannya, tapi dia berharap sekurang-kurangnya ia boleh memperlahankan gerakan lawannya. Dia enggan membiarkan dirinya ditangkap, apatah lagi menyerahkan semua benda miliknya dan menjadi seorang hamba. Jika boleh, dia mahu berlari ke dalam hutan sekelip mata.

"Seni Ular Api!" Riak wajah Zhao Wugang berubah dan dia berundur ke belakang. Tangannya menepuk beg sakti miliknya dan menghasilkan pedang putih kecil. Kemudian, dia mencampakkannya ke arah Ular Api tersebut.

Sebuah letupan berlaku dan Ular Api itu lenyap. Pedang putih itu telah rosak dan bengkok, jadi dia menendangnya ke dalam hutan. Dengan perasaan malu, Zhao Wugang terus berundur dan hanya melihat Meng Hao melarikan diri ke dalam pergunungan itu. Dia berasa sangat marah dan kagum.

"Dia sudah mencapai peringkat kedua Pemekatan Qi dengan sangat pantas," Zhao Wugang bersuara dengan nada yang marah. "Gua Dewa Kakak Seguru Xu ini sangat berkuasa. Nampaknya aku perlu bunuh dia." Dia terus berlari mengejar Meng Hao.

Setelah beberapa ketika mengejar Meng Hao, dia mendapati Meng Hao lebih arif dengan gunung ini berbanding dirinya. Tambahan pula, Meng Hao sangat pantas berlari sehinggakan dia menghadapi masalah untuk mengejar Meng Hao.

"Budak tak guna!" Zhao Wugang berteriak dengan suara bengis. "Tiada siapa yang ada di pergunungan ini. Kau mahu mati? Aku akan tamatkan riwayat kau!" Dia membuat keputusan untuk menggunakan hikmat yang lebih kuat memandangkan betapa pantasnya Meng Hao berlari. Dia mengaum dan tubuhnya membesar. Bulu roma di seluruh badannya pula menjadi lebih tebal dan bertukar warna keemasan. Malah, ada bulu-bulu yang tersembul dari celah bajunya. Nampaknya dia sudah bertukar menjadi makhluk mirip haiwan syaitan.

Ini adalah hikmat yang dipelajarinya sebelum menyertai Sekta ini: Hikmat Syaitan Jadian.

Hikmat ini hanya dapat dipelajari setelah mencapai peringkat kedua Pemekatan Qi, tetapi perubahan syaitannya tidak begitu ketara. Tubuhnya akan membesar menjadi lebih kuat dan menakutkan. Hikmat ini membolehkan dia membelasah murid yang tahapnya lebih rendah. Dia hanya boleh melancarkan hikmat ini dalam satu tempoh had masa, tetapi ia sangat berkesan. Inilah jurus mautnya.

Apabila asas Pertapaannya sudah mencapai peringkat ketiga Pemekatan Qi, jadi hikmat ini menjadi lebih hebat. Dia sendiri agak terkejut kerana bulunya menjadi lebih tebal dan keemasan. Tentu dia dapat menakutkan pihak lawannya dengan mudah jika dia berupaya mengubah bentuk menjadi makhluk syaitan ini. Dengan diselubungi keyakinan, bulu tebal keemasannya bersinar lebih terang dan kuat. Malah, ada bulu yang tumbuh di wajahnya. Dia betul-betul kelihatan seperti haiwan syaitan.

"Kau akan menjadi manusia pertama yang mati dibunuh Hikmat Syaitan Jadian aku! Kau patut rasa bertuah!"

avataravatar
Next chapter