Menjelang penghujung bulan September, cuaca menjadi panas seperti biasa. Kepanasan itu enggan reda, malah ia semakin meningkat. Di tanah Syurga Selatan, cuaca biasanya mulai sejuk dalam bulan ke-11 setiap tahun di Kawasan Selatan Negara Zhao. Sebaik sahaja bulan pertama tahun berikutnya tiba, kesejukan musim sejuk sudah dapat dirasai.

Pada suatu pagi sewaktu fajar menyingsing, Meng Hao meninggalkan Gua Dewa dengan penuh harapan tentang masa hadapannya.

"Sedikit sahaja lagi, asas Pertapaan aku akan mencapai puncak peringkat ketiga Pemekatan Qi," dia berkata sambil menghela nafas dalam-dalam. "Aku bukanlah yang paling kuat dalam Kelas Luaran, tetapi sekurang-kurangnya tiada siapa yang boleh buli aku." Dia merenung jauh. Rambutnya dibuai bayu gunung dan tiba-tiba dia kelihatan agak elegan.

Asalnya sebagai seorang cendekiawan yang lemah, dia telah memasuki dunia Dewa-dewi. Dia teringat kembali peristiwa yang telah berlaku sebelum ini. Semuanya hampir mustahil.

"Malang betul. Aku tiada Batu Rohani yang mencukupi. Pil Pemekatan Rohani juga tidak cukup kuat untuk digunakan..." Kegembiraannya bertukar menjadi kekecewaan setelah dia terfikir tentang Batu Rohani.

"Si Gempal, Wang Youcai dan seorang lagi anak muda berjiwa waja," Meng Hao bergumam sendirian. "Kami berempat tiba di Sekolah Aliran Reliance bersama-sama. Macam manalah keadaan mereka sekarang?" Dengan sepantas kilat, tubuhnya bergerak ke hadapan. Dengan mengalirkan tenaga rohani ke seluruh badannya, dia menuju ke Gunung Utara dengan serta-merta.

Gunung Timur, Barat, Utara dan Selatan Sekolah Aliran Reliance megah tersergam mencecah langit, dilitupi astaka yang diukir daripada jed. Jika diperhatikan dengan teliti, sinaran cahaya fajar meresapi puncak-puncaknya dan baru sahaja mahu menerangi persekitarannya.

Gumpalan awan-gemawan putih mengelilingi puncak, menyelubungi sebahagian daripada pergunungan itu dan menjadikannya betul-betul mirip singgahsana Dewa.

Sekiranya dia mahu pergi dari Gunung Selatan ke Gunung Utara tetapi mahu memintasi Kelas Luaran, dia terpaksa menempuh Gunung Timur atau Barat. Meng Hao melalui jalan melintasi Gunung Barat bersama dua ekor ayam hutan di tangannya.

"Sudah dua bulan aku tidak berjumpa Si Gempal, entah-entah beratnya sudah berkurangan." Meng Hao tersenyum memikirkan tentang Si Gempal. Tiba-tiba, dia berhenti berjalan dan matanya berkedip-kedip.

Dia dapat merasakan bayu lembut dari hadapan bersama-sama kabus nipis. Di tengah-tengah kabus itu, kelihatan seorang lelaki muda berpakaian jubah putih mewah sedang berjalan.

Meng Hao sangat pasti lelaki itu bukan daripada murid Kelas Luaran. Pakaiannya putih umpama salju dan rambut panjangnya mengurai hingga ke bahu. Dia kelihatan sangat tampan dan hampir-hampir cantik. Lelaki itu sangat sempurna daripada segi fizikal mahupun pembawaan. Dia seperti insan terpilih yang dirahmati Syurga.

Riak wajahnya tenang dan tiada perasaan seperti tiada apa-apa yang boleh mengubahnya. Jika pergunungan itu runtuh di hadapannya sekalipun, dia akan kekal tenang. Kabus bawah kakinya berombak-ombak dan bergulung-gulung.

Di belakangnya, dua orang anak muda yang juga tampan berjalan mengikutinya. Namun, jika dibandingkan dengan lelaki berjubah putih itu, mereka kelihatan seperti sampah.

"Abang Seguru Wang, kami dengar dalam beberapa tahun akan datang, Kelas ini akan menjalankan latihan istimewa untuk menaikkan pangkat murid ke Kelas Dalaman. Kami sebagai Saudara Muda ingin mengambil kesempatan ini untuk mendahulukan ucapan tahniah."

"Ya, semasa Abang Seguru Wang memasuki Kelas ini, dia sudah pun terkenal. Malah, dia telah menarik minat tiga buah Kelas yang hebat. Tetapi akhirnya, abang membuat keputusan untuk kekal bersama Sekolah Aliran Reliance. Sifat mulia abang cukup luar biasa! Dalam dua tahun ini, abang enggan melanggar etika Kelas, mengabaikan undangan daripada pihak luar dan berjaya mencapai peringkat keenam Pemekatan Qi. Saya juga pernah terdengar percakapan salah seorang Orang Lama. Dia kata latihan istimewa ini diadakan khas untuk Abang Seguru Wang."

"Benar. Sebaik sahaja Abang Seguru Wang masuk Kelas Dalaman, dia pasti akan mengatasi Kakak Seguru Xu dan Abang Seguru Chen tidak lama lagi. Dia akan jadi murid nombor satu Sekolah Aliran Reliance yang terkenal."

"Jangan bercakap tanpa akal," lelaki berjubah putih itu bersuara dengan suara yang lembut. "Kakak Seguru Xu seorang yang terpilih dan Abang Seguru Chen telah menumpukan sepenuh hati pada Dao. Mereka berdua rakan seperguruan yang saya kagumi dan hormati." Suaranya tenang, tetapi tegas dan sedap didengari. Dia murid nombor satu Kelas Luaran, Wang Tengfei.

"Abang Seguru telah menguasai Pertapaan dengan cemerlang. Dengan bakat dan sikap baik begitu, kami, Saudara Muda berbesar hati untuk mencontohi teladan abang."

"Ya, Abang Seguru Wang layan semua orang dengan baik, walaupun murid yang masih di peringkat pertama Pemekatan Qi. Semua orang dalam Kelas tahu tentang perkara ini. Saya benar-benar mengagumi abang."

Mereka bertiga bercakap sambil berjalan perlahan-lahan ke arah Meng Hao. Abang Seguru Wang yang berjubah putih ternampak Meng Hao, lantas dia menundukkan kepalanya. Meng Hao berjalan melepasi mereka dan dua orang yang lain itu tidak memandang dia sedikit pun. Sedang mereka berlalu pergi, Meng Hao memandang mereka kembali. Sewaktu itulah dia perasan yang kaki lelaki berjubah putih itu tidak menjejaki tanah pun. Sebaliknya, lelaki itu terapung lebih kurang tujuh inci dari atas tanah. Meng Hao terlopong melihatnya.

Dia sedar dia tidak boleh bandingkan dirinya dengan lelaki itu daripada apa-apa segi pun. Dia lemah dan berkulit gelap. Rupanya memang tidak menarik langsung. Tambahan pula, dia sedang membawa ayam-ayam yang sedang bergelut dalam genggamannya.

"Itulah gerangannya Abang Seguru Wang Tengfei. Dia mempunyai kemahiran meringankan badan. Satu kemahiran yang hanya boleh dipelajari di peringkat kelima Pemekatan Qi." Dia pernah terdengar khabar angin tentang Abang Seguru Wang. Jadi, banyak maklumat yang diketahuinya. Satu kekecohan besar telah berlaku di Dunia Pertapaan di Negara Zhao ketika Wang Tengfei memasuki Kelas itu. Tiada siapa tahu harga yang perlu dibayar oleh Sekolah Aliran Reliance untuk menenangkan kekecohan itu atau sebab Wang Tengfei memutuskan untuk kekal dalam kelasnya.

"Kalau aku jadi dia, aku patutnya boleh dapat tempat pertama dalam peperiksaan Diraja. Aku boleh berkahwin dengan anak perempuan Maharaja."

Dengan rasa kagum, Meng Hao berpusing dan meneruskan perjalanannya ke arah Gunung Utara.

Dia tidak berhenti berehat langsung. Oleh itu, menjelang tengah hari, dia sudah tiba di pergunungan rimba yang menjadi sempadan Gunung Utara. Di sinilah dia dan Si Gempal sering menebang pokok dahulu. Sebaik saja dia tiba, dia dapat mendengar bunyi kapak dihayun untuk menetak batang kayu. Dengan tersenyum, dia meneruskan perjalanan dan tidak lama kemudian, dia ternampak Si Gempal sedang sibuk menebang sebatang pokok.

Dia baru sahaja mahu menyapa, tetapi dia berhenti dan berundur selangkah ke belakang.

"Kau curi isteri dan pau aku! Aku akan kapak kau sehingga mati! Aku akan gigit kau sehingga mati!" Berat Si Gempal tidak berkurangan langsung. Malah, dia kelihatan lebih gemuk sedikit. Dia kelihatan seperti sebiji bola.

Matanya tertutup dan dia berdiri di sana melolong-lolong sambil dikelilingi potongan kayu yang telah dipotong. Dia menetak pokok-pokok itu dan tubuhnya terpusing. Kemudian, kapak itu terjatuh daripada tangannya dan dia tertidur.

Tanda bekas gigitan boleh dilihat pada pemegang kapak yang panjang itu.

Meng Hao terkejut. Dia tidak sangka yang dalam dua purnama pemergiannya, penyakit berjalan ketika tidur Si Gempal menjadi semakin parah. Kini, bukan sahaja fenomena ini berlaku sewaktu malam, tetapi juga pada waktu siang.

Meng Hao tidak pasti sama ada mahu mengejutkan Si Gempal atau tidak. Tiba-tiba, hidung Si Gempal menggerenyet dan dia menggosok-gosok matanya. Matanya meliar dan bersinar. Air liurnya hampir meleleh.

"Saya tercium bau ayam! Ya, ada dua ekor!" Dia meloncat dan mencari-cari di sekitarnya. Namun, dia tidak nampak Meng Hao yang berdiri di dalam hutan itu. Kemudian, dia ternampak pokok yang telah ditebang di sekelilingnya. Dia berasa amat bersyukur.

"Meng Hao, awak sangat baik hati," dia berkata dengan penuh terharu. "Awak sudah lama pergi, tetapi awak kerap pulang secara diam-diam untuk bantu saya potong kayu. Sudah dua bulan begini. Meng Hao, saya, Li Fugui 1, tidak pernah mempunyai kawan sebaik awak dalam hidup saya."

Meng Hao masih berdiri dari jauh, mendengar kesemuanya dan sangat terharu. Dia melihat Si Gempal dengan pelik, kemudian dia batuk kecil dan melangkah ke hadapan.

Nampaknya Si Gempal dapat merasai kehadiran Meng Hao. Dia berpaling dan ternampak Meng Hao. Riak wajahnya penuh kegembiraan.

"Meng Hao, akhirnya awak tunjuk muka awak," dia berkata dengan tidak sabar lagi. "Setiap kali saya bangun, saya cari awak, tetapi awak tidak pernah muncul..." Pandangannya terpaku pada dua ekor ayam hutan dan matanya semakin terbuntang luas

Seketika waktu kemudian, ayam itu sudah dipanggang di atas api dan aromanya memenuhi udara. Meng Hao dan Si Gempal duduk bersama-sama, sama seperti ketika mereka berdua menjadi hamba dahulu. Mereka melahap ayam itu dengan gelojoh sekali.

"Sudah dua bulan saya tidak makan ayam hutan,"Si Gempal bersuara dengan mulut yang penuh dengan ayam. "Kenapa awak tidak tunjukkan muka awak selama ini? Awak selalu datang bantu saya potong kayu. Kenapa awak tidak bawa ayam juga?" Kegembiraan di wajahnya jelas kelihatan ketika dia memandang Meng Hao. Rupanya dia sudah menganggap Meng Hao sebagai ahli keluarganya sepanjang masanya di Sekolah Aliran Reliance.

Meng Hao hanya tertawa. Dia tidak menjawab apa-apa atau memberikan penjelasan. Sambil mengoyakkan ayam itu, dia melihat Si Gempal. Ketika inilah dia baru perasan yang gigi Si Gempal sudah menjadi lebih panjang daripada sebelum ini.

"Macam mana dengan latihan Pertapaan awak?" Meng Hao bertanya. "Awak sudah boleh dapat rasa tenaga rohani?"

"Jangan tanya tentang itu," dia berkata sambil mengeluh. "Saya berlatih setiap malam, tetapi yang anehnya, saya tidak mampu rasa walau sekelumit tenaga rohani pun. Hanya gigi saya sahaja yang semakin memanjang. Saya risau saya akan tergigit lidah saya nanti." Dia kelihatan agak murung.

"Buka mulut awak," tiba-tiba Meng Hao bersuara. "Saya mahu lihat gigi awak." Apa yang Meng Hao lihat membuatkan dia begitu terkejut.

Setelah menelan ayam di dalam mulutnya, Si Gempal membuka mulutnya dan mendedahkan dua barisan gigi panjang yang berkilauan dek sinar mentari. Meng Hao semakin pelik setelah memeriksanya. Dia hampir tidak percaya. Dia dapat merasa dengan jelas kuasa rohani terpancar daripada gigi Si Gempal.

'Macam mana Si Gempal berlatih?' Meng Hao berfikir sejenak. 'Macam mana tenaga rohani boleh bergerak ke dalam giginya? Ia akan jadi Gigi Rohani? Kalau dia terus berlatih begini, giginya akan bertukar menjadi benda berharga..." Dia menggelengkan kepalanya dengan kagum.

Masa berlalu pergi dan tidak lama lagi matahari akan terbenam. Meng Hao dan Si Gempal berbual seperti waktu dulu. Dia menceritakan pada Si Gempal tentang semua benda yang berlaku dalam Kelas Luaran. Namun, dia merahsiakan tentang cermin tembaga itu.

Si Gempal mendengar dengan penuh minat. Dia mahu mencapai peringkat pertama Pemekatan Qi dan dinaikkan pangkat.

Ketika tiba masanya untuk pergi, Meng Hao memberikan sebiji Pil Pemekatan Rohani kepada Si Gempal. Dia menelannya dan kemudian mereka berpisah. Si Gempal melihat Meng Hao dengan agak sedih sehingga kelibat Meng Hao hilang di dalam hutan. Dia bertekad dia akan tekun dalam latihan Pertapaannya.

Sebelum ini, Meng Hao melalui jalan Gunung Timur, jadi dia memutuskan untuk pulang melalui Gunung Barat. Ini kali pertama dia melintasi seluruh Sekolah Aliran Reliance. Sebaik sahaja senja berlabuh, dia sedang berjalan bersebelahan dengan penara tinggi yang terjulur dari Gunung Barat. Di atas penara itu, ada sekeping batu bersurat yang sangat besar.

Batu bersurat itu berwarna merah seperti darah, seolah-olah ia disaluti cebisan daging. Beberapa aksara terpahat atas batu bersurat yang sejuk itu.

Zon Awam Tahap Rendah.

Terdapat banyak lagi aksara yang lebih kecil di bahagian tepi. Ia memaklumkan murid peringkat keempat Pemekatan Qi dilarang masuk. Hanya murid peringkat pertama hingga ketiga sahaja yang boleh memasuki Zon Awam ini.

Semasa Meng Hao mendongak ke atas, dia dapat melihat beberapa orang sedang bertarung. Pelbagai hikmat telah mereka lancarkan. Mereka bertarung bermati-matian. Semburan darah dan jeritan kesengsaraan didengari di sana sini. Sebelah tangan telah dipotong. Sebuah beg sakti telah dirampas.

Sedang dia melihatnya, ada seseorang meluru turun dari gunung itu, diikuti seorang lelaki yang sangat besar. Senyuman yang mengerikan terukir di wajah lelaki yang mengejar itu.

"Tolong saya!"

"Tiada siapa boleh selamatkan awak daripada Cao!"

avataravatar
Next chapter