Setelah mendengar kata-kata Meng Hao, Cao Yang terus kaku. Bukan dia seorang sahaja berbuat begitu. Semua orang mengundurkan diri dan melihat Meng Hao dengan penuh takut.

"Beli… beli lagi?" kata Cao Yang dengan suara terketar-ketar. Jika bukan kerana Meng Hao memegang badannya, dia tentu sudah jatuh tersungkur.

"Sebiji pil, sebiji Batu Rohani," kata Meng Hao dengan ramah. Dia mengeluarkan beberapa Pil Penghentian Pendarahan dari beg saktinya. "Saya sentiasa jujur dengan semua pembeli saya. Saudara, sila bertenang. Saya takkan ambil kesempatan dengan menaikkan harga barang jualan. Tanya sajalah mana-mana Saudara yang lain. Cawangan Toko Pil Pertapaan ada nama yang cukup baik."

Sewaktu Cao Yang melihat kesemua pil itu, mukanya pucat. Kemudian, dia memandang pula wajah Meng Hao yang tersenyum mesra dan peluh jantan mula merecik di dahinya. Sambil menggeletar, dia mengetap giginya.

"Saudara, awak benar-benar boleh bezakan apa yang baik dan apa yang buruk. Ini keluaran Toko Pil Pertapaan yang asli." Sambil bercakap, dia menghulurkan beberapa biji Pil Pembekuan Darah.

Cao Yang tersentak melihat semua ubat itu dan memandang beg sakti Meng Hao dengan penuh geram. Dia melihat kembali wajah Meng Hao yang kelihatan begitu khuatir.

Cao Yang tidak bodoh dan dia faham niat sebenar Meng Hao. Darahnya seakan-akan membeku dalam uratnya. Buat masa sekarang, yang paling penting ialah nyawanya sendiri dan dia tiada pilihan lain. Dia mengeluarkan lebih banyak Batu Rohani dari beg saktinya dan menyerahkan kepada Meng Hao dengan berat hati.

Meng Hao menerimanya dengan senyuman dan kemudian meletakkan sebiji demi sebiji pil ubat itu ke dalam tapak tangan Cao Yang. Dalam masa yang singkat, semua Batu Rohani dalam beg sakti Cao Yang sudah digantikan dengan pil ubat.

Cao Yang bertambah geram. Dia menggeletar kemarahan.

Kemudian, dia melihat Meng Hao masih memegang lima biji pil di dalam tangannya dan ini membuatkan Cao Yang berasa terkejut dan terdesak.

"Pil itu sepatutnya cukup untuk memulihkan awak. Tapi lima pil ini pula untuk menjaga kesihatan dan menambah tenaga awak." Suaranya kedengaran seperti dia benar-benar mengambil berat tentang Cao Yang.

"Tapi saya sudah tiada Batu Rohani lagi, percayalah," kata Cao Yang sambil melihat Meng Hao dengan air mata hampir menitik ke pipi.

Meng Hao tidak berkata apa-apa dan dia masih kelihatan ramah. Kulit Cao Yang mula rasa meremang. Dia mengetap gigi dan mengenepikan rasa geramnya sebelum mengeluarkan beberapa barang sakti seperti pedang terbang, tongkat sakti, pil Pemekatan Rohani dan sebagainya.

"Saya tiada Batu Rohani, hanya ada ini sahaja," dia berkata dengan penuh rasa terdesak.

"Barang sakti turut diterima," kata Meng Hao lalu mengambilnya dan meletakkannya dalam beg saktinya.

Beberapa saat kemudian, Cao Yang keluar terdengkot-dengkot sambil membawa pil ubatnya. Beberapa orang pengikut lain membantu memapah dia.

Meng Hao menepuk beg saktinya dengan puas hati. Kini masih lagi waktu pagi, tetapi semua stoknya sudah laris terjual. Dia berasa kerjanya sudah selesai untuk hari ini. Maka, dia mengemaskan begnya dan memberitahu Pertapa lain dia akan datang lagi esok. Semasa dia turun dari penara, orang ramai heboh bercakap tentang kejadian yang berlaku tadi.

Separuh purnama berlalu dan sepanjang tempoh itu, nama Meng Hao mula hebat diperkatakan dalam kalangan pengikut tahap rendah. Mereka semua sudah tahu tentang Cawangan Toko Pil Pertapaan miliknya yang dibuka di atas penara.

Yang lebih masyhur daripada kedai itu ialah tuan kedai itu sendiri, yang kelihatan seperti seorang cendekiawan lemah-lembut tetapi sebenarnya sangat panas baran dan mudah naik angin. Khabar angin mula tersebar liar.

Pada suatu hari, Cao Yang berjalan keluar dari rumahnya dengan wajah pucat. Walaupun kulitnya nampak pudar, kecederaannya sudah pulih. Pil yang dibeli daripada Meng Hao rupanya agak berkesan walaupun harganya mencekik darah.

Sudah separuh purnama dia menyembunyikan diri dan ini hari pertama dia cukup larat untuk berjalan. Pada mulanya, dia teragak-agak tetapi akhirnya dia berjalan keluar dari Kelas Luaran dan akhirnya tiba ke satu kawasan dengan beberapa bangunan. Dia berhenti di hadapan salah satu daripadanya.

"Cao Yang ingin bertemu dengan Abang Lu," kata Cao Yang yang berdiri di luar sambil menyilangkan kedua-dua belah tangannya di perut tanda hormat.

Di dalam, ada seorang lelaki berusia kira-kira 30 tahun yang sedang duduk bersila dan memakai jubah hijau. Dia tidak kacak tetapi riak wajahnya kelihatan angkuh. Dia membuka matanya dan melihat Cao Yang atas bawah.

"Ada apa?" katanya dengan dingin.

"Sebenarnya, Abang Lu, saya…saya dirompak beberapa hari lalu." Cao Yang tidak dapat menahan mulutnya daripada bercakap. Orang luar menganggap mereka sepupu tetapi sebenarnya mereka tidak bersaudara. Abang Lu selalunya Bertapa sendirian tanpa mempedulikan Cao Yang.

Namun, dia tahu setiap kali Cao Yang menghadapi kesusahan, dia tentu akan menunjukkan muka.

Abang Lu kelihatan sedikit menyampah setelah mendengar kata-katanya.

"Siapa rompak kamu?" katanya lagi dengan dingin.

"Seorang pengikut Kelas Luaran bernama Meng Hao," jawab Cao Yang.

"Meng Hao?" Abang Lu terdiam sambil berfikir.

"Dia sangat bodoh dan licik," kata Cao Yang dengan sakit hati. "Tetapi dia buka kedai atas penara dan jual pil ubat kepada pengikut yang cedera semasa berlawan."

"Jual pil ubat?" tanya Abang Lu sambil mengerutkan keningnya. Matanya berkedip-kedip.

"Ya. Sekarang dia sudah jadi salah seorang pengikut tahap rendah yang ternama. Dia buka kedai dan paksa orang membeli barangnya. Sekarang semua orang sudah merungut dan malu menjadi kawan dia. Semua orang bencikan dia. Dia sudah membangkitkan kemarahan di dunia dan di kayangan! Saya merayu agar Abang Lu menegakkan keadilan." Kemarahan menyelubungi muka Cao Yang apabila dia teringat pengalaman pahitnya pada hari itu.

Sebenarnya Abang Lu tidak peduli sedikit pun tentang rengekan Cao Yang tadi. Namun, matanya bersinar-sinar.

"Asas Pertapaan saya sudah sampai ke tahap ini sebab saya rompak semua pengikut tahap rendah. Sudah bertahun-tahun saya berada dalam Sekolah Aliran Reliance, tapi kenapa saya tidak pernah terfikir untuk buka kedai dan paksa orang beli pil?" Dia mendengus dan menampar pahanya.

Sewaktu Cao Yang mendengar bunyi bising itu, dia merenung bangunan itu dengan keliru kerana dia tidak tahu maksudnya. Dia tidak berani bertanya. Beberapa saat kemudian, Abang Lu menyuruhnya pulang tanpa memberitahu sama ada dia akan membalas dendam atau tidak.

Menjelang subuh pada keesokan paginya, Meng Hao menuju ke penara sambil membawa kain sepanduknya. Anginnya baik hari ini. Dia sudah biasa mengikuti jalan ke penara itu. Setibanya dia di sana, dia duduk di atas batu tongkol itu.

Sebaik sahaja dia tiba, wajah Pertapa lain di penara itu menjadi pucat. Sepanjang separuh purnama yang lalu, mereka diseksa oleh Meng Hao sehingga mereka sudah hilang semangat. Namun, jika mereka tidak datang ke sini, bagaimana mereka mahu merompak pengikut lain? Pembunuhan diharamkan di luar kawasan ini jadi mereka tiada pilihan lain selain datang ke sini. Mereka selalunya akan berhenti bertarung sebaik sahaja Meng Hao tiba.

Namun, seseorang yang dahagakan darah tidak mudah ditenangkan dan tidak lama kemudian, mereka semua akan sambung bertengkar. Walaupun perniagaan Meng Hao tidak selaris dulu, dia masih mengaut keuntungan.

Namun begitu, sejak Meng Hao membuka kedainya, kadar kematian juga semakin menurun. Dia selalu menekankan hakikat ini semasa dia mengelentong pelanggannya.

Seperti biasa, Meng Hao cuba mencari pelanggan berpotensi. Dia berfikir, ini bukan kaedah yang terbaik. Pekedai di Daerah Yunjie selalu ada pembantu kedai. Sambil dia mula memikirkan tentang idea ini, dia terlihat seorang lelaki dari jauh yang berusia kira-kira 30 tahun. Mukanya sangat bongkak dan di dalam tangannya, dia memegang sepanduk yang mirip sepanduk Meng Hao. Di atas sepanduk itu ada beberapa aksara besar.

Cawangan Toko Pil Pertapaan Kedua.

Itu Lu Hong, pengikut nombor satu di tahap rendah. Asas Pertapaannya sama dengan Meng Hao, sedikit sahaja lagi dia akan mencapai ke puncak peringkat ketiga. Meng Hao memandang sekali imbas dan kemudian tidak mempedulikannya. Semua perniagaan tentu ada peniru tetapi Meng Hao masih tidak berpuas hati dengan nama di atas sepanduk pesaing itu.

Pertapa lain saling berpandangan dan kemudian mereka sambung bertarung. Dalam sejam kemudian, Meng Hao ternampak dua orang berlawan. Dia meluru ke arah mereka dan mencucuk sepanduknya di sebelah mereka. Pada masa yang sama, Lu Hong juga turut bergegas dan mencucuk sepanduknya juga.

Sambil kedua-dua sepanduk itu berkibaran, dua orang yang berlawan itu bermandi peluh. Setahu mereka, kedua-dua orang yang berdiri sebelah mereka itu sangat kuat. Seorang sahaja sudah cukup untuk membuatkan mereka resah tetapi sekarang ada dua orang yang saling merenung tajam.

"Saudara, pil ubat saya akan memastikan keselamatan awak," kata Meng Hao dengan terburu-buru. "Sebiji pil berharga sebiji Batu Rohani. Saya adil dengan semua pembeli saya."

"Belilah pil Lu, ia sama berkesan," kata Lu Hong pula dari sebelahnya. Dia memandang mereka berdua dengan mata yang bengis.

Kedua-dua orang yang bergaduh itu menggeletar ketakutan dan sudah tidak mahu berlawan lagi. Mereka mengeluarkan Batu Rohani dan menyerahkannya kepada Lu Hong lalu melarikan diri. Meng Hao mengerutkan dahi. Sudahlah perniagaan dia dicantas, kalau keadaan berlarutan begini, kawasan ini takkan didatangi orang lain. Dia tidak mahukan itu.

Menjelang tengah hari, perniagaan Meng Hao merosot teruk. Selain satu pesanan pada waktu pagi, dia tidak menjual apa-apa yang lain. Lu Hong tidak peduli langsung jika ia salah atau betul tetapi dia hanya memaksa orang untuk membeli. Jika mereka tidak beli, dia akan menyerang mereka. Tidak lama kemudian, penara itu jadi lengang.

Lu Hong melihat timbunan Batu Rohani yang berjaya diperolehnya. Wajahnya kelihatan seperti tiada perasaan tetapi sebenarnya dia berasa sangat teruja.

"Ini sangat bernas. Kalau aku buat ini dari dulu, orang takkan ejek aku kerana asyik merompak pengikut tahap rendah saja. Lebih bagus kalau Meng Hao tak ada di sini, aku naik muak tengok muka dia." Dia bukan datang untuk membalas dendam bagi pihak Cao Yang, tetapi dia mahu meniru taktik perniagaan Meng Hao. Sekarang apabila dia melihat keuntungannya, dia mahu menguasai seluruh kawasan itu. Dia memandang Meng Hao seolah-olah mahu membunuhnya.

"Aku akan berlatih untuk beberapa hari lagi," fikirnya, "dan kemudian aku akan bunuh dia."

Keesokan harinya, disebabkan reputasi tinggi Lu Hong sebagai pengikut tahap rendah nombor satu, tidak ramai orang yang datang ke Zon Awam. Yang datang hanyalah orang yang tiada semalam. Mereka tiada pilihan selain membeli pil ubat. Meng Hao enggan mengugut pembeli seperti Lu Hong jadi dia tidak mempunyai seorang pelanggan pun.

Lebih kerap Lu Hong melihat Meng Hao, api kebenciannya semakin marah. Menjelang petang pada hari ketiga, apabila Meng Hao diam-diam berkemas untuk pulang, dia terdengar suara bongkak Lu Hong di belakangnya. Semua orang yang ada di sana turut mendengarnya.

"Kalau aku tengok sepanduk kau esok, aku akan lumpuhkan asas Pertapaan kau."

Meng Hao terhenti. Dia tidak berkata apa-apa tetapi matanya penuh dengan kuasa dingin. Dia menghentak-hentak kaki sepanjang perjalanan balik ke Gua Dewa.

"Kau yang tiru aku!" bentak Meng Hao dengan mata yang buas. "Kemudian kau cantas perniagaan aku macam burung merbuk yang mencuri sarang murai. Tapi sekarang kau pula nak lumpuhkan asas Pertapaan aku!" Memikirkan keganasan dalam mata Lu Hong, Meng Hao menolak pintu batu bilik kedua dalam Gua Dewa. Dengan serta-merta, tenaga rohani telah melimpah keluar dengan banyaknya. Meng Hao duduk dan bersila.

Dia menyerap tenaga rohani yang terkumpul beberapa purnama lamanya. Apabila subuh menjelang, dia membuka matanya yang bersinar-sinar. Dia mendapat satu pencapaian. Kini dia bukannya sedikit lagi untuk mencapai ke puncak peringkat ketiga, dia sudah mencapai puncak peringkat ketiga. Sekarang satu langkah saja lagi sebelum mencapai ke peringkat keempat.

Namun, langkah itu tidak mudah. Semakin tinggi asas Pertapaan itu, semakin sukar untuk mencapainya, lebih-lebih lagi peringkat kelima hingga ketujuh. Laluan ke tahap sebegitu selalunya sangat sempit dan menyukarkan. Meng Hao berkerut kemudian mengetap giginya dan memaksa dirinya membuka beg sakti untuk mengeluarkan semua Pil Pemekatan Rohani yang dia kumpul selama ini. Kemudian, dia menggunakan kuasa mistik cermin tembaga itu bersama kesemua Batu Rohaninya yang sangat berharga lalu menghasilkan lebih banyak salinan Pil Pemekatan Rohani.

Kegunaan Pil Pemekatan Rohani sangat terhad tetapi dalam jumlah yang besar, kesannya agak ketara. Namun, setiap kali dia menggunakan kaedah ini, keberkesanannya juga akan berkurangan.

"Kalau aku tak lumpuhkan dia dulu, dia akan musnahkan aku esok." Tanpa berlengah lagi, dia menelan semua pil itu.

Tenaga rohani dalam tubuhnya sudah banyak berkurangan, jadi apabila semua Pil Pemekatan Rohani itu mula melarut, tubuhnnya mula menggigil. Dia merasakan asas Pertapaannya melimpah seperti empangan pecah. Otaknya rasa berdengung dan kesedarannya mulai hilang. Setelah penglihatannya jelas kembali, matanya berkilauan. Namun, dia masih belum mencapai peringkat keempat Pemekatan Qi. Dia menahan geram. Tanpa pilihan lain, dia meniru lebih banyak Pil Pemekatan Rohani dan menelan kesemuanya.

Satu kali, dua kali, tiga kali. Otaknya bergegar-gegar seperti berada dalam botol yang dilambung ombak kuat. Kemudian, satu dentuman kedengaran dan matanya berkaca-kaca.

Kotoran tersembur keluar dari semua liang kulitnya dan penglihatan Meng Hao bertambah jelas apabila tubuhnya menjadi semakin bersih. Selepas kira-kira sejam, matanya bersinar dengan penuh terang dan fikirannya kini sudah sangat jelas.

"Peringkat keempat Pemekatan Qi!" Dia dapat merasa asas Pertapaannya bergelodak bagaikan arus jeram sungai. Apabila dia memutar-mutarkannya, ia meraung seperti taufan yang hebat dengan bunyi menakutkan.

Riak wajahnya kekal tenang dan dia mengeluarkan lima pedang terbang dari beg saktinya, iaitu hasil jualannya sepanjang setengah bulan lepas. Ini semua hasil Astaka Khazanah, maka semuanya kelihatan serupa.

Ada lagi barang sakti lain yang berjaya dikumpulkan. Dia mengambil nafas yang dalam, kemudian memejamkan matanya dan mula Bertapa sementara menunggu matahari terbit.

"Selepas memasuki aliran ini dan memulakan Pertapaan aku, aku tiada pilihan lain…aku terpaksa mencuri daripada orang lain untuk meningkatkan asas Pertapaanku. Tetapi aku tiada niat untuk mengapa-apakan sesiapa. Sekarang perniagaan aku dicantas, aku diugut, dan asas Pertapaan aku akan dilumpuhkan pula…ini sudah melampaui batas!"

Sebaik sahaja matahari terbit, Meng Hao membuka mata dan keluar dari gua Dewa itu. Dia membersihkan dirinya dan kemudian menuju terus ke penara.

avataravatar
Next chapter