69 Tuan Muda Ding

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Shangguan Xiu yang berjubah hitam mengerutkan kening sambil berjalan menelusuri jalan di Kota Bima Sakti. Dua Pertapa daripada tahap ketujuh Pemekatan Qi juga memakai jubah hitam sambil berjalan di belakangnya. Daripada raut wajah mereka, mereka agak mengagumi Shangguan Xiu.

Mereka yang menemani Shangguan Xiu dalam pemeriksaan kota, telah berjalan melewati kedai yang baru sahaja dimasuki Meng Hao.

Riak wajah Meng Hao sama seperti biasa. Kalau tidak pun, tiada sesiapa yang melihat kerana mukanya dilindungi oleh topi buluh yang lebar. Matanya meliar ke sekeliling tempat yang dimasukinya.

Tempat itu cuma kedai ubat setingkat yang tidak terlalu besar. Rak yang diisi dengan botol pil memenuhi ruang kecil itu. Kebanyakan botol itu ternyata kosong, walhal pada permukaan masing-masing tertulis nama pil berserta harganya.

Di suatu sudut, seorang pemuda duduk bersila. Selain dia, Meng Hao satu-satunya orang yang berada di dalam kedai itu.

Meng Hao berjalan sambil memeriksa nama pelbagai jenis pil ubat itu. Akhirnya, dia menemui botol yang di atasnya tertulis aksara "Pil Rohani Bumi" yang terus menarik perhatiannya.

"Jadi, nilainya sebanyak tiga ratus Batu Rohani… " Meng Hao mengerutkan kening. Cermin tembaga memerlukan dua ratus Batu Rohani untuk menduplikasi Pil Rohani Bumi. Meskipun terdapat sedikit perbezaan pada kedua-dua harga tersebut, ia tidak terlalu banyak.

Melihat Meng Hao bergumam pada dirinya sendiri, pemuda yang duduk bersila di sudut itu membuka matanya lalu berkata dengan dingin, "Pil Rohani Bumi berasal dari Wilayah Selatan. Kami tidak memiliki banyak stok, hanya ada lima sahaja."

Meng Hao mengangguk sambil memandang sekeliling buat kali terakhir sebelum dia beredar. Tetapi, dia tiba-tiba berhenti dan bertanya, "Adakah kamu memiliki Pil Pengukuhan Asas?"

Lelaki itu tersenyum ketika mendengarnya, walaupun disulami dengan secebis keraguan. "Rakan Tao, ini mesti kali pertama kamu berada di Kota Bima Sakti. Pil Pengukuhan Asas sekurang-kurangnya bernilai lebih daripada seratus ribu Batu Rohani kerana ia sangat berharga. Malangnya, kami tidak ada stok. Aku hanya pernah melihat satu sahaja sepanjang hidup aku. Jika kamu bettul-betul berminat untuk membeli satu, kamu perlu pergi ke Toko Bima Sakti."

"Mahalnya!!" kata Meng Hao dengan suara yang penuh kagum. Mendengar nada suaranya, pemuda itu tidak lagi ragu-ragu. Dia mengagak yang Meng Hao hanya bertanya dan tidak mampu untuk betul-betul membelinya.

Mendengar Meng Hao bergumam pada dirinya sendiri dengan iri tentang harga Pil Pengukuhan Asas yang luar biasa tersebut, pemuda itu mengabaikannya dan menutup matanya semula.

Meng Hao meninggalkan kedai itu dan bergerak menelusuri jalan di Kota Bima Sakti dengan mata yang bersinar. Namun, dia mengerutkan kening beberapa saat kemudian kerana dua sebab. Salah satu sebabnya sukar untuknya menjual pil perubatan dan barangan sakti. Sebab yang lain adalah Shangguan Xiu.

"Dia memakai jubah hitam dan diiringi lebih ramai Pertapa berjubah hitam. Jubah itu ialah jubah yang sama dipakai oleh pengawal kota. Nampaknya, setelah meninggalkan Sekta Reliance, dia tidak menyertai Sekta lain tetapi datang ke tempat ini." Meng Hao menundukkan kepalanya. Daripada berlalu pergi, dia terus berjalan menelusuri bandar untuk memeriksa kedai. Semasa membuat perbandingan, keningnya semakin berkerut.

Nampaknya, pil untuk setiap tahap Pemekatan Qi ada di sini. Selain itu, tidak ada banyak pil yang ada. Tambahan pula, harganya tidak jauh lebih tinggi daripada yang harus dibayarnya untuk menduplikasi pil. Dengan kata lain, margin keuntungannya tidaklah terlalu tinggi.

"Lupakan tentang Pil Perubatan. Aku akan memeriksa beberapa barangan sakti." Meng Hao berpaling dan menuju ke jalan yang berbeza. Terdapat ramai Pertapa yang mempunyai asas Pertapaan daripada pelbagai tahap yang datang dan pergi. Sebahagian besar nampaknya berada di antara tahap ketiga dan kelima. Meng Hao hanya melihat tiga orang Pertapa sepertinya berada di tahap kelapan Pemekatan Qi. Wajah mereka tertutup sehingga mustahil untuk melihat wajah mereka dengan jelas.

Terdapat banyak Astaka Khazanah di sini. Meng Hao melawatnya satu persatu dengan berhati-hati sambil memeriksa barangan yang ada. Tidak lama kemudian, petang berlabuh. Meng Hao menghela nafas. Barang sakti tahap rendah ditawarkan dengan harga yang tinggi tetapi tidak menghampiri ratusan ribu Batu Rohani yang dia inginkan. Untuk mendapatkan sebanyak itu, dia mesti menjual hampir seribu pedang terbang tetapi peristiwa yang menakjubkan seperti itu akan menarik perhatian yang tidak diingini. Dia tidak boleh berbuat begitu.

Barang saktinya yang lain mempunyai harga yang pelbagai tetapi tiada barang yang boleh memberikannya Batu Rohani sebanyak itu. Tamabahan pula, jikalau dia menjual barang saktinya, hal ini pasti akan menarik banyak perhatian.

Dia hanya mahu menyelesaikan segala-galanya sekaligus dan beredar dengan segera.

Meng Hao sedang duduk bersila di dalam bilik di sebuah rumah penginapan. "Jika aku betul-betul ingin menjual Pil Pengukuhan Asas... Aku mesti melakukannya dengan penuh berhati-hati," katanya dalam hati. "Aku tidak boleh bertindak dengan tergesa-gesa."

Kota Bima Sakti tidaklah terlalu besar. Pada petang hari kedua, dia telah selesai meneroka keseluruhan kota. Akhirnya, dia berdiri di sebuah bangunan berhias mewah di seberang. Dia bergumam pada dirinya sendiri lalu dia berjalan ke arah itu.

Sebuah papan yang dengan tulisan di atas pintu utama tertera, "Toko Bima Sakti."

Toko itu tiga tingkat tingginya. Meng Hao merayau-rayau di tingkat satu tetapi dihalang menaiki ke tingkat dua. Untuk mengakses tingkat dua, dia perlu menunjukkan sejumlah Batu Rohani yang besar.

Meng Hao tidak memaksa diri untuk naik ke tingkat dua. Dia berpusing dan berjalan di sekeliling untuk melihat beberapa perkara seolah-olah dia hanyalah pelanggan biasa. Akhirnya, dia pergi.

Dia kembali duduk bersila di dalam rumah penginapan. "Hanya ada satu pintu dijaga oleh tiga Pertapa daripada tahap kelapan Pemekatan Qi dan satu daripada tahap kesembilan... Aku tidak boleh naik ke tingkat dua dan tidak boleh melihat melepasi tangga. Semua yang ada di tingkat pertama cuma barang biasa yang tidak mempunyai tenaga rohani... Aku perlu tahu apa yang ada di tingkat kedua. Sesiapapun boleh mengagak dengan hanya melihat dari luar tingkap terdapat banyak tenaga rohani di sana. Tetapi tingkap itu tertutup rapat. Setelah beberapa saat berlalu, dia mengeluarkan cermin tembaga.

Di dalam beg saktinya, terdapat lebih sedikit daripada sepuluh ribu Batu Rohani. Dia mengeluarkan Pil Pengukuhan Asas dan meletakkannya di atas cermin tembaga sambil mengetap giginya. Ia serta-merta tenggelam ke dalam cermin lalu hilang. Sambil dia menarik nafas dalam, Meng Hao mula menyuap Batu Rohani ke dalam cermin.

Ketika dia meletakkan Batu Rohani yang kesepuluh ke dalam cermin, satu cahaya yang terang terpancar keluar lalu Pil Pengukuhan Asas yang kedua muncul. Meng Hao sudah bersedia. Sebaik sahaja aroma wangian ubat tersebar, dia meletakkan dua biji pil ke dalam beg saktinya sambil memandang sekeliling dengan waspada.

Disebabkan kepantasannya, hampir tidak ada aroma yang keluar dan tiada sesiapa yang menyedarinya.

Dia duduk bersila di atas katilnya sambil berfikir. Sejurus kemudian, dia menepuk beg saktinya dan menghasilkan sehelai jubah yang berwarna putih. Inilah pakaian yang diperolehinya daripada beg sakti Ding Xin. Dia memakainya kemudian menggantungkan serpihan jed pengenalan Ding Xin di lehernya. Dia berdiri dan kemudian mundar-mandir di dalam dan berfikir lebih mendalam lagi.

Dua hari kemudian ketika waktu fajar, Meng Hao sekali lagi memakai topi buluh dan pakaian luar yang panjang mampu menyembunyikan jubah putih di bawahnya. Sambil menundukkan kepala, dia meninggalkan rumah penginapan.

Dia bergerak terus menuju Toko Bima Sakti dan tiba dalam waktu yang sangat singkat. Seorang pemuda pertengahan usia yang berwajah dingin duduk bersila di sana. Dia merupakan seorang Pertapa tahap kesembilan Pemekatan Qi. Meng Hao berjalan melewatinya terus menuju ke tangga.

Semasa dia menghampirinya, seorang Pertapa tahap kelapan Pemekatan Qi memandangnya sepintas lalu.

"Tunjukkan sekurang-kurangnya sepuluh ribu Batu Rohani untuk mengakses tingkat kedua," katanya.

"Berambuslah!" kata Meng Hao sambil mengangkat topi buluhnya dan menjegil ke arah pemuda itu dengan mengancam. Dia bersuara dengan angkuh. "Kita berada di sebuah bandar kecil di Negeri Zhao yang kecil dan kamu berani menghalang jalan Ding Xin?" Semua Pertapa di dalam bilik itu memandangnya.

Seorang Pertapa tahap kelapan memandangnya dalam keadaan terkejut. Sepanjang hayatnya, tiada siapa yang berani bercakap dengannya seperti itu. Namun, memandangkan keangkuhan dan ancaman yang terselindung dengan kata-kata Meng Hao, pemuda itu teragak-agak dan tidak tahu untuk membalasnya.

Suara merdu seorang wanita meluncur turun dari tingkat atas: "Tuan Muda Ding, sila naik."

Pertapa tahap kelapan itu membenarkan Meng Hao naik. Dengan dengusan dingin, Meng Hao menaiki tangga. Ketika dia berpusing di sudut, matanya cepat mengamati keseluruhan tingkat kedua.

Suara yang merdu sebentar tadi milik seorang wanita yang memakai pakaian yang nipis. Dia tersenyum ke arah Meng Hao.

Tingkat kedua dihias dengan sangat mewah dan kelihatan sangat mengagumkan berbanding tingkat satu dan ia dipenuhi dengan aura yang mempesonakan. Tiada rak khazanah melainkan pembakar setanggi yang besar di ruangan tengah bilik yang sangat besar sehingga tiga orang boleh meletakkan tangan mereka di sekelilingnya. Aroma setanggi yang semerbak keluar dari situ.

Keadaan sekeliling bukan sahaja mewah tetapi anggun. Beberapa buah meja dapat dilihat di sekitar bilik begitu juga dengan pameran hiasan batu. Ia sejenis tempat yang akan membuatkan mata sesiapapun bersinar sebaik sahaja melihatnya.

Wanita yang berdiri di hadapan Meng Hao itu berumur kira-kira tiga puluh tahun. Dia anggun dan tenang serta tidak berkata apa-apa pada awalnya. Dia hanya tersenyum membuatnya kelihatan sangat mesra dan sangat bertimbang rasa.

"Tuan Muda Ding," katanya sambil memandang Meng Hao dengan penuh prihatin, "Silakan duduk. Saya penjaga di tingkat kedua. Jangan ragu-ragu untuk memberitahu saya cara untuk membantu kamu." Dia mengambil tempat duduk di tepi. Ketika dia melihat jubah putih di bawah pakaian luarnya yang panjang, wajahnya terkejut lantas matanya berkedip dan kemudian dia kembali tenang seperti biasa.

Meng Hao memandang sekeliling dengan penuh tekun. Terdapat tujuh buah meja bertebaran dalam pelbagai kedudukan. Tanpa teragak-agak, Meng Hao memilih untuk duduk bukan di meja yang berdekatan dengan tangga ataupun tingkap tetapi betul-betul di tengah bilik itu.

"Kamu ada Pil Pengukuhan Asas di sini?" Tanya Meng Hao dengan berterus-terang sambil duduk. Dia merenung wanita itu dengan riak yang muram.

Ketika wanita itu melihat Meng Hao duduk di tempatnya, matanya berkedip lagi seolah-olah dia baru sahaja memastikan sesuatu padanya. Namun, dia bagaikan masih ragu tentang sesuatu.

"Tidak banyak perkara di Negeri Zhao yang tidak ada di Toko Bima Sakti," katanya sambil tersenyum. "Tentu sahaja kami memiliki Pil Pengukuhan Asas. Satu pil berharga dua ratus ribu Batu Rohani."

Meng Hao mengangguk perlahan sambil menepuk beg saktinya. Sebiji botol muncul di tangannya. Dia menjentik lengan bajunya lalu botol itu bergerak ke arah wanita itu.

Mata wanita itu berkedip ketika dia memandang botol itu. Apabila dia membuka dan melihat isi kandungannya, raut wajahnya berubah menjadi terkejut

"Sebiji Pil Pengukuhan Asas," kata Meng Hao dengan dingin. "Sebut harga kamu."

"Tuan Muda Ding, kamu cukup berani," katanya dengan tenang tetapi dengan riak wajah yang luar biasa. "Kamu dengan santainya berani menyerahkan kepada saya sesuatu yang begitu berharga. Kamu tak takut saya akan mengambilnya dan melarikan diri?"

Meng Hao tidak berkata apa-apa sambil merenungnya dengan dingin. Dia melonggarkan pakaian luarnya yang memperlihatkan lebih banyak jubah putih dan medal jed yang tergantung di lehernya.

Ia berwarna ungu dan memancarkan cahaya ungu yang lembut dan berkedip-kedip.

Ketika dia melihat medal jed itu, raut wajah wanita itu berubah.

"Jika kamu berani menelan pil itu," kata Meng Hao dengan dingin, "Kota Bima Sakti akan hancur tidak kurang dari sebulan."

Raut wajah wanita itu berubah beberapa kali ketika dia melihat kembali pada botol pil itu. Dia melirik kembali kepada Meng Hao yang duduk di situ. Setelah mencatat pelbagai petunjuk tentang identitinya, dia akhirnya tersenyum lagi.

"Tuan Muda Ding, janganlah marah. Saya hanya berbahasa-basi saja.." Dia membalikkan botol itu lantas menyebabkan Pil Pengukuhan Asas jatuh ke tapak tangannya. Kemudian dia mengangkat dan memeriksanya dengan cermat. Ketika pandangannya tertancap pada wajah syaitan yang terukir di permukaan pil, raut wajahnya berubah secara dramatik dan dia berdiri.

avataravatar
Next chapter