13 Si Jantan Sasa Cao Yang

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Kakak Xu ibarat jubah kulit bulu harimau belang. Jika dipakai sewaktu bersiar-siar di sekitar Kelas Luaran, ia akan menarik perhatian dengan serta-merta. Ketika pelajar Kelas Luaran melihat Meng Hao berjalan bersama-sama Kakak Xu, riak wajah mereka menjadi aneh; terutamanya bagi mereka yang telah membeli ubat daripada Meng Hao awal pagi tadi. Kebencian yang meluap-luap tadi telah dikekang.

Bagi mereka yang mempunyai asas Pertapaan yang lebih tinggi pula, mereka tidak tahu kejadian yang berlaku di penara itu, tetapi mereka masih cam wajah Meng Hao dan menduga yang dia bukanlah orang yang boleh diperkotak-katikkan.

Sebenarnya, Meng Hao tidak tahu yang dia sudah menjadi masyhur dalam Kelas Luaran sepanjang dua purnama yang lalu.

Perkara yang bermain di fikirannya hanyalah cara untuk menempuhi kehidupan dari hari ke hari. Kini, hari sudah malam dan tidak ramai pengikut yang ada. Tidak sampai separuh daripada mereka pun yang menyaksikan peristiwa ini.

Memandangkan peluang ini sukar untuk didapati dan tidak boleh dipersiakan, Meng Hao berceloteh dengan kata-kata merendah dirinya. Dia membawa Kakak Xu yang berat mulut itu ke Toko Pil Pertapaan. Dengan rasa gementar dan cemas, lelaki pertengahan umur itu telah menjual pelbagai pil pemulihan pada harga yang sangat rendah. Ia akan mengambil masa beberapa purnama untuk mengisi semula jumlah pil yang Meng Hao ambil.

Malah, mereka juga telah pergi ke Astaka Khazanah. Apabila Kakak Xu merenung tajam pada lelaki yang kelihatan licik itu, wajah lelaki itu menjadi pucat. Secara diam-diam, dia menyusupkan sebiji Batu Rohani pada Meng Hao dan menunjukkan yang dia bersedia untuk menukar cermin tembaga itu pada bila-bila masa sahaja. Meng Hao berdehem, tanda dia tidak suka dan memberitahu lelaki itu yang cermin tembaga itu sudah lama hilang.

Adik seguru Astaka Khazanah tertawa kecewa dan meminta maaf. Dia meminta Meng Hao supaya jangan bimbang. Cermin itu pernah hilang dahulu dan sentiasa akan dijumpai kembali dalam dua atau tiga tahun. Di kaki Gunung Timur, Meng Hao melihat Kakak Xu yang dilimpahi cahaya rembulan berlalu pergi dari jauh. Itu kali pertama Meng Hao sedar yang Kakak Xu sebenarnya sangat cantik, bagaikan Dewi Kayangan.

"Malangnya dia sangat dingin, kalau tidak aku terfikir juga mahu mengahwininya." Dia berangan seketika sehingga dia terbatuk kecil. Kemudian, dia pulang ke Gua Dewa.

Malam berlalu dengan pantas. Keesokan paginya, semasa awal subuh lagi, Meng Hao telah pergi ke penara itu dengan penuh semangat.

"Sedikit sahaja lagi untuk aku capai puncak peringkat ketiga Pemekatan Qi. Malang betul aku tiada pil ubat yang tepat. Teras Syaitan bukannya mudah untuk diperolehi. Tambahan pula aku terpaksa pergi ke gunung hitam itu. Sangat bahaya." Ilhamnya mula timbul sewaktu dalam perjalanan. 

"Aku mahu kumpul Batu Rohani. Itu matlamat aku sekarang. Kemudian, apabila aku berjaya dapatkan Teras Syaitan, aku mampu mencapai kemajuan yang besar. Jika aku boleh capai peringkat kelima Pemekatan Qi…" Jantungnya berdegup kencang dan matanya bersinar dengan harapan.

"Aku akan jadi seperti raja jika dapat mencapai peringkat kelima di Kelas Luaran. Yang paling penting, aku boleh guna hikmat meringankan badan." Degupan jantung Meng Hao semakin kencang kerana teringat tentang Abang Wang Tengfei yang mampu terapung tujuh inci dari permukaan tanah.

Tidak lama kemudian, dia sudah dapat melihat penara itu dan dia mempercepatkan lagi langkahnya. Dengan rupa seperti seorang cendekiawan hina, dia duduk bersilang kaki di atas batu tongkol itu.

Sejurus selepas itu, Pertapa muncul seorang demi seorang, termasuklah beberapa orang yang tiada semalam. Kedengaran bunyi pertarungan di sana sini bersama-sama jeritan yang mengerikan. Meng Hao memerhatikan tempat itu dan cuba untuk mencari bakal pelanggan pertamanya hari ini. Dia tidak sedar yang di bahagian lain Zon Awam, seorang lelaki sedang berjalan melalui orang ramai dengan berhati-hati.

Pertapa itu berjalan perlahan-lahan sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Tiba-tiba, matanya terpaku pada Meng Hao. Langkahnya terhenti dan tubuhnya menggigil.

Itu pelanggan pertama Meng Hao semalam. Dia menyaksikan Meng Hao menumpaskan pihak lawannya, kemudian berlakon tersipu-sipu malu di depan matanya sendiri. Dia ingat Meng Hao tidak kembali hari ini. Namun, sangkaannya meleset.

"Kenapa si penipu ini masih berada di sini? Barang-barang dia sangat mahal!" Perasaan Pertapa itu bercampur-baur. Dia berasa benci dan takut. Dia mengeluh panjang. Sewaktu dia baru sahaja mahu pergi, matanya tertumpu pada kelibat seorang pertapa yang sasa sedang memasuki Zon Awam.

"Itu Cao Yang…dia di puncak peringkat kedua sekarang. Sedikit sahaja lagi untuk capai peringkat ketiga. Sepupunya Lu Hong ialah pengikut nombor satu dalam Zon Awam Tahap Rendah. Cao Yang boleh buli dan guna taktik keji untuk cederakan orang ketika bertarung kerana kedudukan sepupunya itu. Orang akan marah, tetapi mereka tidak boleh cakap apa-apa. Kalaulah orang lain buat begitu, mereka pasti sudah lama membelasahnya beramai-ramai. Dia tiada semalam, jadi semuanya berlaku dengan lancar. Hari ini pasti akan jadi menarik." Pertapa itu menghampiri dengan lebih dekat lagi. Dia yakin lambat-laun, Cao Yang akan mencabar pemilik Cawangan Toko Pil Pertapaan itu. Memandangkan dia benci mereka berdua, dia tidak sabar-sabar untuk menyaksikan kesengsaraan mereka.

Beberapa penempur berhampiran ternampak Cao Yang dan riak wajah mereka berubah. Mereka ke tepi serta-merta, takut menimbulkan kemarahan murid si jantan sasa itu.

Cao Yang mendengus angkuh. Dia tinggi, berbadan tegap dan sasa. Renungannya tajam dan menakutkan, seolah-olah dia raja yang berkuasa di Zon Awam Tahap Rendah ini. Dia tidak takut mencari gaduh dengan sesiapa sahaja kecuali seorang dua Pertapa yang lebih hebat daripadanya. Dahinya berkerut apabila dia tiba-tiba terfikir sudah lama dia tidak melihat kawan baiknya, Zhao Wugang. Anginnya terus jadi buruk dan dia keluar mencari Pertapa muda agar dia boleh merampas pil ubat mereka.

Tiba-tiba dia terpandang Meng Hao dan sepanduk gergasi yang tercacak di sebelahnya.

Mula-mula dia tidak mempedulikan kehadiran Meng Hao. Namun, Pertapa itu ternampak Cao Yang sedang merenung Meng Hao dan minatnya terus naik mendadak.

"Cepatlah, cepatlah pergi," kata Pertapa itu dalam hati. Dia sedar dia lebih suka memerhatikan pertembungan ini daripada melibatkan diri dalamnya.

Cao Yang seolah-olah boleh mendengar kata-kata Pertapa itu kerana dia membuat muka menyampah dan berjalan menuju ke Meng Hao. Orang lain kelam-kabut lari menjauhinya.

Meng Hao duduk di atas batu tongkol dengan muka bersemangat dan bersedia mahu menjual barangnya. Namun, sebaik sahaja dia melihat Cao Yang mendekatinya, dia sedar dia tak akan dapat menjual apa-apa kali ini. Dia mendongakkan kepalanya sambil merasa kasihan pada diri sendiri.

Dia cukup kenal dengan orang ini. Dialah orang ganas yang dia lihat beberapa hari lepas. Meng Hao duduk saja seperti seorang murid lemah. Mukanya nampak takut dan sedikit kagum, lalu dia berkata:

"Saudara, kami baru dua hari berniaga. Semua pil ada dalam stok kami dan setiap satunya penting untuk pertarungan. Awak berminat mahu beli?"

Cao Yang memandang Meng Hao tetapi dia tidak dapat mengagak asas Pertapaannya. Jika tahap Pemekatan Qi seseorang berada bawah peringkat ketujuh, asas Pertapaannya tidak kelihatan ketara kecuali kalau mereka sengaja memancarkan tenaga rohani. Oleh itu, mustahil untuk sesiapa melihat betapa berkuasanya mereka. Pada peringkat ketujuh Pemekatan Qi, barulah tenaga mereka akan kelihatan pada semua orang.

Jadi, dia tak tahu langsung tahap sebenar Meng Hao.

"Kalau aku mahu beli barang, aku tak perlu duit. Serahkan semua pil ubat dan Batu Rohani kau. Kalau kau lambat, aku akan patahkan tengkuk kau." Matanya galak dan suaranya ditinggikan untuk mengancam Meng Hao. Lagipun, ini Zon Awam Tahap Rendah dan dia orang paling dikagumi di sini. Sepupu dia adalah Lu Hong yang hebat. Jadi setahu Cao Yang, Meng Hao ini bukan siapa-siapa.

Dari kejauhan, pelanggan pertama Meng Hao memerhatikan kejadian ini dengan seronok.

"Pukul dia! Pukul dia!", katanya dengan perlahan. Namun, dia tidak tahu siapa mahu pukul siapa.

"Saudara, kata orang bijak pandai, tak baik mencuri," Meng Hao berkata penuh sopan. "Ayuh, kita bawa berbincang elok-elok. Saya hanya berniaga, tapi saya belum buka kedai lagi. Macam mana saya mahu ada Batu Rohani?"

"Kata orang bijak pandai? Di penara ini, akulah orang yang paling bijak pandai," kata Cao Yang yang berasa semakin riak selepas mendengar Meng Hao berkata-kata. "Kalau aku mahu belasah kau, siapa boleh halang aku? Kalau aku mahu cincang-cincang kau, siapa berani larang aku?" Dia mengandaikan Meng Hao sudah terketar ketakutan, maka dia ketawa terbahak-bahak dan melangkah menghampiri Meng Hao. Dia mendekatkan muka pada Meng Hao dengan pandangan mata yang mahu mencabar.

"Saudara, saya tidak mahu cari gaduh dengan awak. Lagipun saya bukan berada dalam Zon Awam. Tengok, saya ada di luar garis sempadannya." Muka Meng Hao tampak muram apabila dia berdiri dari batu tongkol itu untuk cuba bercakap baik-baik.

"Kau cakap berbelit-belit," kata si jantan sasa Cao Yang dengan penuh tidak sabar. "Kalau aku kata kau ada di dalam, maknanya kau ada di dalamlah!" Dia bergerak melepasi kain sepanduk itu dan baru mahu melibas Meng Hao dengan tangan.

"Kurang ajar!" Sewaktu Meng Hao melihat tangan si jantan sasa Cao Yang bergerak, air mukanya berubah dan dia seakan-akan berubah menjadi orang yang berlainan. Sambil Cao Yang bergerak ke hadapan, tangan kanan Meng Hao pun dilunjur pantas ke hadapan.

Satu bunyi dentuman kedengaran dan si jantan sasa Cao Yang terjerit nyaring seperti perempuan dan darah tersembur keluar dari mulutnya. Tubuhnya tercampak ke belakang dan mukanya kelihatan terkejut.

Tahap Pertapaannya lebih tinggi daripada tahap Pertapa yang ditampar Meng Hao semalam jadi dia tidak pengsan serta-merta. Namun, kesakitan menyelubungi tubuhnya. Dia baru mahu bangun kembali tetapi Meng Hao tiba-tiba muncul di sebelahnya dan menendang dia sehingga dia jatuh semula ke tanah.

"Kata orang bijak pandai, kalau awak ambil benda tanpa membayar, awak sengaja mencari maut."

"Saya sudah kata saya berniaga tapi kedai saya belum dibuka lagi. Saya tak ada Batu Rohani lagi." Sambil dia bercakap, dia mula memijak-mijak Cao Yang. Si jantan sasa itu mula berteriak nyaring dan tangisannya bergema di seluruh penara setiap kali Meng Hao memijaknya. Dia melindungi kepalanya dengan tangan sambil berguling-guling. Jubah hijaunya mula diselaputi kesan tapak kaki berdebu.

"Saya sudah kata saya di luar Zon Awam! Bukan di dalam!" Meng Hao menengking marah. Si jantan sasa itu mula merengek lemah dan tidak lama lagi, dia tidak akan ada tenaga untuk bersuara pun. Pertapa lain yang melihat mereka sedang menahan nafas cemas. Mereka hanya mampu melihat Meng Hao mengamuk seperti dirasuk jin. Ada antara mereka yang sudah datang semalam jadi mereka rasa mereka cukup bernasib baik kerana terlepas semua ini.

Hanya pelanggan pertama pada hari sebelumnya yang berasa paling bernasib baik. Dia melihat si jantan sasa Cao Yang melalak kesakitan, muka Meng Hao bengis sambil menerajang Cao Yang tanpa henti dan dia mula berpeluh-peluh. Semakin lama dia melihatnya, dia semakin yakin Meng Hao benar-benar menakutkan dan berbahaya.

Cao Yang sudah hampir pitam. Malaikat maut sudah menunggu di sebelah untuk mencabut nyawanya. Penglihatannya mula menjadi kabur. Kemudian, dia mengangkat tangan kirinya yang sedang menggigil. Di dalam genggamannya ialah sebiji Batu Rohani.

"Aku akan beli ubat kau!" Teriak Cao Yang. Dia menumpukan seluruh kekuatannya untuk menjerit sekuat yang mungkin kerana takut Meng Hao tidak dapat mendengarnya.

Meng Hao terhenti. Kakinya yang mahu menendang tadi terhenti separuh jalan. Riak wajah ganasnya hilang, digantikan dengan muka seorang Pertapa yang polos. Dengan senyuman mesra, dia mengambil Batu Rohani itu.

"Kenapa tak cakap awal-awal?" Dia membantu Cao Yang bangun dan membersihkan kesan tapak kaki dari jubahnya.

Si jantan sasa tadi kini menggeletar dan merenung takut pada Meng Hao. Cao Yang rasa mahu lari sekarang juga, sejauh yang mungkin dari syaitan bertopengkan manusia ini.

Sekarang, dia tiada bezanya dengan Pertapa semalam.

"Saudara, melihat keadaan awak sekarang, saya rasa sebiji pil ubat hanya boleh bantu awak sementara sahaja." Dia memegang erat bahu Cao Yang. Dia kelihatan seperti mempertimbangkan sesuatu untuk seketika waktu. "Awak ada banyak musuh. Apa kata awak beli lagi?"

avataravatar
Next chapter