18 Si Gempal Sekta Luaran

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Masa berlalu dengan sangat pantas. Meng Hao tidak keluar langsung dari Gua Dewa itu walau setengah langkah pun. Dia tidak akan boleh memadamkan cara Wang Tengfei menghasut seluruh dunia supaya menentang dirinya daripada ingatannya. Dia duduk bersila sambil merenung pada kuku jemarinya yang berkerak dengan darah kering. Perasaan kaku akibat kedukaan telah berubah menjadi kemarahan yang meluap-luap. Kemudian, dia kembali muram. Akhirnya, pada suatu hari, kedengaran bunyi keriut pintu utama Gua Dewa telah dibuka dan cahaya rembulan melimpah masuk.

Kakak Xu berdiri di gerbang pintu, dilingkari cahaya rembulan yang mengaburkan tubuh fizikalnya.

Meng Hao sepi seribu bahasa, begitu juga Kakak Xu. Masa terus berlalu. Akhirnya, Kakak Xu bersuara, "Saya baru sahaja selesai memencilkan diri untuk bertafakur semalam."

Meng Hao berdiri dan memberi salam tumbuk tanda hormat kepada Kakak Xu.

"Latar belakang Wang Tengfei sangat penting," dengan lembut Kakak Xu bersuara. "Dia bukan dari Negeri Zhao dan asas Pertapaannya sudah berada di peringkat keenam Pemekatan Qi. Orang-orang Lama Sekta telah pun memlih dia untuk dinaikkan ke Sekta Dalaman. Kamu...jangan sesekali cabar dia."

"Saya faham," Meng Hao berkata sambil tersenyum. Riak wajahnya sudah kembali seperti biasa. Seolah-olah dia sudah menghapuskan semua kedukaan tentang perkara yang telah berlaku. Walaupun begitu, jauh di dalam matanya telah wujud sesuatu yang tidak pernah muncul selama dia hidup sejak enam belas tahun lepas.

Ia cahaya dingin yang dipendam sedalam-dalamnya. Hanya dia sahaja yang boleh merasainya. Yang lain tidak akan faham.

"Tetapi," Kakak Xu menyambung, "kalau dia ganggu kamu lagi, kamu hanya perlu musnahkan manuskrip ini dan saya akan dapat merasainya walaupun saya sedang memencilkan diri untuk bertafakur." Sedetik berlalu dan Kakak Xu melambaikan tangannya. Sebuah manuskrip jed berwarna ungu muncul di sebelah Meng Hao.

"Dalam kalangan empat orang yang saya bawa ke gunung ini hari itu, kamulah orang pertama yang dinaikkan ke Sekta Luaran. Rakan kamu yang bekerja bersama kamu di Penempatan Hamba Utara telah dinaikkan sekta hari ini. Esok ketika subuh, dia akan tiba di Sekta Luaran untuk mendaftarkan diri." Setelah selesai bercakap, Kakak Xu berpaling untuk pergi.

"Terima kasih banyak, Kakak Xu. Saya ada satu soalan," Meng Hao berkata. "Saya harap Kakak Xu boleh jelaskan. Asas Pertapaan saya berada di peringkat keempat Pemekatan Qi. Dengan bakat terpendam saya ini, berapa lama kakak rasa saya dapat mencapai peringkat ketujuh?"

"Untuk mencapai peringkat keempat Pemekatan Qi dalam masa kurang daripada setahun menunjukkan yang awak mempunyai tuah dalam Pertapaan kamu. Kamu tidak perlu jelaskan dengan terperinci dan saya tak akan tanya. Tanpa tuah sebegitu, ia mungkin mengambil masa paling cepat pun, sepuluh tahun. Pada kadar yang lebih perlahan, ia boleh mengambil masa separuh daripada kitaran enam puluh tahun. Peringkat keempat, keenam dan kelapan sangat sukar. Terutama sekali peringkat keenam. Tanpa tuah, sukar untuk mencapai peringkat ketujuh."

"Semua orang pun begitu?"

"Ya, semua orang." Kemudian dia pergi. Meng Hao kembali duduk bersila. Keyakinan dan semangat membaranya terpancar dari matanya.

Sejam kemudian, dia bangun dan keluar dari Gua Dewa untuk kali pertama dalam beberapa hari ini. Musim telah berubah sekali lagi dan nampaknya musim luruh akan tiba dalam beberapa hari lagi. Dedaunan telah mula bertukar warna dan angin bertiup merintangi gunung-ganang dan lembah.

Di bawah cahaya rembulan, Meng Hao berjalan melalui jalan kecil ke dalam hutan rimba gunung. Suasana sunyi sepi. Hanya bunyi kersikan lembut dedaunan yang gugur sahaja kedengaran sepanjang Meng Hao berjalan menuju ke Gunung Utara.

Dia mahu berjumpa dengan Si Gempal. Di dalam seluruh Sekta ini, Si Gempallah satu-satunya sahabatnya.

Penempatan Hamba Utara agak sedikit sunyi lewat malam sebegini. Sewaktu dia semakin hampir, dia dapat mendengar bunyi dengkuran yang kuat. Bunyi dengkuran yang lain daripada yang lain yang dia sudah biasa dengar selama empat bulan dia bekerja sebagai seorang hamba.

Pemuda bermuka panjang yang mengetuai Penempatan Hamba Utara sedang duduk bersila di atas batu tongkol besar. Dia membuka matanya dengan tiba-tiba dan ternampak Meng Hao. Dia agak terkejut buat seketika. Kemudian, dia bangkit dan memberi salam tumbuk tanda hormat kepada Meng Hao.

"Selamat sejahtera, Abang Meng." Khabar tentang Meng Hao telah tersebar luas baru-baru ini dan pemuda bermuka panjang pasti sudah mendengarnya.

"Kita santai-santai sahaja, Abang," Meng Hao menjawab sapaan itu. "Saya datang nak berjumpa kawan lama." Meng Hao dapat merasakan asas Pertapaan pemuda ini berada di peringkat ketiga Pemekatan Qi setelah dia cuba menelitinya. Kelihatan seperti ia telah tersekat di peringkat ketiga selama beberapa tahun.

Abang Seguru Bermuka Panjang mengangguk. Setelah Meng Hao menjejakkan kaki ke dalam Penempatan Hamba, dia kembali duduk bersila. Riak wajahnya aneh. Dengan keluhan di dalam hati, dia memejamkan matanya kembali.

Meng Hao berjalan masuk ke halaman dan terjumpa Rumah Ketujuh Timur. Sedang dia menghampirinya, dia dapat mendengar bunyi dengkuran Si Gempal. Sebaik sahaja dia memasukinya, air mukanya berubah menjadi pelik dan keresahan yang mengisi hatinya baru-baru ini mulai hilang.

Si Gempal terlentang dan berdengkur. Katil lain di dalam bilik itu telah ditolak jauh dari dinding menghasilkan satu jurang kecil.

Di jurang itu, terdapat seorang lelaki besar yang dipanggil Tok Rimau sedang terlena. Walaupun dia sedang tidur, wajahnya kelihatan seperti dalam ketakutan. Seolah-olah dia sedang bertembung dengan sesuatu yang menakutkan dalam mimpinya.

Katil kayunya dipenuhi dengan pelbagai kesan gigitan. Di sesetengah tempat, ia telah dikunyah sepenuhnya. Terlalu banyak gigitan kelihatan hingga ia mungkin akan runtuh. Meja kayu pula sudah lama tiada. Meng Hao dapat membayangkan yang meja itu pasti sudah hancur dikunyah. Malah, terdapat bekas gigitan di dinding juga. Keadaan ini sangat berbeza dengan katil Si Gempal di mana tiada bekas gigitan langsung.

Lelaki besar di sudut itu menggigil, kemudian berteriak hiba. Nampaknya dia sedang bermimpi ngeri. Berdasarkan badannya yang kurus kering, tidak bermaya dan bulatan hitam di bawah matanya, dia mungkin tidak dapat tidur lena kebelakangan ini. Meng Hao hanya boleh membayangkan keadaan malang yang menyeksanya hingga jadi begini.

Nampaknya, jeritannya telah mengejutkan Si Gempal. Si Gempal yang berasa jengkel bangkit dan duduk. Kemudian, dia ternampak Meng Hao. Mukanya terus menjadi teruja.

"Ayam hutan! Awak ada bawa ayam hutan?"

Meng Hao melihat Si Gempal dan tidak mampu untuk menahan senyuman.

Dia masih lagi bulat macam dulu-dulu. Beratnya tidak berkurangan sedikit pun. Malah, dia kelihatan lebih gempal sedikit. Giginya juga semakin panjang, dalam setengah kali ganda. Sewaktu dia bercakap, giginya bergemerlapan dengan sangat terang.

"Saya dengar awak sudah capai peringkat pertama Pemekatan Qi," Meng Hao berkata sambil tersenyum, "jadi saya datang untuk berjumpa dengan awak. Saya tergesa-gesa hingga tidak sempat untuk bawa ayam." Dia duduk di atas katil bersebelahan Si Gempal sambil memeriksa gigi Si Gempal.

Si Gempal yang berbangga dengan asas Pertapaannya, mula bercakap. Meng Hao tidak bercakap sangat, sebaliknya lebih mendengar perbualan Si Gempal. Tidak lama kemudian, malam sudah tiba ke penghujungnya dan matahari mulai terbit. Luka di hati Meng Hao juga mulai sembuh, hanya meninggalkan parut sahaja. Kuku di dalam Gua Dewa dan pandangan dingin matanya bersatu dalam diri Meng Hao untuk mencipta rupa yang lebih matang.

Di Subuh hari, Meng Hao pergi bersama Si Gempal. Tok Rimau melihat mereka pergi dengan bercucuran air mata. Tangisannya membuat Si Gempal berasa sedih dan sebelum mereka melangkah keluar dari halaman itu, dia berlari kembali ke arah Tok Rimau. Dia memeluk dan berkata sesuatu kepada Tok Rimau. Kata-katanya itu menyebabkan wajah lelaki besar itu pucat dan tubuhnya menggigil.

"Awak cakap apa pada dia tadi?" Meng Hao bertanya setelah mereka sudah hampir tiba di Kelas Luaran.

"Dia orang baik. Selepas awak tinggalkan Penempatan Hamba, dia jadi kawan saya. Dia sangat sedih kerana saya pergi, saya tidak sanggup tinggalkannya." Si Gempal berasa perit. "Saya cakap yang saya pasti akan selalu pulang melawatnya. Dia nampak kental," sambung Si Gempal kesedihan. "Tetapi dia sebenarnya seorang pengecut. Dia sentiasa mimpi ngeri semasa tidur. Kasihan dia."

Meng Hao tidak berkata apa-apa, dia juga tidak bertanya apa-apa tentang lelaki itu. Sewaktu mereka berdua berjalan melalui Kelas Luaran, orang ramai melihat pada Meng Hao. Riak wajah mereka seolah-olah sedang cuba membaca dirinya.

"Eh? Nampaknya kecoh betul Sekta Luaran dibuat awak, Meng Hao," Si Gempal berkata dengan rasa teruja. "Semua orang pandang awak." Dalam kepalanya, dia menyangka orang ramai tentu takut mahu membuli dia lagi kerana sekarang dia bersama Meng Hao.

Meng Hao hanya tersenyum tanpa memberi penjelasan lanjut. Ketika mereka hampir tiba di Astaka Khazanah, Meng Hao menghentikan langkah. Dia memerhatikan Si Gempal menghampiri bangunan itu.

Dalam masa yang diperlukan oleh colok untuk separuh terbakar, Si Gempal kembali dengan sangat teruja. Dia membawa sebilah pedang pendek yang diliputi satu lapisan seperti sisik ikan. Ia tidaklah tajam sangat, tetapi tahan lasak.

"Lihat khazanah yang saya dapat, Meng Hao. Ini betul-betul khazanah yang hebat," kata Si Gempal sambil mengayun-ayunkan pedang itu di udara. Meng Hao baru sahaja mahu tanya tentang kegunaan pedang itu, tetapi Si Gempal telah membuka mulutnya dan mengikis giginya dengan pedang itu. Satu bunyi geseran dapat didengari Meng Hao dan dia tidak pasti sama ada mahu ketawa atau menangis.

"Bagusnya!" Si Gempal menjerit keriangan. "Gigi saya semakin panjang dan saya asyik mencari benda untuk mengikisnya. Tetapi semua benda yang saya jumpa, selalunya akan rosak dalam beberapa hari. Sekarang, saya boleh guna khazanah ini untuk mengikis gigi saya selama-lamanya!"

Meng Hao membawa Si Gempal berjalan-jalan di sekitar Sekta Luaran. Malah, dia juga menawarkan supaya Si Gempal tinggal bersamanya di dalam Gua Dewa. Namun, Si Gempal menolak tawaran itu. Dia sudah terlalu lama hidup bersama rakan sebilik. Kini, dia tidak sabar untuk memiliki tempat sendiri dalam Sekta Luaran. Tidak kira apa-apa pun yang Meng Hao katakan, ia takkan menggugat keputusannya. Setibanya mereka di rumah Si Gempal, dia kelihatan sangat bahagia.

Meng Hao tidak mendesaknya. Sewaktu malam semakin larut, Meng Hao pulang ke Gua Dewa dan duduk bersila.

Masa berjalan dengan pantas. Tiga purnama sudah berlalu. Dua purnama sebelumnya, Meng Hao telah membuka kembali kedainya di Zon Awam Tahap Rendah. Mungkin kerana musibah yang berlaku pada Wang Tengfei, tiada siapa yang mencari pasal dengannya. Tidak lama kemudian, perniagaannya mulai maju.

Meng Hao telah menambah barang sakti dalam senarai barang jualannya dan perniagaannya semakin berkembang dengan pesat lagi. Tetapi kini, sudah ada seorang lagi dalam perniagaannya. Di sisinya, terdapat seorang anak muda gempal yang asyik mengikis giginya dengan pedang terbang. Dia sangat bijak berniaga dan kerap menjual barangan di dalam Zon Awam. Tanpa disedari, dia telah menjadi tunggak utama perniagaan itu. Dengan kerjasama Meng Hao yang tidak boleh memasuki Zon Awam itu sendiri, mereka berjaya mendapat keuntungan lumayan.

Suatu hari, ketika musim sejuk dan emping salji memenuhi udara, Meng Hao duduk bersila di pinggir penara dan mula bertafakur. Tiba-tiba, Si Gempal menjerit sambil memegang seseorang dan mengheretnya ke arah Meng Hao.

"Meng Hao, Meng Hao, tengoklah siapa ini!"

avataravatar
Next chapter