12 Selamat Sejahtera, Kakak Xu

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Peristiwa itu telah menarik perhatian Pertapa berhampiran dan menimbulkan pelbagai reaksi. Ramai yang tertanya-tanya tentang perkara yang sebenarnya berlaku. Namun kini, mereka semua tahu yang mereka tidak boleh mencabar Meng Hao.

Walaupun mereka yang lain tidak jelas tentang peristiwa tersebut, tetapi semuanya jelas bagi pelanggan pertama Meng Hao yang sedang menggigil itu. Degupan jantungnya sangat kencang. Dia menepuk beg saktinya dan mengeluarkan enam biji Batu Rohani. Dia menyerahkan batu itu dengan penuh beradab. Dia menyesal kerana teragak-agak di hadapan Toko Pil Pertapaan tadi. Akhirnya, dia sudah tidak memiliki apa-apa ubat akibat kekhuatirannya kehilangan Batu Rohani ketika itu. Kini, dia sudah tiada Batu Rohani bagi membeli apa-apa untuk dirinya.

Meng Hao menerima Batu Rohani itu dan mengeluarkan sebiji Pil Pembekuan Darah dan Pil Kelegaan Tulang untuk diserahkan kepada lelaki itu.

"Terima kasih banyak atas sokongan awak," Meng Hao berkata sambil tersenyum lebar. "Sila datang lagi." Sekali lagi, dia kelihatan seperti lemah tidak bermaya. Namun, bagi Pertapa yang berdiri di hadapannya, Meng Hao ialah musang ganas yang berbulu ayam. Lelaki itu berlalu pergi dengan badannya yang masih menggeletar.

Setelah pelanggannya pergi, Meng Hao memutuskan untuk tidak kembali duduk di tempatnya di atas batu itu. Dia mengambil sepanduk Cawangan Toko Pil Pertapaan dan mula berjalan-jalan di Zon Awam itu. Dia berhenti berhampiran dua orang pengikut yang sedang bertarung dan memacakkan sepanduk itu ke tanah.

"Saudara, nampaknya awak cedera," Meng Hao bersuara sambil melangkah ke hadapan. "Awak juga kelihatan lesu. Awak tidak boleh terus bertarung dengan keadaan awak sekarang ini."

Dua orang murid itu merenung Meng Hao dengan kagum. Mereka teragak-agak selepas melihat Meng Hao baru sahaja menumpaskan seseorang dan mereka berundur sedikit secara serentak.

"Kebetulan saya ada sedikit Pil Pemulihan Rohani dari Toko Pil Pertapaan. Ambillah sebiji dan awak akan pasti menjadi cergas. Awak pasti akan menang. Memandangkan hari ini hari pembukaan perniagaan saya, ia hanya bernilai sebiji Batu Rohani. Murah, bukan?" Meng Hao terus melangkah ke hadapan dengan riak wajah yang penuh keikhlasan.

"Saya pun ada beberapa pil ubat," lelaki yang dikelentongnya itu bersuara. Dia menepuk beg saktinya dan mengeluarkan Pil Pemulihan Rohani. Lantas dimasukkan pil itu ke dalam mulutnya.

Meng Hao mengeluh melihatnya. Dia sudah lama memerhatikan pelanggan pertamanya itu sebelum memastikan yang lelaki itu tiada pil ubat. Dengan batuk olok-olok, dia melihat pada lelaki kedua yang berdiri di hadapannya. Lelaki itu mendengus, kemudian mengeluarkan pil ubat dan menelannya. Lelaki itu mengeluh di dalam hati.

Namun, Meng Hao tidak lemah semangat. Dia berpusing kembali ke batu tongkol tadi dan terus memperhatikan mereka berdua. Masa kian berlalu pergi dan keadaan mereka berdua semakin teruk. Tidak lama kemudian, kedua-duanya sudah pasti kehabisan pil ubat dan mereka tiba ke puncak pertarungan yang kritikal. Kemenangan dan kekalahan akan diputuskan.

Meng Hao kembali bersemangat. Dia memegang sepanduk itu dan menghampiri mereka sekali lagi.

"Saudara, saat hidup atau mati telah tiba. Pil ubat awak sudah habis. Tetapi jangan risau, saya ada beberapa di sini."

"Di saat penentuan yang kritikal ini, belilah sebiji Pil Pemulihan Rohani saya. Tenaga awak akan pulih serta-merta. Malah, tenaga rohani awak juga. Saudara, awak bukannya beli pil ubat, awak beli tenaga rohani. Oh tidak, awak sudah cedera!" kata-kata Meng Hao mengganggu tumpuan kedua-dua Pertapa itu. Sebilah pedang terbang terkena lengan salah seorang daripada mereka. Darah terpancut merata-rata. Dia berundur dengan jeritan.

Meng Hao lebih pantas daripada lelaki yang tercedera itu. Dia mengekori lelaki itu sambil meneruskan percakapannya dengan berkelihatan lemah tidak bermaya seperti sebelum ini.

"Saudara, sekaranglah masanya. Kecederaan awak sangat parah. Cepat, beli sebiji Pil Pembekuan Darah. Kalau tidak, keadaan awak akan jadi sangat bahaya."

"Berambus!" Pihak lawan lelaki yang cedera itu menjerit pada Meng Hao sambil meluru ke arah lelaki itu.

"Beri saya sebiji pil," Pertapa yang cedera itu bersuara. Wajahnya pucat. Dia mengetapkan gigi dan mengeluarkan sebiji Batu Rohani sambil berundur beberapa langkah ke belakang. Meng Hao melancarkan Pil Pembekuan Darah ke arah luka di tangan lelaki itu. Darah mula berhenti. Dia menumpukan perhatian dan kemudian meloncat masuk kembali bertarung.

"Aduh, saudara, nampaknya pil ubat awak juga sudah habis. Lihat, saya ada beberapa biji lagi. Pihak lawan awak sudah beli sebiji dan sekarang tenaganya meluap-luap. Tetapi, awak cedera. Apa kata awak beli sebiji Pil Pembekuan Darah?"

"Oh tidak, awak terkena kelar sekali lagi. Awak mesti penat. Berhati-hati dan jangan putus asa. Saudara, saya masih ada Pil Kelegaan Tulang."

"Sebiji Batu Rohani untuk sebiji pil. Awak patut beli pil ini cepat. Orang bijak pandai pernah berkata, Batu Rohani mempunyai nilai, tetapi nyawa itu tidak ternilai." Meng Hao mengelilingi mereka perlahan-lahan. Mereka memang telah kehabisan pil perubatan dan tidak lama kemudian, mereka mula membeli. Pertarungan itu menjadi semakin serius. Pertarungan mereka menjadi empat atau lima kali ganda lebih sengit daripada pertarungan biasa hari ini.

Pada asalnya, mereka hanya beradu tenaga biasa. Namun, dengan Cawangan Toko Pil Perubatan di sini, perkara menjadi lebih rumit. Dalam pertarungan yang berbahaya, pasti akan ada yang tercedera. Hal ini tidak boleh disangkal lagi.

Dua orang lelaki itu akhirnya sudah tiada tenaga langsung. Mereka jatuh berdebur ke tanah dan tidak sedarkan diri. Batu Rohani sudah dibelanjakan dan pil ubat sudah habis dimakan. Malah, benda sakti juga telah musnah di dalam pertarungan itu. Mereka juga telah mati akal. Tragis sungguh.

Paling penting bagi Meng Hao, dia telah menyelamatkan nyawa mereka. Atau sekurang-kurangnya satu nyawa. Dia mengangkat sepanduknya dan mula berjalan-jalan di sekitar penara itu. Sekali lagi, dia terjumpa dua orang Pertapa yang sedang bertarung dengan sengit. Daripada pemerhatiannya, walaupun mereka ada ubat penyembuh, ia tentu sudah habis. Matanya bersinar dan dia mencacakkan sepanduknya bersebelahan mereka berdua.

"Saudara, warna kulit awak kelihatan pucat dan awak mengalami kecederaan yang parah juga. Tapi jangan risau, saya ada pil ubat. Sebiji Batu Rohani boleh membeli sebiji pil. Awak akan dijamin sembuh."

"Kenapa awak berdiam diri sahaja? Awak tidak percayakan saya? Baru sahaja tadi, seorang murid beli beberapa pil saya dan pihak lawannya telah mati."

Tidak lama kemudian, setiap seorang telah membeli sebiji pil, kemudian sebiji lagi dan lagi sehingga mereka tiada Batu Rohani lagi. Setelah bertarung dengan sengit, pertarungan mereka berkesudahan dengan seri; tanpa apa-apa untuk dipertunjukkan kecuali beg sakti yang kosong.

Meng Hao menganggukkan kepala lalu mencabut sepanduknya dan mencari tempat baharu untuk berniaga.

Menjelang matahari terbenam, Meng Hao sudah menjual pil ubat di seluruh pelosok Zon Awam. Lama-kelamaan, pertarungan akan berhenti serta-merta dan mereka akan bersurai di mana-mana sahaja dia pergi. Akhirnya, hanya tinggal Meng Hao yang sedang memandang kosong pada Zon Awam yang sunyi sepi itu.

Dia menepuk beg saktinya dengan rasa puas hati dan berangkat pulang. Pada waktu lewat malam, dia tiba di Gua Dewa. Dia duduk bersilang kaki dan mula mengira hasil keuntungannya.

"Satu, dua..." Dia semakin teruja sewaktu mengiranya. "Kesemuanya sekali, aku ada lima puluh tiga biji. Aku kaya. Kaedah ini lebih pantas daripada merampas daripada orang. Ia juga lebih selamat. Tidak perlu membunuh sesiapa."

"Pil ubat aku sudah berkurangan. Esok aku akan pergi ke Toko Pil Perubatan dan beli lagi. Kalau aku mahu perniagaanku maju, aku patut beli semua ubat penyembuh purnama ini. Kalau tidak cukup Batu Rohani, aku akan beli sebanyak yang mungkin. Kalau pil itu lebih sukar didapati, lebih mudah untuk aku jual."

Meng Hao membuka beg sakti yang diambil daripada Pertapa yang tidak sedarkan diri itu. Di dalamnya terdapat beberapa Batu Rohani, dua biji Pil Pemekatan Rohani dan sebiji pil ubat berwarna merah jambu.

Dia memegang dan memeriksa pil tersebut. Dia cam yang pil itu adalah Pil Pertapaan Rupawan daripada Toko Pil Pertapaan. Ia bernilai dalam sepuluh biji Pil Pemekatan Rohani dan boleh dianggap salah satu produk paling mahal yang dijual.

"Pil ini dicipta untuk mengekalkan rupa fizikal seseorang. Sia-sia sahaja kalau aku guna untuk diri sendiri." Dia rasa pemilik asalnya mesti cuba memikat seorang pengikut wanita. Tanpa memikirkan lagi tentang pil itu, dia memasukkannya ke dalam beg saktinya.

Sedang dia melihat kesemua Batu Rohani dan pil ubat miliknya dengan penuh kepuasan, tiba-tiba pintu utama Gua Dewa berbunyi dan terbuka. Semuanya berlaku dengan pantas. Meng Hao tiada masa untuk mengumpulkan semua hasil jualan dia tadi.

Seorang wanita masuk dengan dikelilingi cahaya bulan. Dia sangat cantik, tetapi dingin dan tiada perasaan. Dia memakai jubah perak labuh sehingga menampakkan dirinya seolah-olah memakai bulan itu sendiri.

Tidak lain tidak bukan, dia ialah Kakak Xu daripada Kelas Dalaman Reliance.

Sewaktu dia memasuki Gua Dewa, cahaya bulan telah jatuh menyinari Batu Rohani dan pil ubat yang berada di hadapan Meng Hao. Sedikit rasa kagum terpancar di wajah dingin wanita itu.

"Selamat sejahtera, Kakak Xu," sapa Meng Hao. Tangan kanannya menyapu Batu Rohani dan pil ubat itu dengan tergesa-gesa. Dia berdiri di sana, tersipu-sipu malu.

Kakak Xu tidak mengeluarkan sepatah kata pun. Dia hanya melihat Meng Hao dan menganggukkan kepala. Kemudian, dia berpaling untuk pergi.

Meng Hao terkejut. Lantas, Meng Hao mengekorinya.

"Kakak Xu, susah-susah awak datang ke mari, kenapa tidak duduk sebentar?"

"Tak perlu," dia menjawab dengan dingin. "Saya akan memencilkan diri untuk bertafakur mulai esok dan saya hanya mahu periksa keadaan kamu." Dia melihat Meng Hao dan berjalan keluar dari gua itu.

Meng Hao berasa malu dan menyesal kerana tidak mengumpulkan Batu Rohani itu sepantas mungkin. Dalam hal ini, dia sepatutnya kelihatan lemah dan mungkin Kakak Xu sanggup membantunya lagi.

Pada masa yang sama, Meng Hao berasa sedikit riang di hatinya. Kakak Xu kelihatan dingin dan tidak mempedulikannya, tetapi dia datang ke sini untuk menjenguknya. Hal ini bermaksud Kakak Xu masih mengingatinya. Hatinya berdebar. Dia menepuk beg saktinya dan mengeluarkan pil ubat berwarna merah jambu itu.

"Dari dulu saya mahu berterima kasih pada Kakak Xu. Saya simpan beberapa Pil Pemekatan Rohani supaya saya boleh menukarkannya dengan Pil Pertapaan Rupawan ini. Tolonglah terima. Hanya kakak sahaja yang layak menerima pil sebegini di mata saya. Dari saat saya memasuki sekolah ini, saya ada impian. Impian saya, supaya kakak kekal muda dan cantik selama-lamanya." Dengan penuh sopan dan beradab, dia terus memberi pil itu.

Langkah Kakak Xu terhenti. Dia berpaling melihat Meng Hao. Matanya melirik pada pil di tangan Meng Hao dan menerimanya.

"Walaupun Pil Pemekatan Rohani biasa didapati di sekolah ini, ia hanya berkesan hingga ke peringkat kelima Pemekatan Qi. Pertapa seperti kita sangat mementingkan asas Pertapaan. Dunia kita berkisarkan Pertapaan, di mana hidup dan mati dipisahkan dengan garisan yang sangat tipis. Kamu tak boleh terus hidup begini. Memang kamu pandai tapi kamu mesti berusaha untuk meningkatkan pertapaan kamu." Ini kali pertama Meng Hao mendengar Kakak Xu bercakap dengan sangat panjang lebar. Sesudah dia bercakap, Meng Hao mengangguk tanda hormat.

"Asalkan Kakak Xu suka, saya sanggup menukar apa-apa saja untuk mendapatkannya," Meng Hao berkata sambil menundukkan kepala dan mengelip matanya. Dia tersipu-sipu malu.

"Kali ini... Saya akan terima. Tetapi, lain kali jangan tukar pil kamu begini." Dia mengambil pil itu. Dia teragak-agak seketika, kemudian dia mengeluarkan loket jed berwarna merah jambu dan menyerahkannya pada Meng Hao.

"Ini benda sakti," dia berkata. "Kamu perlu lindungi diri kamu." Dia mula berjalan menuruni gunung itu.

"Terima kasih banyak, Kakak Xu," Meng Hao berkata. "Bolehkah saya menemani kakak berjalan? Sudah lama saya tidak bertemu kakak dan saya ada beberapa soalan tentang Pertapaan yang saya harap kakak boleh jelaskan untuk saya." Dia tahu yang ini peluang keemasan. Wanita ini satu-satunya tempat untuk dia bergantung, jadi dia perlu rapat dengannya. Kalau dia dapat berjalan bersama Kakak Xu di Kelas Luaran dan dilihat oleh orang lain, mungkin orang yang mahu mengganggunya akan berkurangan nanti.

Kakak Xu berbelah-bahagi. Dia seorang yang tidak mengendahkan orang lain dan biasanya tidak bercakap sangat. Dia tidak pernah meluangkan masa bersama pengikut sekolah lelaki. Dia berasa sedikit aneh ketika Meng Hao berdiri di sebelahnya. Dia mahu menolaknya. Namun, setelah dia selesai bercakap, dengan tersipu-sipu dia teringat tentang Pil Pertapaan Rupawan yang Meng Hao berikan padanya. Maka, dia hanya mengangguk dengan diam.

Cahaya rembulan melimpahi kedua-dua manusia yang sedang berjalan itu.

Sejurus kemudian, kelihatan seorang orang tua tinggi berpakaian jubah kelabu sedang berdiri di puncak Gunung Utara. Dia berasa kagum sewaktu melihat ke bawah pada tempat kejadian.

"Bagus. Si Meng Hao ini agak hebat juga. Dia betul-betul faham tafsiran sebenar Sekolah Aliran Reliance. Dia tahu dia perlu cari seseorang sebagai tempat bergantung. Dia juga tahu kalau dia menjaga hubungan dengan orang itu, dia akan sentiasa ada tempat bergantung." Ini orang tua sama yang meluahkan kekagumannya pada Meng Hao ketika hari Pengagihan Pil. Semakin banyak dia mempelajari tentang Meng Hao, semakin dia kagum dengan budak itu.

avataravatar
Next chapter