73 Pertempuran Sengit

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Peringkat kesembilan Pemekatan Qi!" Shangguan Xiu menghela nafas panjang sambil memerhatikan Meng Hao. Dia telah mengekalkan jampi itu di sini selama dua bulan. Para pertapa dari Bandar Bima Sakti tidak tahu sebab sebenar dia berada di sini dan dia tidak mahu pertapa hebat datang mengganggunya di sini. Dia hanya berada di sini untuk Meng Hao.

Berdasarkan semua yang dia sudah lihat dan dengar baru-baru ini, dia sudah rasa enam puluh peratus pasti yang Meng Hao memiliki barang khazanah sangat berbahaya yang boleh menyalin khazanah tanpa had.

Jika tidak, masakan dia boleh ada begitu banyak pil ubat dan pedang terbang? Macam mana Meng Hao tidak perasan yang sepuluh bilah pedang terbangnya hilang pada hari pertarungannya dengan Wang Tengfei?

Pedang itu kelihatan sudah patah, tetapi sebenarnya ia telah dibawa pergi secara rahsia oleh Shangguan Xiu dan dia mengkajinya dengan teliti. Dia mendapati kesemua sepuluh bilah pedang itu telah dibentuk oleh bahan yang benar-benar sama.

Walaupun semua pedang terbang kelihatan sama pada dasarnya, tetapi ia akan tetap ada perbezaan kecil yang ditinggalkan dalam proses penempaannya dan ia boleh dikesan nanti. Berbeza dengan pedang Meng Hao, perincian pedangnya benar-benar sama dan ini telah membangkitkan kecurigaan Shangguan Xiu.

Namun, dia tidak yakin sepenuhnya hanya kerana bukti itu. Tetapi kini, setelah melihat asas Pertapaan Meng Hao sudah pun mencapai peringkat kesembilan Pemekatan Qi, keyakinannya bertambah sehingga lapan puluh peratus atau lebih lagi.

"Kau mungkin sudah capai peringkat kesembilan Pemekatan Qi, tetapi aku tahu yang kau baru sahaja mencapainya," Shangguan Xiu berkata dengan matanya bersinar dingin. "Kalau kau melarikan diri sekali lagi hari ini, aku akan letupkan Bebola Darah yang aku baru hantar ke bawah gunung itu tadi. Kalau itu berlaku, seluruh rakyat tiga wilayah itu akan menjadi abu dan asap dalam sekelip mata sahaja." Dia benar-benar khuatir Meng Hao akan melarikan diri. Jadi, sebelum menyerang, dia telah membuat persediaan untuk menghalang Meng Hao daripada berbuat demikian.

"Aku takkan lari hari ini." Kenangan selama hampir lima tahun bermain di minda Meng Hao sewaktu dia melihat Shangguan Xiu. Pertelingkahan mereka sebelum Sekta itu berpecah, kejar-mengejar setelah Sekta itu dibubarkan, semuanya terimbas di mata Meng Hao. Niat membunuhnya timbul serta-merta. Dia mengangkat tangannya dan seekor Ular Sawa Api besar dalam tiga puluh meter panjangnya muncul. Bukan sahaja saiznya yang mengagumkan, tetapi di kepalanya terjojol satu tanduk besar. Badan berapinya berkelip-kelip dan memancarkan haba yang sangat tinggi sewaktu dilancarkan ke arah Shangguan Xiu.

Kepala yang dipenggal di sekitar Shangguan Xiu meretak dan terbakar akibat kepanasan itu dan beberapa kepala mula bergolek ke arahnya. Dia ketawa sambil menepuk beg saktinya dan mengeluarkan panji lima warna. Panji besar itu direntang dan kabut lima warna bergulung keluar dari dalamnya. Kabut itu kemudiannya bertukar menjadi lima hantu kabut dan setiap satu daripadanya berketinggian berpuluh-puluh meter. Hantu-hantu itu meluru ke arah Ular Sawa Api itu sambil menyeringai dengan ngeri.

Sebuah letupan besar berlaku dan menghentam batu tongkol berhampiran menjadi debu serta melenyapkan pokok di sekitar termasuklah pokok rotan Gunung Daqing sehingga menjadi abu. Abu dan debu berputar-putar di udara menjadikan kawasan itu berjerebu.

Di tengah-tengah jerebu itu, Meng Hao meluru ke hadapan dengan sangat pantas. Kepala yang masih belum terbakar itu terus bergolek-golek ke arah Shangguan Xiu. Matanya bersinar dan jari-jarinya meliang-liuk membuat simbol mantera. Kemudian, dia menyodok tangannya ke hadapan.

"Maut lima warna!" Dia menjerit dan bunyi seram yang bergetar tiba-tiba muncul di sekelilingnya. Meng Hao menepuk beg saktinya dan gulungan lukisan muncul di dalam tangannya. Lantas dia membentangkannya dan enam ekor haiwan meloncat keluar sambil melolong.

Bunyi gemuruh yang sangat dahsyat mengelilingi mereka. Meng Hao meluru ke arah Shangguan Xiu yang mata dinginnya bersinar terang. Shangguan Xiu juga meluru ke hadapan dan lebih banyak kepala yang dipenggal itu dihancurkan menjadi lembik.

"Kau tahu apa nama Sekta Reliance sebelum zaman Bapa Reliance?" Shangguan Xiu bertanya dengan tenang. "Ia dipanggil Sekta Pengunci Syaitan!" Tiba-tiba dia melihat ke arah puncak Gunung Daqing dan menghentakkan kakinya ke tanah. Gunung Daqing bergegar dan kemudian, aura yang tidak dapat digambarkan telah meletus keluar dari dalam gunung itu dengan tiba-tiba. Ia bukan sekadar satu jalinan biasa, tetapi ia seolah-olah bergetar dengan kekuatan langit dan bumi. Ia juga bukan bergerak sendiri, tetapi ia dikawal oleh Shangguan Xiu. Ia berpusar ke atas dari tanah di bawah kaki Meng Hao.

Shangguan Xiu kelihatan seperti bertambah tua seolah-olah dia berumur sepuluh tahun lebih tua. Dia kelihatan hampir seperti mayat hidup yang merangkak keluar dari kubur.

Hikmat yang baru dilancarkan tadi memang jelas sangat sukar untuk dilaksanakan dan memerlukan pengorbanan hayatnya. Pada asalnya, dia takkan menggunakannya, tetapi setelah melihat tahap asas Pertapaan Meng Hao, dia tiada pilihan lain. Dia mahu tamatkan pertarungan ini dengan mudah dan lancar. Lagipun, semua Pertapa di dalam Negeri Zhao sedang memburu Meng Hao sekarang.

Pertarungan ini pasti akan menarik perhatian mereka. Jika dia dapat tamatkan pertarungan ini dengan pantas, dia akan ada banyak masa untuk merampas khazanah yang diimpikannya.

"Sekta Pengunci Syaitan memanggil keluar Syaitan hebat di dunia ini, kunci mereka, melepaskan rohani mereka dan mengambil kuasa mereka untuk merempuh langit! Kau baru sahaja masuk peringkat kesembilan Pemekatan Qi, apa yang kau boleh guna untuk melawan aku? Kalau aku mahu, aku boleh capai tahap Pengukuhan Asas lima puluh tahun lalu!" Sewaktu Shangguan Xiu bercakap, Meng Hao menghayunkan gulungan lukisan itu dan menggunakannya untuk menghalang jalinan aura yang telah keluar di sekitar kakinya.

Tetapi, sebaik sahaja gulungan lukisan menyentuh aura itu, sebuah letupan kedengaran dan rekahan telah muncul di permukaannya seolah-olah ia telah dicampak dengan ganas. Jalinan aura itu dilancarkan ke arah Meng Hao.

Satu lagi letupan kedengaran dan Meng Hao membatukkan segumpal darah. Kipas berbulu itu telah muncul di hadapannya dalam sekelip mata untuk melindungi dirinya. Bulu-bulunya telah terbelah sewaktu Meng Hao mengambil peluang itu untuk mengelakkan diri. Walaupun dia berjaya mengelak, tetapi dia masih lagi terumbang-ambing ke belakang dan membatukkan tiga gumpal darah lagi.

Hanya satu langkah telah dibuat dan Meng Hao sudahpun cedera. Nampaknya, Shangguan Xiu memang memliki rahsia yang tidak dapat dikesan. Dia ketawa dengan sinis dan dia telah membazirkan nyawanya untuk melaksanakan serangan ini. Walaupun ia tidak dapat membunuh Meng Hao, Shangguan Xiu tetap bertekad untuk menang. Dia melangkah ke hadapan dengan memijak kepala-kepala yang hancur dan berdarah itu.

Mulut Meng Hao penuh dengan darah, tetapi matanya masih bersinar ganas. Sewaktu Shangguan Xiu mula melangkah ke hadapan, Meng Hao telah mengangkat tangannya dan aura hitam bangkit dari dalam kepala yang dilenyek itu. Dalam sekelip mata, aura itu bersatu menjadi kala jengking hitam. Ia bergerak sepantas kilat sehingga Shangguan Xiu tidak sempat untuk menarik kakinya atau meloncat pergi. Sengat kala jengking itu telah ditusuk ke dalam daging kaki Shangguan Xiu.

Sewaktu sengat itu tertusuk ke dalam, kala jengking itu bertukar menjadi aliran hitam yang melimpah masuk dalam Shangguan Xiu.

Wajahnya berkerut. Kejadian ini berlaku terlalu pantas dan tidak dijangka. Kala jengking itu daripada pil ubat yang jarang didapati dan dia telah memperolehinya daripada Qian dan Lu dari Sekta Takdir Ungu Lembayung tempoh hari. Kala jengking sakti ini sangat beracun!

Aura hitam itu memasuki kaki Shangguan Xiu dan bergabung ke dalam laluan Qinya sehingga memenuhi seluruh tubuh badannya dalam sekelip mata. Wajahnya berubah menjadi hitam dan dia meludahkan segumpal darah berwarna hitam yang berbau tengik seperti bangkai ikan busuk.

"Racun apa ini?" Shangguan Xiu terkejut dan berundur. Tubuhnya menjadi lemah bermula dari kakinya dan merebak ke seluruh tubuh seperti air bah. Dia tahu dia tiada masa untuk berfikir, jadi dia menepuk beg saktinya dan mengeluarkan pil ubat yang terus ditelannya.

Meng Hao telah merancang semua ini dengan sempurna supaya dapat melaksanakan serangan balas dalam saat-saat sebegini. Malah, tiga gumpal darah itu juga memang sengaja dimuntahkannya. Itu semua hanya untuk membuat Shangguan Xiu ingat yang dia sedang menguasai pertarungan ini. Sebaik sahaja pihak lawannya berundur dan mengeluarkan pil ubat, Meng Hao terus meluru ke hadapan sambil menepuk beg saktinya dan mengeluarkan jaring hitam yang dilancarkannya untuk menyelubungi Shangguan Xiu.

Terlalu banyak benda yang berlaku dalam waktu yang sangat singkat. Riak wajah Shangguan Xiu berubah-ubah setelah dia menelan pil ubat itu. Jari-jarinya mula meliang-liuk menunjukkan simbol mantera walaupun jaring itu telah mula melitupi dirinya. Meng Hao terus mara tanpa henti. Sebuah busur kayu hitam muncul di dalam tangannya dan dia menarik tali busur itu lalu melancarkan anak panah yang meluru pantas ke arah Shangguan Xiu.

Shangguan Xiu berundur dengan sangat pantas. Sebiji pil ubat, sebuah jaring hitam, sebatang anak panah dan satu mantera. Dia tiada masa untuk semua itu, jadi dia terpaksa memilih dua sahaja.

Sebuah letupan kedengaran. Shangguan Xiu menelan pil itu, tetapi mengabaikan manteranya. Dia berjaya mengelakkan jaring hitam, tetapi terpaksa menerima anak panah itu. Anak panah itu tepat menembusi bahu kanannya dan darah hitam mencurah-curah keluar.

Dia berasa sangat sakit dalam sekelip mata, tetapi Shangguan Xiu hanya mendengus perlahan. Meng Hao tidak berhenti walau sesaat pun. Anak panah kedua telah pun dilancarkan yang diikuti anak panah ketiga dan keempat. Meng Hao terus mara ke hadapan. Setiap langkah yang diambil, dia akan melancarkan anak panahnya; tujuh langkah, tujuh anak panah.

Tujuh anak panah dilancarkan ke hadapan menerusi udara dengan niat membunuh yang mengejutkan!

Shangguan Xiu terus berundur dan masih bergelut untuk mengekang jalinan hitam yang merebak di seluruh tubuhnya. Malah, bukan itu sahaja, dia juga terpaksa mengelak daripada terkena anak panah yang dilancarkan itu. Itu sahaja yang dia mampu kerana baru berada di peringkat kesembilan Pemekatan Qi. Dia mungkin berada di puncak peringkat kesembilan Pemekatan Qi dan sudah hampir mencapai tahap Pengukuhan Asas, tetapi dia masih belum berada di tahap Pengukuhan Asas.

Tidak, dia masih jauh lagi daripada tahap Pengukuhan Asas. Seperti Meng Hao, dia masih lagi di dalam tahap Pemekatan Qi. Perbezaan tahap kuasa di antara dua tahap itu seperti langit dan bumi.

Dia tidak mampu untuk buat semua benda dengan sempurna secara serentak. Sebuah letupan bergema di udara sewaktu tujuh anak panah itu menusuk dan memusnahkan lengan kanan Shangguan Xiu sepenuhnya. Dia terpaksa mengabaikan lengan kanannya supaya dapat menumpukan perhatian dalam mengawal racun di dalam badannya untuk sementara waktu.

Walaupun dia berjaya berbuat demikian, anak panah kelapan pula telah dilancarkan Meng Hao dan kemudian kesembilan. Dia mendongakkan kepalanya ke langit dan meraung.

Sejak hari pertama dia mula melalui jalan Pertapaan sehingga ke hari ini, dia tidak pernah berada dalam keadaan yang tertekan dan bahaya begini. Dia telah kehilangan sebelah tangannya! Dengan harga yang perlu dibayar dan kesakitan yang dirasainya, keinginan untuk membunuh Meng Hao semakin membuak-buak dan menjadi sangat kuat.

Matanya merah; racun itu sudah berada di bawah kawalan, tetapi sukar untuk dibuang. Malah, dengan keadaannya kini, dia tahu yang mustahil untuk dia menyingkirkan racun itu sewaktu dia berada di tahap Pemekatan Qi. Dia hanya boleh menyingkirkannya jika dia berjaya mencapai Pengukuhan Asas.

"Laut Bima Sakti!" dia menjerit dengan rambutnya yang menggerbang. Dia menggigit hujung lidahnya dan meludahkan segumpal darah. Sebiji mutiara ungu lembayung terbang keluar dari dalam darah itu dan di dalamnya boleh dilihat angin yang bergulung-gulung. Sejurus sahaja ia muncul, angin kencang bertiup dan tiga batang anak panah yang Meng Hao baru lancarkan itu berpusing akibat dipukul angin tersebut. Kemudian, ia jatuh berkecai.

avataravatar
Next chapter