64 Pembunuhan Kejam Beramai-ramai Disebabkan Lembing Perak

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Apabila pedang kayu itu bersentuhan dengan anak panah, satu bunyi berdengung kedengaran. Pedang kayu itu ditolak oleh kekuatan anak panah lalu terkena dahi Meng Hao. Darah menyembur keluar dari mulutnya ketika dia berpusing ke belakang. Anak panah itu pula kehabisan tenaga dan berubah menjadi abu yang hilang ditiup angin.

Ketika Meng Hao terbang ke belakang, dia menepuk beg saktinya dan menghasilkan Teras Syaitan untuk ditelannya. Dia kehabisan Pil Rohani Bumi, jadi dia memilih Teras Syaitan. Matanya menjadi merah dan kecederaannya sangat parah. Ini mungkin yang terburuk yang pernah dia hadapi sejak menjadi seorang Petapa.

Syukurlah, pedang kayu itu sememangnya barang khazanah dan tidak rosak sama sekali. Sebenarnya Meng Hao menerbangkannya kembali kerana asas Pertapaannya tidak cukup tinggi untuk mengawal pedang itu sepenuhnya. Sekiranya itu berlaku, anak panah itu tidak akan dapat mengalahkan pedang kayu walaupun seinci.

Tubuh Meng Hao mengalami kesakitan dan fikirannya agak bercelaru. Namun keinginan untuk terus hidup masih ada. Dia menggigit lidahnya dan menggunakan rasa sakit untuk fokus. Dia mengangkat wajahnya yang pucat tanpa darah dan memandang jauh. Pada masa ini, seorang pemuda berjubah putih terbang di atas daun hijau yang besar.

Wajahnya tenang dan matanya dingin tanpa sedikit pun kesombongan. Namun, satu pandangan daripadanya akan membuatkan sesiapa sahaja tidak meragui dia lebih unggul daripada yang lain.

Asas Pertapaannya berada pada tahap kesembilan Pemekatan Qi, namun dia kelihatan baru berusia dua puluh dua atau dua puluh tiga tahun. Melihatnya menghampiri, Liu Daoyun, yang juga berada di tahap kesembilan Pemekatan Qi mengecilkan matanya.

Dia memahami dengan serta-merta. "Pada usianya... dia mesti menjadi Yang Terpilih daripada Sekta yang hebat," katanya pada dirinya sendiri.

"Jubah putih...." Meng Hao menyapu darah dari mulutnya sambil menatap pemuda berjubah putih.

"Aku Ding Xin daripada Sekta Ungu Lembayung," katanya dengan dingin. "Aku di sini untuk mengambil nyawa kamu atas arahan daripada Pemimpin Sekta." Dia telah dihantar sebulan lepas ke Negeri Zhao untuk mencari Meng Hao. Dengan menggunakan kaedahnya yang istimewa, dia akhirnya Berjaya menjejak Meng Hao hari ini. Dia sebenarnya telah lama memerhatikan Meng Hao dan menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.

Dia sangat berbeza daripada Qian Shuihen dan Lu Song. Sebagai pengikut Sekta Dalaman, dia sering dihantar keluar untuk urusan Sekta. Dia ialah salah seorang Yang Terpilih daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung dan telah ditakdirkan untuk mencapai Pengukuhan Asas. Apabila itu terjadi, dia akan menjadi Yang Terpilih. Menangani masalah di luar Sekta hanyalah latihan mudah baginya.

Dia jauh lebih berpengalaman daripada Qian Shuihen dan telah mencipta nama di Wilayah Selatan semenjak dua tahun ini. Personalitinya dingin dan serangannya kejam. Semasa di Wilayah Selatan, dia akan selalu mempertimbangkan nama baik Sektanya. Tapi di Negeri Zhao, dia menjadi kurang terkawal.

Dia telah menyerang ketika Meng Hao berada di dalam keadaan kritikal dan tidak pernah membayangkan Meng Hao akan terselamat daripada anak panah yang boleh membawa maut itu.

Wajah Meng Hao mengerikan. Tiga gelombang penyerang telah muncul hari ini. Dua daripadanya tahap kelapan Pemekatan Qi manakala dua daripadanya ditahap kesembilan. Berdasarkan kepada asas Pertapaannya sendiri, dia tidak akan dapat melawan mereka. Lagipun, dia sudah cedera parah. Situasinya sangat berbahaya.

Melihat Ding Xin menghampirinya, mata Liu Daoyun berkelip dan dia berasa agak berdebar. Namun, matanya penuh dengan tekad. Dia tidak akan berputus asa.

Zhou dan Xu daripada Sekta Arus Berliku kelihatan lebih teragak-agak. Jika mereka hanya perlu menyelesaikan Liu Daoyun, mereka mesti dapat melakukannya. Tapi sekarang Sekta Takdir Ungu Lembayung telah muncul, mereka menjadi kurang yakin.

Mata Meng Hao sedikit bersinar. Tangan kanannya menepuk beg saktinya. Lima bulu berterbangan muncul dan bergabung dengan empat bulu di bawah kakinya membentuk membuat kipas sembilan bulu. Kipas itu terbang lalu membawanya pergi dengan kepantasan yang tinggi.

Mata Ding Xin tenang. Dia menjentikkan lengan bajunya dan daun raksasa di bawah kakinya menyala saat dia meluncur untuk mengejar. Liu Daoyun juga bergerak. Zhou dan Xun daripada Sekta Arus Berliku mengertakkan gigi mereka dan kemudian bergabung dalam pengejaran mereka.

Sun Hua tidak cukup pantas dan terpaksa turun ke tanah. Tapi dia tidak mahu berputus asa, jadi dia mengekori secepat mungkin dengan berlari.

Tiga gelombang orang itu sangat pantas sehingga Meng Hao menelan Teras Syaitan yang lain. Rasa sejuk di dalam dirinya masih sangat kuat dan tubuhnya ditutup dengan luka pedang yang mengalirkan darah.

Dia mengetap rahangnya dan mengedarkan kekuatan rohaninya lalu menepuk beg saktinya. Cahaya perak menyala di tangannya. Itu ialah lembing perak!

Pandangan Liu Daoyun segera fokus kepada lembing itu dan dia bergerak perlahan sedikit. Ding Xin dengan mata yang berkedip serta Zhou dan Xu daripada Sekta Arus Berliku yang belum pernah melihat lembing perak yang panjang itu sebelum ini. Tetapi Sun Hua, yang masih berlari di tanah menjerit: "Itu lembing perak! Itu hadiah berharga daripada Bapa Reliance!!"

Mendengar kata-kata itu, Zhou dan Xu bergerak sedikit perlahan dan mata mereka bersinar ganas.

"Kamu semua mengejar lembing perak ini?" kata Meng Hao. "Baiklah kalau begitu. banyak kekuatan rohani akan digunakan. Kekuatan sebenarnya tidak boleh digunakan kecuali kamu berada pada tahap Pengukuhan Asas. Jika kamu cukup kuat untuk menggunakannya, maka dipersilakan!" Wajahnya berputar dengan ekspresi kesakitan yang tidak dapat ditandingi, seolah-olah dia membuang segala-galanya untuk menyelamatkan diri dengan melemparkan lembing itu sekuat yang boleh.

Dia meletakkan semua kekuatan rohani yang dia boleh kumpul ke lengannya ketika melemparkannya. Lembing perak itu berdengung dan berubah menjadi pelangi berwarna perak yang meluncur jauh dengan sinaran yang begitu terang sehingga hampir memaksa semua orang pandang mengikutnya.

Sebaik sahaja lembing perak itu terbang. Kipas khazanah Meng Hao bertukar menjadi sinaran cahaya yang bergerak ke arah yang bertentangan.

Menariknya (sama ada sengaja atau tidak, susah untuk mengatakannya) lembing itu kebetulan terbang ke arah tiga daripada pengikut Sekta Angin Dingin yang mengejar. Ketika mereka melihat lembing perak terbang ke arah mereka, mereka melopong terkejut.

Mata Sun Hua merah dan dengan teriakan yang serak, dia mengubah laluan lalu berlari menuju lembing perak itu. Niat membunuh terpancar jelas pada wajahnya lalu dia menepuk beg saktinya dan aura pedang muncul. Dia memang bermaksud membunuh sesiapa sahaja yang berani mengambil lembing daripadanya.

Lebih jauh di belakangnya, sepuluh atau lebih pengikut Sekta Arus Berliku berlari dengan lebih laju ke hadapan.

Raut wajah Liu Daoyun berubah ketika dia berdebat dengan dirinya sendiri sama ada lembing itu asli ataupun tidak. Kerana dia tidak berada pada tahap Pengukuhan Asas, dia tidak memiliki Deria Kerohanian. Jadi agak sukar untuk dia untuk membuat penilaian tentang hal ini. Kemungkinannya ialah lima puluh, lima puluh, tetapi dalam fikirannya, itu bukan masalahnya. Dia tidak boleh membiarkan pengikut Sekta Arus Berliku mengalahkan pengikutnya.

Jika perkara ini terjadi dan berita itu tersebar, dia akan dihukum berat apabila kembali ke Sekta nanti.

Dan jika lembing itu asli, jika tidak berusaha untuk mendapatkannya, hukumannya pasti akan lebih berat apabila dia kembali ke Sekta nanti. Sama ada dia melakukannya atau tidak, dia pasti akan ditimpa kecelakaan. Dia mengetap rahangnya.

"Tak guna!" Liu Daoyun menghentikan pengejarannya terhadap Meng Hao dan terus bergerak ke arah lembing.

Zhou dan Xu teragak-agak sambil melihat lembing panjang itu terbang, dikejar oleh Sun Hua dan pengikut Sekta Arus Berliku mereka. Pada awalnya, mereka tidak yakin adakah mereka patut mengejar tombak, tetapi ketika mereka melihat Liu Daoyun memecut, mereka membuat keputusan bergerak ke arah yang sama.

Hanya Ding Xin daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung yang berhenti sambil matanya berkedip. Tugasnya ialah membunuh Meng Hao, jadi dia tidak peduli sama ada harta itu asli ataupun palsu. Dengan ketawa dingin, matanya bersinar lalu dia menolak daun raksasanya menjadi sebekas cahaya prisma yang memecut mengejar Meng Hao.

Ada dua orang, seorang di hadapan dan seorang lagi di belakang. Seorang melarikan diri secepat mungkin dan seorang lagi mengejar dengan barang sakti yang disokong dengan kekuatan tahap kesembilan Pemekatan Qi. Mereka menghilang di kaki langit.

Liu Daoyun terbang dengan pantas ke arah lembing perak dan kelihatannya hampir mencapainya ketika seseorang melolong datang daripada belakangnya.

"Roh Petir Syurga!"

Sebaik sahaja suara itu kedengaran, awan hitam terbentuk di langit di atas Liu Daoyun dan bunyi guruh dapat didengari ketika sambaran petir menerpa ke arahnya.

Wajahnya menjadi gelap. Dia menepuk beg saktinya dan suasana dingin menyebar dan meluncur ke arah halilintar.

Halilintar riuh mengeluarkan bunyi letupan dan kesejukkan melampau terus meningkat dan memasuki gumpalan awan hitam. Keadaan mula bergemuruh seolah-olah seperti akan hancur.

"Roh Petir Syurga, meletup!"

Dalam keadaan biasa, Zhou dan Xu tidak mungkin akan melakukan perkara seperti ini. Tetapi dengan lembing perak yang menjadi taruhan dan para pengikut Sekta Arus Berliku di tanah memiliki kelebihan, Zhou dan Xu tidak boleh membiarkan Liu Daoyun untuk turut terlibat dalam perebutan ini. Sekarang mereka tidak lagi mengejar Meng Hao, mereka boleh menggunakan semua kekuatan mereka dalam perebutan ini.

Satu letupan yang besar bergema ketika awan rebut sambar-menyambar. Kekuatan itu meluncur ke semua arah. Zhou dan Xu batuk darah. Liu Daoyun juga tercedera dan berada dalam keadaan tidak baik. Cahaya kristal muncul di depannya ketika darah merembes dari sudut mulutnya.

Pada saat ini, lembing perak menghentam ke tanah. Ketika perkara ini terjadi, pengikut Sekta Badai Salju hendak merampasnya. Tapi, kemudian Sun Hua tiba dengan wajahnya yang kejam. Di belakangnya para pengikut Sekta Arus Berliku menyerbu dengan penuh ganas.

"Barang khazanah ini milik Sekta Arus Berliku!" teriak Sun Hua dengan bersemangat. Jika dia orang pertama yang mendapatkan lembing itu, ia mungkin tidak akan menjadi miliknya, tetapi Sekta pasti akan memberi penghargaan kepadanya. Mungkin dia akan mencapai tahap kelapan dalam asas Pertapaanya!

Tiga orang pengikut Sekta Badai Salju baru sahaja mengangkat tangan mereka untuk mengambil lembing sambil dikelilingi sepuluh atau lebih yang lain. Mereka berteriak ketika para pengikut Sekta Angin Berliku menyerang mereka. Mereka boleh melakukan sesuatu, daripada melihat ganjaran yang baru sahaja menjadi milik mereka dirampas.

"Kurang ajar!" teriak Liu Daoyun sambil menoleh untuk melihat apa yang terjadi. Tempikannya bergemuruh dan dia mengabaikan Zhou dan Xu sepenuhnya. Dia melambai tangannya ke arah Sun Hua dan Jari Badai Salju muncul lalu bergerak ke hadapan sepantas kilat.

Berdasarkan tahap asas Pertapaan Sun Hua, dia tidak boleh mengelak serangan itu. Raut wajahnya berubah menjadi kejam dan dia menggertakkan giginya. Satu-satu harapannya terletak pada barang khazanah itu. Ketika Jari Badai Salju menghampiri, dia menyambar lembing perak panjang lalu mengacukannya.

"Kamu telah kalah!" dia berteriak. Mata Liu Daoyun fokus kepada lembing ketika ia terbang ke udara. Zhou dan Xun menahan nafas.

Lembing perak melintas terbang ke hadapan dan membentuk lengkungan perak yang cantik. Sebaik sahaja bertembung dengan Jari Badai Salju, satu letupan kedengaran. Itu bukanlah letupan yang sangat kuat. Lembing itu musnah. Sebahagian besarnya hancur menjadi debu dan hanya beberapa cebisan yang masih tinggal.

Sun Hua ternganga kehairanan. Itu ialah pandangan kehairanan terakhirnya sebelum Jari Badai Salju menusuk ke dalam dadanya. Tubuhnya menggeletar dan kedengaran letupan yang lebih kuat kedengaran berbanding ketika lembing perak itu dimusnahkan.

Liu Daoyun memandang dengan terkejut, begitu juga dengan Zhou dan Xu. Para pengikut Sekta Badai Salju dan Sekta Arus Berliku juga tercengang.

Tiba-tiba semuanya menjadi sunyi dan hening kecuali bunyi bergema yang keluar daripada serangan yang telah membunuh Sun Hua.

Liu Daoyun ialah orang yang pertama bergerak semula. Dia bergerak ke hadapan dan mula mengumpulkan cebisan perak. Zhou dan Xu juga menghampiri dan mengambil beberapa keping.

"Perak... ini benar-benar perak tulen. Ini hanya lembing perak yang tak guna!!" Mata Liu Daoyun menjadi merah dan sepertinya hendak mengamuk. Dia mengangkat kepalanya ke langit dan mengeluarkan ngauman ganas. Dia dihina dan dia berasa sangat marah. Dia telah membunuh Sun Hua; jika lembing itu sememangnya barang khazanah, itu tidak akan menjadi masalah besar. Tapi dia telah membunuh pengikut Sekta Dalaman Arus Berliku disebabkan lembing perak yang biasa.... Ini boleh menyebabkan persengketaan besar di antara dua Sekta besar.

"Meng Hao!!" Dia ingin mengejarnya, tapi Meng Hao sudah lama menghilang. Zhou dan Xu juga geram. Sementara itu, mereka marah terhadap Meng Hao, Sun Hua telah dibunuh oleh Liu Daoyun. Mereka tidak boleh melepaskannya begitu sahaja.

avataravatar
Next chapter