21 Meng Hao, Kau Tak Tahu Malu!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Gunung hitam bukanlah tanah gersang, tetapi dilitupi rimbunan pepohon yang tinggi hingga ke langit. Tempat ini dipanggil gunung hitam kerana kesemua pohon di sini berwarna hitam sepenuhnya dan ia seperti dipenuhi dengan tenaga Syaitan yang berlingkar.

Ia berbeza sepenuhnya daripada mana-mana banjaran lain sejauh mata memandang.

Sewaktu memasuki gunung itu, Meng Hao terdengar ngauman garau dan dua ekor haiwan Syaitan dengan peringkat ketiga Pemekatan Qi meluru ke arahnya. Mereka mempunyai tubuh serigala dengan ekor panjang seperti ular dan dilitupi bulu nipis. Mereka memandangnya dengan penuh kebencian.

Sebaik sahaja mereka hampir, Meng Hao berhenti. Kemudian, dia mengangkat cermin tembaga itu dan memancarkan sinarannya kepada mereka. Darah membuak keluar dari mata kanan salah satu haiwan Syaitan itu dengan sekelip mata. Ia menjerit kesakitan dan menakutkan rakannya. Mata Meng Hao bersinar. Kali ini, cermin itu telah meletupkan mata haiwan Syaitan, bukan punggungnya. Perihal yang hampir sama berlaku sewaktu dia bertarung dengan Zhao Wugang. Dia tiada masa untuk memikirkannya. Walaupun mereka bergerak untuk mengelaknya, dia akan meluru melepasi mereka.

Dua orang Pertapa peringkat kelima itu pula masih mengejar dengan perasaan amarah. Pedang terbang mereka ditembak dan telah membunuh dua ekor haiwan Syaitan sekelip mata. Mereka tidak berhenti untuk mengambil Teras Syaitan pun. Tubuh mereka bersinar seperti pelangi sewaktu mengejar Meng Hao.

"Ini gunung Syaitan. Aku dengar Raja Syaitan tinggal di puncaknya. Meng Hao, berlari ke tempat ini sama seperti menempah maut sendiri."

"Tak payah berlari lagi. Marilah balik dan kita berbincang. Mungkin kita boleh buat pertukaran." Dua orang Pertapa itu memanggilnya sewaktu sedang mengejar. Suara mereka ikhlas, tetapi hati mereka masih lagi dipenuhi niat membunuh.

Meng Hao tidak menoleh atau menjawab panggilan mereka pun. Dia hanya meneruskan larian menuju ke puncak gunung itu. Tidak lama sebelum ini, dia terserempak dengan sekumpulan tujuh atau lapan ekor haiwan Syaitan. Kebanyakan daripada mereka seperti berada di peringkat ketiga Pemekatan Qi. Setelah menakutkan mereka dengan cermin tembaga itu, dia berjaya melarikan diri. Namun, dua orang Pertapa peringkat kelima itu tiada keupayaan begitu. Maka mereka terpaksa membunuh untuk meneruskan pengejaran. Kemudian, dengan berlumuran darah haiwan syaitan, bukan darah mereka; mereka terus mengejar. Mereka mula berasa letih. Ketika bertarung, mereka telah menggunakan lebih banyak pil ubat lagi. Seperti kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Mereka mengetap gigi dan meneruskan pemburuan mereka.

"Mereka masih kejar aku..." Wajah Meng Hao muram. Dia sudah tiba di tempat paling jauh pernah dijejaknya di gunung hitam itu. Jika dia pergi lebih jauh lagi, dia pasti akan terserempak dengan haiwan Syaitan dengan peringkat kelima Pemekatan Qi. Wajahnya kelihatan serius. Kemudian, dia mengetap rahangnya dan terus mara ke arah puncak gunung.

Setelah masa yang cukup untuk colok terbakar separuh berlalu, satu ngauman perlahan kedengaran. Ia seperti melitupi separuh gunung itu. Ibarat angin suram, seekor serigala gergasi pelbagai warna mara ke arahnya sambil melolong. Kaki serigala itu sepanjang enam meter dan matanya merah menyala dan bersinar dengan niat membunuh. Lingkaran tenaga Pemekatan Qi peringkat kelima bergulung-gulung menjauhinya.

Sekiranya ia bersendirian, Meng Hao masih ada harapan untuk melawannya. Namun, di belakangnya terdapat sekawan lima ekor serigala pelbagai warna yang lebih kecil dengan asas Pertapaannya di puncak peringkat keempat dan juga seekor lagi serigala pada peringkat kelima. Lolongan ganas mereka kedengaran bersahut-sahutan.

Mata Meng Hao bercahaya. Tanpa ragu-ragu, dia mengangkat cermin tembaga itu dan menghalakannya ke arah serigala itu. Lolongan kesakitan kedengaran dari mulut seekor serigala itu dan darah membuak-buak keluar dari dadanya bagaikan ia telah ditikam. Serigala yang lain terkejut melihatnya dan tanpa sedar mereka berundur.

Beberapa ketika kemudian, dia mengetap giginya dan mara ke hadapan dengan penuh tanda tanya tanpa mengetahui keadaan sebenar. Dua bilah pedang terbang muncul di bawah telapak kakinya dan membawanya lebih tiga puluh meter ke hadapan dengan sepantas kilat. Jauh di belakangnya kelihatan dua orang Pertapa peringkat kelima. Sewaktu mereka melihat kawanan serigala Syaitan itu, wajah mereka berubah. Walaupun mereka memburu Meng Hao bersama-sama, mereka masih perlu berjaga-jaga antara satu sama lain. Kawasan ini masih lagi di bawah jajahan Sekta Reliance. Namun, sebaik sahaja berada di luar pagar sekta itu, mereka boleh membunuh satu sama lain tanpa melanggar apa-apa peraturan mahupun undang-undang.

Ketika kejar-mengejar berlaku, itu bukanlah satu masalah besar. Namun, kini mereka sedang berdepan dengan krisis. Dua ekor serigala Syaitan peringkat kelima melihat mereka dengan mata yang penuh ancaman. Bukan itu sahaja, serigala Syaitan yang lebih kecil juga berada di sana. Dengan pantas mereka berdua membuat satu rancangan dan mereka terus berpecah dengan serta-merta. Seorang berlari ke arah kanan dan seorang lagi ke arah kiri.

Mereka berlari laju tetapi serigala Syaitan itu lebih pantas. Mereka haiwan Syaitan yang seolah-olah mempunyai akal dan mengerti kuasa sebenar cermin tembaga itu dan Meng Hao. Namun, semasa mereka sedang sibuk bersahut-sahutan tadi, Meng Hao berjaya melarikan diri tetapi sekarang ada dua orang Pertapa dengan Pemekatan Qi peringkat kelima pula yang menceroboh kawasan mereka.

Pertapa itu tiada masa untuk melayan kemarahan mereka. Mereka berlari dengan diburu oleh serigala Syaitan yang melolong-lolong. Dalam beberapa ketika, mereka berjaya melarikan diri jauh dari serigala Syaitan itu.

Meng Hao mengeluh. Dia melihat ke arah puncak gunung di atas dan kemudian kembali melihat Pertapa yang sedang melarikan diri itu. Dia berasa teruja.

"Haiwan Syaitan itu akan mengganggu mereka dan menghentikan mereka daripada mengejar aku untuk sementara waktu. Tetapi tempoh dua jam yang keempat hampir tiba. Isyarat cahaya pil itu akan bersinar sekali lagi dan mereka akan tahu kedudukan aku." Meng Hao melihat puncak gunung itu kembali. Dia mengetap rahangnya dan berlari ke hadapan.

Tidak lama kemudian, isyarat cahaya terpancar dari beg saktinya ke arah langit. Cahayanya cukup terang hinggakan orang yang berada sangat jauh dari sana pun mampu melihatnya dengan jelas.

Setiap dua jam, isyarat cahaya itu akan muncul dan perkara ini sudah pun berlaku beberapa kali hari ini. Ini kali yang keempat.

Meng Hao mara dengan berhati-hati. Dia cuba mengelakkan haiwan Syaitan sebanyak yang mungkin. Meng Hao takut pada mereka kerana kebanyakan yang dilihatnya berada di peringkat kelima Pemekatan Qi. Mereka seperti lebih gemar bergerak dalam kawanan dan bukan bersendirian jadi walaupun Meng Hao masih berada dalam perlindungan cermin tembaga itu, dia masih berwaspada dan cuba mengelak daripada bertemu mereka. Oleh itu, dia terpaksa mengurangkan kelajuannya dan berhenti berlari.

Masa berlalu dengan perlahan. Sudah hampir sejam. Tiba-tiba, kedengaran satu ngauman dahsyat yang sangat kuat di seluruh gunung. Pada waktu yang sama, Meng Hao meluru keluar dari hutan belantara itu. Rasa kerisauan jelas terpancar di wajahnya. Sebanyak tujuh atau lapan ekor mawas Syaitan yang berkuasa ghaib sedang mengejarnya. Mereka sangat ganas dan pantas mengejar Meng Hao dengan api kemarahan yang tidak dapat dibendung lagi.

Tiga ekor daripada mereka berada di peringkat kelima Pemekatan Qi dan membuatkan Meng Hao merintih di dalam hati. Dia sangat berhati-hati setakat ini dan dia tidak sangka walaupun dia berhati-hati dengan cuba menjauhkan diri daripada sekawan mawas Syaitan, cermin itu telah menyerang mereka secara tiba-tiba dengan sendirinya. Ia telah meletupkan seekor daripada mawas itu yang bulunya sangat panjang hingga menyapu tanah. Ini telah menaikkan darah mawas Syaitan yang lain.

"Walaupun bulu mawas Syaitan itu sangat panjang, itu tidak bermaksud awak boleh bertindak begini," Meng Hao bersuara dengan nada kesal sambil melihat cermin tembaga di dalam genggamannya. Dia sedar yang dia masih belum faham sepenuhnya misteri cermin itu. Namun, sekarang bukanlah masa untuk memikirkannya. Dia berlari menuruni gunung menjauhi mawas Syaitan itu. Dia menoleh ke belakang dan melihat mawas itu sudah hampir dengannya, maka dia melambaikan cermin tembaga itu dan satu lagi raungan kesakitan kedengaran. Di saat itu juga, di separuh jalan mendaki gunung itu, Meng Hao ternampak gemerlapan aura pedang terbang di hadapannya.

Matanya bersinar dan dia meluru ke hadapan. Dalam sekelip mata dia sudah hampir dengan sekumpulan Pertapa peringkat keempat Pemekatan Qi. Salah seorang daripada mereka adalah Shangguan Song. Mereka sedang bertarung jarak dekat dengan beberapa beruang Syaitan. Darah terpercik di sana sini dan nampaknya mereka sedang menguasai pertempuran itu dengan dua bangkai beruang Syaitan terbaring di kaki mereka.

"Meng Hao!" Mereka ternampak kelibat Meng Hao sebaik sahaja Meng Hao ternampak mereka dan mata mereka terutama sekali Shangguan Song dipenuhi niat membunuh.

Mereka kelihatan letih. Perjalanan mereka di dalam gunung hitam penuh dengan pancaroba. Pada mulanya mereka bersepuluh. Namun, kebanyakan daripada mereka sudah berputus asa. Empat daripada mereka yang tinggal telah cuba menguasai kawalan peringkat Pertapaan mereka dan mengekori cahaya isyarat pil itu sehingga mereka dapati diri mereka berada dalam pertempuran berani menentang beruang Syaitan.

Sewaktu mereka ternampak kelibat Meng Hao, mata mereka menjadi merah menyala dan tanpa sedar mereka mahu menukar sasaran serangan pedang terbang mereka.

"Saudara sekalian, saya telah terima arahan awak semua untuk menarik perhatian kawanan mawas Syaitan ini. Cepatlah, buka langkah awak semua!" Meng Hao menjerit sekuat-kuatnya supaya mawas berkuasa sakti itu dapat mendengarnya dan dia langsung tidak mengendahkan pedang terbang itu sewaktu menghampiri mereka.

Belum sempat kata-kata itu habis keluar dari mulutnya, ngauman bengis bergema di belakang Meng Hao bersama tujuh atau lapan ekor mawas berkuasa sakti itu meluru keluar dari celah pokok dengan mata yang merah menyala.

"Meng Hao, kau tidak tahu malu!!!"

"Tak guna, kau terlalu hina!"

Air muka keempat-empat orang itu berubah menjadi terkejut dan mereka cuba berundur sambil menyumpah seranah Meng Hao. Namun, pertempuran dengan beruang Syaitan itu menghalang mereka. Meng Hao telah melepasi mereka tetapi dia masih khuatir dengan seluruh keadaan ini dan mawas Syaitan bermata merah meluru ke hadapan dengan ganas.

Meng Hao berpaling kepada mereka berempat dan niat membunuh terpancar di matanya. Dia menepuk beg sakti dan beberapa pedang terbang telah dilancarkan dengan menghasilkan bunyi dengung yang perlahan.

"BOM!"

Sebuah ledakan berlaku ketika pedang terbang itu meletup. Meng Hao menghantar dua Ular Api untuk mengekori mereka dengan serta-merta dan beberapa pokok berdekatan telah berkecai menjadi serpihan. Dengan meminjam momentum daripada letupan itu, Meng Hao menelan darahnya dan melantun pergi. Di belakangnya, empat orang Pertapa itu telah dihalang oleh letupan itu. Mawas Syaitan itu pula sudah tidak dapat mencari Meng Hao. Pertapa tersebut berada di hadapan mawas Syaitan dan ia terus menyerang mereka.

Jeritan kesakitan kedengaran di sana sini dan Meng Hao terus mara ke hadapan tanpa menoleh sedikit pun.

"Tempat ini bagus juga... cuma sedikit berbahaya." Meng Hao terus berlari sehingga dia pasti yang mawas Syaitan itu sudah tidak mengekorinya lagi. Kemudian dia berhenti termengah-mengah dan melihat sekeliling.

"Susah betul hendak pertahankan Pil Rohani Kering ini," dia merungut. Dia melihat beg saktinya di bawah dan mengeluh kerana tertekan.

"Aku sudah bazirkan tiga puluh satu bilah pedang terbang dan setiap sebilah bernilai sebiji Batu Rohani. Belum masuk lagi beberapa pil ubat yang aku telan, juga bernilai sebiji Batu Rohani dan masih belum sampai tempoh dua jam kelima pun lagi... "Meng Hao tersenyum pahit dan perasaannya bercampur-baur.

"Kalau aku berjaya telan Pil Rohani Kering dan berjaya meningkatkan asas Pertapaan aku nanti, semua ini akan jadi berbaloi!" Urat darah telah muncul di dalam matanya. Dia diibaratkan kaki judi yang berniat untuk menang tidak kira apa jua harga dan telah menaruhkan segala-galanya.

"Kalau empat orang pengikut tahap empat itu tidak terbunuh, mereka pasti letih dan aku rasa mereka tak akan sanggup untuk terus memburu. Sekarang, aku hanya perlu risaukan tentang dua orang Pertapa tahap lima itu sahaja." Dia jadi semakin muram. Pihak lawannya mempunyai asas Pertapaan yang lebih tinggi daripadanya dan terdapat dua orang. Sangat sukar baginya untuk berdepan dengan mereka dan bagi dirinya, mereka berdua tidak berbaloi untuk dibunuh. Batu Rohani pula akan digunakan dengan terlalu banyak nanti.

Dia berehat seketika sambil melihat ke puncak gunung itu. Kemudian, dia mengetap giginya dan mula berlari. Tempoh dua jam yang kelima sudah tiba dan sejurus sebelum cahaya isyarat pil terpancar ke langit dari beg saktinya, dia terdengar suara jahat dua orang lawannya datang dari kedua-dua belahnya.

"Meng Hao, kau tidak boleh lepaskan diri!"

"Serahkan Pil Rohani Kering pada aku. Aku akan biarkan kau mati dengan mayat yang masih elok. Kalau tidak, aku akan tinggalkan di sini untuk haiwan makan dan tiada mayat untuk dikebumikan."

Sambil suara mereka menghilang dari jauh, tubuh dua orang Pertapa itu kelihatan seperti pelangi sewaktu mereka meluru ke arah Meng Hao. Meng Hao telah nekad dan dia terus lari ke hadapan. Di hadapannya kelihatan seperti tempat istirahat beberapa haiwan Syaitan.

avataravatar
Next chapter