72 Lelaki Sejati

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Harimau Kecil melihat Meng Hao dengan teliti. Dari dulu lagi dia naif seperti seorang kanak-kanak, tetapi setelah menyertai Sekta Reliance, dia telah mengalami banyak kesukaran yang tidak dapat dibayangkan. Hatinya telah menjadi sekeras besi. Tiada siapa tahu berapa ramai Pertapa yang telah dia bunuh secara sulit.

Dia menatap wajah Meng Hao dan perlahan-lahan dia sedar dia tidak tahu tentang peristiwa yang berlaku baru-baru ini.

"Abang Meng, baru-baru ini seluruh dunia Pertapaan Negeri Zhao telah mencari abang. Tiga Sekta hebat telah mengeluarkan perintah bersama untuk penangkapan abang. Ramai Pertapa telah berpecah dalam pelbagai arah untuk memburu abang." Dia teragak-agak seketika sebelum menyambung kembali.

Riak wajah Meng Hao tidak berubah walau sedikit pun. Dia terapung di udara sambil melihat Harimau Kecil tanpa berkata apa-apa.

"Tiga Sekta hebat itu memerintahkan supaya abang tidak dibunuh," perlahan sahaja suaranya. "Abang mungkin cacat atau cedera parah, tetapi bukan dibunuh." Selama ini dia terus melihat wajah Meng Hao tetapi masih tidak dapat mengagak apa yang bermain di fikiran Meng Hao.

"Kalau kamu berbohong," Meng Hao bersuara dengan tenang dan riak wajahnya masih tidak berubah, "jangan salahkan abang kerana terlupa tentang hubungan kita dahulu."

Harimau Kecil telah berundur dua langkah ke belakang dengan tidak sengaja setelah mendengar kata-kata Meng Hao. Matanya berkedip.

"Abang Meng mesti masih ingat Guru Pak Cik Shangguan daripada Sekta Dalaman. Dua bulan lepas, dia mengelilingi tiga wilayah berhampiran Gunung Daqing dengan jampi yang besar dan dahsyat." Suaranya semakin kuat. Dia menggenggam penumbuknya. "Dia merancang untuk mempergunakan darah manusia di sana untuk membuat campuran Pil Darah bagi mencapai Pengukuhan Asas. Ia sudah berlaku selama dua bulan. Dengan asas Pertapaan saya, saya bukan tandingan dia. Tetapi saya datang untuk selamatkan ayah dan ibu saya!"

Meng Hao menatapnya dengan terkejut dan kepalanya berpusing. Api kemarahan telah meletus di dalam dirinya dan aura niat membunuh yang ganas telah tercetus daripadanya. Dia tahu yang matlamat sebenar Shangguan Xiu bukanlah untuk membuat campuran Pil Darah, tetapi untuk mengumpan dia keluar.

Wajahnya menjadi semakin muram.

"Shangguan Xiu melibatkan manusia dalam tiga wilayah dan dunia Pertapaan Negeri Zhao tidak berbuat apa-apa untuk menghalang dia?" Suara Meng Hao keras sewaktu mengutarakannya. "Semua orang benar-benar percaya yang matlamatnya untuk sekadar mengukuhkan Asas?"

"Semua orang cakap yang Shangguan Xiu mengimpikan Pengukuhan Asas," Harimau Kecil menyambung lagi, "dan dia sengaja memilih tiga wilayah di sekitar Gunung Daqing kerana tanda bertuah yang muncul di sini bertahun-tahun lalu. Dengan Pil Rohani Darah, dia boleh menembusi Pengukuhan Asas dengan mudah. Sebelum ini, tiga Sekta hebat itu tak akan benarkan dia buat sesuatu seperti ini, tetapi kini mereka mencari zon meditasi Bapa Reliance. Sebab itu mereka menghantar semua orang untuk mencari abang dan tidak mempedulikan apa yang berlaku di sini. Mereka tidak mahu menghadapi masalah lain lagi. Lagipun, Shangguan Xiu bukanlah orang biasa-biasa, saya telah menyelidik tentangnya dan mendapati dia berasal dari Bandar Bima Sakti. Rupa-rupanya, tiga buah Sekta hebat itu telah cuba untuk masuk campur pada mulanya, tetapi entah kenapa mereka menarik diri."

Meng Hao mendengar dengan teliti dan kemudian mula tersenyum. Sebuah senyuman sinis yang mengerikan. Niat membunuh yang wujud di dalam hatinya telah melampaui niat bunuh yang dirasainya pada masa silam terhadap Wang Tengfei atau Ding Xin sekali pun. Bahang keinginan untuk membunuh telah mengakibatkan lautan Terasnya membuak-buak. Ia lebih ganas daripada apa-apa yang pernah dirasainya sepanjang hayatnya selama dua puluh satu tahun.

"Shangguan Xiu..." Meng Hao berpaling dan melihat ke arah Gunung Daqing. Dia melibas lengan bajunya yang lebar itu dan Harimau Kecil melayang ke atas kipas khazanah dengan riak wajah terkejut.

"Abang Meng, apa ini?" Harimau Kecil bertanya dengan tercungap-cungap.

"Kita akan pergi ke Gunung Daqing. Kalau kamu berkata benar, tidak mengapa. Tetapi kalau kamu menipu, kamu tidak perlu risau lagi tentang orang yang memburu kamu untuk dapatkan khazanah kamu." Kipas khazanah itu berkilau dan mereka meluncur pergi.

Harimau Kecil diam seribu bahasa. Tiada apa-apa lagi hendak diperkatakannya. Dia berdiri di atas kipas khazanah bersebelahan Meng Hao dengan perasaan konflik yang boleh dilihat di dalam matanya. Tidak lama kemudian, perasaan konflik itu telah hilang dan digantikan dengan keazaman.

Beberapa ketika kemudian, Gunung Daqing muncul di hadapan mereka. Meng Hao tidak meluru secara terus. Kipas khazanah itu berkilau dan mereka telah mendarat di tanah. Di hadapan sana, aura merah yang menyala telah menyelubungi segala-galanya dan kelihatan di luar aura tersebut, seorang Pertapa berjubah hitam duduk bersila bertafakur di setiap lima ratus kilometer.

Mereka ada puluhan orang dan seolah-olah sedang menyokong asas jampi itu yang dikelilingi tiga wilayah.

Jauh di puncak gunung sana, terdapat seseorang sedang duduk bersila sambil bertafakur.

Semuanya sunyi sepi di dalam wilayah di bawah gunung itu. Jalinan Qi Darah yang halus bangkit daripada semua wilayah itu.

Niat bunuh Meng Hao semakin kuat. Dia menarik nafas panjang dan meleraikan ikatan yang dipasangnya pada Harimau Kecil.

"Bila abang panggil nama kamu, kamu mesti datang," Meng Hao bersuara dengan perlahan. Kemudian, dia melangkah ke hadapan dengan tubuhnya menghasilkan siulan di udara dan memencarkan udara sejuk beku.

"Wang Youcai masih belum mati," tiba-tiba Harimau Kecil bersuara. Tetapi, Meng Hao tidak mempedulikannya dan terus meluru ke hadapan.

Harimau Kecil melihat Meng Hao pergi sehingga bayangnya hilang. Kemudian, dia mengeluh dan duduk bersila dengan perlahan-lahan untuk bertafakur. Selain Shangguan Xiu, dia juga sudah menyiasat tentang Meng Hao. Dia tahu Meng Hao tiada keluarga terdekat di dalam Wilayah Yunjie dan Shangguan Xiu berkemungkinan besar menggunakan jampi darah ini semata-mata untuk mengumpan Meng Hao.

"Abang Meng, saya cuma mahu selamatkan ayah dan ibu saya. Kalau abang masih hidup nanti, saya akan terhutang budi yang sangat besar pada abang." Dia memandang ke atas dengan perasaan yang sukar digambarkan.

Meng Hao meluncur ke hadapan, terus ke arah aura merah darah itu. Walaupun Harimau Kecil itu masih muda, tetapi dia agak bijak dan anggapan dia tepat. Manakala Meng Hao pula, dia sentiasa bijak. Walaupun dia gagal sebagai seorang cendekiawan, tetapi dia telah menjalani pembaptisan di dalam Sekta Reliance. Setelah semua pengalaman itu, masakan dia masih gagal melihat matlamat sebenar pihak lawannya itu?

Shangguan Xiu telah memasang perangkap untuk dirinya. Tetapi, mana mungkin dia tidak menggigit umpan itu? Walaupun dia tiada keluarga terdekat di dalam Wilayah Yunjie, tetapi ini tetap kampung halamannya. Kenangan sewaktu dia masih kecil berada di sana dan semuanya sangat indah.

Shangguan Xiu benar-benar tidak mempunyai hati nurani dan tindakannya telah membuat Meng Hao marah sehingga ke tulang-temulangnya. Keinginan untuk membunuhnya sudah berada di tahap tertinggi.

Walaupun dia mempertaruhkan nyawanya dan memasuki perangkap Shangguan Xiu, namun Meng Hao sedar yang dalam hidup ini, ada sesuatu yang seorang lelaki wajib lakukan ... walaupun ia berbahaya, dia akan laksanakannya juga.

Lelaki sejati takkan berasa takut dan was-was.

Niat membunuhnya tidak pernah sekuat begini. Keinginan untuk membunuhnya tidak pernah membuak-buak begini. Ia tidak akan boleh hilang dengan satu nyawa sahaja, tetapi setiap orang yang terlibat dalam mengekalkan jampi darah ini.

"Selama Pertapaan aku ini, ada orang yang tidak aku bunuh. Bukan kerana aku tidak mampu, tetapi kerana aku tidak mahu." Kelajuannya meningkat dan matanya penuh dengan niat membunuh, tetapi hatinya kekal tenang. Kini, dia telah tiba di kawasan jampi darah itu. Dia meluncur ke arah seorang Pertapa peringkat keenam Pemekatan Qi yang sedang duduk bertafakur di sana.

Dia memakai jubah hitam dan kelihatan seperti berusia dalam dua puluh enam atau dua puluh tujuh tahun. Sewaktu Meng Hao meluru ke arahnya, dia telah membuka matanya dan terkejut. Lantas, dia terus mengangkat tangannya, tetapi dalam sekelip mata, Meng Hao dengan wajah dingin dan dipenuhi dengan niat membunuh telah meluru melepasi dirinya.

Terdapat sebilah pedang di dalam genggaman Meng Hao. Di belakangnya, terdapat kepala yang wajahnya kelihatan keliru terbang ke udara dan tubuh badannya tersungkur di tanah.

Bau busuk darah telah memenuhi udara dan mayat itu telah menggerenyet beberapa kali sebelum menjadi kaku.

Tiada jeritan, tiada pergelutan. Bagi Meng Hao, ia semudah menyembelih seekor ayam. Seperti yang dikatakannya, bukannya dia tidak boleh membunuh, cuma dia tidak mahu.

"Ketika kita cuba sembelih ayam," Meng Hao mengomel sendirian, "biasanya ia akan bergelut sedikit. Biasanya manusia akan lebih kuat bergelut. Tetapi, tanpa kepala, kau lebih hina daripada ayam." Tanpa menoleh pada mayat di belakangnya, dia berlalu pergi dengan mata yang dipenuhi niat bunuh.

Dia bergerak dengan pantas dan tidak lama kemudian, sesusuk tubuh lain yang sedang bersila muncul di hadapannya. Nampaknya, orang ini memang tidak sedar tentang kematian rakan segurunya itu. Dia tetap terus duduk bertafakur dan mengekalkan jampinya.

Kepalanya telah dipenggal tanpa dia sempat membuka matanya.

"Shangguan Xiu, kau paksa aku membunuh. Baiklah ... hari ini aku akan bunuh semua benda di hadapan mataku." Dia menlibas pedang kayu di dalam genggamannya sehingga titisan darah terpercik ke merata tempat dan lenyap.

Disebabkan oleh kematian dua orang Pertapa itu, telah muncul riak pada jampi berwarna merah itu. Ini telah mengejutkan orang lain yang sedang mengekalkannya sehingga seorang demi seorang telah membuka mata dan berdiri sambil memerhatikan sekeliling mereka dengan berhati-hati.

Sementara itu, di puncak gunung, mata Shangguan Xiu terkedip-kedip dan berkilau sewaktu dia melihat peristiwa yang sedang berlaku di bawah sana.

Qi Darah itu kelihatan seperti semakin tebal, tetapi dia tidak dapat melihat dengan jelas benda yang sedang berlaku. Dia berkerut dan berdeham. Dia mengangkat tangan kanannya dan sebuah Bebola darah telah muncul sebesar lebih kurang saiz kepala manusia dengan Qi Darah berpusar di dalamnya. Dengan melibas lengan bajunya sahaja, dia telah melancarkan Bebola Darah itu ke Gunung Daqing di bawahnya lalu menghentam menembusi jampi berwarna darah itu dengan satu bunyi letupan yang sangat dahsyat.

Jampi berwarna darah itu semakin lemah. Tiba-tiba, kedengaran satu jeritan yang nyaring dan bergema keluar dari dalam jampi itu. Ia sukar untuk digambarkan dan seolah-olah dipenuhi dengan derita sengsara.

Beberapa saat kemudian, kedengaran satu lagi jeritan yang jelas datang daripada orang yang berbeza, tetapi sama mengerikan. Dahi Shangguan Xiu semakin berkerut sewaktu melihat jampi berwarna merah di bawahnya itu kelihatan telah menyusut hampir separuh daripada saiz asalnya dan agak keruh.

Satu lagi jeritan kedengaran daripada orang ketiga dan kemudian keempat dalam jangka masa yang hampir sama. Banyak lagi jeritan kedengaran bersahut-sahutan sehingga jampi berwarna darah itu menjadi jernih sepenuhnya. Shangguan Xiu memandang ke bawah dan melihat belasan mayat tidak berkepala.

Keningnya berkerut sekali lagi dan badannya berpusing. Di hujung sana, pada laluan gunung yang kecil, Meng Hao berjalan dengan memakai jubah cendekiawan biru berlumuran darah. Walaupun begitu, dia kelihatan lemah. Dia mendaki gunung itu perlahan-lahan dengan riak wajah yang kosong.

Di tangannya, dia membawa dua belas kepala yang telah dipenggal. Shangguan Xiu melihat sahaja Meng Hao menghampirinya. Meng Hao mencampakkan kepala-kepala itu yang jatuh bergolek di hadapan Shangguan Xiu. Kemudian, dia telah mengibaskan lengan bajunya dan menyebabkan kepala-kepala itu berselerak.

"Giliran kau," suara Meng Hao garau. Biasanya dia tidak mahu membunuh, tetapi bukan hari ini. Hari ini, dia mahu membunuh.

avataravatar
Next chapter