90 Laluan Agung Pengunci Syaitan, Sebuah Konsep seperti Kitab Suci

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Lelaki tua itu meletakkan dayungnya dan kembali menatap Meng Hao. Sambil ketawa, dia berjalan menghampiri Meng Hao lalu menuang wain untuk dirinya sendiri dan kemudian meminumnya.

"Menjernihkan kekeliruan apa?"

Meng Hao memegang cawan wainnya kemudian berkata dengan lembut, "Aku keliru tentang sesuatu yang aku baca. Dikatakan, 'Tao Kuno; Keinginan Kuat untuk Menutup Syurga… '" Tiba-tiba, lelaki tua itu terkejut. Wajah gadis muda itu menjadi pucat. Ombak melonjak tinggi merentasi Lautan Utara menyebabkan bot itu terumbang-ambing dengan ganas.

"Berhenti!" teriak lelaki tua itu. Secawan wain di tangannya tiba-tiba hilang menjadi kabus gelap dan dia menatap Meng Hao.

Meng Hao ternganga.

"Jangan sebut tentang hal itu lagi. Aku tak boleh jelaskan perkataan itu kepada kamu. Bahkan tidak ada sesiapapun di langit mahupun bumi boleh menerangkannya. Jika kamu betul-betul mencari makrifat, maka masuklah ke dalam dasar laut." Dia menutup mulutnya dan menatap gadis muda itu. Masa berlalu dan akhirnya wajah gadis itu kembali normal. Dia mengangguk sedikit.

Meng Hao diam sejenak sebelum bertanya, "Apa yang pakcik maksudkan dengan dasar laut?"

Dengan nada suara yang berat hati, lelaki tua itu berkata, "Ada perkara yang telah disembunyikan di dasar laut selama seribu tahun. Itulah dasar laut. Jika kamu mencari jawapan untuk soalan kamu, mungkin kamu juga harus memeriksa hati kamu sendiri."

Meng Hao mendapati dirinya tenggelam dalam fikiran buat masa yang lama. Akhirnya, dia mendongak dan matanya terbeliak dengan penuh kejutan. Tiada kesan lelaki tua mahupun gadis muda itu. Dia sendirian di tasik bahkan bot itu juga sudah hilang.

Dia merenung kosong untuk sementara waktu sehingga pandangannya kembali tertumpu pada tempat yang agak jauh. Di seberang sana, sekumpulan orang sedang menurunkan bot baharu ke dalam air. Ia perlahan-lahan memasuki tasik dan kemudian kedengaran hilai tawa. Suara sorakan kegembiraan mengelilingi bot tersebut.

bot itu perlahan-lahan menghampiri tengah tasik. Seorang lelaki pertengahan usia sedang mendayungnya, ditemani oleh seorang wanita dan seorang budak. Meng Hao memandang dia mendayung terumbang-ambing merentasi tasik selama berhari-hari, bertahun-tahun silih berganti. Bertahun-tahun berlalu dan lelaki itu menjadi tua. Anak lelaki itu menjadi dewasa dan mengambil alih tugas mendayung bot. Tahun demi tahun berlalu. Generasi ke generasi.

Bot itu yang dahulunya baharu, perlahan-lahan retak dan menjadi usang. Ia mula menjadi usang dan buruk.

Akhirnya, bot itu menjadi sangat usang sehingga tidak boleh dibaiki. Seperti kehidupan yang telah mencapai hadnya, ia tidak boleh dipaksa untuk melangkah lebih jauh. Perlahan-lahan ia tenggelam ke dasar tasik.

Ia telah menjalani kehidupannya di permukaan dan mati di dalam air. Kewujudannya di perairan tasik menemani generasi manusia yang telah menciptanya. Selain daripada manusia, tasik inilah tempat dia berada sepanjang hidupnya.

Dalam kehidupannya, tasik ialah penemannya. Semasa tiada siapa yang boleh mendengar suara tasik itu, bot itu dapat mendengarnya. Ketika bot itu tenggelam ke dasar, ia mati. Tetapi pada masa yang sama, ia juga dilahirkan kembali.

Pada saat itu, ia terjaga.

Ketika ia sedar, ia melihat seorang gadis muda berdiri di dasar tasik sambil tersenyum kepadanya.

"Kamu mahu... menemani aku selamanya?"

"Aku tidak tahu berapa lama, tetapi pada kehidupanku yang lalu, aku boleh mendengar suara kamu. Sekarang aku sudah mati... aku ingin menemani kamu. Aku nak kamu menjadi sebahagian daripada kehidupan aku seterusnya." Pada masa itu ia faham... ia semangat bot. Mendengarkan suara tasik yang tidak terkira banyaknya selama bertahun-tahun telah menyebabkan semangat bot itu bangkit.

Sebelum mati, hidupnya ialah perairan tasik. Setelah mati, rohnya akan melindungi tasik selama-lamanya sehingga kehidupan abadi.

Pada masa itulah bot itu sekali lagi muncul di permukaan tasik. Di dalam bot ada seorang gadis muda yang sedang memanaskan sebotol wain. Mereka terapung bersama-sama ke sana kemari merentasi tasik.

Fikiran Meng Hao terperanjat ketika dia melihat semua ini terjadi di depannya. Segalanya menjadi kabur untuk seketika kemudian tumpuannya kembali tajam. Dia sekali lagi berada di atas bot. Lelaki tua itu berada di hadapannya sambil tersengih dan memegang gelas wainnya. Gadis itu menatapnya sambil tersenyum dan menongkat dagunya.

Lelaki tua itu menghirup wain. "Inilah hati aku. Adakah kamu faham... pewaris Sekta Pengunci Syaitan?"

Meng Hao terdiam sejenak. Kekecewaan bersinar di matanya. Dia... gagal memahaminya.

"Jangan terlalu taksub mencari jawapan. Jika kamu melakukannya, jawapan yang kamu temukan mungkin salah. Pada titik tertentu dalam hidup kamu, mungkin kamu akan dapat menemukan jawapannya. Jangan berputus asa." Lelaki tua itu menatap Meng Hao dengan tegasq.

"Abang," kata gadis muda itu, "auranya... ada di bawah kaki kamu. Jangan bangkitkan kemarahannya. Ingat... laluan agung Pengunci Syaitan… " Ombak sekali lagi melonjak merentasi tasik ke semua arah, ombak yang hebat dan tinggi yang seakan-akan menyentuh langit. Semuanya menjadi gelap di tengah deruman guruh. Bot itu pula tenggelam ke dalam air.

Meng Hao tidak melompat keluar dari bot, sebaliknya dia menutup matanya. Setelah masa berlalu, dia membukanya dan mendapati dirinya duduk bersila di tepi tasik. Tasik itu tenang. Tiada ombak dan tiada bot. Apa yang baru sahaja terjadi itu hanyalah ilusi.

Gadis itu tidak muncul begitu juga lelaki tua itu. Semuanya terjadi dalam mimpi.

"Auranya ada di bawah kaki aku… " Mata Meng Hao bersinar dengan kekeliruan. Dia menatap kakinya. Dia tidak melihat apa-apa selain kasutnya.

"Laluan agung Pengunci Syaitan ialah sebuah konsep seperti kitab suci." Meng Hao mengerutkan kening dan masih tidak dapat memahami makna perkataan itu. Dia perlahan-lahan berdiri lalu menggenggam tangannya dan menunduk untuk kali ketiga ke arah tasik.

Dia memandang pada air. "Aku tidak faham hari ini," katanya lembut, "tapi suatu hari nanti aku akan mencapai makrifat."

Ombak tiba-tiba bergelora di tasik seolah-olah bertindak balas terhadap kata-kata Meng Hao. Meng Hao baru sahaja mahu berangkat tiba-tiba matanya berkelip. Dia memalingkan kepalanya lalu melihat di kejauhan terdapat beberapa sinar cahaya terbang ke arahnya.

"Meng Hao!"

"Jadi, kamu di sini. Pendeta mengutus kami untuk mencari kamu!"

"Pegang dia dan kemudian semuanya akan menjadi jelas!"

Terdapat tiga sinaran yang berkedip dan tiga orang Pertapa. Salah seorang daripadanya berada pada tahap kesembilan Pemekatan Qi manakala yang lain berada pada tahap kelapan. Mereka bertiga menaiki seruling batu jed besar. Dua orang Pertapa tahap kelapan dikenali oleh Meng Hao. Mereka adalah Zhou dan Tu daripada Sekta Arus Berliku yang telah berusaha mengejar dan membunuh Meng Hao sebelum ini.

Seorang daripada tahap kesembilan Pemekatan Qi ialah pemuda berusia sekitar tiga puluh tahun. Riak wajah yang dingin dan acuh tak acuh memenuhi wajahnya ketika dia menatap Meng Hao.

Mereka diikuti oleh lebih daripada lima orang yang berlari laju.

Raut wajah Meng Hao tenang. Dia melirik matanya melihat mereka lalu mengabaikan mereka sambil menunduk sekali lagi kepada Lautan Utara. Ketika dia melakukannya, mata Zhou dan Tu berkelip. Tangan mereka menggeliang-geliut dengan tanda mantera lalu awan gelap mula berkumpul di langit beserta dengan bunyi deram-derum guruh.

Pemuda daripada tahap kesembilan menepuk begnya lalu muncul sebuah dram besar. Dia memukul dram sekali. Ia mengeluarkan letupan besar yang menyebabkan batu dan tanah di sekitarnya melonjak ke udara dan terbang ke arah Meng Hao.

Pada masa yang sama, satu halilintar menuju ke arah Meng Hao. Sebaik sahaja ia menghampiri, Meng Hao dengan tenang mengeluarkan penumbuknya dan menumbuk kilat tersebut.

Satu letupan bergema ketika halilintar itu pecah dan berubah menjadi percikan api yang banyak dan kemudian hilang ke udara. Mata Meng Hao menyala.

"Kau memang nak cari nahaskah?!" teriak Meng Hao. Dia melompat ke hadapan dan pedang terbang yang bersiul muncul di bawah kakinya. Dia berubah menjadi sinar cahaya berwarna-warni ketika dia bergerak ke arah tiga orang yang terbang di atasnya. Pada masa ini, banyak pasir dan batu yang berterbangan hampir menimpanya. Dia menumbuk ke arah pasir dan batu tersebut.

Kuasa tahap ketiga belas Pemekatan Qi iaitu bulatan agung Pemekatan Qi meletus dalam tubuh Meng Hao. Kini, dia dilindungi daripada tenaga rohani langit dan bumi. Walau bagaimanapun, awan pasir dan batu yang menghampiri dihancurkan oleh kekuatan penumbuknya. Ribut besar terjadi. Tiga orang lawannya kelihatan sangat terkejut kerana mereka merasakan kekuatan seperti gunung yang menentang mereka.

Mereka muntah darah terutamanya Zhou dan Tu. Seruling jed mereka pecah berkecai dan mereka berundur dengan wajah yang sangat terkejut. Bahkan ketika mereka berundur, dua aura pedang bergerak melepasi mereka. Kepala mereka terbang ke langit dan darah terpercik di merata tempat. Dua orang Pertapa daripada tahap kelapan Pemekatan Qi mati serta-merta.

Meng Hao berpaling dan melihat ke arah pengikut tahap kesembilan Sekta Arus Berliku. Wajahnya pucat dan tubuhnya menggeletar ketika dia berundur. Orang yang berada di bawah berhenti bergerak dengan raut wajah terperanjat.

"Apa... apa tahap asas Pertapaan kamu?!" tanya pengikut Sekta Arus Berliku yang berada di tahap kesembilan dengan hati yang goyah dan rasa tidak percaya memenuhi wajahnya. Dalam fikirannya, seseorang daripada Pemekatan Qi tahap kesembilan tidak mampu membunuh dua orang Pertapa tingkat kelapan dengan mudah dan serta-merta. Adakah dia... berada di tahap Pengukuhan Asas?

Meskipun Meng Hao membuatkan suasana menjadi penuh dengan teka-teki, itu bukan kekuatan daripada Pengukuhan Asas. Oleh kerana itu, pengikut Sekta Arus Berliku sangat terkejut dan bingung.

Bahkan ketika kata-kata keluar daripada mulut lelaki itu, Meng Hao bergerak ke hadapan dengan wajah yang tenang. Melihat situasi ini, jantung pengikut Sekta Arus Berliku mula berdegup kencang. Dia berpusing dan melarikan diri.

Malang baginya, dia hanya berada di tahap kesembilan Pemekatan Qi. Bahkan jika dia dapat pergi lebih cepat, kepantasannya tidak boleh menandingi Meng Hao yang berada pada tahap bulatan agung Pemekatan Qi. Dia baru sahaja hendak melarikan diri sebelum Meng Hao berada di sebelahnya lalu penumbuk Meng Hao menyinggah padanya.

Anak mata pengikut tahap kesembilan mengecil dan merasakan situasi hidup dan mati yang dialami dirinya. Dengan teriakan perlahan, dia menepuk begnya. Beberapa pedang terbang muncul berserta dengan dram dan manuskrip jed diselubungi dengan ukiran mistik.

Raut wajah Meng Hao sedikitpun tidak berubah. Penumbuknya terus menyinggah. Pedang terbang pecah berkecai. Dram menghasilkan bunyi berlanggar ketika meletup. Seterusnya ialah... manuskrip jed.

Manuskrip jed ini mampu menahan serangan seseorang daripada tahap kesembilan Pemekatan Qi tetapi Meng Hao berada pada tahap bulatan agung Pemekatan Qi. Manuskrip jed itu tidak mampu menghalangnya. Ia pecah berkecai menjadi kepingan kecil.

Tiada satu pun yang mampu memberikan sedikit pertahanan. Pengikut Sekta Arus Berliku sudah tidak mempunyai apa-apa lagi barangan sakti. Dia menyaksikan dengan mata terbelalak ketika penumbuk Meng Hao mendekat dan terus mendekat sehingga singgah di dadanya.

Bunyi letupan kedengaran. Pengikut Sekta Arus Berliku ini terkenal di dalam Sekta, bahkan di seluruh Negeri Zhao. Tetapi sekarang dadanya terperosok ke dalam dan darah memancut keluar dari mulutnya. Seperti layang-layang yang terputus talinya, dia terjatuh ke belakang dalam dua puluh atau tiga puluh meter dan lalu mati.

Dari awal hingga akhir, Meng Hao memerlukan beberapa saat sahaja untuk membunuh tiga orang!

Pengikut Sekta Arus Berliku yang selebihnya berada di tanah kelihatan pucat dan dipenuhi dengan ketakutan. Sukar untuk mengatakan siapa yang melarikan diri terlebih dahulu kerana mereka segera bertempiaran. Satu-satunya di fikiran mereka ialah melarikan diri!

Raut wajah Meng Hao sama seperti biasa tetapi dalam hatinya dia mengeluh. Disebabkan kejadian dengan Yan Ziguo, Meng Hao belajar pentingnya tidak meninggalkan saksi. Dia tahu membunuh seseorang mestilah dilakukan dengan tegas. Walaupun dia tidak mahu, menyerang… ialah satu keperluan.

Meng Hao yang lama tidak akan mengejar orang yang melarikan diri tetapi hari ini tindakannya berlainan. Mata Meng Hao menyala. Sepuluh pedang terbang berterbangan keluar, diresapi dengan kekuatan bulatan agung Pemekatan Qi. Kualiti pedang itu buruk dan tidak mampu menampung kekuatan seperti itu, jadi kesemua pedang meletup lalu berubah menjadi kepingan kecil yang terus terbang ke hadapan.

Jeritan kesengsaraan yang mengerikan terdengar satu demi satu. Semua pengikut Sekta Arus Berliku yang melarikan diri itu mati.

avataravatar
Next chapter