38 Kitab Pemekatan Qi bagi Kitab Suci Rohani Indah

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Dua bulan telah berlalu sekelip mata. Meng Hao telah pun menjadi seorang ahli Sekta Dalaman selama satu musim. Dia sudah jarang melawat Sekta Luaran lagi. Ibarat ikan di dalam air, Si Gempal telah membiasakan diri untuk terus hidup sendirian dengan agak mudah.

Meng Hao telah menghabiskan kebanyakan masanya di dalam Astaka Sakti.

Suatu hari, dia duduk bersila dan membaca lembaran buluh dengan riak wajah yang tenang. Dia mengangkat tangan kanannya dan mula membuat gerakan jampi serapah, lalu mencetuskan cahaya sakti yang berlegar-legar di keliling tangannya dan membuatkan bayang-bayang menari atas wajahnya.

Bebola Air muncul, tetapi kemudian ia telah bertukar menjadi kabut dan hilang tanpa disangka. Wajah Meng Hao berkerut dan dia meletakkan kembali lembaran buluh tersebut. Kemudian, dia menyeluk jubahnya dan mengeluarkan manuskrip jed yang bercahaya.

Ia berwarna putih tulen dan kabur di dalamnya seolah-olah dipenuhi kabus. Apabila dia melihatnya dengan lebih dekat, rupa-rupanya permukaan manuskrip itu lut cahaya seperti hablur.

"Chen Fan, Xu Qing, Meng Hao. Sila hadirkan diri di dewan kuil utama Gunung Timur." Kata-kata itu dituturkan oleh suara tenang yang dipancarkan keluar dari dalam manuskrip jed itu. Suara itu dengan mudah dikenal pasti sebagai suara Pemimpin Sekta He Luohua.

Meng Hao menutup lembaran buluh itu. Kemudian, dia bangkit dan melangkah keluar pintu utama Khazanah Sakti dengan senyap menuju ke puncak Gunung Timur.

Hampir pada waktu yang sama dia melangkah keluar, dua susuk tubuh kelihatan meluncur ke puncak itu. Salah seorang mempunyai wajah tenang, lembut dan dipenuhi dengan kebenaran iaitu Chen Fan. Manakala seorang lagi cantik tetapi dingin iaitu Kakak Xu Qing.

Xu Qing melirik ke arah Meng Hao. Ini kali pertama mereka melihat satu sama lain sejak senja bulan sebelumnya.

Mereka bertiga meluncur ke puncak Gunung Timur dan akhirnya tiba di dewan utama kuil. Ia mempunyai suasana purba dengan hiasan mewah yang memberikan perasaan seolah-olah ia telah tersergam selama bertahun-tahun lamanya. Ini tempat yang sangat penting bagi Sekta Reliance. Sebuah tempat yang diwarisi turun-temurun dan hanya boleh dikunjungi pengikut Sekta Dalaman sahaja.

Di dalam dewan kuil utama itu terdapat sembilan buah patung. Patung utama ialah seorang orang tua yang tidak kelihatan marah, tetapi masih boleh dirasai kekuatannya. Mata hitamnya kelihatan bersinar dengan cahaya kehidupan. Tangan kirinya diangkat di hadapannya dan dagunya terdongak seolah-olah dia sedang memandang kesemua makhluk di bawahnya. Dia seperti mencetuskan perasaan takut yang tidak dapat dijelaskan. Lapan buah patung di belakangnya tersusun rapi dan kesemuanya memiliki perilaku makhluk terulung.

Meng Hao telah melawat tempat ini sewaktu tujuh hari pertamanya dalam Sekta Dalaman. Dia telah menyembah sujud di hadapan semua patung ini dan memang sangat kenal orang tua yang tenang dan kuat itu tidak lain tidak bukan, Bapa Reliance. Manakala patung yang lain itu adalah Bapa Sekta Reliance.

Pemimpin Sekta He Luohua berdiri di bawah patung itu dengan membelakangi Meng Hao dan yang lain sewaktu mereka masuk. Dia merenung patung-patung tersebut seolah-olah dia sedang berkhayal. Sukar untuk mengetahui apa yang sedang difikirkan. Di sebelahnya adalah Orang Lama Ouyang. Dia mengangguk pada mereka bertiga dengan wajah yang serius.

"Beri penghormatan kepada Bapa," suaranya dalam.

Meng Hao, Xu Qing dan Chen Fan tunduk serendah-rendahnya di hadapan Bapa Reliance dengan riak wajah yang serius.

"Saya menyertai Sekta ini sewaktu Bapa Reliance telah hilang selama seratus tahun," He Luohua bersuara. "Ketika itu, Sekta Reliance masih lagi menikmati zaman kegemilangannya." Dia mengeluh dan berpusing ke belakang. Meng Hao, Chen Fan dan malah Xu Qing juga melihatnya dengan mata bercahaya.

Dia berdiam diri seketika sebelum menyambung perlahan-lahan, "Kamu sudah baca tentang Bapa Reliance di dalam catatan purba dan tahu betapa gemilangnya Sekta Reliance kita dulu...malah, kita ada pemahaman sepenuhnya tentang tiga tahap Pengukuhan Asas. Saya panggil kamu semua di sini untuk terangkan tentang kebenaran sepenuhnya."

"Kegemilangan Sekta Reliance dahulu disebabkan Bapa Reliance. Disebabkan asas Pertapaannya, beliau telah menguasai seluruh Negeri Zhao. Malah, kedudukannya juga telah menggegarkan Wilayah Selatan. Semua itu kerana salah sebuah kitab Kitab Suci Rohani Indah." Bukan sahaja mata Chen Fan bersinar terang, malah mata Xu Qing juga menjadi tajam sewaktu He Luohua bercakap.

Meng Hao sahaja yang merenung kosong kerana tidak dapat memahami apa itu Kitab Suci Rohani Indah.

"Kitab Pemekatan Qi?" Chen Fan bersuara perlahan. Dia pengikut lama Sekta Dalaman dan sudah mengetahui banyak rahsia. Tentang hal lain, dia berusaha untuk mengambil tahu sendiri.

"Kitab Suci Rohani Indah salah sebuah kitab suci lama di tanah Syurga Selatan," He Luohua menyambung dengan lembut. "Ia telah diwariskan turun-temurun sejak dahulu kala. Pada asalnya ia terdiri daripada tujuh kitab, tetapi kebanyakannya telah hilang. Salah sebuah daripadanya kitab Pemekatan Qi yang menerangkan kaedah untuk mengukuhkan Asas Sempurna. Kitab Pengukuhan Asas menerangkan kaedah untuk membentuk Teras Ungu, bukan Merah Lembayung atau Teras Campuran. Kitab Pembentukan Teras boleh membenarkan seseorang membangunkan Pembentukan Pertumbuhan... Dalam ayat lain, setiap kitab membenarkan seseorang untuk mencapai tahap terkuat." 

"Ketika itu, Bapa Reliance memiliki kitab Pemekatan Qi. Sebab pewaris puak Wang menyertai Sekta Reliance kerana Kitab Pemekatan Qi Kitab Suci Rohani Indah."

Mata Meng Hao berkilau dan jantungnya mula berdegup kencang. Dia pernah terdengar Abang Chen bercakap tentang pelbagai tahap Pengukuhan Asas. Kini, setelah dia tahu betapa kuatnya kuasa sakti yang Bapa Reliance miliki, dia faham sebab Wang Tengfei menyertai Sekta Reliance.

"Kalaulah aku dapat memilikinya..." Hasrat yang menebal di dalam hatinya mula membakar dengan lebih marak lagi.

"Malangnya, saya sendiri tidak pernah lihat kitab Pemekatan Qi ini, apatah lagi orang lain," He Luohua menyambung lagi percakapannya. "Kitab suci itu tidak diwariskan dan hanya wujud di dalam ingatan Bapa." Meng Hao terus berdiam diri dan wajah Chen Fan menunjukkan yang dia baru tersedar. Xu Qing mengangkat kepalanya untuk melihat patung Bapa Reliance.

Kesunyian mengisi dewan utama kuil itu.

"Empat ratus tahun telah berlalu dan semua orang di dunia luar menganggap Bapa sudah mati sewaktu pertapaannya. Hanya saya dan beberapa yang lain tahu yang Bapa...masih belum mati." Kata-katanya bagaikan petir yang berdentum kuat dalam telinga Meng Hao.

"Empat ratus tahun dahulu, asas Pertapaan Bapa telah mencapai tahap akhir Pertumbuhan Rohani. Namun, dia sudah sampai ke penghujung hayatnya. Demi untuk menembusi dinding penghalang ke tahap Pemisahan Roh yang dongeng itu, seseorang perlu berumur sekurang-kurangnya seribu tahun. Jika tidak, macam mana dia mahu mengingkari Syurga untuk memisahkan Rohnya?"

"Bapa telah memilih untuk mengasingkan diri dan bertapa demi memisahkan tubuh Rohaninya serta dilahirkan semula. Pertapaan itu selama...empat ratus tahun."

"Sewaktu dia pergi bertafakur empat ratus tahun lalu, Bapa telah meninggalkan satu perintah. Setiap seratus tahun, dia akan menghantar kepingan Jed Vorpal yang dibentuk dengan darahnya sendiri. Kemudian, ahli yang terhebat dalam keturunan terkini pengikut Sekta Dalaman boleh menggunakan Jed Vorpal ini untuk memasuki alam pertapaannya. Dengan menyalakan Qi dan darah di dalam Jed Vorpal itu, jika bertuah, kita berpeluang untuk menerima pencerahan tentang ilmu yang diserap di seluruh kawasan itu. Iaitu ilmu Kitab Suci Rohani Indah." Kata-kata He Luohua bergema dan Meng Hao bersama yang lain mengangkat kepalanya.

"Kejayaan ialah kejayaan. Kegagalan ialah kegagalan. Jika semua benda berjalan dengan lancar, seorang pengikut sudah pasti telah berjaya. Tetapi, dua ratus tahun dahulu Bapa mengalami kemalangan dalam pertapaannya. Dia hampir kehilangan nyawa. Setelah itu, peluang untuk pencerahan dalam alam pertapaannya menjadi lemah dan jampi pengekang menjadi semakin kuat. Dia tidak menghantar apa-apa Jed Vorpal hinggalah lima tahun lalu... Dia telah menghantar tiga keping."

"Tiga keping Jed Vorpal itu bermaksud ada tiga orang boleh masuk. Itu juga mendedahkan betapa kuatnya jampi kekangan di dalam alam pertapaan Bapa dan bermakna hanya tiga kawasan sahaja yang pencerahan itu akan berlaku." Suara He Luohua berkumandang di dalam dewan utama itu. Dia melipat lengan bajunya dan tiga jaluran merah ditembak ke arah Meng Hao dan yang lain. Benda itu berhenti dan terapung di hadapan mereka.

Itulah Kristal Darah yang selicin jed atau dikenali juga sebagai Jed Vorpal.

"Kamu bertiga sahaja pengikut Sekta Dalaman. Maka saya serahkan Jed Vorpal ini pada kamu semua. Sama ada kamu berjaya menerima pencerahan Kitab Suci Rohani Indah atau tidak akan bergantung kepada nasib kamu." Dia melipat lengan bajunya sekali lagi setelah habis bercakap dan patung Bapa Reliance mula berdengung. Matanya bersinar dengan cahaya yang tidak terbatas dan sebuah pusaran mula terbentuk di hadapannya.

"Masuk," He Luohua berkata dengan suara yang bergemuruh. "Semoga kamu semua berjaya dalam pencerahan itu." Meng Hao dan yang lain seolah-olah bertukar menjadi cahaya aurora bergemerlapan sambil mereka memegang erat kepingan Jed Vorpal mereka dan meluncur lenyap ke dalam pusaran itu. Di luar, pusaran itu masih kekal, tetapi tanpa Jed Vorpal, tiada siapa pun yang boleh memasukinya, walaupun seorang Pertapa di tahap Pertumbuhan Rohani sekalipun.

Sambil melihat pusaran itu, Orang Lama bercakap dengan perlahan, "Entah siapa antara mereka yang akan perolehi Kitab Suci Rohani Indah itu, atau…mungkin mereka semua akan kembali dengan tangan kosong."

"Itu bergantung kepada tuah seseorang. Tiada faedahnya untuk kita berfikir tentangnya." He Luohua duduk bersila di sebelahnya dan mula bertafakur.

Sewaktu Meng Hao memasuki pusaran itu, cahaya yang sangat terang telah muncul di hadapan wajahnya sehingga dia terpaksa memejamkan mata. Satu ngauman gemuruh dapat didengari di telinganya dan kemudian dia terdengar jeritan dan pekikan aneh yang datang dari pelbagai arah. Selepas masa yang sangat lama berlalu, tubuhnya menggeletar dan kemudian suara itu hilang. Jeritan itu bertukar menjadi senyap sunyi. Dia membuka matanya dan mendapati dirinya berdiri di atas tempat persembahan korban yang setinggi beberapa meter. Dia melihat sekelilingnya.

Tempat itu sangat besar. Di atasnya berwarna hitam pekat dengan titik-titik kristal kecil yang bersinar seperti bintang yang menyalakan cahaya kelam di sekelilingnya. Tiada apa-apa yang jelas seolah-olah semuanya telah ditutup oleh kain kasa. Pelbagai bangunan muncul keluar dari ketebalan kabus.

"Tandusnya! Seperti tiada siapa berada di sini selama ratusan tahun." Kedengaran suara Chen Fan dari jauh. Akhirnya, dia muncul dengan berjalan menerusi kabut itu. Terdapat sebuah lagi tempat persembahan korban yang beberapa meter tingginya juga dari arah Chen Fan muncul.

"Ada jampi kekangan yang dibuat pada tanah di atas sana. Ini kawasan pemakaman Sekta." Xu Qing muncul dari arah berlainan. Dia muncul bersama jubah peraknya dengan kejelitaan yang tidak tertanding.

"Saya masuk Sekta ini lebih awal daripada kamu berdua," Chen Fan bersuara. "Dahulu, saya pernah bertugas sebagai pengawal di dewan kuil utama, jadi saya tahu beberapa rahsia yang kamu berdua tidak tahu. Ini memang pasti kawasan pemakaman Sekta Reliance. Sekta Luaran betul-betul berada di atas kita."

Meng Hao berjalan keluar dari tempat persembahan korban itu untuk berdiri di sebelah Chen Fan dan Xu Qing. Dia hanya dapat melihat banyak tumbuhan dan bunga yang layu sewaktu melihat pada bayangan bangunan di sekitar mereka. Semuanya kaku tidak bergerak.

"Kabut ini ialah jampi kekangan," Meng Hao berkata dengan berkerut. "Ia buat semua benda kelihatan hitam dan putih. Tiada apa-apa warna sekalipun."

"Tepat sekali," Chen Fan mengiyakan dengan wajah serius. "Jangan cuba untuk memegangnya kerana keadaan Bapa yang lemah, dia telah hilang kawalannya. Mari kita guna Jed Vorpal kita untuk cari tempat pencerahan kita." Chen Fan melihat pada mereka. "Kita tidak tahu berapa lama kita ada untuk perolehi pencerahan. Mari kita tunggu satu sama lain dan kemudian kita pulang bersama-sama. Adik Xu, Adik Meng, semoga berjaya." Dia melancarkan kuasa rohaninya ke dalam Jed Vorpal itu yang kemudiannya memencarkan cahaya merah darah dan mula dibawa pergi. Chen Fan mengekorinya dan lenyap dalam kejauhan tidak lama kemudian.

Xu Qing mengangguk pada Meng Hao dan kemudian mengekori Jed Vorpalnya yang bersinar merah darah itu ke arah berbeza.

Meng Hao melihat keadaan sekeliling dan sebaik sahaja dia mahu mengaktifkan Jed Vorpal miliknya, tiba-tiba kedengaran satu jeritan yang nyaring yang menjadi semakin kuat bagaikan hanya tiga puluh meter sahaja jaraknya.

avataravatar
Next chapter