9 Ketidaksabaran dan Kekecewaan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Zhao Wugang berjaya meningkatkan kekuatan dan kepantasannya dalam beberapa tahap dengan melancarkan hikmat ini di peringkat ketiga. Dia menyeringai, menyerlahkan lagi muka hodohnya itu dan meluru ke arah Meng Hao. Kuku tajamnya bersinar-sinar di bawah cahaya mentari.

Dia sangat yakin Meng Hao pasti akan mengaku kalah kerana takut. Meng Hao mungkin boleh melarikan diri, tetapi dia tidak dapat menyelamatkan diri.

"Larilah," gelak Zhao Wugang dengan penuh sinis. Suara kuatnya itu bergema di udara. "Kau takkan boleh lepaskan diri daripada kemahiran Zhao Wugang."

Sewaktu Zhao Wugang bertukar menjadi syaitan, Meng Hao sudah berlari jauh di hadapan. Meng Hao berasa sangat terkejut kerana daripada ekor matanya, dia boleh lihat semua benda yang berlaku. Namun, kemudian dia teringatkan sesuatu dan riak wajahnya menjadi aneh. Bentuk syaitan ini sangat mirip dengan bentuk haiwan yang diletupkan oleh cermin tembaganya. Malah, bulu yang meliputi Zhao Wugang lebih bersinar daripada haiwan lain.

Meng Hao melihat Zhao Wugang dengan teliti dan perasaannya masih tidak berubah. Bulu tebal keemasan itu menampakkan Zhao Wugang bagaikan raja hutan.

Zhao Wugang berasa sangat hairan melihat riak wajah Meng Hao. Sewaktu dia mencapai peringkat ketiga Pemekatan Qi, dia telah mencuba bentuk Syaitan Jadian ini. Namun, ini kali pertama dia mendedahkannya kepada orang lain. Riak wajah aneh Meng Hao menjengkelkannya. Dia mendengus marah dan matanya bersinar galak seperti seseorang yang dahagakan darah.

"Saya rasa… abang mungkin akan suka cermin tembaga ini," Meng Hao bersuara. Dia sedar tidak lama lagi Zhao Wugang pasti akan dapat mengejarnya setelah melihat kepantasan Zhao Wugang yang meningkat dalam bentuk Syaitan Jadian itu. Dia berundur beberapa langkah dan menepuk beg saktinya dengan tangan kanan. Dengan serta merta, cermin tembaga itu muncul. Riak wajah aneh itu masih terbayang di mukanya apabila dia menyinarkan cermin itu ke arah Zhao Wugang dengan cahaya yang terang-benderang.

Sebaik sahaja cermin itu mula bersinar, Meng Hao berasa ia mula mengeluarkan bahang panas membakar yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Tindak balas ini lebih kuat berbanding ketika dia bertembung dengan haiwan syaitan lain, seolah-olah cermin itu begitu bernafsu ingin menelan Zhao Wugang. Di saat itu, satu aura halimunan terkeluar dari cermin itu dan memancar ke hadapan.

Zhao Wugang melompat ke arah Meng Hao, auranya begitu bengis dan mengancam. Tiba-tiba, dia berasa aneh, bagaikan ada gas yang memasuki tubuhnya. Ia menggelegak dengan ganas di dalam dirinya dan dari luar, bagaikan aura itu cuba merobek keluar dari dalam tubuhnya. Wajah Zhao Wugang berubah. Organ dalamannya terasa sangat sakit sehingga ke tahap kritikal. Tanpa berlengah lagi, dia menekan aura itu ke bawah ke bahagian pusat kuasa dalamannya, untuk memaksa aura itu keluar.

Aura itu sangat kuat dan ia sedang mencari titik kelemahan tubuhnya untuk keluar. Ketika dia menekan aura itu ke bawah ke arah pusat kuasa dalamannya, ia kembali meluru ke arah punggungnya dan dalam sekelip mata, ia meletus keluar dengan kesakitan yang teramat perit. Zhao Wugang berteriak kesakitan; jeritannya meremangkan bulu roma.

Dia tidak pernah menjerit sedemikian dalam hidupnya kerana dia tidak pernah mengalami sesuatu yang sebegitu rupa. Tubuhnya mula menggigil dan dia merenung tajam pada Meng Hao. Dia semakin dahagakan darah Meng Hao.

"Abang Senior Zhao," Meng Hao berkata dengan jantungnya berdegup kencang. Ini kali pertama dia bertarung dengan seseorang. "Apa kata kita tamatkan di sini sahaja? Kalau abang berundur, saya juga akan berundur. Kita selesaikan dengan aman." Dia menekup cerminnya itu. Jeritan suara pihak lawannya meresahkan Meng Hao. Dia tidak sanggup meneruskannya lagi. Lagipun, ini seorang manusia, bukan haiwan syaitan.

"Bajingan!" jerit Zhao Wugang. "Aku bukan saja akan bunuh kau hari ini; malah, aku akan turun gunung itu, cari keluarga kau dan bunuh mereka sekali! Aku akan malukan seluruh keturunan kau!" Kesakitan yang dialaminya itu hampir menjadikannya gila. Matanya menyala dengan api kemarahan dan dengan satu ngauman, dia menerkam ke arah Meng Hao untuk mengoyak-ngoyakkan tubuh musuhnya dengan kuku yang tajam.

Meng Hao hanyalah seorang cendekiawan dan dia tidak pernah bertarung. Namun, dia memiliki keberanian dan setelah mendengar kata-kata Zhao Wugang, timbul niat membunuh pada matanya. Tidak ada gunanya lagi untuk berbincang dengan orang yang memang jelas ingin mencabarnya. Dia tidak sanggup lagi mendengar jeritan kesakitan yang menyedihkan itu, tetapi tiada orang yang masih boleh bersabar dengan ancaman sedemikian. Oleh itu, dia berundur beberapa langkah ke belakang dan mengangkat semula cermin itu ke arah Zhao Wugang.

Ketika Zhao Wugang sudah mahu menghampirinya, dia berasa bagaikan terdapat ngauman meluru ke arahnya. Sekali lagi, aura menakutkan itu telah memasuki tubuhnya. Berdasarkan pengalamannya tadi, dia telah melindungi dirinya dan mengunci aura itu supaya tidak terlepas. Namun, apabila dia berasa yakin yang dia sudah berjaya, aura itu menderu menerusi tubuhnya, kemudian meletus keluar dari telinga kirinya.

Jeritan ngeri yang sukar untuk dibayangkan kedengaran akibat kesakitan yang dialaminya. Kesakitan itu berkali-kali ganda lebih dahsyat daripada sebelum ini. Kemudian, telinga kanannya pula meletup dan darah tersembur membuak-buak dari tepi kepala Zhao Wugang.

Dia terasa bagaikan kepalanya mahu terbelah dua dan mukanya menjadi pucat lesi. Dia terkedu dan matanya menatap muka Meng Hao tanpa berkelip. Kemudian, riak wajahnya menjadi ganas.

"Aku akan bunuh seluruh keluarga kau dan hapuskan seluruh keturunan kau! Aku akan buat mereka menderita begini, kemudian biarkan mereka mati menjerit kesakitan!" Telinga Zhao Wugang sudah pekak dan dia cuba bertahan dengan kesakitannya itu. Dengan penuh tekad untuk membunuh pihak lawan, dia menggagahkan diri dan menerkam ke arah Meng Hao.

"Saya sudah beri abang peluang, tetapi abang masih tidak mahu terima!" kata Meng Hao yang terperanjat. Dia tidak pernah melihat cermin itu meletupkan telinga sebelum ini. Dengan yakin, dia berundur lebih jauh lagi sambil memancarkan sinaran cermin itu kepada Zhao Wugang.

"Meng Hao!!" jerit Zhao Wugang. Telinga kanannya meletup lalu berkecai. Kedua-dua telinganya membengkak. Riak wajah kemarahannya sudah hilang diganti dengan perasaan takut dan hairan. Dia terus berpusing dengan sangat pantas untuk melarikan diri. Dia sudah hilang keinginan untuk menghapuskan Meng Hao. Namun, ketakutan dalam hatinya menyebabkan dia menggigil sehingga dia tidak mampu menggerakkan sendinya. Tubuhnya terpaku. Dia cuba mengumpulkan kekuatan dan keazaman untuk membunuh Meng Hao. Dia pasti akan membuatkan keluarga Meng Hao sengsara dan merampas cermin tembaga terkutuk itu.

Namun, sebaik sahaja dia berpatah balik, buat pertama kalinya cermin itu terbang dari tangan Meng Hao. Nampaknya ia bagaikan dirangsang oleh sesuatu. Ia terbang mengejar dan menyerang Zhao Wugang beberapa kali. Zhao Wugang menjadi hilang akal; dia berasa suatu kuasa yang menakjubkan telah memasuki ke dalam tubuhnya. Dia menjerit tidak tentu arah dan sudah tidak berupaya untuk melarikan diri. Badannya telah tercampak ke udara dan kedua-dua telinga, dada serta kaki kiri dan kanannya meletup lalu berkecai.

Apabila aura itu meletup, darah Zhao Wugang memancut-mancut keluar dan dalam masa yang diperlukan untuk bernafas sebanyak sepuluh kali, mata Zhao Wugang menjadi gelap dan tubuhnya bertukar kembali ke bentuk asal dengan perlahan-lahan. Bulunya hilang lantas menyebabkan nafsu cermin tembaga itu hilang dan ia terbang kembali ke tangan Meng Hao. Tubuh Zhao Wugang terhempas ke tanah.

Tempat itu kini berlumuran darah. Mata mayat Zhao Wugang masih terpancar rasa takut dan gerun. Sesiapa yang melihatnya pasti akan menggigil.

Melihat mayat Zhao Wugang, Meng Hao menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia terkejut ketika cermin tembaga itu terbang kembali ke dalam tangannya. Dia tergamam dengan rasa tidak percaya. Dia tidak kisah melihat haiwan liar meletup, tetapi kali ini seorang manusia pula yang meletup. Tubuhnya menggeletar tatkala dia melihat darah di merata-rata tempat. Bau kematian pada cermin itu menyebabkan dia mahu membuangnya. Dia melepaskan genggaman dan mencampakkannya ke tanah.

Lagipun, dia hanya seorang cendekiawan. Pada mulanya, cermin itu memang menarik minatnya tetapi sekarang ia membuat Meng Hao berasa ngeri dan takut. Tambahan lagi, ini sudah bertentangan dengan fahaman Confucius yang dianutinya.

Dia tercegat buat beberapa ketika dan hatinya rasa begitu gelisah. Matanya terpancar rasa kekecewaan. Jiwanya masih jiwa seorang cendekiawan dari Wilayah Yunjie. Dia tidak menipu dan tidak pernah bergaduh, apatah lagi membunuh. Sifat itu telah berakar umbi dalam hatinya dan bukan mudah untuk diubah. Dia memikirkan tentang semua yang telah terjadi sambil hatinya dipenuhi rasa gundah-gulana.

"Etika, kebahagiaan, kebaikan dan keadilan Konfusianisme serta pencariannya untuk kebenaran mengharamkan penganutnya daripada membunuh. Tetapi mengikut prinsip Sekta, 'Yang kuat akan membaham yang lemah.' Sekarang saya faham maksudnya, tetapi untuk mengamalkannya sudah lain cerita…" Meng Hao menggigil walaupun hanya memikirkan tentang benda yang telah berlaku. Setelah sekian lama, dia mengeluh panjang dan melangkah pergi.

Namun, setelah beberapa langkah dia mengetap giginya dan berpatah balik ke arah mayat Zhao Wugang. Dia mengambil beg saktinya dan melancarkan Seni Ular Api pada mayat itu.

Api itu tidak membakar mayat itu sepenuhnya maka Meng Hao memakan Pil Pemekatan Rohani dan melancarkan tiga lagi Ular Api. Tidak lama kemudian, mayat itu hangus terbakar sehingga tidak dapat dikenali lagi.

Dia melakukan senaman pernafasan selama beberapa kali untuk mengumpul kekuatan dan kemudian melancarkan dua lagi Ular Api. Barulah mayat Zhao Wugang hangus sepenuhnya.

Dia melihat cermin itu di atas tanah sepintas lalu. Meng Hao cuba untuk menahan takut dan marah lalu mengutipnya dan memegangnya dengan erat.

Dengan dihantui perasan gerun dan serba salah, Meng Hao kembali ke Gua Dewa sepantas mungkin. Dia duduk dalam keadaan bingung. Setelah lama duduk di sana, akhirnya dia bergerak dan membuka beg sakti Zhao Wugang. Matanya bersinar melihat kandungan beg sakti itu. Ia mengubah perasaannya yang tidak tentu arah tadi akibat membunuh buat kali pertama.

"Kaya betul Zhao Wugang!" dia terjerit kecil. Beg sakti itu mengandungi lapan ketul Batu Rohani, tujuh biji Pil Pemekatan Rohani dan serpihan tulang yang dilitupi simbol aneh.

Dia melihat serpihan tulang itu buat seketika sebelum terus membuangnya ke tepi. Ia mengandungi arahan untuk melancarkan Hikmat Syaitan Jadian. Dia tidak berani menyentuhnya. Dia tidak mahu bertukar menjadi Syaitan Jadian dan diletupkan oleh cermin tembaganya sendiri.

Setelah dia mencampakkan serpihan tulang itu ke tepi, tiba-tiba dia teringat tentang pedang terbang itu. Dia terus keluar dari gua itu dan menjejaknya di dalam hutan. Dia mengambil pedang putih pendek itu dan kembali ke gua untuk memeriksanya. Dia sangat teruja.

Meng Hao tidak dapat memikirkan cara untuk menyatukan perbezaan antara cara Manusia Biasa dan fahaman Confucius. Dia memutuskan untuk tidak mengendahkan perkara itu. Mungkin dia akan faham satu hari nanti tetapi kini dia perlu memikirkan cara untuk terus hidup dalam Sekta ini. Itu yang paling penting.

Dengan penuh tekad, dia mengeluarkan Batu Rohani itu dan meraba-rabanya. Kemudian dia mengeluarkan cermin tembaga itu dan meletakkan cermin itu di sebelahnya. Dia melihat cermin itu buat seketika waktu.

"Abang Senior Zhao yang mencabar aku," dia merungut. "Aku terpaksa membalas serangannya. Aku cuba berdamai tetapi dia menolak. Aku sudah bunuh seseorang, tetapi aku sudah cuba ajak dia berbincang elok-elok. Aku cuba untuk lepaskan dia, tetapi dia yang menempah maut."

"Cermin ini sudah berbau darah. Kalau jatuh di tangan orang jahat, ia akan jadi alat kejahatan, tetapi kalau di tangan aku, ia takkan jadi begitu. Aku mempunyai kebaikan Confucius dalam hatiku dan benda berharga ini milik aku. Keadaan tentu akan jadi berbeza." Dia melihat kembali cermin itu dan menarik nafas dengan dalam.

"Ia takkan sekadar meletupkan makhluk dan dahagakan darah. Aku akan berhati-hati menggunakannya nanti." Selama beberapa ketika, dia bergumam sendirian. Kemudian, dia mendongakkan kepalanya dan memikirkan tentang kemisterian cermin itu yang lain dan harapannya. Dia mengetap giginya sekali lagi.

"Berjaya atau gagal. Kita akan lihat sekarang. Kalau ia berjaya, maka latihan Pertapaan aku akan menjadi luar biasa." Tanpa berlengah lagi, Meng Hao mengeluarkan Teras Syaitan dan separuh Batu Rohani serta meletakkan kedua-duanya pada cermin itu. Dia menanti dengan rasa gementar.

Masa berlalu. Jika colok dinyalakan, sudah separuh akan habis dibakar. Namun, tiada apa-apa yang berlaku. Tiada perubahan pada Teras Syaitan dan Batu Rohani itu juga tidak lenyap. Masih lagi tinggal seketul Teras Syaitan sahaja.

Meng Hao mengerutkan kening. Dia mundar-mandir dalam gua itu sebentar sebelum melihat kembali pada cermin itu.

"Mustahil. Bulan lepas, ia menghasilkan dua…" Dia merenung Batu Rohani di atas cermin itu, dia masih tiada idea lagi. Setelah beberapa ketika, dia menepuk beg saktinya dan mengeluarkan separuh lagi Batu Rohani. Dengan berhati-hati, dia meletakkannya pada cermin itu.

Sebaik sahaja dia meletakkan Batu Rohani itu di bawah, satu aura hitam terimbas di permukaan cermin itu dan ia seolah-olah bertukar menjadi sebuah tasik. Dua biji Batu Rohani itu tenggelam dan kegelapan permukaan itu beriak dan menenggelamkan Teras Syaitan. Kemudian, di sebelah Teras Syaitan pertama tadi, muncul Teras Syaitan kedua!

Meng Hao terpegun. Walaupun hatinya sudah bersedia, namun dia masih lagi terkejut. Setelah beberapa ketika masa berlalu, dia mengambil dua biji Teras Syaitan itu dan dengan sangat teruja, dia memeriksanya.

"Jadi betullah! Ini sangat hebat!" Nafasnya mendesah laju dan dia cuba menenangkan dirinya. Tiba-tiba, dia berasa masa depannya semakin cerah. Dia menarik nafas beberapa kali dan cuba mengulangi proses itu tadi.

Satu, dua… sembilan biji Batu. Pada mulanya, dia hanya tinggal sebiji sahaja. Di hadapannya ada empat Ketul Teras Syaitan. Jika dikira sekali yang asli, maknanya sudah ada lima.

Batu itu mengeluarkan aroma manis yang semakin menebal di udara, menyebabkan dia berasa mabuk. Dia tersengih kerana dia menyedari ini harta paling banyak pernah dimiliki sepanjang seluruh hidupnya. Ahli Sekta Luaran lain tentu tidak pernah merasa semewah ini.

Keseronokannya berlanjutan dan melarat jauh hingga ke tengah malam. Dengan menggenggam Teras Syaitan itu, dia meletakkan sebiji di atas lidah dan menelannya. Dua jam kemudian, dia membuka matanya dan mengambil sebiji lagi.

Dia tidak pernah melakukan sesuatu yang sangat gelojoh sebelum ini. Menjelang subuh, kuasa tidak terbatas dua ketul Teras Syaitan itu sudah tersebar sepenuhnya di dalam tubuhnya.

Tubuhnya berdengung dan gumpalan kekotoran telah terkumuh melalui liang bulu romanya. Matanya bersinar terang ketika dia membukanya.

"Peringkat ketiga Pemekatan Qi!" Meng Hao masih tidak berpuas hati. Dia memandang tiga biji pil yang tinggal. Dia mengambil sebiji lagi. Sebaik sahaja fajar menyingsing keesokan harinya, dia sudah makan kesemua Teras Syaitan itu. Asas Pertapaannya sudah semakin hampir mencapai puncak peringkat ketiga Pemekatan Qi.

Sementara itu, lapan biji Pil Pemekatan Rohani itu tidak berguna disebabkan asas Pertapaannya sekarang. Malah, ia takkan mengubah apa-apa jika dia mengambil kesemuanya serentak. Dia syak ia ada kena-mengena dengan Teras Syaitan itu. Memandangkan Pil Pertapaan Rohani itu selalu diagihkan oleh Sekta, ia sepatutnya tidak selemah ini.

"Sejumlah yang kecil tak akan beri kesan. Kalau aku makan sedozen pun, tentu tidak beri kesan sangat." Meng Hao memejamkan matanya dan menumpukan pada kuasa rohani di dalam badannya. Kuasa rohaninya bukan lagi sebatang anak sungai, ia telah menjadi sebatang sungai. Ia bukanlah sebatang sungai yang besar, tetapi ia lebih besar daripada sebatang anak sungai. Dia dapat merasai kuasa tersebut setelah ia tersebar ke seluruh tubuhnya. Dia dapat merasakan jumlah tenaga yang menakjubkan memenuhi dirinya.

Disebabkan tahap kuasa yang mengejutkan itu, Meng Hao sedar berbanding semalam, dia telah melalui proses kelahiran semula. Sebelum ini, dia hanyalah seorang Petapa yang lemah. Sesiapa sahaja boleh membulinya. Sekarang, asas Pertapaannya telah menjadi sangat tinggi sehingga dia menjadi salah seorang yang paling berkuasa antara murid peringkat ketiga yang boleh berada di Zon Awam.

Dia melambaikan tangan kanannya dengan gembira dan Ular Api sepanjang lengannya membakar dengan marak. Kepanasannya tersebar memenuhi Gua Dewa dengan serta-merta. Ular Api yang ganas itu dipenuhi kekejaman yang menggerunkan dan ia memuntahkan letupan api.

Jika dia bertembung dengan Zhao Wugang di tahap kuasa sebegini, Ular Apinya akan melayang ke hadapan. Kalau tidak mati sekalipun, ia pasti akan sekurang-kurangnya menjadikan Zhao Wugang cedera parah.

avataravatar
Next chapter