36 Kelebihan Sekta Dalaman

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Setengah bulan telah berlalu. Meng Hao menghabiskan sebahagian besar masanya dengan duduk bersila di Astaka Sakti, mempelajari catatan kuno. Sekarang dia mempunyai pemahaman yang lebih mendalam mengenai Negeri Zhao dan Wilayah Selatan.

Dia juga telah menemui peta bagi kawasan Syurga Selatan yang dilukis dengan tangan. Peta ini menunjukkan Tang Agung di Tanah Timur, Hulu Sungai Utara dengan seruling Qiang Di, Tanah Barat Orang Gasar, dan tentulah Wilayah Selatan, di mana dia sedang berada.

Seluruh dunia dipaparkan secara rapi di atas satu peta, dan Meng Hao menghafal peta tersebut. Wilayah Selatan terdiri daripada kawasan tanah Syurga Selatan, sedangkan Negeri Zhao hanya satu titik kecil.

"Wilayah Selatan ini begitu besar sehingga dapat menampung beribu-ribu Negeri Zhao..." Dia memandang ke langit biru di luar Astaka Sakti, matanya dipenuhi dengan ekspresi terpesona.

"Jadi ternyata pengembaraan ke Tang Agung di Tanah Timur tidak begitu mudah. ​​Kamu perlu menyeberangi Laut Bima Sakti..." Selepas beberapa ketika, Meng Hao melihat peta itu semula. Terdapat empat kawasan utama di tanah Syurga Selatan. Tanah Timur dan Hulu Sungai Utara membentuk satu benua kecil yang dipisahkan oleh lautan luas dari Tanah Barat Orang Gasar dan Wilayah Selatan, yang membentuk satu lagi benua kecil.

Apabila matahari mula terbenam di sebalik pergunungan barat dan hari mula senja, Meng Hao menggosok-gosok matanya kemudian memulangkan peta itu ke tempatnya sebelum meninggalkan Astaka Sakti. Dia memandang jauh ke arah timur untuk seketika, kemudian berpaling dan menuju ke Gua Dewa Sekta Dalaman miliknya.

Di dalam Gua Dewa, mutiara bercahaya yang bertatah di permukaan gua memancarkan cahaya lembut ke dinding berwarna hijau muda. Terdapat lima bilik batu serta sebuah Mata Air Panas Rohani yang membuak-buak mengisi gua itu dengan Tenaga Rohani yang padat. Ini kelebihan yang diberikan kepada para pengikut Sekta Dalaman. Meng Hao masuk dan duduk bersila di atas sekeping jed putih yang tebal. Jed ini tidak diperbuat daripada Batu Rohani, tetapi bermeditasi di atasnya membantu minda seseorang menjadi lebih jelas dan jed ini merupakan harta yang jarang ditemui.

Jed ini juga khas untuk para pengikut Sekta Dalaman sahaja.

"Hanya pengikut Sekta Dalaman yang dianggap sebagai pengikut Sekta Reliance," fikir Meng Hao dalam diam sambil memandang di sekelilingnya. Dinding batu berwarna hijau muda dihias ukiran pelbagai jenis burung dan binatang buas. Setiap ukiran seolah-olah mempunyai makna yang mendalam. Melihatkan ukiran ini sahaja cukup menimbulkan suasana elegan.

"Kelebihan ini sangat berbeza daripada apa yang diberikan kepada pengikut Sekta Luaran. Ini untuk menekankan sifat cemerlang para pengikut Sekta Dalaman. Sama seperti di dunia fana, terdapat satu pembahagian di antara lapisan. Berkat usaha keras, seseorang itu boleh melangkaui Sekta Luaran. Selepas itu, jika ingin mencapai tahap lebih tinggi, seseorang itu mesti menjadi lebih kuat!

Tidak lama kemudian tiba waktu senja dan Meng Hao terdengar satu suara bernada hormat dari luar.

"Abang Besar Meng, Li Fugui dari kaki gunung memohon untuk berjumpa." Suara ini milik sorang budak lelaki yang merupakan hamba suruhan. Selepas Meng Hao menyertai Sekta Dalaman, budak lelaki ini telah ditugaskan untuk menjaga urusan hariannya.

Ini satu lagi kelebihan hidup dalam Sekta Dalaman. Pada mulanya, Meng Hao mengalami kesukaran untuk membiasakan diri. Dia tidak pernah ada orang yang berkhidmat untuknya sebelum ini. Tetapi apabila dia melihat hamba suruhan Abang Besar Chen membantunya, Meng Hao dapat menerima keadaan ini dengan lebih mudah. Walau bagaimanapun, dia tetap teguh dengan keinginannya untuk menjadi bertambah kuat.

Hanya yang kuat dapat memiliki kuasa ke atas orang lain, dan mengelak orang lain mengawalnya. Peraturan dunia Pertapaan dan Sekta Reliance sama sahaja. Peraturan yang tidak munasabah atau adil, tetapi hakikatnya peraturan itu tetap wujud.

Kewujudan ialah kebenaran. Dunia ini pada asasnya memang tidak munasabah, dan secara semula jadinya keadilan sebenar itu tidak wujud.

"Panggil dia masuk," kata Meng Hao dengan tenang. Dengan penuh hormat, hamba suruhan yang muda itu mematuhi arahannya. Seluruh kehidupannya milik Meng Hao setelah ditugaskan untuk melayannya.

Tidak lama selepas itu, Si Gempal masuk, mengklik giginya dan berjalan dengan langkah yang panjang. Ini bukan kunjungan pertamanya, tetapi yang ketiga. Setiap kali datang, dia merasa teruja. Bagi pengikut Sekta Luaran, ini bukanlah tempat yang boleh dilawati tanpa persetujuan orang yang mereka ingin jumpa.

Hamba muda itu mengiringi Si Gempal dengan hormat. Si Gempal memandang di sekelilingnya, menyentuh pelbagai barang dengan kagum. Bahkan jed putih yang diduduki Meng Hao juga telah disentuhnya.

"Ini bukan kali pertama awak ke sini," kata Meng Hao sambil ketawa dan memerhatikan Si Gempal.

"Meng Hao, tempat ini sangat luar biasa. Setiap kali saya datang, saya tidak dapat mengawal diri. Gua Abadi seorang pengikut Sekta Dalaman ialah tempat legenda. Kamu nak tahu, selepas kali terakhir saya datang ke sini, sekumpulan pengikut Sekta Luaran berkerumun di sekeliling saya bertanyakan pelbagai soalan. Saya orang penting sekarang!" Tubuhnya bergetar, dan dia mengambil masa untuk berhenti memikirkannya. Dia duduk di depan Meng Hao.

"Jika awak mahu, saya boleh minta Gua Abadi Wang Tengfei diberikan pada awak."

"Itu...itu sangat hebat," kata Si Gempal. Dia kelihatan teruja, tetapi pada masa yang sama agak malu.

"Zhao Hai," kata Meng Hao dengan tenang. Dia melambaikan tangan kanannya, dan pintu utama dibuka. Hamba suruhan muda itu bergegas masuk dan memberikan Meng Hao satu tabik hormat.

Dia kelihatan seperti berusia empat belas atau lima belas tahun, hampir sebaya dengan Si Gempal. Wajahnya lemah-lembut, dan dia baru sahaja tiba di gunung itu baru-baru ini. Dia dikatakan berasal dari kampung yang sama dengan Harimau Kecil dan keluarganya kaya.

"Bawa Papan Rohani saya ke Astaka Pengagihan Gua dan dapatkan kepingan jed Gua Abadi Wang Tengfei." Dia melambaikan tangannya, dan satu kepingan jed putih terbang ke tangan hamba suruhannya itu.

Hamba muda itu menerima tugasan yang diberikan, kemudian berlalu pergi dengan ekspresi wajah penuh hormat.

"Meng Hao, bila awak akan turun dari gunung?" Tanya Si Gempal dengan penuh bersemangat. "Saya berjanji dengan para pengikut Sekta Luaran yang awak akan pergi untuk memeriksa mereka. Awak tidak boleh memungkiri janji, saya sudah berjanji dengan mereka."

"Orang Lama Ouyang kata saya akan mempengerusikan Hari Pengedaran Pil nanti," kata Meng Hao sambil tersenyum. "Saya rasa majlis itu akan berlangsung lusa ini." Mereka berdua telah bersama-sama menyertai Sekta tiga tahun lalu. Ikatan persahabatan yang mendalam telah lama terbina di antara mereka.

"Hebat, lusa inilah. Oh ya, perniagaan kita sudah semakin maju sejak setengah bulan yang lalu. Saya sudah mengasingkan 80% bahagian kamu." Dia menyerahkan satu beg sakti pada Meng Hao, sambil kelihatan gembira. Si Gempal juga nampaknya sudah faham maksud di sebalik Sekta Reliance. Dengan adanya sokongan dari Meng Hao, siapa di Sekta Luaran yang berani melawan kata-katanya?

Lebih baik lagi, pengikut perempuan Sekta Luaran yang cantik telah mula mengampu dia sehingga dia seolah-olah melayang-layang di udara. Buat masa ini, Si Gempal agak terkenal.

"Shangguan Xiu ada menimbulkan sebarang masalah pada awak baru-baru ini?" tanya Meng Hao tiba-tiba, matanya bersinar.

"Tiada siapa yang melihat keparat itu akhir-akhir ini," jawab Si Gempal, suaranya menjadi serius. "Saya telah menugaskan seorang pengikut untuk melakukan pengintipan bagi pihak saya. Dia mengatakan Shangguan Xiu duduk bermeditasi di tempat yang terpencil sepanjang hari dan tidak pernah keluar."

"Berhati-hatilah" Meng Hao memberi amaran bukan untuk pertama kalinya. "Jika terjadi sesuatu, patahkan token mesej yang saya berikan."

Tidak lama kemudian, Zhao Hai kembali dengan kepingan jed Gua Abadi Wang Tengfei. Meng Hao memberikannya kepada Si Gempal. Kedua-duanya bergelak ketawa dan berbual-bual sehingga larut malam. Nampaknya Si Gempal tidak mahu pergi. Malah dia seolah-olah menjadi semakin teruja.

Meng Hao terkejut dengan perkara ini, tetapi sewaktu dia teringat hari itu hari apa, dia ketawa.

"Hari ini Buah Perubatan diedarkan di Sekta Dalaman," kata Meng Hao.

Si Gempal menjilat-jilat bibirnya dan mengangguk. Hatinya penuh rasa iri hati dengan perbezaan di antara pengikut Sekta Dalaman dan Luaran. Setiap bulan Buah Perubatan akan diedarkan. Ini sejenis Buah Rohani khusus yang diseduh dengan Pil Perubatan. Rasa Buah Rohani sama seperti Pil Perubatan, tetapi jauh lebih berkesan berbanding Pil Perubatan biasa.

Pengikut Sekta Dalaman menerima buah tersebut sebulan sekali.

Selepas habis sebatang colok terbakar, Zhao Hai masuk. Dia sebenarnya tidak suka pada Si Gempal, tetapi langsung tidak menunjukkan perasaan itu di wajahnya. Di tangannya ada Buah Perubatan yang dibungkus dalam daun hijau yang besar.

Buah itu mengeluarkan aroma yang lembut sehingga menyebabkan Zhao Hai menelan air liurnya. Dia meletakkan buah itu ke bawah dan berlalu pergi.

Apabila daun besar itu ditanggalkan, haruman perubatan mengisi udara. Di dalam daun itu ada dua buah bersaiz kecil yang separuh lut sinar dan berwarna merah muda. Kedua-dua biji buah itu kelihatan sangat lembut, seolah-olah boleh pecah jika disentuh. Di dalam setiap satunya terdapat sebiji pil perubatan yang hampir tidak kelihatan.

Mata Si Gempal terbeliak. Dia tidak pernah makan Buah Perubatan sebelum ini, tetapi pernah mendengar mengenainya dari beberapa pengikut Sekta Luaran baru-baru ini. Selepas bertanya beberapa soalan, dia telah mengetahui tarikh pengedaran buah ini dan bergegas melawat Meng Hao dengan perasaan teruja. Dia mengambil sebiji buah dan memasukkannya ke dalam mulutnya. Dia menggigit buah itu kemudian menelannya, dan satu rasa yang lazat memenuhi mulutnya. Kemudian kepalanya mula merasai kehangatan yang kemudiannya tersebar ke seluruh tubuhnya.

"Sungguh luar biasa. Pasti sayalah pengikut Sekta Luaran pertama yang dapat makan Buah Perubatan. Kalau hal ini tersebar, pasti para gadis akan berasa sangat iri hati. Semua orang akan cemburu dengan tuah Tuan Besar Si Gempal." Tiba-tiba seolah-olah teringatkan sesuatu, dia cepat-cepat menutup mulutnya supaya aroma harum itu tidak hilang. Dia memberi isyarat menggunakan tangannya kepada Meng Hao untuk mengatakan dia harus pergi, sebelum berlari keluar.

'Saya ada bukti!' fikirnya. 'Saya perlu mencari beberapa pengikut perempuan dan biarkan mereka menghidu bau ini.' Semakin dia memikirkannya, semakin dia berasa teruja. Dia berlari menuruni gunung dengan lebih cepat.

Rancangan bijak Si Gempal amat jelas dan ini menyebabkan Meng Hao ketawa. Dia perlahan-lahan memasukkan baki Buah Perubatan itu ke dalam mulutnya. Buah itu sangat lazat, penuh dengan rasa Perubatan yang padat.

"Ini lagi satu kelebihan pengikut Sekta Dalaman..." Sambil makan Buah Perubatan, dia mengeluh. Kehidupan ini bukanlah sesuatu yang dapat dinikmati oleh para pengikut Sekta Luaran. Jika dia mahu, dia hanya perlu membuat isyarat, dan mana-mana pengikut wanita yang cantik akan setia padanya.

Dua hari kemudian tibalah Hari Pengedaran Pil. Meng Hao berjalan keluar dari Gua Dewa, diikuti rapat oleh si hamba muda Zhao Hai. Di tangannya ada beg sakti berwarna ungu. Beg itu dipenuhi Batu Rohani dan Pil Perubatan untuk diedarkan.

Angin gunung menyambut ketibaan fajar sewaktu Meng Hao bergerak turun. Sepanjang perjalanannya, pengikut Sekta Luaran yang dia temui terkejut melihatnya, kemudian berhenti dan memberinya tabik genggam.

"Salam, Abang Besar Meng."

"Abang Besar Meng kelihatan elegan seperti biasa. Sudah lama saya tidak berjumpa kamu, Adik Seguru sangat rindu dengan kamu."

"Salam, Abang Besar Meng, bakat terpendam kamu sangat hebat. Asas Pertapaan kamu juga menakjubkan, kamu pasti akan menjadi tonggak Sekta."

Ditemani segala pujian dan sanjungan yang diterimanya, Meng Hao terus berjalan sehingga tiba ke dataran yang sudah dipenuhi sejumlah besar pengikut Sekta. Menyedari kehadirannya, mereka memberi tabik hormat, dan kemudian sanjungan dan pujian kedengaran lagi.

Dia mengangguk, tersenyum, kemudian melompat, membawa Zhao Hai bersamanya ke platform. Ini bukan kali pertama dia di sini, tetapi ini kali pertama dia mengedarkan Pil Perubatan.

Dia memandang ke arah orang ramai. Wajah setiap orang dipenuhi ketaatan penuh hormat. Secara beransur-ansur, wajah Meng Hao menjadi semakin terganggu. Dia mengimbas kembali ke kali pertama dia ke Hari Pengedaran Pil. Ketika itu Wang Tengfei telah memalukannya. Banyak kenangan terlintas di fikirannya.

Akhirnya, dia menarik nafas dan berkata, "Bunyikan loceng."

avataravatar
Next chapter