51 Gunung Khazanahku…

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Walaupun budak ini bukan seorang pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung, tetapi awak cakap yang sesiapa pun boleh memasuki kawasan ini. Melihat dia sesuka hati berlari ke sana-sini di dalam hutan gunung buruk awak ini buat saya seronok. Habis tu, kenapa kalau saya gembira?" Wu Dingqiu ketawa kerana berasa sangat berpuas hati. Dia asyik memendam rasa sepanjang malam tadi dan kini dia tahu yang walaupun Si Aneh Song bercakap dengan tenang, tetapi dia sedang menyembunyikan kegelisahannya. Wu Dingqiu melihat Meng Hao di bawah dengan rasa agak gembira.

"Senjata sakti budak itu benar-benar boleh menguasai Haiwan Rohani," Si Aneh Song bersuara. "Asas Pertapaannya rendah. Dia takkan mampu keluar dari Hutan Haiwan Rohani ini. Hutan ini telah ditanam dengan pokok-pokok yang saya tuai dari seluruh tanah Syurga Selatan yang disirami Air Rohani dari Laut Bima Sakti. Bukan sahaja pokok-pokoknya membesar tinggi dan kuat, malah boleh memancarkan tenaga rohani yang boleh diserap Haiwan Rohani dengan Teknik pernafasan. Dalam Hutan Haiwan Rohani saya, ada juga…" Suaranya tiba-tiba terhenti.

Meng Hao meluncur ke hadapan dan menarik perhatian Haiwan Syaitan yang di sekitarnya. Dia berada sejauh beberapa ratus meter dari kaki Gunung Rohani. Dia baru sahaja mahu memasuki kawasan yang tidak pernah dijejaki seorang pun pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung.

Walaupun Meng Hao tidak tahu punca kawasan ini dipenuhi pengikut sekta berjubah putih, tetapi dia dapat rasa yang sesuatu sedang berlaku. Tetapi dengan Shangguan Xiu yang sedang mengejarnya, dia tiada masa untuk memikirkannya. Dia terus mara ke dalam hutan itu. Tiba-tiba, seekor Haiwan Syaitan gergasi setinggi dua belas meter muncul di hadapannya.

Ia ialah seekor mamot berbulu lebat raksasa dengan mata tajam berwarna merah dan gading yang berkilat. Tubuhnya seperti sebuah gunung yang kecil dan bumi bergegar ketika dia mara dengan kekuatan yang mengejutkan itu.

"Matilah budak ini kali ini," Si Aneh Song bercakap dengan tenang. "Inilah mamot berubah bentuk saya yang ditangkap di dalam Gua Pembaziran Hidup, salah sebuah tempat paling berbahaya di Kawasan Selatan. Saya membesarkannya dengan pil ubat dan ia salah seekor daripada tiga ekor Haiwan Rohani terkuat yang melindungi kawasan ini. Kuasanya tiada batasan dan kulitnya sangat tebal. Pedang terbang biasa takkan mampu mencalarkannya pun. Haiwan ini juga mahir dalam pelbagai jenis hikmat sehingga seseorang yang berada di peringkat kesembilan Pemekatan Qi pun sukar untuk menanganinya. Haiwan ini juga boleh menghalang sesiapa yang berada di bawah tahap Pengukuhan Asas." Terbeliak mata Si Aneh Song seolah-olah mahu terkeluar dari kepalanya sewaktu dia melihat Meng Hao mahu keluar dari Hutan Haiwan Rohani itu. Tetapi kini, dia mengeluh lega.

Senyuman Wu Dingqiu yang terukir kini hilang untuk seketika waktu. Dia boleh lihat yang mamot ini bukanlah makhluk biasa. Sekta Takdir Ungu Lembayung tidak memiliki haiwan berubah bentuk, tetapi setelah mendengar Si Aneh Song menceceh tentangnya, wajahnya terus berkerut dan dia menggumam sendiri yang lelaki itu sememangnya pelik. Dia tak begitu hiraukan tentang Pertapaan. Tapi, dia suka mencari Haiwan Syaitan untuk dibela, terutamanya yang pelik sebegini.

Kemudian, mata Wu Dingqiu mula bersinar. Riak wajah Si Aneh Song berubah tiba-tiba dan bingkas berdiri dengan riak wajah yang terkejut jelas kelihatan di wajahnya.

Di dalam Hutan Syaitan itu, Mamot Syaitan itu meluru ke arah Meng Hao. Meng Hao menarik nafas sedalam-dalamnya dan berundur sedikit dengan keluh-kesah memikirkan betapa banyaknya Haiwan Syaitan di dalam tempat ini. Dia mengangkat tinggi lembingnya dan menghunuskan pada mamot itu. Mamot Syaitan yang meluru itu terhenti dan mula menggigil. Tiba-tiba, belalainya meletup dengan bunyi yang kuat. Separuh daripadanya terbang ke udara dan mendarat ke atas sebatang pokok. Pokok itu tumbang serta-merta kerana ditimpanya.

Berang dengan kesakitan, mamot itu terus meluru. Meng Hao mengayunkan lembingnya dan kedengaran bunyi sebuah letupan yang kuat. Belakang mamot itu telah meletup dan diikuti dengan mulutnya. Akhirnya, kaki kanan hadapannya hancur sepenuhnya dan mamot itu jatuh terseret jauh ke tanah.

Jeritan mengerikan memenuhi segenap pelosok Hutan Haiwan itu. Meng Hao kelihatan agak pucat. Dia menjeling keadaan sekeliling. Kemudian dia meluru ke hadapan dengan meninggalkan Hutan Syaitan di belakangnya dan memasuki gunung khazanah itu.

Tidak jauh di belakangnya, Shangguan Xiu berada di dalam keadaan yang genting. Dia tidak berupaya untuk membebaskan dirinya daripada Haiwan Syaitan bermata merah di sekelilingnya. Dia hanya mampu melihat Meng Hao menghilang dan api kemarahannya marak sehingga ke langit.

Meng Hao keluar dari hutan itu dengan meninggalkan jejak darah yang panjang dan juga raungan sengsara pelbagai Haiwan Syaitan. Ia seperti Hari Kiamat baru sahaja berlalu. Para pengikut sekta berjubah putih itu melihat dengan tidak percaya dengan tercungap-cungap dan berbisik tentang kekejaman itu.

Meng Hao terus mendaki gunung khazanah itu dengan berharap jika dia dapat melepasinya, mungkin akhirnya dia boleh melepaskan diri daripada Shangguan Xiu. Dia berlari ke hadapan dengan pantas dan tidak lama kemudian dia telah tiba di kaki gunung itu. Sebaik sahaja dia menjejakkan kakinya, dia berhenti tiba-tiba dan melihat dengan penuh kekaguman. Di hujung atas sana terdapat sebiji botol pil di bawah sebuah batu tongkol.

Itu barang yang luar biasa kerana ia berkilauan dengan jaluran cahaya pelbagai warna. Meng Hao mengambil dan membukanya. Satu bau ubat semerbak keluar dengan serta-merta. Di dalamnya sebiji pil ubat sebesar ibu jari!

Dengan kelihatan terkejut, Meng Hao menyimpan botol itu ke dalam beg saktinya. Kini, dia sudah tahu apa yang pengikut berjubah putih itu buat di dalam kawasan itu. Rupa-rupanya mereka cuba untuk tiba ke gunung itu.

"Itu Pil Rohani Semesta dan sangat berguna pada sesiapa yang berada di tahap Pemekatan Qi." Wu Dingqiu tertawa sewaktu melihat jejak yang Meng Hao tinggalkan melalui Hutan Syaitan itu.

Di sebelahnya, wajah Si Aneh Song kelihatan sangat dahsyat. Namun dia tetap ketawa menyindir. "Gunung Khazanah saya mempunyai banyak pil ubat dan Batu Rohani di dalamnya. Budak ini berjaya mengambil sebiji pil ubat, tetapi jangan mimpilah kalau dia fikir dia boleh tiba ke puncaknya. Haiwan Rohani di gunung khazanah saya ialah satu dalam sejuta. Hanya yang terbaik antara yang terbaik dan mempunyai bakat terpendam sahaja yang mampu berpijak atas gunung itu sendiri." Dia bercakap dengan tenang seperti biasa, namun hatinya menjadi semakin sakit.

"Lihat di sana," Si Aneh Song bersuara sambil menunjukkan pada Haiwan Syaitan yang bangkit di hadapan Meng Hao. "Itu haiwan ganas yang saya besarkan sendiri. Ia mempunyai tubuh seekor rusa dan berkepala ular sawa. Ia sangat pantas dan kalau tercedera, ia akan menjadi semakin ganas. Ia takkan berhenti bergelut hingga kehilangan nyawanya dan sebaik sahaja tercium bau darah, ia akan menggila. Seorang Pertapa Pemekatan Qi yang berdepan dengannya pasti akan mati."

Dalam tempoh masa yang diperlukan untuk separuh batang colok habis terbakar, raungan yang menyedihkan kedengaran di sisi banjaran itu. Setelah melihat semua darah itu, Si Aneh Song kelihatan seolah-olah mahu menjadi gila. Haiwan Syaitan itu, yang tidak pernah berputus asa selagi belum ajal, ternganga kekaguman dan kemudian berlari dengan kelajuan tertinggi. Ekornya telah hancur dan sebelah matanya rosak teruk. Bukan itu sahaja, malah yang paling teruk, haiwan itu hanya tinggal sepasang kaki sahaja. Namun, haiwan itu masih boleh bergerak dengan pantas seperti yang disebut oleh Si Aneh Song, lalu melarikan diri dengan kelajuan tertinggi.

Meng Hao terus mara melepasi sebuah lagi kawasan Haiwan Syaitan dan dia kini terjumpa sebuah longgokan beberapa ratus Batu Rohani. Dia meneruskan pendakiannya dengan teruja.

Wu Dingqiu ketawa berdekah-dekah. Malah, boleh dikatakan sejak kemunculan Meng Hao sehingga kini, dia masih belum berhenti ketawa.

"Wah, pantas betul dia bergerak. Haiwan itu memang takkan menyerah selagi ajal belum tiba!"

"Tidak mengapa, tidak mengapa. Ada banyak khazanah di gunung itu. Budak ini boleh mengambilnya sedikit, tetapi dia takkan mampu membawanya pergi. Lagipun, dia terpaksa turun gunung itu untuk berbuat demikian." Perkataan 'tidak mengapa' terkeluar dari mulutnya dan dia kelihatan tenang, tetapi dia telah mengeluarkan sebiji Pil Penumpuan dari begnya serta menelannya. Matanya terpancar sinar kegilaan dan dia dapat merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku di dalam hatinya.

Sejam kemudian...

Meng Hao telah tiba di separuh perjalanan ke puncak gunung. Setakat ini, tidak kira mana-mana haiwan Syaitan yang menghalangnya, haiwan tersebut akan melarikan diri sambil meraung dihalau oleh Meng Hao. Kemudian, dia akan mengumpulkan Batu Rohani, pil ubat dan barang sakti dengan jantung yang berdegup kencang.

Bagi Meng Hao, seluruh gunung ini ialah harta karun. Kini, dia sedang mengambil lukisan skrol dari belakang batu tongkol yang besar. Ia memancarkan sinaran lembut bersama-sama tenaga rohani yang melimpah-ruah dan memang sangat luar biasa.

Dia menyimpannya ke dalam beg sakti dengan rasa gembira.

Ramai pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung di dalam Hutan Syaitan di bawahnya mendongak ke atas dan terkejut melihat dirinya.

Wajah Si Aneh Song menjadi semakin bengis dan tubuhnya menggigil kemarahan sewaktu melihat semua ini. Dia menatap beg sakti Meng Hao yang mengandungi Batu Rohani, pil ubat, barang sakti dan terutama sekali lukisan skrol miliknya itu. Hatinya sakit.

Skrol lukisan itu khazanah yang diperolehinya bertahun-tahun lalu. Beberapa semangat haiwan telah disalut di dalamnya. Ketika Haiwan Syaitan kesayangannya mati beberapa tahun lalu, dia terpaksa menyalutnya di dalam skrol itu dan kini, Meng Hao telah merampasnya. Tubuh Si Aneh Song semakin ganas menggigil. Lantas dia mengeluarkan dua biji Pil Penumpuan lagi dan menelannya.

Dia masih lagi bergelut untuk mengekalkan riak wajah tidak ambil pedulinya, tetapi gelak tawa Wu Dingqiu yang bingit itu terus-menerus menghentam gegendang telinganya.

"Gunung khazanah saya ada banyak khazanah," dia memaksa diri untuk bercakap demikian. "Apalah sangat kalau beberapa daripadanya diambil? Dia takkan mampu melarikan diri dari gunung itu. Saya telah kumpulkan semua Haiwan Rohani ini dengan teliti dari seluruh dunia. Mereka terlalu banyak dan dia takkan mampu melepaskan diri daripada mereka dengan mudah."

Dua jam kemudian...

Meng Hao telah melepasi separuh perjalanan gunung itu dan hampir tiba ke kawasan bersalji. Keterujaan terpancar di wajahnya sewaktu dia meluru ke hadapan dengan kelajuan yang lebih pantas. Di Hutan Syaitan di bawah sana, terdapat lebih daripada separuh pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung yang terlibat dalam cabaran ini dapat melihat dia di atas gunung itu. Mereka sangat terkejut dan cemburu, terutama sekali ketika dia membongkok untuk mengambil benda di atas tanah. Setiap seorang daripada mereka mengimpikan untuk menjadi seperti dia.

Shangguan Xiu berdiri dengan menggenggam penumbuknya dan mengetap rahangnya. Benar-benar tidak boleh berbuat apa-apa. Dia tidak berani untuk mendaki gunung itu kerana dia sudah meletakkan dirinya dalam keadaan yang cukup bahaya di dalam Hutan Syaitan itu. Tambahan pula dia terdengar perbualan beberapa pengikut sekta berjubah putih dan dia tahu yang ini cabaran untuk pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung dari Wilayah Selatan. Hatinya teragak-agak dan nampaknya dia sudah tiada pilihan lain selain berputus asa. Hanya kebencian melampaunya terhadap Meng Hao sahaja yang menyebabkan dia mempertimbangkannya semula.

Ketika Si Aneh Song melihat Meng Hao mencederakan kepala seekor lagi Haiwan Syaitan kesayangannya, dia mengeluarkan tiga biji Pil Penumpuan dan menelannya, lalu terus berpura-pura tidak peduli.

"Saya ambil salji itu dari puncak awan cerah dengan berhati-hati," suaranya yang perlahan keluar dari celah giginya. "Ini ialah persekitaran yang paling sesuai untuk Haiwan Rohani yang paling saya sayang. Salah satunya adalah Kondor Pemecah Langit yang masyhur. Cakarnya boleh menghancurkan logam dan batu dan sayapnya boleh menghasilkan angin ribut yang dahsyat. Ia sangat ganas dan mungkin Haiwan Rohani yang paling bahaya di atas gunung itu. Walaupun dengan lembing dungu itu, budak ini pasti mati ketika melangkahkan kaki ke dalam kawasannya."

Tiga jam kemudian...

Sebelah cakarnya telah hancur dan separuh sayapnya telah hilang. Kondor raksasa itu memuntahkan darah dan meraung kesedihan. Haiwan itu menyembunyikan dirinya dalam salji sambil merintih tidak berkesudahan.

Meng Hao hampir tiba ke puncak gunung itu. Kesemua pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung melihat sahaja dia. Mereka sudah tidak mempedulikan tentang pertarungan mereka menentang Haiwan Syaitan itu. Mereka menatap kekaguman pada lembing waja yang berkilauan itu dan api cemburu membakar dalam hati mereka.

"Siapa dia ini..."

"Dia ceroboh ke dalam cabaran kita dan merampas ganjaran kita... kejam betul."

"Lembing waja itu pasti khazanah dari Syurga! Sangat ganas!"

Si Aneh Song menggigil keresahan. Dia melihat sewaktu Meng Hao menghampiri puncak gunung itu dan dan merampas sebuah jaring hitam. Dia tidak boleh berpura-pura tenang lagi. Lantas dia bangkit dan mengambil satu langkah ke hadapan. Dia sudah bersedia untuk mengajar Meng Hao.

avataravatar
Next chapter