30 Bunuh Han Zong, Perangi Wang Tengfei!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Berdiri di dataran di bawah platform, senyuman Shangguan Xiu kelihatan sangat mengerikan. Dia tidak peduli sama ada Meng Hao hidup atau mati. Dia hanya mahu khazanah dalam beg sakti Meng Hao.

Setelah Meng Hao mendaftar untuk latihan kenaikan tahap Sekta Luaran, dia pergi mencari Zhou dan Yin untuk menanyakan peristiwa yang terjadi di gunung hitam. Dia tahu yang Meng Hao telah membangkitkan kemarahan sekelompok haiwan syaitan menggunakan beberapa sihir Syaitan.

Shangguan Xiu yakin itu bukan sihir Syaitan, sebaliknya harta karun yang ajaib.

Mata Meng Hao mengecil. Dia melihat dua warna Kabus Rohani itu menghampirinya. Dia mengangkat tangan kirinya dan melambaikannya di hadapan. Bilah Angin yang tidak dapat dilihat muncul dan meluru ke arah Kabus Rohani dengan kelajuan tinggi.

Pada masa yang sama, Meng Hao dengan pantas menelan segenggam Teras Syaitan, kemudian dia menampar beg saktinya dan melibas lengan bajunya. Aliran aura pedang terbang daripada begnya. Dalam sekelip mata, dua puluh bilah pedang telah muncul, memenuhi ruang udara. Keadaan ini cukup mengejutkan. Pedang-pedang itu juga meluru ke arah dua warna Kabus Rohani.

Kebanyakan pedang terbang itu kelihatan dalam keadaan buruk atau dengan warna yang berbeza.

Melihatkan apa yang berlaku, para pertapa di kawasan sekeliling berasa terkejut, tetapi sebelum mereka dapat membincangkan perkara itu di kalangan mereka, Bilah Angin mencapai Kabus Rohani, dan bunyi ledakan kedengaran. Kabus Rohani bergetar. Kemudian, pedang terbang menyerang dan dua jeritan sengsara boleh didengari. Dua warna Kabus Rohani sangat luar biasa, tapi terlalu banyak pedang yang menyerang.

Kabus Rohani telah hancur berkecai, dan pedang itu terus membelah sepanduk lima warna itu. Sebuah ledakan besar berlaku dan sepanduk itu hancur, bersama-sama dengan sebilangan pedang terbang. Han Zong menyaksikannya semuanya dan menjadi terpana. Meng Hao menampar beg saktinya, menelan Teras Syaitan yang lain dan menghasilkan sepuluh bilah pedang terbang lagi, yang semuanya ditembak ke depan.

Han Zong tidak pernah membayangkan Meng Hao akan memiliki begitu banyak pedang terbang. Dia mundur ke belakang, melambaikan tangan kanannya. Perisai dua lapis yang bersinar muncul di sekelilingnya. Tapi dia masih bimbang. Bulu romanya berdiri tegak, dan kulitnya menjadi kebas. Dia tahu keadaan hidup dan matinya bergantung di sini. Tangan kanannya bergerak lagi, loket jed muncul di hadapannya dan menambahkan satu lagi lapisan perisai di sekelilingnya. Dengan tiga perisai di sekelilingnya, dia merasa sedikit selamat.

Kemudian pedang-pedang itu menyerang seperti hujan, memancarkan aura pedang tanpa henti. Pedang-pedang itu menghentak lapisan perisai pertama yang pecah serta-merta. Tidak lama selepas itu, lapisan perisai kedua pula pecah, tidak mampu menahan serangan pedang yang bertubi-tubi.

"Bagaimana dia boleh mempunyai pedang terbang begitu banyak?" mata Han Zong mengecil, dan dia ketakutan. Dia berundur lebih jauh.

Dalam sekelip mata, lapisan perisai ketiga pecah, dan loket jed terbelah menjadi beberapa bahagian, tidak mampu bertahan dari serangan begitu banyak pedang. Kemudian hujan pedang itu menghala ke arah Han Zong dan dia menjerit. Pedang demi pedang menusuknya. Mayatnya diangkat ke udara, dan dihempaskan kembali ke atas platform. Badannya tersentak beberapa kali, kemudian menghembuskan nafasnya terakhir. Badannya ditusuk dengan begitu banyak pedang sehinggakan Han Zong kelihatan seperti landak. Semua orang yang menontonnya ternganga, muka mereka penuh dengan ketakutan.

"Bagaimana... bagaimana.. bagaimana boleh ada begitu banyak pedang terbang?"

"Begitu banyak pedang terbang, tidak hairanlah dia memiliki kedai. Beberapa hari yang lalu, saya melihatnya menjual sekurang-kurangnya sepuluh bilah! Baru-baru ini, dia bukan sahaja menjual pil ubatan, dia juga menjual barang-barang sakti."

"Meng Hao seperti baru dapat durian runtuh. Asas Pertapaannya berkembang dengan sangat pantas. Mungkin dia memperolehi sejumlah khazanah daripada pengembaraannya." Suasana sekeliling riuh dengan perbincangan dan ketika itu, Shangguan Xiu mengerutkan keningnya, wajahnya gelap.

Meng Hao berdiri di atas platform, wajahnya pucat. Dia masih mempunyai sedikit tenaga rohani lagi. Serangannya, terutama serangan terakhir yang melibatkan dua puluh bilah pedang terbang, membuatkan dia cepat kehilangan tenaga. Maklumlah, dia hanya berada di peringkat keenam Pemekatan Qi. Nasib baik dia telah makan Teras Syaitan sepanjang pertempuran itu untuk memulihkan tenaga. Ini membuatkan setiap serangannya lebih berkesan. Meng Hao telah mencipta kaedah pertempuran ini sendiri, dan agak biasa dengannya setelah selalu diamalkan.

Dia melambai tangan kanannya, dan pedang-pedang itu ditarik keluar dari tubuh Han Zong dan kembali kepadanya, menitiskan darah di sepanjang jalan. Pedang-pedang itu mengelilingi tubuhnya sebelum kembali ke dalam beg saktinya.

Dia turun dari platform dan duduk bersilang di samping Si Gempal. Dia menelan satu Teras Syaitan dan merasakan teras itu larut. Dia tidak peduli jika orang melihatnya makan begitu banyak teras. Setahu mereka, setelah kejadian di gunung hitam dia memang sepatutnya memperolehi beberapa Teras Syaitan.

Lagipun, dia ada pertempuran lain yang perlu dia fikirkan. Penghinaan yang dia alami daripada serangan empat jari Wang Tengfei akan terlunas sepenuhnya hari ini. Dia telah menantikan hari ini sejak sekian lama!

Orang Lama Ouyang memandang Meng Hao, matanya dipenuhi dengan pujiaan. Kekagumannya pada Meng Hao terus bertambah semenjak hari dia menyertai Sekta. Di matanya, Meng Hao semakin dewasa. Wajahnya memancarkan kepuasan.

Orang Lama Ouyang tidak peduli tentang tuah yang dimiliki Meng Hao. Sebagai seorang Pertapa, tuah berkat yang ditentukan oleh takdir. Dia sangat menyukai orang-orang yang diberkati dengan nasib baik. Senyumannya dipenuhi dengan kebaikan, tetapi di dalam hatinya, dia berasa kesal dan gelisah.

"Tidak kira siapa yang hidup atau mati dalam pertempuran latihan Sekta Dalaman, bakat terpendam Wang Tengfei sesuatu yang jarang dapat dilihat dalam tempoh seratus tahun. Asas Pertapaannya sangat luar biasa berbanding usianya yang muda. Jika dia berhasil menyempurnakan asasnya, dia akan menjadi bakat yang jarang dijumpai walaupun sewaktu zaman kegemilangan Sekta. Meng Hao bukanlah lawannya.... " Dia mengeluh.

Berdiri di tengah-tengah orang ramai, wajah Shangguan Xiu semakin mengerikan. Dia mengecilkan matanya.

Dia tidak pernah membayangkan Meng Hao akan dapat mengalahkan Han Zong, terutamanya kerana dia telah memberikan khazanah yang kuat kepada Han Zong. Kekuatan Kabus Rohani yang dipanggil oleh sepanduk lima warna itu seharusnya dapat menghancurkan Meng Hao tanpa masalah.

Namun, puluhan pedang terbang Meng Hao telah mencarik sepanduk itu. Malah Shangguan Xiu terkejut melihat begitu banyak pedang terbang. Walaupun pedang itu hanya di peringkat rendah, pedang-pedang itu tetap tajam. Besi buruk dalam jumlah besar seperti itu sekalipun boleh mengejutkan dan memukau.

Pada masa ini, jauh di Gunung Timur, berdiri seorang lelaki pertengahan umur yang berusia kira-kira empat puluh tahun. Dia memakai jubah hitam dan kelihatan seperti seorang cendekiawan. Sewaktu menyaksikan pertarungan yang berlangsung di dataran Sekta Luaran, matanya dipenuhi dengan cahaya yang aneh dan dia mula memberi tumpuan kepada Meng Hao.

"Budak ini... Dia tidak menarik perhatian sebelum ini. Bakat tersembunyinya bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi dia seolah-olah memiliki tuah yang sangat baik." Lelaki ini tidak lain tidak bukan adalah Pemimpin Sekolah He Luohua yang sangat kuat dan telah mencapai Pembentukan Teras.

"Sekiranya dia tidak menentang Wang Tengfei, budak ini ini mungkin dapat menyertai Sekta Dalaman, tetapi lawannya adalah Wang Tengfei...ini akan menjadi sukar." He Luohua memandang Meng Hao dengan matanya yang menunjukkan keramahan. Sebagai Pertapa Pembentukan Teras dan Pemimpin Sekta Reliance, dia tidak banyak memberi perhatian kepada takdir dan nasib baik yang berlaku di kalangan pengikut yang masih mengamalkan Pemekatan Qi. Perkara ini terjadi secara semulajadi.

Sekiranya seorang murid bernasib baik, dia akan gembira. Tetapi dengan adanya Wang Tengfei, He Luohua merasakan peluang untuk Meng Hao mendapatkan kemenangan tipis.

"Sayang sekali hanya ada tiga kepingan Jed Maut...kedudukanWang Tengfei telah lama diputuskan, jika tidak..." He Luohua menggelengkan kepalanya, cuba memutuskan sama ada mahu campur tangan atau tidak, jika ada kemungkinan Meng Hao akan mati. Dia mengeluh.

Waktu berlalu. Orang Lama Ouyang kagum melihat tenaga rohani Meng Hao pulih secara perlahan-lahan. Dia menunjukkan dengan ketara yang dia berpihak kepada Meng Hao, tapi tidak ada seorang penonton yang berani mengatakan apa-apa.

Bagi Wang Tengfei, dia tidak memberi perhatian kepada sesiapa sekalipun. Meskipun perkembangan pesat Asas Pertapaan Meng Hao sangat mengejutkan, Wang Tengfei tidak terlalu memikirkannya kerana campur tangan Orang Lama Ouyang pada ketika itu. Dalam hati Wang Tengfei, dia langsung tidak memikirkan kemungkinan yang Meng Hao orang yang mengambil khazanahnya. Dia yakin orang yang mengambil khazanah itu ialah cahaya malap lain yang dilihatnya.

Memikirkan hal itu, jantung Wang Tengfei berdenyut kesakitan dan dia hampir mengalirkan air mata. Mulai sekarang Legasi tidak ada apa-apa kaitan dengannya. Dia tidak dapat mengesannya walau sedikit. Legasi itu sudah menganggapnya seperti orang luar. Bahkan jika orang yang memiliki Legasi itu berdiri di hadapannya sekalipun, dia tidak akan tahu.

"Legasi bukan lagi milikku, tapi khazanah..." Wang Tengfei menggenggam tangannya. Dia hanya berpeluang melihat pedang itu dari jauh. Selain daripada itu, dia hanya pernah membacanya di dalam catatan kuno. Dia juga langsung tidak tahu kebolehan khazanah itu. Dia hanya tahu catatan kuno itu jelas menyatakan pedang itu unik, dan kekuatan rohani pedang itu dapat mengatasi segalanya di langit dan di bumi.

Dia telah merancang untuk mengkaji pedang dengan teliti selepas memperolehinya, tetapi kini semua itu hanya angan-angan.

Wang Tengfei menutup matanya dan menarik nafas panjang. Sambil duduk bersila, dia kelihatan lemah lembut seperti biasa, seolah-olah dia tidak ada sebarang kerisauan.

"Aku Wang Tengfei, Walaupun Legasi dan khazanah itu telah dicuri, Sekta Reliance milik aku. Ini matlamat utama aku yang kedua. Walaupun tanpa khazanah atau Legasi, aku akan menyertai Sekta Dalaman bagi Sekta Reliance yang terkutuk itu. Itulah nasib aku!

"Satu kekalahan bukanlah apa-apa! Aku Wang Tengfei!" Di luar dia kelihatan damai dan tenang, jadi dia memaksa dirinya untuk menjadi tenang di dalam untuk membebaskan dirinya daripada kekalahan.

Dia sombong kerana dia Wang Tengfei, dewa sempurna dan diberkati, Yang Terpilih.

Dia bersikap tidak ambil kisah kerana dia tahu latihan Sekta Dalaman telah dibuka khusus untuknya dan sekadar dilakukan untuk mematuhi Peraturan Sekta. Dari saat dia memasuki Sekta Reliance, dia memang berbeza. Bagi pengikut Sekta Luaran, Wang Tengfei sudah lama dianggap sebagai anggota Sekta Dalaman.

Dia tenang kerana dia langsung tidak peduli tentang Sekta Reliance. Sekta kecil seperti ini tidak bermakna baginya. Malah seorang pengikut dari puaknya boleh memusnahkan keseluruhan Sekta. Jika bukan kerana dia yang berkeras untuk datang ke Negara Zhao yang terpencil ini, dia tidak akan berada sini. Tanpa memikirkan statusnya. Dia sepatutnya melakukan sesuatu yang lebih penting bersama puaknya yang sangat berkuasa.

Jadi dia sombong, acuh tak acuh dan tenang. Dia membiarkan masa berlalu, membenarkan orang ini yang namanya dia tidak ingat untuk memulihkan asas Pertapaannya.

Tempoh masa untuk membakar sebatang colok berlalu. Meng Hao tiba-tiba membuka matanya. Mata Meng Hao berkilauan dengan hasrat untuk berperang. Dia telah membunuh seorang lelaki daripada peringkat kelima Pemekatan Qi. Dia telah membunuh Han Zong. Tidak pernah sebelum ini dia membunuh begitu ramai orang dalam masa satu hari. Tetapi hatinya penuh dengan harapan. Dia akan mengalahkan Wang Tengfei dan membayar balik sepenuhnya penghinaan yang telah dia alami tempoh hari.

Tanpa sepatah kata, Meng Hao berdiri perlahan-lahan.

avataravatar
Next chapter