5 Boleh Tahan Budak ini

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Nampaknya Tok Guru Pak Cik Shangguan yang akan mengagihkan pil ubat bersama dengan Kakak Seguru Xu dan Abang Seguru Chen. Mereka semua hadir. Ini merupakan sesuatu yang luar biasa. Jangan-jangan kali ini ada pengagihan pil peribadi pula?"

"Tentu ada. Lihat, Abang Seguru Han Zong juga datang. Dia merupakan Pelajar Kelas Luaran tahap dua. Peringkat Pertapaannya telah mencapai peringkat kelima Pemekatan Qi. Jika dia dapat mencapai peringkat ketujuh, maka dia akan naik pangkat sebagai pelajar Kelas Dalaman. Sayangnya Abang Seguru Wang Tengfei tiada di sini."

"Memandangkan kebolehan Abang Seguru Wang Tengfei yang handal, dia langsung tidak mengendahkan pil ubat ini. Pada tahun dia menyertai mazhab ini, dia telah mencetuskan hura-hara dalam kalangan Orang Kanan Sekolah. Kemungkinan besar dia tidak mahu melanggar peraturan sekolah dan dia bergantung pada dirinya untuk masuk ke Kelas Dalaman. Jika dia berjaya, kita akan ada tiga orang pelajar Kelas Dalaman.

"Heh heh, ini pasti menyeronokkan. Dengan pengagihan pil peribadi, terdapat tempoh larangan selama dua puluh empat jam di mana pil tersebut tidak boleh digunakan. Setiap dua jam, pil tersebut akan bersinar dengan terang. Sesiapa yang ingin merebutnya akan dapat tahu tentang lokasinya dengan senang. Walaupun kamu mengambil pil itu dan melarikan diri, kamu tidak dapat menyorokkan pil itu untuk masa dua puluh empat jam."

Meng Hao mendengar perbincangan yang berlaku di sekelilingnya. Walaupun ini kali pertama dia menyertai perkara seperti ini, dia tahu apabila pil ubat diagihkan, pasti berlakunya pertempuran di antara pelajar Kelas Luaran. Dalam tempoh setengah bulan dia berada di sini, dia telah menyaksikan banyak kali pertempuran dalam kalangan para pelajar, malah ada juga yang mati akibat bertempur.

Jika hari ini betul-betul merupakan hari pengagihan pil, maka pertempuran dalam kalangan para pelajar pasti bertambah sengit.

Meng Hao mendiamkan dirinya. Disebabkan dia masih berada di peringkat satu pemekatan Qi, dia langsung tidak berpeluang untuk mendapatkan pil itu. Meng Hao benar-benar memahami tentang "Undang-undang rimba" apabila dia melihat mimik muka para pelajar di sekelilingnya yang menunjukkan ketamakan.

"Senyap!" kata lelaki tua yang berjubah emas. Suaranya dingin dari atas platform itu dan walaupun dia tidak bercakap dengan kuat, suaranya kedengaran bagaikan dentuman guruh. Petapa yang berdiri di bawahnya semua terkejut. Telinga mereka berdesing. Meng Hao yang paling terperanjat dan mengambil masa yang agak lama untuk pulih seperti biasa.

"Saya Shangguan Xiu. Hari ini, semua yang hadir di sini akan mendapat sebiji Pil Pemekatan Tenaga Rohani dan setengah biji batu rohani." Shangguan Xiu menyentak tangan kanannya dan beratus-ratus pil pemekatan tenaga rohani dan batu rohani berterbangan ke semua arah. Semua ini terapung di hadapan semua pelajar yang hadir. Meng Hao merenung pada Pil dan batu rohani yang terapung di hadapannya. Bau yang teramat wangi menerjah hidungnya. Ini merupakan kali pertama dia melihat pil pemekatan tenaga rohani dan ubat rohani.

Batu rohani itu sebesar kuku Meng Hao, bersinar dan hampir lutsinar. Seseorang itu akan berasa bingung hanya melihat padanya.

Degupan jantung Meng Hao bertambah cepat. Kedua-dua benda ini mesti bernilai beribu syiling emas. Tanpa berfikir panjang, Meng Hao mencapai pil tersebut. Apabila dia ingin meletakkan pil tersebut ke dalam mulutnya dan menelan, dia tersedar tiada sesiapa di sekelilingnya yang berbuat demikian. Hatinya tersengguk, dia melihat pada pil tersebut dan ternampak selapis sinaran di sekelilingnya dan ditutup oleh satu tanda yang aneh.

Semasa Meng Hao sedang meneliti pil itu, suara Shangguan Xiu sekali lagi bergema dari pelantar, "Di sini ada lagi... Pil Rohani Kering." Sebiji pil ubat berwarna ungu terlihat di tangannya.

Sebaik sahaja pil itu muncul, bau wangi yang menakjubkan memenuhi seluruh tempat awam ini. Meng Hao berasa tenaga rohaninya meningkat sedikit hanya dengan menghidu bau pil tersebut. Pil ini pastinya bukan sembarangan.

"Itu... Pil Rohani Kering!"

"Pil itu...pil itu merupakan sesuatu yang amat berharga kepada semua orang yang di bawah peringkat kelima Pemekatan Qi. Pil ini tidak banyak biarpun di Kelas Dalaman tetapi ia berada di sini!"

"Bila pil itu diagihkan, pertempuran di Kelas Luaran akan menjadi begitu sengit. Entah berapa orang pula yang akan mati?" Para pelajar Kelas Luaran mula berbincang mengenainya sambil memandang pada pil berkilauan di tangan Shangguan Xiu. Muka mereka penuh dengan perasaan tamak dan keinginan. Terutamanya pelajar yang hampir menembusi peringkat petapaan yang lebih tinggi; mereka menelan air liur melihatnya.

"Pada asalnya, Pil Rohani Kering ini tidak akan diagihkan pada hari ini. Akan tetapi, saya dapat tahu bulan ini ada seorang pelajar telah dinaikkan pangkatnya kepada pelajar Kelas Luaran. Saya amat gembira mendengar hal ini. Kalau perkara seperti ini dapat berlaku setiap bulan, maka kegemilangan Sekolah Aliran Reliance pasti dapat dikembalikan tidak lama lagi. Sekarang saya menganugerahkan pil ini kepada pelajar tersebut sebagai galakan," kata Shangguan Xiu dengan pandangan matanya yang bersinar-sinar melihat orang ramai sebelum tertumpu pada Meng Hao.

Hati Meng Hao berdebar-debar. Bahagian awal ucapan itu telah menyebabkan dia berasa tidak selesa, akan tetapi dia tiada masa untuk bertindak balas. Shangguan Xiu menyentak tangan kanannya dan pil berwarna ungu itu muncul di hadapannya. Belum sempat Meng Hao cuba untuk menolak, pil itu terjatuh ke dalam tangannya.

Sehingga waktu ini, penyertaan Meng Hao ke dalam Sekolah Aliran Reliance satu perkara yang belum diketahui lagi. Kini, semua mata para pelajar Kelas Luaran tertumpu pada Meng Hao.

Ketamakan dan kekejaman menghiasi wajah semua pelajar, seolah-olah mereka tidak sabar untuk menghancurkan Meng Hao. Lelaki yang berada di sebelah Shangguan Xiu turut merenung ke arah Meng Hao. Wanita di sebelah Shangguan Xiu juga kelihatan terperanjat buat seketika tetapi dengan cepatnya riak mukanya bertukar menjadi dingin semula.

"Haha, jadi seorang pelajar yang mencapai peringkat satu Pemekatan Qi yang dapat pil itu. Pasti banyak pertempuran berlaku selepas ini. Dia ini pasti menjadi musuh utama."

"Habislah dia kali ini. Pada hari pengagihan pil peribadi yang lepas, orang yang menerima pil tersebut ialah pelajar yang mencapai peringkat kedua Pemekatan Qi. Pelajar itu baru saja teragak-agak untuk seketika sebelum Abang Seguru Zhao Wugang menyeretnya ke kawasan terbuka dan terus memotong kepalanya."

Suara orang-ramai berbincang bergema di sekeliling kawasan tersebut, ramai pelajar peringkat dua dan tiga Pemekatan Qi menjadi tamak walaupun tahu tentang kebahayaan yang bakal mereka hadapi. Mereka menganggap mereka berkelayakan untuk merampas pil ungu itu kerana pemiliknya mempunyai peringkat pertapaan yang rendah.

Seluruh badan Meng Hao kini berpeluh sejuk. Dia rasa bagaikan mahu membuang pil ungu itu. Akan tetapi, dia baru tersedar pil tersebut terlekat pada tangannya, dan dia tidak dapat membuangnya. Meng Hao dikelilingi oleh pandangan mata yang tamak daripada pelajar lain. Meng Hao berasa seolah-olah bayangan kematian tergantung atas kepalanya. Segelintir orang mula bergerak menuju ke arah Meng Hao, keinginan untuk membunuh memenuhi riak muka mereka.

"Adik seguru, apa kata kamu campakkan pil itu kepada aku? Jika tidak, aku mesti akan belasah kau."

"Kalau kau tidak beri pil itu kepada aku, hari ini pada tahun depan akan jadi ulang tahun kematian kau."

Bisikan seperti ini dilontarkan kepada Meng Hao bagaikan angin sejuk yang bertiup dari semua arah.

Pada ketika ini, dua orang lelaki tua sedang duduk bersila di atas puncak gunung yang berhampiran. Sambil ketawa mereka membincangkan perkara yang sedang berlaku di kawasan lapang Kelas Luaran itu.

"Tok Guru Shangguan memang tidak menumpukan perhatian kepada sesetengah perkara. Anugerah Pil ubat seperti itu kepada seorang pelajar yang baru masuk ke dalam sekolah... Habislah dia. Nampaknya Sekolah Aliran Reliance kita akan kurang lagi seorang pelajar."

"Pertempuran ini semestinya tidak menarik. Saya rasa sebaik sahaja kabus larangan itu hilang daripada kawasan lapang, pelajar itu mesti campak pil tersebut."

Sebaik sahaja lelaki tua yang kedua itu habis bercakap, sembilan tembok yang berukiran naga di sekeliling kawasan lapang mula hilang. Nampaknya, dalam masa sepuluh kali pernafasan lagi, ia akan lenyap sama sekali dan pada masa itu, kabus larangan juga akan turut hilang.

Jantung Meng Hao mula berdegup kencang. Dia tidak perlukan sesiapa untuk menjelaskan apa yang akan berlaku kepadanya sebaik sahaja tembok yang berkelipan itu hilang. Kawasan lapang tersebut akan menjadi satu tempat yang penuh dengan kegilaan. Biar pun dia mencampak pil ungu itu, akan ada orang yang akan berasa marah terhadapnya.

"Macam mana... macam mana benda ini diberikan kepada aku?" kata Meng Hao sambil berpeluh. Dia mula berasa pening. Jika dia tidak membuang pil itu, dia akan mati; jika dia membuang pil itu, dia tetap akan didendami. Meng Hao cuba untuk menggunakan segala ilmu pengetahuan yang telah dia pelajari selama tiga tahun. Meng Hao melihat kepada tembok yang berkelip-kelip dan seterusnya ke arah Shangguan Xiu yang berdiri di dalam kabus yang berwarna-warni di atas pelantar, bersedia untuk pergi. Pada masa yang kritikal ini, Meng Hao mendapat ilham.

Meng Hao mengambil selangkah ke hadapan dan menjerit, " Saya hendak bercakap sesuatu.

Saya berasa cukup bertuah kerana dapat menyertai Sekolah Aliran Reliance ini dan menimba pengalaman cara hidup dalam kalangan dewa-dewi. Di sini, saya ingin membalas budi kepada orang yang memberi peluang sebegini untuk saya.

Saya telah menunggu siang dan malam untuk satu lagi peluang untuk berjumpa dengannya dan untuk mengucapkan terima kasih kepadanya. Akhirnya, pada hari ini, saya telah mendapat peluang tersebut."

Percakapan Meng Hao semakin pantas. Disebabkan ini, Shangguan Xiu tidak jadi pergi kerana terkejut dengan apa yang dikatakan oleh Meng Hao.

"Orang itu adalah Kakak Seguru Xu. Kakak Seguru Xu, adik seguru ingin mengucapkan ribuan terma kasih kepada kakak atas apa yang telah Kakak Seguru lakukan. Saya memang terhutang budi pada Kakak Seguru. Saya ingin menawarkan pil ini kepada Kakak Seguru sebagai tanda penghargaan kepada Kakak Seguru kerana memberikan nafas baharu kepada hidup saya." Meng Hao mengangkat tangan kanannya dengan pil ungu itu dalamnya.

Shangguan Xiu tercengang, dia langsung tidak berfikir Meng Hao akan bercakap seperti itu. Air mukanya bertukar menjadi aneh dan kemudiannya dia tertawa. Di sebelah Shangguan Xiu, Cik Xu yang berjubah perak juga terkejut setelah mendengar apa yang dikatakan oleh Meng Hao. Walaupun air mukanya masih dingin seperti biasa, tetapi kali ini terdapat sedikit perubahan pada air mukanya. Peringkat pertapaannya ialah peringkat ketujuh Pemekatan Qi. Oleh itu, Pil Rohani Kering tersebut tidak akan begitu membantunya. Walau bagaimanapun, Pil Rohani Kering ini masih merupakan pil yang berharga dan sukar untuk didapati walaupun dia seorang pelajar Kelas Dalaman. Jika dia mengambil pil rohani kering ini dan mencampurkannya dengan beberapa biji pil yang lain, dia akan menerima lima biji pil tenaga rohani. Buat seketika, Cik Xu berasa tertarik dengan tawaran Meng Hao.

Pada ketika ini, lelaki yang berjubah perak itu turut melihat Meng Hao dengan muka yang dingin.

Semua orang terdiam. Petapa yang sedang bersedia untuk menyerang Meng Hao tiba-tiba terhenti dan air muka mereka bertukar menjadi aneh sambil merenung kepada Meng Hao dalam kebingungan.

Setelah seketika, kekecohan tercetus dalam kalangan orang ramai.

"Boleh pula kau buat macam ini?"

"Kau beri Pil ubat kepada pelajar Kelas Dalaman di depan khalayak ramai...siapa yang berani merebut pil tersebut sekarang? Ini umpama mencari pasal dengan semua pelajar Kelas Dalaman."

"Alangkah mudahnya dengan cara ini! Mengapa saya tidak pernah terfikir seperti itu? Celaka, celaka betullah!"

"Apa ini...aku tak ingat untuk berbuat begini pula semasa perkara ini berlaku pada aku. Teruk aku kena belasah sampai tiga bulan aku terlantar atas katil."

Semua orang yang memandang pada Meng Hao ada perasaan mereka sendiri dengan apa yang dilakukan oleh Meng Hao. Tidak jelas apa yang pernah berlaku pada masa lampau, tetapi bagi para petapa yang berada di sini sekarang, belum pernah lagi mereka melihat sesiapa yang berbuat seperti Meng Hao. Kini, Meng Hao pasti diingati semua orang yang menyaksikan apa yang telah dia lakukan.

Tembok berukiran naga kini sudah pudar dari warnanya, pil tersebut masih lagi berada di atas tapak tangan Meng Hao, akan tetapi tiada sesiapa yang berani merampasnya. Hal ini jarang berlaku dalam Sekolah Aliran Reliance.

Air muka Cik Xu bertukar menjadi seperti biasa. Tanpa teragak-agak, tangan kanannya menyentak ke bawah dan pil ubat tersebut terbang dari tapak tangan Meng Hao ke dalam tapak tangan Cik Xu. Memandangkan pil tersebut telah diambil, Meng Hao mengeluh dalam hati. Walau bagaimanapun, dia tahu tiada sesiapa lagi yang akan menyusahkan dia. Orang lain juga turut mengeluh, mereka masih lagi berasa marah dengan Meng Hao. Akan tetapi, perasaan marah mereka terus hilang apabila mereka teringat kepada Kakak Seguru Xu.

Cik Xu teragak-agak untuk seketika. Sebagai seorang pelajar dari Kelas Dalaman, tidak wajar bagi dia untuk mengambil sesuatu yang begitu berharga dari seorang pelajar Kelas Luaran dan tidak menghadiahkan apa-apa kembali.

Cik Xu terdiam untuk seketika dan berkata, "Beberapa tahun yang lalu, apabila saya masih seorang pelajar Kelas Luaran, sebuah Gua yang pernah didiami oleh dewa dianugerahkan kepada saya. Saya akan pinjamkan gua itu kepada kamu." Dia mengeluarkan sekeping jed putih daripada beg saktinya dan mencampaknya ke arah Meng Hao. Meng Hao menyambut jed putih tersebut.

"Gua dewa Kakak Seguru Xu... budak ini bertuah betul. Dengar kata, gua dewa itu penuh dengan tenaga rohani, lebih banyak jika berbanding dengan mana-mana tempat dalam sekolah."

"Kakak Seguru Xu kata pinjam, tetapi sebenarnya budak itu sudah pun memiliki gua itu. Kakak Seguru Xu cuma guna perkataan pinjam supaya orang lain tidak berfikir yang bukan-bukan. Budak ini memang membuat keputusan yang betul dengan memberikan pil tersebut kepada kakak Seguru Xu."

"Celaka, patut aku buat begini dahulu."

Pada masa itu, di puncak gunung di luar Kelas Luaran, kelihatan dua orang lelaki tua yang berjubah kelabu itu yang menyaksikan peristiwa tersebut. Mereka yang kelihatan tinggi dan mewah ketawa dengan gembira; mata mereka dipenuhi pujian buat Meng Hao.

"Menarik sungguh budak ini. Dia baru sahaja menyertai sekolah dan sudah tahu untuk mencari seseorang untuk bergantung. Jangan beritahu saya ini semua naluri dia sendiri. Syabas! Bagus! Dia betul-betul faham akan erti sebenar Sekolah Aliran Reliance. Boleh tahan budak ini. Dia memang boleh tahan!" 

avataravatar
Next chapter