19 Angin Mula Bergolak Kembali

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Meng Hao membuka matanya dan melihat Si Gempal sedang seronok mengheret seorang pemuda. Pemuda itu rendah, berkulit kusam dan kurus kering. Dia agak berbeza dengan Si Gempal yang debab dan berkulit cerah.

Meng Hao cam pemuda itu. Dia salah seorang daripada ahli kumpulan yang dibawa ke Sekta Reliance dulu bersama-sama Wang Youcai ke Penempatan Hamba di gunung berlainan.

Ketika itu, dia kelihatan gagah dan berperwatakan baik. Tetapi kini, dia kelihatan muram dan keadaannya teruk. Namun, kecekalan dapat dilihat dalam matanya yang menunjukkan kesan pengalaman pahit dalam Sekta Reliance Luaran.

Tambahan pula, dia begitu berani memasuki Zon Awam dengan hanya mencapai peringkat pertama Pemekatan Qi.

"Selamat sejahtera, Abang Meng," pemuda itu menyapa Meng Hao. Dia kelihatan sedikit teruja. Namun, reaksi itu hilang dan dia memberi salam tumbuk hormat kepada Meng Hao.

"Awak baru sahaja memasuki Sekta?" Meng Hao bertanya. Dia terimbas kembali hari pertamanya dan mengeluh.

"Sudah sepurnama," dia menjawab sambil menundukkan kepalanya.

"Macam mana dengan Wang Youcai?"

"Dia sudah tiada," dia menjawab dengan tiada sebarang reaksi. Setelah habis menjawab, barulah nampak sedikit kesedihan terpancar dari matanya.

"Wang Youcai sudah mati?" Si Gempal terkejut. Meng Hao kekal membatu.

"Dalam Penempatan Hamba, kami dipertanggungjawabkan mengambil air," dia menjelaskan lagi. "Abang Youcai ingat saya terlalu muda, jadi dia banyak bantu saya. Suatu hari, di sebatang jalan gunung, angin kencang meniup kami dan dia terjatuh dari tebing. Dua bulan saya mencari dia, tapi saya hanya jumpa tulang-temulang yang patah... saya yakin dia telah dimakan oleh haiwan liar."

Wajah Si Gempal bertukar menjadi sedih. Meng Hao mengeluh lagi. Mereka berempat tiba pada masa yang sama. Namun, dalam masa kurang setahun, seorang sudah mati. Kesedihan Meng Hao bertambah lagi kerana teringat yang Pak Cik Wang si tukang kayu itu hanya mempunyai seorang anak lelaki.

"Rimau Kecil, awak duduk dengan kami. Dengan adanya Meng Hao, tiada siapa berani buli awak." Si Gempal menepuk-nepuk bahu pemuda yang sedang bersedih itu.

"Tak, tak apalah. Saya... Saya tak apa-apa." Pemuda itu kelihatan teragak-agak. Meng Hao dapat merasakan yang dia sedang memikirkan tentang sesuatu. Akhirnya, dia mengangguk kepalanya dan menolak tawaran Si Gempal. Dia memberi salam tumbuk hormat kepada mereka, kemudian dia terus berlalu pergi dari penara itu.

"Kenapa dengan dia?" Si Gempal bertanya dengan perasaan yang masih terkejut.

"Semua orang ada rahsia masing-masing," suara Meng Hao perlahan. "Mungkin dia bernasib baik dan dia tidak mahu bercerita tentangnya. Kalau tidak, kenapa dia datang ke sini sedangkan dia hanya baru peringkat pertama Pemekatan Qi?" Meng Hao seperti sedang memikirkan sesuatu sambil melihat pemuda itu menghilang di kejauhan.

"Kalau Rimau Kecil ada rahsia sekalipun, kita masih boleh siasat sendiri kalau kita mahu. Dia pandang rendah pada kita." Si Gempal terfikir. Dia tiada apa-apa untuk dirahsiakan dan tidak pernah berfikiran licik. Dia menawarkan bantuan dengan niat baik tetapi ditolak mentah-mentah pula. Ini telah menaikkan darahnya.

Di kawasan bawah Syurga Selatan, musim sejuknya singkat dan berlalu pergi bagaikan dalam sekelip mata sahaja. Kehangatan musim bunga telah tiba dan bunga memekar. Purnama awal musim bunga sudah tiba sekali lagi. Setahun sudah berlalu sejak Meng Hao tiba di Sekta Reliance.

Dengan bantuan Si Gempal, Meng Hao berjaya mengumpul beberapa Batu Rohani dari Zon Awam Tahap Rendah. Namun, dia berjaya mengumpul lebih banyak lagi pil ubat dan barang sakti. Dia sering masuk ke hutan rimba pergunungan itu untuk memburu haiwan syaitan. Malah, dia sampai berkeliaran berhampiran gunung hitam untuk memburu. Malangnya, dia sentiasa pulang dengan tangan kosong. Bunyi ngauman yang datang dari kawasan gunung hitam semakin kuat dan ganas sehingga Meng Hao tidak berani untuk memasukinya.

Dia mempunyai sebiji Teras Syaitan tahap tiga yang disalin beberapa kali dengan cermin tembaga itu. Akhirnya, asas Pertapaannya sudah mencapai pertengahan peringkat keempat. Namun, kemajuannya hampir menemui jalan buntu setelah itu. Walaupun sudah banyak pil ubat ditelan, ia hanya menjadikan tenaga rohaninya lebih tulen.

Seperti ada dinding besar menghalang dan dia tidak dapat memecahkannya untuk pergi ke peringkat kelima. Hikmat Meringankan Badan yang diimpikan juga masih tidak nampak bayangnya.

Dengan bantuan Meng Hao, Si Gempal telah mencapai peringkat kedua Pemekatan Qi, yang membuatkan dia berasa kagum pada dirinya sendiri.

Purnama itu, kesemua pengikut Sekta Luaran yang sudah mencapai lebih tinggi daripada peringkat kelima dan juga Kakak Xu serta Abang Chen telah dihantar keluar dari sekta itu. Mereka kembali bersama-sama dua atau tiga anak muda setiap seorang yang memiliki bakat terpendam yang akan menjadi hamba.

Sekali setahun. Itu peraturan Sekta. Ini satu-satunya cara untuk memastikan kesinambungan kewujudan Sekta ini.

Bayu musim bunga bertiup merentasi tanah itu; membawa kesejukan bersama-samanya. Musim panas kembali. Tidak lama lagi, musim luruh akan tiba dan ketika itu baru sahaja tamat tiga suku tahun. Dalam tempoh ini, dua perkara penting berlaku di Sekta Reliance. Perkara pertama berkaitan dengan seorang Orang Lama Sekta. Selain daripada pemimpin Sekta yang dikatakan telah mencapai tahap Pembentukan Teras, terdapat dua Orang lama yang telah mencapai Kewujudan Asas. Seorang daripada mereka yang telah sampai ke penghujung usianya, meninggal dunia ketika bertafakur. Usianya dalam seratus lima puluh tahun. Sewaktu Meng Hao mendengar perkhabaran ini, dia bertanya pada orang sekeliling dan telah mengesahkan yang itu bukan Orang Lama Ouyang.

Ketika Pertapa mencapai Kewujudan Asas, ia akan memanjangkan umurnya sehingga seratus lima puluh tahun. Tempoh ini bagaikan suatu masa yang panjang. Namun, ia sebenarnya satu tempoh yang genting. Jika Pertapa itu tidak berjaya mencapai Pembentukan Teras, maka pada tahun berikutnya, mereka hanya mampu duduk bertafakur. Kemudian, mereka menjadi kerepot dan Qi serta darah mereka akan meruap secara perlahan-lahan.

Namun, setelah mencapai Pembentukan Teras, usia mereka akan berganda sehingga ke tiga ratus tahun.

Disebabkan kematian Orang Lama ketika dia bertafakur, Sekta Reliance berada dalam keadaan bahaya. Ia sudah pun berada dalam kedudukan yang lemah di Negeri Zhao. Kini, ia berada dalam keadaan lebih bahaya. Tiba-tiba sahaja, Pertapa daripada Sekta lain mula muncul berhampiran sempadan Sekta Reliance.

Mereka kelihatan seperti sedang mencari sesuatu. Maka, Sekta Reliance memasang jampi pertahanan di sekeliling gunung itu. Semua benda dalam lingkungan beberapa ribu ekar berada di bawah perlindungan mereka. Kini, seluruh Sekta itu seolah-olah diselubungi awan ribut yang hitam dan tebal.

Kebanyakan pengikut di Sekta Luaran mempunyai andaian masing-masing. Beberapa orang daripada mereka mempunyai pengetahuan tambahan dan menerima cebisan maklumat. Perkhabaran tersebar dan tidak lama kemudian, ada khabar angin muncul yang menyatakan dunia Pertapaan Negeri Zhao bergolak disebabkan oleh Bapa Reliance, yang telah hilang selama empat ratus tahun.

Tetapi tiada seorang pengikut Sekta Luaran pun yang tahu secara terperinci.

Dalam tempoh ini, asas Pertapaan Meng Hao masih tersekat di pertengahan peringkat keempat. Semua benda yang dia lakukan tidak memberi kesan. Akhirnya, dia mula menerima yang dia sudah berada di jalan buntu.

Dia duduk bersila di Gua Dewa. "Kakak Xu cakap, ada dinding penghalang sebelum melepasi puncak peringkat keempat ke peringkat kelima. Tetapi kenapa dinding penghalang saya muncul lebih awal...adakah kerana saya makan terlalu banyak Teras Syaitan?"

"Kalau itu puncanya, saya perlukan pil ubat yang dibuat khas untuk memecahkan dinding penghalang ini. Atau mungkin saya perlukan beberapa Teras Syaitan tahap tinggi." Dia mempunyai beberapa Batu Rohani, tetapi kekurangan pil ubat yang sesuai. Dia yakin jika dia mempunyai pil ubat yang tepat, dia boleh memecahkan dinding ini ke peringkat kelima Pemekatan Qi.

Kebimbangan dalam Sekta Reliance dapat dirasai. Ramai pengikut yang mundar-mandir dengan hati yang berdebar-debar. Mereka cuba sedaya-upaya untuk menyembunyikan perasaan mereka. Meng Hao juga merasai kegelisahan itu, tetapi dia mahu selesaikan masalah kritikalnya sendiri dahulu.

Si Gempal satu-satunya orang yang masih gembira. Dia lebih berminat dengan kedai mereka di atas penara itu daripada Meng Hao. Malah, sewaktu Meng Hao tidak berasa mahu berniaga pun, dia akan membawa sepanduk itu ke sana sendiri untuk berniaga.

Tiga hari kemudian, bunyi loceng kedengaran. Hari Pengagihan Pil sudah tiba. Ketika Meng Hao dan Si Gempal tiba di medan itu, Meng Hao terperasan seorang lelaki tua berjubah emas di atas pentas bersama Kakak Xu dan Abang Chen yang berdiri di belakangnya.

Jantung Meng Hao mula berdegup kencang ketika melihatnya dan nyalaan api muncul dalam matanya.

"Dalam setahun setengah yang lalu, Pak Cik Guru Shangguan hanya muncul sebanyak tiga kali. Hanya sewaktu Pengagihan Pil Perseorangan. Sudah hampir setahun asas Pertapaan saya tersekat di peringkat keempat ini. Kalaulah ada pil ubat tahap tinggi..." Pengikut Sekta Luaran lain pun berfikiran begitu juga. Tidak lama kemudian, suasana menjadi bising dengan perbualan sesama mereka. Masing-masing mengharapkan supaya pil itu tidak diberikan kepada mereka.

Sekta telah membuat peraturan baharu yang mengharamkan pengagihan pil ubat secara persendirian kepada ahli Sekta Dalaman setelah apa yang Meng Hao lakukan pada pilnya sendiri pada masa itu.

"Itu... Itu Pil Rohani Kering!"

"Ya! Benar! Pil Rohani Kering. Tahun lalu telah diagihkan sebiji dan sekarang sebiji lagi. Hanya sebiji untuk setahun! Itu menunjukkan yang pil itu sangat berharga!"

"Kalau saya dapat, saya pasti akan dapat tingkatkan asas Pertapaan saya."

Suasana menjadi semakin gamat sewaktu orang tua berjubah emas itu mengangkat pil ungu bercahaya itu ke udara.

Ketika pil itu muncul, mata Meng Hao bersinar dengan galak sekali. Dia tidak pernah mempunyai kehendak yang sebegini kuat pada pil ubat itu. Di matanya, itu bukanlah sebiji pil ubat, tetapi satu-satunya harapan untuk dia memecahkan dinding pemisah ke peringkat kelima Pemekatan Qi.

Dia sudah agak lama menjadi ahli Sekta itu, jadi dia sudah kenal beberapa pengikutnya. Kakak Xu dan Abang Chen di Sekta Dalaman, kedua-duanya berada di peringkat ketujuh Pemekatan Qi. Ada khabar angin mengatakan yang mereka akan mencapai peringkat seterusnya tidak lama lagi.

Di bawah mereka, Wang Tengfei yang tersekat di puncak peringkat keenam Pemekatan Qi. Bagi dirinya, Pil Rohani Kering boleh membantunya. Selain dia, terdapat seorang lagi pengikut di peringkat keenam, pengikut nombor dua Han Zong.

Meng Hao hanya pernah melihatnya dua kali dan dia berasa Han Zong ini agak angkuh. Han Zong bagaikan menganggap semua orang di bawahnya. Jika dia berada di sini, dia tidak akan pandang sebelah mata pun pada Pil Rohani Kering, seolah-olah dia mempunyai benda yang lebih bagus daripada pil ubat.

Manakala bagi pengikut peringkat kelima Pemekatan Qi pula, terdapat empat orang di Sekta luaran dan mereka boleh dikatakan hanya ada nama sahaja. Fizikalnya jarang ada kerana mereka selalu memencilkan diri untuk bertafakur atau mengembara ke hutan rimba gunung untuk berlatih.

Pengikut peringkat keempat juga tidak ramai. Termasuk Meng Hao, terdapat tujuh orang kesemuanya. Untuk mereka yang di bawah peringkat keempat, mereka ibarat serangga kecil sahaja.

"Baiklah, semua orang diam." Suara Shangguan Xiu yang berkerepot bergema, sangat kuat seperti biasa. Namun, berbanding dengan tahun lalu, ia tidak memberi kesan pada Meng Hao. Malah, dia menjadi semakin tekad.

"Dalam dua tahun yang lepas, saya telah mengetuai Pengagihan Pil. Biasanya saya lebih suka untuk memilih pengikut baharu. Ini kerana kalau kita terus-menerus dapat pengikut baharu, sekta kita akan berkembang." Dia tersenyum dan matanya memerhatikan orang ramai. Akhirnya, matanya terpaku pada Si Gempal yang berdiri di sebelah Meng Hao. Si Gempal sedang mengasah giginya dengan sebilah pedang dan wajahnya kelihatan acuh tidak acuh sahaja. Nampaknya, Shangguan Xiu sudah membuat keputusan.

Si Gempal kelihatan bulat seperti bola dan jika sesiapa melihat dia mengasah giginya untuk kali pertama, mereka pasti akan berasa sukar untuk memilih sama ada mahu tertawa atau menangis. Shangguan Xiu merenungnya dengan kagum dan kemudian tertawa.

"Tak apalah," dia berkata. "Saya akan beri pil ini pada awak." Dia melambaikan tangan kanannya dan terpancar cahaya ungu berkelip-kelip sewaktu dia menembak Pil Rohani Kering itu kepada Si Gempal. Dengan penuh rasa terkejut, dia bertindak balas dengan menangkapnya secara spontan bagaikan tidak mengerti. Kemudian, riak wajahnya berubah dan Si Gempal mengeluarkan jeritan kecil. Tubuh badannya mula menggigil dan wajahnya menjadi pucat. Dia kelihatan seperti mahu menangis.

"Ini...saya...tak guna, kenapa saya yang dapat?"

avataravatar
Next chapter