87 Aku Akan Capai Puncak Peringkat Ketiga belas Pemekatan Qi!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Meng Hao…" Bapa Reliance mengetap giginya. Bukan sahaja dia berasa hiba, malah dia lebih berasa menyesal. Kalaulah dia tahu yang perkara ini boleh berlaku, dia akan mengeluarkan kata-kata yang lebih baik pada Meng Hao.

Dia benar-benar tidak menyangka Meng Hao boleh jadi sekejam itu. Sudahlah kejam, dia masih lagi mempunyai sebuah beg Kosmo pula! Usahkan beg Kosmo itu, dia telahpun memasuki peringkat kesepuluh Pemekatan Qi!

Peristiwa yang berlaku di hadapan mata membuatkan dirinya mahu menangis, tetapi dia sudah tiada air mata untuk dikeluarkan. Dia menggeritkan giginya dan hatinya diselubungi ketakutan. Dia masih ingat syarat untuk Jed Pengunci Syaitan itu; ia hanya boleh diambil dan digunakan seseorang yang telah mencapai peringkat ketiga belas Pemekatan Qi. Sewaktu si bajingan tua itu mengatakannya dahulu, dengan angkuhnya dia tidak mempercayai mereka. Dia yakin dia dapat menghalang warisan Sekta Pengunci Syaitan daripada diteruskan ke generasi akan datang. Tetapi, setelah dia melihat Meng Hao mencapai peringkat kesebelas, hatinya bergetar dengan kegelisahan.

Malang bagi dirinya, tiada apa-apa yang dapat dilakukannya melainkan hanya mengetap gigi dan terus menyerap tenaga rohani sebanyak yang mungkin. Dia perlu dapatkan lebih banyak dan lebih pantas daripada Meng Hao. Dia perlukan kompas Feng Shui di hadapannya dibaiki sepenuhnya dan menghalang Meng Hao daripada mara ke hadapan.

Tenaga rohani yang disedut ke dalam tanah dan diserap ke dalam kompas Feng Shui itu berwarna merah terang. Seolah-olah sambil ia melalui tanah itu, ia diresapi galian tertentu daripadanya.

"Tak guna, Meng Hao. Aku hanya beri kau Batu Rohani bermutu rendah sahaja dan tidak menghapuskan racun kau. Kau sudah melampau, bukan? Aku ini masih lagi Bapa kau." Bapa Reliance berasa sangat marah.

Manakala bagi diri Meng Hao pula, satu bunyi gemuruh memenuhi seluruh tubuhnya. Setelah menyerap dua puluh peratus tenaga rohani pelita itu, tubuhnya menggigil dan dia dapat rasa dirinya berubah. Perubahan itu pada laut Terasnya. Ia menjadi semakin besar dan laluan Qinya juga menjadi semakin tebal. Satu letupan kedengaran dalam kepalanya dan dia dapat merasai perasaan merempuhi dinding batasan ke peringkat seterusnya.

Peringkat kesebelas Pemekatan Qi!

Laut Terasnya menyebar keluar untuk memenuhi seluruh tubuhnya. Jenis laut Teras ini benar-benar mustahil untuk seseorang yang berada di tahap Pemekatan Qi. Keagungannya akan memastikan perkembangan masa hadapan dan kuasa pertarungan yang tiada batasan.

Sukar bagi Meng Hao untuk mencapai Pengukuhan Asas dengan laut Teras sebegini, tetapi... kalau dia berjaya, dia akan menjadi dua kali ganda lebih kuat daripada seseorang yang berada di tahap yang sama!

Peringkat kesebelas Pemekatan Qi telah menyempurnakan laut Teras dan bukan tubuhnya!

Perkembangan laut Terasnya menyebabkan tubuh Meng Hao bergema dengan bunyi gemuruh. Tenaga rohani tanpa batasan seperti sebuah lautan memenuhi dirinya. Gelombang laut Teras itu menghentam dan bergolak tanpa henti.

Meng Hao membuka matanya dan menarik nafas panjang. Bunyi tarikan nafasnya seperti bunyi kilat. Dia berdiri dengan mata yang terus-menerus bersinar. Dia mengambil satu lagi langkah ke hadapan. Kemudian langkah kedua. Kemudian langkah ketiga!

Kini, dia benar-benar berdiri bersebelahan tujuh buah pelita itu dan cukup hampir untuk menyentuhnya. Dia telah menyerap tiga puluh peratus tenaga rohani pelita itu.

Tiga puluh peratus mungkin kedengaran tidak banyak, tetapi mustahil bagi Meng Hao kalau bukan kerana keupayaan peringkat kesepuluh Pemekatan Qi. Lagipun, itu peringkat Pemekatan Qi yang boleh mencuri tuah daripada Syurga.

"Meng Hao, kau belum selesai lagi…" Bapa Reliance memerhatikan Meng Hao mengambil tiga langkah ke hadapan dan kerisauannya semakin bertambah kuat. Jika Meng Hao dapat mencapai peringkat kedua belas, dia hanya tinggal selangkah lagi untuk mampu menggunakan Jed Pengunci Syaitan itu.

"Terima kasih banyak atas bantuan kau, Bapa," Meng Hao bersuara dengan tenang. "Aku akan selesai tidak lama lagi." Dia menutup matanya dan bersedia untuk menyerap lebih banyak tenaga rohani ke dalam tubuhnya. Tubuhnya bergegar sewaktu dia melangkah ke peringkat kedua belas Pemekatan Qi.

Sejak dahulukala, tiada siapa pernah memasuki peringkat kedua belas Pemekatan Qi.

Sejurus sahaja dia berbuat demikian, minda Meng Hao berasa sangat sakit. Deria Rohaninya hanya di takat itu sahaja dan tidak bergerak. Tetapi, dia dapat rasa seolah-olah mindanya telah berpecah menjadi dua. Kini, dia berasa... seperti sesuatumencurah-curah dalam mindanya.

Ini adalah... Lautan Tanggapan!

Pada masa kini, para Pertapa yang berjaya mencapai Pengukuhan Asas daripada Pemekatan Qi akan membentuk sebuah Lautan Tanggapan daripada ketiadaan. Biasanya, jenis Lautan Tanggapan ini tidaklah begitu besar dan tiada kena mengena dengan bakat terpendam dan lebih kepada kaedah yang digunakan. Semakin luas Lautan Tanggapan itu, semakin banyaklah kuasa yang dapat digunakannya dan Deria Rohani Pertapa itu akan menjadi semakin tidak terhad.

Zaman dahulukala, para Pertapa lebih suka untuk mencapai Pengukuhan Asas sewaktu dalam peringkat kedua belas Pemekatan Qi. Ini kerana peringkat kedua belas ialah masa untuk Lautan Tanggapan terbuka. Jika mengamalkan Pertapaan dengan cara ini, Lautan Tanggapan akan menjadi lebih kuat daripada yang lain di tahap Pengukuhan Asas ini.

Di dalam dunia Pertapaan kini, Meng Hao adalah Pertapa pertama yang memasuki peringkat kedua belas Pemekatan Qi. Jika khabar ini tersebar, seluruh dunia Pertapaan akan menjadi gempar.

Pada masa ini, Bapa Reliance berasa goyah. Dia menatap Meng Hao dengan kelu dan hanya mampu menyaksikan di depan matanya sendiri sewaktu peringkat kesembilan Pemekatan Qi Meng Hao sebelum ini telah meningkat ke peringkat kedua belas.

"...Zaman dahulukala," dia bergumam, "ada legenda menyatakan yang lingkaran hebat Pemekatan Qi boleh disempurnakan di peringkat ketiga belas. Tetapi, walaupun sewaktu zaman itu, hal itu jarang dilihat. Mereka kata peringkat ketiga belas Pemekatan Qi berhubung kait dengan tuah Syurga dan boleh mengubah bakat terpendam seorang Pertapa! Ia hanya berubah sedikit sahaja. Tetapi, bakat terpendam ialah kurniaan Syurga, jadi walaupun berubah sedikit sekali pun, akan pasti jadi satu pengingkaran Syurga."

"Aku sudah lupa berapa tahun yang lalu, si bajingan tua daripada Sekta Pengunci Syaitan itulah yang asyik berbangga mengatakan aku ini sangat bertuah... Tetapi berbanding dengan aku, budak inilah yang bertuah. Tak guna, dia terlalu bertuah! Macam mana aku boleh membangkitkan tindak balas ini!"

Sewaktu Bapa Reliance bercakap, Meng Hao telah membuka matanya. Matanya bersinar terang. Dia dapat rasa kesakitan seolah-olah kepalanya mahu pecah. Tetapi, di dalam kesakitan itu, dia dapat rasa kejernihan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.

Dunia kelihatan seolah-olah berbeza sewaktu dia melihatnya, walaupun dia tidak dapat memastikan yang mana yang berbeza. Semuanya kelihatan berseri-seri seperti tidak pernah disedarinya sebelum ini.

Di saat ini, daya graviti yang sangat kuat itu nampaknya berada di ambang kemerosotan seolah-olah tubuhnya tahu yang dia telah mencapai had penyerapannya.

Tidak lama kemudian, jumlah tenaga rohani yang diserap dari pelita minyak tanah itu telah jatuh daripada tiga puluh peratus kepada dua puluh peratus dan kepada sepuluh peratus.

Ini telah menyebabkan Meng Hao mengerutkan kening, berasa pelik. Dia tahu asas Pertapaannya masih belum berada di puncak... Dia boleh rasa yang terdapat satu lagi lapisan setelah lapisan terkininya dan kitaran hebat Pemekatan Qi.

Ia satu perasaan yang hebat, tetapi daya graviti menjadi semakin lemah seolah-olah tahap seterusnya telah ditutup selama-lamanya bagi dirinya.

Bapa Reliance ketawa berdekah-dekah. "Aku sudah kata! Peringkat ketiga belas Pemekatan Qi memang sangat jarang dicapai walaupun pada zaman dahulukala. Ia hanya tersebut dalam mitos dan cerita sahaja, sampai ada orang yang menyangka ia tidak wujud sebenarnya. Peringkat kedua belas ialah peringkat terakhir. Meng Hao, jangan halang rancangan utama aku. Kalau tidak, kau siaplah bila aku keluar nanti. Aku akan cuci lantai ini dengan tubuh kau! Kau ini memang perlu dipukul, tak guna!" Walaupun Meng Hao telah menyedut tenaga rohani itu, tetapi ia tidak memadai sebenarnya kerana baki itu masih cukup untuk menyempurnakan rancangan utamanya dan jika Meng Hao tidak mencapai peringkat ketiga belas, itu bermaksud dia memang tiada bakat terpendam untuk menggunakan Jed Pengunci Syaitan itu.

"Nampaknya, tuah budak ini sampai di sini sahajalah," Bapa Reliance bersuara dengan nada berpuas hati. Tetapi, kemudian mata Meng Hao bercahaya. Dia mempunyai sikap yang degil. Tambahan pula, dia telah mencapai peringkat kedua belas Pemekatan Qi dan dapat melihat sekali imbas peringkat seterusnya, dia akan melakukan apa-apa sahaja yang mungkin untuk merempuhi dinding batasan itu.

"Daya graviti itu semakin lemah... Macam mana aku boleh terus menambah tenaga rohani…" Minda Meng Hao berpusing memikirkan ribuan kemungkinan sehingga matanya mula bersinar dan dia menepuk beg saktinya. Dua bilah pedang kayu telah muncul.

Dia melihat pada kedua-dua bilah pedang itu, kemudian mengetapkan giginya dan menyebabkan sebilah daripadanya melayang terus ke arah dirinya sendiri. Bapa Reliance tergamam sewaktu menyaksikan pedang itu mengelar Meng Hao. Tidak lama kemudian lebih sepuluh luka kelaran memenuhi tubuhnya.

Meng Hao mengetap rahangnya ketika pedang itu membelah dan meninggalkan luka berdarah di seluruh badannya. Matanya bersinar dengan penuh tekad. Sewaktu darah terpercik keluar dari luka itu, Meng Hao dapat merasakan yang kuasa rohani di dalamnya juga turut mengalir keluar.

Ini benar-benar seperti yang dikehendakinya!

Apabila kuasa rohani itu terbocor keluar dari tubuhnya, kuasa graviti di dalamnya juga tiba-tiba bergegar dan perlahan-lahan menjadi lebih kuat. Apabila ini berlaku, Meng Hao membulatkan tekadnya. Dia kini mengawal pedang kedua dan membuat kedua-dua bilah pedang itu berpusing-pusing mengelilingi dirinya sambil mengelar bertubi-tubi. Dalam sekelip mata, kulit tubuhnya penuh dengan hampir seratus kelaran.

Kecederaan itu membangkitkan kuasa fizikal tubuhnya dan pada masa yang sama, kuasa graviti dalam dirinya juga menjadi bertambah kuat.

Bapa Reliance terkedu. Cara Meng Hao ini memang tidak tercapai akalnya. Apabila dia melihat kelaran berdarah pada tubuh Meng Hao dan mata Meng Hao yang masih bersinar dengan keazaman, baru dia sedar tahap kezaliman Meng Hao. Jika dia sanggup menzalimi dirinya sendiri seperti ini, apatah lagi orang lain?

Lebih banyak luka yang ada di badannya, lebih kuat daya graviti itu. Jumlah tenaga rohani yang disedut daripada pelita itu telah melonjak dari sepuluh peratus kepada empat puluh peratus. Namun, walaupun tenaga rohani itu diserap masuk ke dalam tubuhnya, dia tetap tidak berjaya merempuh ke peringkat seterusnya

Setelah beberapa ketika, Meng Hao ketawa. Dengan senyuman sinis, dia mengangkat tangan kanannya dan menyebabkan sebilah pedang kayu itu menghasilkan bunyi siulan dan terus meluncur pergi ke arah dadanya. Pedang itu telah ditusuk masuk dan memercikkan banyak darah. Darah juga tersembur keluar dari mulutnya. Dalam sekelip mata, jumlah peratus kuasa rohani di dalam tubuhnya jatuh menjunam. Ini telah menyebabkan daya graviti itu meningkat lebih tinggi dalam beberapa peratus.

Sehingga kini, dia telah menyerap lima puluh peratus daripada tenaga rohani yang datang dari tujuh buah pelita itu.

Satu letupan kedengaran. Meng Hao telah melancarkan segala-galanya pada dinding penghalang di antara dua peringkat itu dengan tenaga rohani yang tiada batasan. Darah berhamburan dari mulutnya dan pedang-pedang kayu itu masih terus mengelar-ngelar tubuhnya. Tenaga rohani dari tujuh pelita itu berpusu dan kini Meng Hao sedang menyedut tujuh puluh peratus tenaganya!

Dengan cara inilah Meng Hao melancarkan serangannya daripada peringkat kedua belas Pemekatan Qi kepada peringkat ketiga belas.

Masa terus berlalu. Lebih banyak luka muncul pada tubuhnya yang menunjukkan betapa tegarnya hati Meng Hao. Tidak lama kemudian, tubuhnya mula menggigil dan pandangannya semakin kabur. Dia telah menyerap sembilan puluh peratus tenaga rohani dari tujuh buah pelita sehinggakan dia kelihatan seperti sedang bermandikan tenaga rohani tulen yang tebal.

"Kau akan terbunuh nanti…" Nafas Bapa Reliance menjadi tidak teratur setelah menyaksikan kejadian itu. Kedegilan Meng Hao membuatkan dia terkesima.

"Aku akan menjadi kuat! Aku tak kira. Aku mesti menjadi kuat!" Kesedaran Meng Hao telah mula menghilang, tetapi kedegilannya tidak membenarkannya. Walaupun dengan keadaannya sebegitu, dia tetap tidak mahu berputus asa. Dia terus mengomel sendirian dia mesti menjadi kuat!

Meng Hao mesti menembusi dinding batasan ke peringkat ketiga belas Pemekatan Qi.

"Ini tao dirinya…" Akhirnya Bapa Reliance faham sambil menghela nafas panjang.

avataravatar
Next chapter