56 Abang Meng, Sama Ada Kamu Mahu Jual Atau Tidak, Kamu Mesti Lakukannya!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Apabila Meng Hao bercakap, semuanya menjadi sunyi. Mata semua orang tertumpu kepada lembing waja yang terpacak dalam tanah.

Qian Shuihen ketawa dengan kuat sambil menunjukkan salam tumbuk hormat kepada Meng Hao.

"Jadi, Abang Meng bersedia untuk menjual khazanah ini. Aku, Qian, tidak akan membiarkan kamu kerugian." Dia mengeluarkan beg saktinya dan melemparkannya ke tanah. "Ini lima ratus Batu Rohani!" Kedengaran bunyi berdenting ketika lima ratus Batu Rohani muncul dan membentuk gunung kecil. Pengikut-pengikut Negeri Zhao yang berada di sebelah merasa terlalu seronok menyaksikan malapetaka yang menimpa Meng Hao. Lima ratus Batu Rohani bukanlah jumlah yang kecil, tetapi jumlah yang sangat besar. Jika dia menjual barang yang berharga dengan harga tersebut, dia akan menjadi bahan ketawa.

Bukan mereka sahaja yang memikirkan harga tersebut. Meng Hao turut mengerutkan kening. Apa yang membezakan antara Meng Hao dan pengikut-pengikut Negeri Zhao ialah pemikirannya. Menurut anggarannya, lembing waja itu mungkin bernilai dua keping perak. Untuk menukarkannya dengan lima ratus Batu Rohani bermaksud dia boleh mendapat untung yang besar.

"Kamu bergurau?" kata Lu Song. "Jangan cuba membuli Abang Meng. Kamu fikir kamu boleh membeli khazanah seperti itu dengan hanya dengan lima ratus Batu Rohani? Aku akan membelinya dengan harga seribu lima ratus Batu Rohani!" Sambil mendengus dingin dan melibas lengan bajunya, dia menghasilkan beg sakti. Lebih banyak bunyi berdenting kedengaran ketika seribu lima ratus Batu Rohani yang bersinar muncul, menghasilkan longgokan yang lebih tinggi daripada apa yang dimiliki Qian Shuihen. Itulah pemandangan indah yang membuatkan semua orang berdebar-debar dengan penuh harapan.

Jantung para pengikut Zhao berdebar kencang. Bagi mereka, seribu lima ratus Batu Rohani itu banyak. Meskipun mereka ialah pengikut daripada tiga Sekta besar, masih susah untuk mereka kumpulkan sebanyak itu. Mereka tercungap-cungap menyaksikannya. Bahkan Sun Hua kelihatan menggeletar dengan keinginan yang kuat. Zhou Kai yang berdiri di belakangnya kelihatan tercengang. Kekagumannya terhadap Meng Hao semakin kuat dan dia berasa menyesal dalam hatinya. Dia tidak sepatutnya memanggil nama Meng Hao sebentar tadi. Dia menghela nafas, menyedari kesilapannya yang menyebabkan Meng Hao terpaksa menjual khazanahnya.

"Adik Seguru Song betul-betul berani," kata Qian Shuihen sambil memandang Lu Song dengan dingin. Dia bertekad untuk mendapatkan khazanah itu. Setakat yang dia tahu, itulah tiketnya ke Sekta Dalaman dan dia tidak akan berputus asa tidak kira berapa pun harga yang dia perlu bayar. Sampai sekarang, lawan sebenarnya ialah Lu Song. Mereka berdua sememangnya tidak berbincang untuk mendapatkan lembing itu bersama.

"Kamu semua! Beri aku Batu Rohani kamu," kata Qian Shuihen sambil berpusing untuk melihat lima atau enam pengikut di belakangnya. "Setelah kita kembali ke Sekta, aku akan mencari cara untuk bayar balik." Tanpa ragu-ragu, mereka membuka beg sakti dan mengeluarkan semua Batu Rohani mereka

"Dua ribu seratus Batu Rohani," kata Qian Shuihen dengan tenang, seolah-olah dia tidak kisah. "Abang Meng, semua barang ini kepunyaan aku." Dia menatap Lu Song dengan dingin.

Wajah Lu Song berubah. Seribu lima ratus Batu Rohani yang ditawarkan telah dipinjam daripada segelintir pengikut di belakangnya. Melihat jumlah yang dihasilkan oleh Qian Shuihen dan Meng Hao yang kelihatan berat hati, Lu Song tiba-tiba menepuk beg saktinya.

"Abang Meng, saya tidak lagi mempunyai Batu Rohani. Tapi, saya mempunyai pil perubatan." Sebiji botol muncul di tangannya. "Berikut merupakan tiga Pil Air Syurga, sesuai untuk mana-mana Pertapa daripada tahap kelapan Pemekatan Qi atau lebih rendah. Ini ialah salah satu pil terbaik yang dihasilkan oleh Cawangan Toko Pil Pertapaan daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung kami. Setiap pil bernilai lima ratus Batu Rohani. "

Renungan tajam yang muncul di mata pengikut Negeri Zhao semakin menggerunkan. Mereka tahu betapa berharganya Pil Air Syurga.

Sun Hua bernafas lebih kencang. Dia telah mendengar Orang Lama daripada Sekta bercakap tentang Pil Air Syurga dan sedar itulah salah satu daripada tiga jenis pil yang paling berkesan dalam Wilayah Selatan bagi Pertapa Pemekatan Qi tahap kelapan. Bahkan di dalam Sekta Takdir Ungu Lembayung, anggota terkemuka daripada Sekta Luaran akan mengalami kesusahan untuk mendapatkannya.

Qian Shuihen mengerutkan kening, matanya terarah kepada Lu Song. Sambil mengetapkan rahangnya, dia menepuk beg sakti dan menghasilkan botol pil sendiri.

"Saya tidak mempunyai Pil Air Syurga," kata Qian Shuihen dengan penuh sensasi. "Tetapi, memandangkan Abang Meng berada di tahap ketujuh Pemekatan Qi, silalah terima tujuh Pil Rohani Bumi ini. Mereka diberikan kepada aku kerana perkhidmatanku dalam Sekta. Mereka sangat bersesuaian untuk tahap ketujuh Pemekatan Qi. "

"Aku juga mempunyai sedikit Pil Rohani Bumi," kata Lu Song sambil ketawa dingin. Dia melihat kembali para pengikut di belakangnya. Mereka mengetapkan gigi dan menghasilkan beg sakti lalu menyerahkan lebih daripada sepuluh Pil Rohani Bumi. Mata mereka menjadi merah sambil memandang Qian Shuihen dan kumpulannya.

"Abang Qian, lihat...." kata Meng Hao dengan malu-malu. Jantungnya berdegup kencang.

Wajah Qian Shuihen berubah ketika menyedari tawarannya tidak sepadan dengan tawaran Lu Song. Tetapi inilah kesempatannya untuk masuk ke dalam Sekta Dalaman. Dia tidak akan membiarkannya terlepas.

"Adik Seguru Lu, kamu memang bertekad untuk bersaing dengan aku hari ini, bukan? Baiklah!" Matanya berkedip tajam. Dia menepuk beg saktinya dan tiba-tiba sinar hitam muncul, lalu berubah menjadi satu ceracak hitam. Ia berkilauan seperti kilat dan menghasilkan bayangan yang banyak. Bayangan yang banyak itu berkumpul di tangan Qian Shuihen dan semuanya menjadi senyap.

Suasana menjadi gelap gelita dan tidak dapat dijelaskan.

"Abang Meng, ini ialah barang sakti yang diberikan kepada aku oleh Sekta. Barang ini disebut Ceracak Neraka. Rasanya dingin dan gelap. Jika barang sakti ini mencederakan lawan, lukanya akan membeku dan kesejukan yang melampau akan dirasai pada tubuh mereka." Qian Shuihen memaksa dirinya untuk mengabaikan hatinya yang sakit ketika bercakap.

Apabila ceracak itu muncul, para pengikut di belakang Qian Shuihen memandang dengan penuh iri hati. Raut wajah Lu Song berubah dan dia nampak tertekan. Dia tidak pernah membayangkan Qian Shuihen akan menawarkan ceracak hitam.

Mata Meng Hao terbuka luas dan jantungnya berdegup lebih kencang. Bukan hanya dia. Kedengaran bunyi riuh-rendah dalam kalangan pengikut-pengikut Negara Zhao yang berhampiran.

"Itulah Ceracak Neraka daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung. Aku pernah mendengar Orang Lama bercakap tentangnya. Hanya Sekta Takdir Ungu Lembayung yang memilikinya. Dikatakan terdapat hanya seratus lapan yang masih wujud dan setiap satu daripadanya sangat kuat."

Mulut Sun Hua kering dan pandanganya terpaku ke arah ceracak itu. Sesungguhnya dia berharap dia ialah Meng Hao supaya dia dapat memiliki khazanah tersebut.

Lu Song mengherotkan wajahnya. Dia menggertakkan giginya dengan marah lalu berfikir tentang peluangnya untuk menyertai Sekta Dalaman dan hanya ada satu tempat sahaja yang tersedia. Dia tidak akan berundur daripada kesempatan ini. Sambil menahan kekecewaan, dia menepuk beg saktinya lalu terhasillah satu khazanah.

Khazanah itu merupakan kipas berbulu yang terdiri daripada enam belas bulu pelbagai warna. Sebaik sahaja kipas itu muncul, kekuatan rohani yang mengejutkan terpancar dan menanamkan rasa takut ke dalam hati para penonton.

"Abang Meng, ini ialah khazanah aku yang paling berharga. Ini ialah Kipas Bima Sakti. Kamu langsung tak perlu berlatih dan kamu terus boleh menggunakannya. Sesiapa yang menggunakannya boleh terbang melayang dan bertukar saiz. Enam belas bulu ini boleh terbang untuk menyerang atau membentuk bulatan di sekeliling kamu sebagai perisai. Jadi, fungsinya ialah untuk menyerang dan bertahan. Ini bukan khazanah Sekta kami, tetapi sesuatu yang saya perolehi dengan nasib baik. Izinkan aku menawarkannya kepada kamu dalam urusan pertukaran ini, Rakan Taois." Mukanya dipenuhi ekspresi yang tidak menyenangkan, dan hatinya sedih kecewa. Tetapi, dalam persaingan dengan Qian Shuihen bagi mendapatkan tempat di Sekta Dalaman, dia harus teruskan tanpa ada rasa kesal.

Apabila kipas itu muncul, raut wajah Qian Shuihen berubah. Dia berundur dua langkah, matanya merah. Dia tahu khazanah ini sangat berharga. Menyerahkannya hampir seperti mempertaruhkan nyawa seseorang.

Pengikut Negeri Zhao kelihatan terkejut dan kepala mereka berdengung. Mereka mungkin tidak biasa melihat kipas tersebut, tetapi jelas barang itu sangat luar biasa hebatnya. Kipas itu memancarkan kekuatan rohani yang kuat membuatkan jantung mereka berdebar-debar kerana terkejut.

Mata Sun Hua terbeliak dan badannya menggigil seolah-olah dipenuhi dengan iri hati yang kuat.

Meng Hao menarik nafas dalam. Pada saat itu, dia sebenarnya tidak rasa gembira tetapi bimbang. Dia sudah menyinggung perasaan Si Aneh Song dan memikirkan dia akan membuat Sekta Takdir Ungu Lembayung tersinggung, dia berpeluh dingin. Nampaknya sama ada dia ingin menjualnya ataupun tidak... dia mesti melakukannya.

Pada ketika ini, penampilan, kerutan dahi, dan pandangan gelap di matanya membuatkan orang sekeliling yang menyaksikannya berfikir dia tidak melihat khazanah di depannya cukup berharga untuk dijual.

"Abang Meng, aku juga mempunyai Pil Melepasi Batas yang berguna pada tahap kesembilan Pemekatan Qi." Mengabaikan rasa sakit di hatinya, Qian Shuihen menepuk beg saktinya lalu menghasilkan satu botol pil. "Pil ni sangat berharga. Mana-mana Petapa dari tahap kesembilan Pemekatan Qi akan menjadi gila hanya dengan melihat satu pil. Meskipun tidak dapat dibandingkan dengan Pil Pengukuhan Asas, pil ini masih sangat berharga." Sewaktu bercakap, dia tidak melihat Meng Hao, tetapi melihat Lu Song.

"Lembing ini..." konflik bergolak di dalam hati Meng Hao. Dia mahu bercakap lebih banyak lagi, bila Lu Song tiba-tiba mengangkat kepalanya ke langit lalu ketawa dengan kuat. Dia mengangkat tangannya dan mengeluarkan kantung broked daripada jubahnya. Dia membalikkannya dan satu pil bulat tebal jatuh. Pil itu berwarna hitam tetapi tidak memancarkan sedikit pun kekuatan rohani. Namun, melihat bagaimana Lu Song memperlakukannya dengan sangat berhati-hati, pil itu memang jelas sejenis khazanah.

"Abang Meng, pil ini tidak boleh digunakan semula. Bahkan, ini ialah pil ajaib yang luar biasa. Bila kamu hancurkannya, pil ini akan berubah menjadi kala jengking hitam yang sangat beracun yang boleh mencederakan Pertapa tahap Pemekatan Qi kesembilan dan mungkin boleh membunuhnya. Pil ajaib ini diberikan kepada aku oleh puak aku. Nah, ambillah! " Mata Lu Song merah. Tetapi, mereka tidak melihat Meng Hao, melainkan Qian Shuihen. Dia menawarkan pil ajaib dalam proses pertukaran ini untuk mengancam Qian Shuihen, seolah-olah menjadi pemutus bagi siapa yang akan berjaya.

Raut wajah Qian Shuihen berubah dan matanya berkedip, penuh dengan niat membunuh. Tetapi dia cepat mengawal dirinya kemudian berkata dengan santai, "Mungkin kita berdua patut membuat pertukaran untuj khazanah itu, lalu membawanya kembali kepada Orang Lama Wu dan membiarkannya memutuskan apa yang patut dilakukan."

Lu Song tidak membalas. Dia sebenarnya tidak ingin menyerang. Jika dia berada di tempat terpencil di mana tiada yang melihat, mungkin dia akan melakukannya. Tetapi keadaan menjadi rumit dengan begitu ramai orang yang menonton. Dia hanya ingin mengugut Qian Shuihen. Setelah mendengar cadangan itu, dia mengangguk. Meskipun itu menyakitkan, apabila dia melihat Pil Melepasi Batas di tangan Qian Shuihen, dia hanya boleh mengetakkan rahangnya dan meletakkan pil ajaibnya dihadapannya.

Melihat keadaan ini, Qian Shuihen menjadi tenang. Tanpa meminta kepada Meng Hao, dia mengambil lembing waja dan meluncur pergi. Lu Song pergi bersamanya sambil memegang lembing. Mereka bergerak ke arah gerbang kota dan menatap antara satu sama lain dengan curiga.

Para pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung yang lain segera mengikuti mereka dan menghilang melalui gerbang kota dan kejauhan pergi. Mereka kelihatannya menuju ke arah banjaran Gunung Perisai Negeri.

Jantung Meng Hao berdegup kencang. Tanpa ragu-ragu, dia melibas lengan bajunya dan mengumpulkan semua benda. Kemudian dia berpusing dan beredar secepat mungkin. Mata para pengikut Negeri Zhao berkilauan cerah, terutama mata Sun Hua. Matanya dipenuhi semangat dan dia bergerak untuk mengejar lalu menyerang Meng Hao. Tetapi Meng Hao melambai tangan kanannya dan kipas itu terbang lalu mendarat di bawah kakinya. Kelajuannya meningkat dengan cepat dan dia meluncur jauh.

Pada masa yang sama, seorang lelaki pertengahan usia yang duduk di tepi Tungku pil di dalam Astaka Ratusan Khazanah membuka matanya. Matanya menyala seperti cahaya ketika dia melihat Meng Hao menghilang.

"Para pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung ini menjadi semakin teruk pada setiap generasi," katanya dengan dingin. "Mereka bodoh. Meskipun mereka tidak mempunyai Deria Kerohanian pada tahap Pengukuhan Asas, mereka masih boleh meneka benda itu tidak berguna."

Apabila mendengar hal ini, Qiao Ling dan gadis-gadis lain yang baru sahaja melihat semuanya berlaku kelihatan seperti tidak percaya.

"Itu hanyalah lembing waja," lelaki itu berkata perlahan. "Anggota muda daripada generasi junior yang bernama Meng, dia sendiri yang menyatakannya," Dia menutup matanya lagi.

avataravatar
Next chapter