Ini adalah kisah kami. Ini adalah cerita hidup kami. Nama aku Zainal bin Rasyid. Bapa aku dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun atas kesalahan merompak menggunakan senjata. Aku berumur 9 tahun ketika itu. Bapa dibebaskan dari penjara setelah menjalani hukuman selama 10 tahun 6 bulan atas rekomendasi pengarah jabatan penjara dan penguasa penjara kerana rekod disiplin yang cemerlang disamping kerja-kerja amal yang dilakukan semasa dalam tahanan.
Bapa sering kirimkan surat menceritakan kisah hidupnya dan selama 10 tahun itu pelbagai peristiwa dibalik tembok konkrit dikongsikan bersama kami. Itu yang mendorong aku untuk menulis satu artikel tentang pengalaman bapa semasa menjadi banduan.
Satu hari aku luahkan niat pada bapa yang ketika itu baru bebas sebulan lalu.
"Pak, Zainal rancang nak tulis satu artikel tentang hidup bapa di penjara. Boleh tak?"
.Bapa diam, tak menjawab. Dari dahi yang berkerut aku cuma dapat zahirkan dia sedang fikirkan permintaan itu.
"Siapa yang akan baca semua tu Nal? Bapa risau nanti orang cakap anak dengan bapa sama je gila. Benda macam tu bukan semua orang percaya Nal. Lagipun bapa tak mahu nama kau jadi busuk. Esok lusa kau susah nak dapat kerja."
Aku diam. Mak yang dari tadi duduk di ambang pintu hanya perhatikan bapa dengan renungan kosong. Entah apa dalam kepala mak. Mungkin tak mahu dunia luar tahu apa yang dilalui oleh suaminya selama 11 tahun itu.
"Nal, biar bapa kau rehat dulu. Besok lusa baru bincang semula." emak akhirnya bersuara.
"Yelah mak." aku balas sambil tengok bapa, "Bapa rehat. Tak usah serabutkan kepala dengan apa yang Zainal cakap tadi. Itu cuma satu usul. Kalau bapa tak nak pun Zainal tak ambil hati."
Masa bapa dalam penjara, aku melalui zaman yang penuh dugaan. Ibu tanggung hidup kami dengan buat kuih muih. Aku penjualnya, menjaja keliling kampung. Bila masuk alam remaja, aku sering diusik dan dimalukan oleh anak muda kampung sebab bapa dalam penjara. Tapi aku redha semua itu. Dari surat yang bapa kirim semasa dalam tahanan menguatkan semangat untuk menulis kisah hidupnya agar masyarakat tahu betapa besarnya nilai sebuah kebebasan dan betapa murahnya harga satu kebodohan. Dan aku tahu apa yang orang tak tahu- bapa terpaksa merompak sebab tak mahu melihat anak dan isterinya kelaparan.
Bertahun bapa bekerja keras membanting tenaga sebagai pekerja buruh sehingga menjadi mandur. Dari umur 15 tahun bapa mula bekerja dengan orang yang sama, syarikat yang sama hinggakan gaji pun sama tak berubah. Bapa diperah bukan sahaja kudrat tetapi wang ringgit. 10 tahun bapa kerja dengan gaji 200 sebulan. Dari jalan kaki hingga setakat mampu beli basikal tua. Walhal bila diperiksa gaji bapa sebenarnya 650 sebulan naik ke 800 sebulan. Penyelia yang kononnya mulia dan baik hati sebenarnya penipu. Pekerja mula rasa ada yang tak kena bila penyelia keparat itu yang pada mulanya naik basikal tua seperti bapa bertukar ke skuter vespa hingga berkereta mewah. Apabila pekerja mogok projek semua tergendala. Ini memaksa bos besar turun padang. Bila diperiksa baru tauke Wong tahu bukan setakat bapa seorang ditipu malah 4 orang lagi pekerja yang lain juga terima nasib yang sama. Namun semua terlambat sebab sebaik sahaja Majid dicari, dia sudah lari entah kemana. Untuk dapatkan duit bapa semula, dia terpaksa gunakan cara kasar bila cara lembut tak diendahkan. Akhirnya bapa rancang rompak rumah penyelia yang kononnya ada menyimpan duit gaji pekerja yang ditipu selama ini dalam peti besi. Bapa bersama dengan rakan yang lain menyerbu rumah Majid dengan membawa parang tetapi yang mereka jumpa hanya anggota polis yang sedia menunggu, sudah diberikan maklumat lebih awal. Akhirnya bapa dan rakan yang lain ditangkap manakala Majid dengarnya lari ke Thailand. Tauke Wong minta maaf berkali-kali hingga sanggup naik mahkamah minta hukuman diringankan bagi bapa dan pekerja yang lain. Namun nasi sudah jadi bubur, yang salah tetap bersalah walaupun sebenarnya mereka adalah mangsa. Hakim yang ikut bersedih akan nasib mereka yang tak bersalah cuma dapat meringankan hukuman dari penjara 15 tahun 4 sebatan kepada 12 tahun penjara tanpa sebatan dengan peluang rayuan jika berkelakuan baik selama 5 tahun. Semasa bapa dijatuhkan hukuman, aku dan ibu sibuk berkemas balik ke kampung sebab tak mampu bayar sewa rumah. Tauke Wong sendiri gulung tikar sebab khabarnya Majid menipu duitnya hingga pembekal barang pembinaan langsung tak dibayar.
Bapa dihantar ke penjara pusat ketika dia berusia 29 tahun. Dan dia dibebaskan pada hari lahir yang ke 40. Ketika menjalani hukuman, bapa kerap bersenam selain membuat kerja sukarelawan. Walaupun rambutnya mula beruban tetapi dia nampak cergas dan berotot. Betapa harga satu kebebasan dapat merubah diri dan penampilan seseorang.
Aku bersyukur pada Tuhan kerana menyatukan kami semula dan aku berdoa agar kami dapat mulakan hidup dengan aman tanpa sebarang masalah di masa depan.
Malangnya kami bakal mendapat lawatan sekali lagi. Namun kali ini bapa tak sendirian sebab aku ada bersamanya.