webnovel

Luahan Cinta

PUAS hatinya menunggu hampir seminggu lebih. Akhirnya dapat juga dia bertemu dengan lelaki itu semula. Hampir setiap hari dia berkeliaran di kediaman Shu Yan tetapi jawapan dari pengawal tetap sama. Putera Yan tiada.

Beria-ria dia merancangkan sesuatu tetapi dengan tiba-tiba pula watak utama itu hilang dari pandangan. Puas dia bersabar. Kalau tak kerana kehidupannya di tangan lelaki itu, memang buang masa sahaja untuk dia melakukan semua itu.

Selepas Xin Xin memberitahu berita bahawa putera keempat itu sudah pulang ke kediaman, dia terus meluru untuk ke sana. Dia perlu selesaikan dengan segera.

Akan tetapi...

"Minta maaf Puteri Yan, Putera Yan tidak mahu bertemu dengan sesiapa pun hari ini," ujar pengawal yang mengawal di hadapan pintu gerbang itu.

"Saya tak peduli!" Ying Hua membalas dengan berani. Dia melangkah, cuba untuk melepasi pintu gerbang tetapi ditahan oleh dua pengawal itu.

"Maaf Puteri Yan."

Xin Xin menarik tuannya ke belakang, menjarakkan diri tuannya dari pengawal itu.

"Wang Shu Yan!" jeritnya dari muka pintu gerbang kediaman lelaki itu. Dia tahu lelaki itu memang sengaja!

"Beritahu dia yang saya nak jumpa dia," ujar Ying Hua geram.

"Putera Yan tak..."

"Saya akan tunggu di sini sampai dia keluar!" Ying Hua melabuhkan punggungnya di tangga itu. Dia cuba memberontak.

Kedua pengawal itu sudah serba salah. Seorang daripada mereka sudah melangkah masuk ke dalam kawasan kediaman itu.

Xin Xin mendekati tuannya lalu berbisik perlahan. "Tuan puteri, janganlah buat sesuatu yang mendatangkan marah Putera Yan. Kita boleh datang semula hari lain."

Ying Hua menggeleng kepala. Dia masih mahu berdegil dengan keputusannya. Tidak kira apa pun yang terjadi, dia mahu jumpa lelaki itu hari ini juga. Lama dia menunggu. Lama dia bersabar. Akhirnya dilayan sebegitu.

Suatu hari nanti dia akan jatuhkan ego lelaki itu. Dia akan mengubah segalanya. Walau apapun terjadi, dia akan pastikan Wang Shu Yan tidak melayaninya dengan teruk lagi!

"Wang Shu Yan! Kalau awak berani, awak patut keluar! Jangan jadi pengecut!" jerit Ying Hua tiba-tiba.

"Tuan puteri!" Xin Xin terus memekup mulut itu. Kata-kata itu hanya mendatangkan kemarahan Putera Yan. Dia mula risau dengan perancangan tuannya.

Ying Hua menepis tangan itu. "Kenapa awak ni?"

Xin Xin menggeleng kepala berkali-kali. "Jangan la tuan puteri. Putera Yan masih marahkan tuan puteri. Kalau tuan puteri bersikap begini, Xin Xin tak tahu apa yang Putera Yan akan lakukan," nasihat Xin Xin lembut.

Ying Hua merengus. "Awak takut sangat ke dengan dia tu? Dia hanya berani membuli orang yang lemah macam kita aje. Orang macam tu sebenarnya lebih pengecut dari kita." Lancang Ying Hua bersuara.

Xin Xin sudah diam tidak berkutik. Dia benar-benar risau. Rasa menyesal pula menerima cadangan tuannya. Sikap Putera Yan mungkin tidak begitu menakutkan tetapi pedang itu bila-bila masa sahaja akan menetak leher mereka. Mengenangkan perasaan kecewa putera keempat itu, dia tahu bila-bila sahaja tuannya akan dihukum dengan kejam.

"Puteri Yan, Putera Yan jemput masuk." Pengawal yang menghilang tadi sudah muncul. Dia mendepakan tangan, menjemput Puteri Wu masuk.

Ying Hua bingkas bangun dengan bahagianya. Akhirnya berguna juga sikap keras kepalanya itu. Xin Xin hanya mengikut di belakang dalam keadaan senyap.

Tidak jauh dari pintu masuk itu, dia sudah melihat Shu Yan sedang duduk di meja batu. Di sebelah kanannya, berdirinya seorang yang paling setia, Yuan Zhen. Di sebelah kiri pula, dia tidak pasti siapa. Itu kali pertama dia melihat lelaki itu. Pakaian yang dipakai lelaki asing itu nampak mewah.

"Saya ingat awak nak benarkan saya tidur depan tangga tu." Selamba sahaja Ying Hua bersuara. Tiada rasa takut sedikit pun.

Shu Yan merenung tajam ke arah wanita itu. "Pengecut? Awak cakap saya pengecut?"

Glup! Ying Hua menelan air liur. Dia merapatkan diri dengan Xin Xin dan berbisik perlahan. "Xin Xin, macam mana dia boleh dengar apa yang saya cakap?"

"Suara awak dah cukup kuat untuk bagi semua orang kat sini dengar." Bagaikan tahu apa yang wanita itu fikirkan, Shu Yan memberi jawapan dalam nada sinis.

"Oh..." Ying Hua hanya mempamerkan wajah tidak bersalah.

Shu Xian di sebelah sudah menahan tawa. Rasanya itu kali pertama ada orang menyatakan abangnya pengecut. Malah isteri sendiri pula. Dari awal kedatangan kakak iparnya itu, dia sudah mendengar mulut itu melontarkan ayat-ayat yang tidak menyenangkan. Sungguh berbeza personaliti itu ketika ini. Lebih lancang berbanding biasa.

Tidak sia-sia dia datang ke kediaman Yan hari ini. Niatnya ingin memujuk abangnya yang marahkannya kerana dipaksa pulang. Mana tidaknya, dia menyerang hendap dari belakang dan membuatkan abangnya pengsan. Mereka terus bergegas pulang dengan kereta kuda. Sedar-sedar sudah sampai ke kediaman Yan.

Tetapi kejadian hari ini lebih menarik. Desas-desus menyatakan Wu Xiao Hua panas baran itu, dia mahu melihat dengan matanya sendiri. Kakak iparnya yang terkenal dengan sikap lemah lembut sudah berubah.

"Kenapa? Awak nak bunuh saya lagi ke?" Ying Hua sengaja membangkitkan kemarahan Shu Yan.

Shu Yan mengepal genggaman, menahan amarah. Kali terakhir bertemu dengannya, wanita itu nampak seperti wanita yang lemah. Tetapi hari ini sudah bertukar menjadi kurang adab.

"Wang Shu Yan!" Latang Ying Hua memanggil nama itu.

Shu Yan menggigit bibir. Dia bingkas bangun dari tempat duduknya. Wu Xiao Hua benar-benar melampau!

"Okey! Betul kata awak. Saya dah letih untuk berpura-pura," celah Ying Hua pantas.

Sinis Shu Yan ketawa. Dia memeluk tubuhnya sambil merenung tajam ke anak mata wanita itu. Permainan sudah tamat. Wanita itu sememangnya sengaja menipunya. Hilang ingatan hanyalah satu helah sahaja.

Dia menepuk tangannya. "Saya fikir awak masih nak bertahan dengan penipuan..."

"Wang Shu Yan, saya akan buat awak jatuh cinta pada saya semula!" potong Ying Hua pantas sambil merundingkan jarinya ke arah Shu Yan.

Yuan Zhen yang berdiri di sebelah Shu Yan sudah tersenyum kecil. Terasa wanita itu begitu berani meluahkan perasaan sebegitu. Sedangkan Wu Xiao Hua yang dia kenal, sifatnya penuh dengan pemalu. Luahan dihadapan orang ramai seperti sekarang sememangnya sangat mengejutkan. Nampaknya Wu Xiao Hua yang sekarang benar-benar unik.

Shu Xian pula seperti tidak menyangka hal itu akan terjadi. Seperti terkena serangan jantung selepas mendengar luahan perasaan itu.

Tangan Shu Yan mengepal geram. Ikutkan hati mahu sahaja diterkam wanita itu dan disiat-siat mulutnya. Sangat tidak beradab!

"Saya Wu Xiao Hua, suatu hari nanti akan dapatkan hati Wang Shu Yan semula. Saya takkan menduakan Wang Shu Yan lagi. Saya..."

Pang! Shu Yan terus menutup pintu dengan kasar tanpa mendengar wanita itu menghabiskan kata-katanya. Hatinya sakit seolah-oleh dipemainkan di hadapan orang lain. Wu Xiao Hua cuba memalukannya!

Ying Hua hanya tersengih nakal. Misi pertamanya sudah berjaya!

"Wang Shu Yan! Ingat tu!" jeirt Ying Hua lagi. Itu kali pertama dia merasa puas dapat melihat wajah menjengkelkan itu seperti udang kepanasan. Dia tahu wajah yang merah itu bukan kerana malu tetapi kerana menahan api kemarahan.

"Hah awak dan awak sebagai saksi luahan cinta saya pada Shu Yan ya! Bye!" ujar Ying Hua dengan wajah bahagia. Dia terus berlalu dari situ sambil bernyanyi-nyanyi kecil. Dia puas! Sesi luahan perasaan itu hanyalah perkara yang cukup mudah sahaja. Semuanya kerana drama yang dia lihat sebelum ini.

Walaupun umurnya sudah 25 tahun tetapi sehingga sekarang dia masih belum berpunya. Ada pun yang dia suka tetapi dia masih tidak berani untuk meluahkan perasaan. Tetapi kali ini berbeza. Kerana hatinya tiada lelaki yang bernama Wang Shu Yan. Dia langsung tidak rasa malu menuturkan cinta palsu itu.

Apa yang penting, rancangannya berjaya. Itu sahaja. Selepas Wang Shu Yan dapat maafkannya, dia mahu pergi dari situ dengan selamat. Jadi dia perlu bertahan untuk jadi wanita gila dan bodoh untuk seketika.

Yuan Zhen dan Shu Xian saling berpandangan sesama sendiri. Wu Xiao Hua bukan sekadar hilang ingatan tetapi juga sudah hilang kewarasan!

********************

"WAH tuan puteri! Xin Xin fikir Putera Yan akan marah. Tak sangka Putera Yan malu dengan kata-kata tuan puteri." Xin Xin sudah seronok melihat perubahan itu. Perubahan yang sangat baik. Suatu hari nanti pasti Putera Yan akan melayan tuannya dengan baik.

Ying Hua menggeleng kepala sambil tersenyum kecil. Jari telunjukkan digoyangkan menandakan tidak.

"Tak Xin Xin. Sebenarnya dia benar-benar marahkan saya."

Xin Xin menelan air liur. Hilang keseronokkan semenjak pulang dari kediaman Putera Yan.

"Macam mana kita nak buat, tuan puteri? Tuan puteri pasti akan dihukum!" Xin Xin sudah gelabah. Dia berjalan ke kiri dan kanan berkali-kali, cuba memikirkan jalan untuk keluar dari situ. Yang pasti tuannya tidak boleh dihukum!

"Ala... bertenang la. Awak nak takut apa? Dia hanya berani buli orang yang lemah aje." Selamba Ying Hua bersuara.

Xin Xin menggeleng kepala. "Tuan puteri... Putera Yan adalah ketua pemimpin tentera wilayah Shuxia. Berapa banyak musuh sudah dia kalahkan dengan tangannya sendiri. Berapa banyak ketua musuh dia bunuh dengan pedangnya. Macam mana tuan puteri boleh kata tak takut."

Saat Xin Xin memberitahu kebenaran itu, Ying Hua menelan air liur. Matanya sedikit terbuntang mendengar kebenaran itu.

"Kenapa awak tak bagitahu saya dari awal?" Ying Hua sudah tidak senang duduk. Macam mana dia boleh tertinggal maklumat penting itu. Dia cari pasal dengan ketua tentera? Memang gila la! Patutlah sepanjang masa ke hulur ke hilir dengan pedang.

Tangan Xin Xin dicapai pantas. "Xin Xin, awak rasa saya akan dihukum di penjara bawah tanah ke?"

Wajah Xin Xin sudah mahu menangis. Perlahan dia mengangguk. Air mata yang ditahan mula menitis.

"Jangan risau. Putera Yan takkan apa-apakan kalian berdua," celah satu suara membuatkan Xin Xin dan Ying Hua berpaling.

"Putera Xian..." Xin Xin segera menunduk hormat kepada putera ketujuh itu.

"Wah akak, tak sangka akak ada sikap yang berani macam ni," puji Shu Xian sedikit kagum sambil berjalan mendekati mereka berdua.

Ying Hua terkebil-kebil memandang lelaki asing itu. Lelaki yang sama dia jumpa di kediaman Shu Yan sebentar tadi. Kakak? Adik Xiao Hua ke?

"Oh! Saya Wang Shu Xian, putera ketujuh. Kita berdua selalu berborak bersama. Abang selalu suruh saya jaga akak waktu dia di kem ketenteraan," ujar Shu Xian ramah.

"Oh..." Ying Hua mengangguk.

Oh? Shu Xian tersenyum kecil dengan reaksi itu. Nampaknya kakak iparnya memang benar-benar lupa ingatan. Bukan seperti yang abangnya sangkakan. Melihat reaksi kakak iparnya itu, dia tahu itu bukan satu lakonan apatah lagi pembohongan. Kerana Wu Xiao Hua yang dia kenal sering menyambutnya dengan senyuman dan melayaninya seperti adik sendiri.

Dia melabuhkan punggungnya di kerusi batu itu. Kedua tangannya menongkat dagunya sambil memandang wajah kakak iparnya sambil tersenyum-senyum.

"Kenapa awak pandang saya macam tu?" Ying Hua sudah tidak selesa. Datang mana pula la perangai pelik adik Shu Yan ni. Eloklah, seorang asyik ugut nak bunuhnya. Seorang lagi pula berperangai pelik! Keluarga Wang ni memang spesis sakit mentalkah?

"Xiao Hua, abang tak ada kat sini. Jom kita keluar berdua."

"Hah?" Ying Hua membulatkan matanya sambil ternganga.

"Awak lupa ke kisah kita berdua, Xiao Hua?" tanya Shu Xian sedikit muram.

Ying Hua menelan air liur. Berapa ramai langsung Wu Xiao Hua ni curang? Putera sulung dan putera ketujuh? Wah Wu Xiao Hua! Kau memang murahan! Hatinya mula memaki pemilik nama Wu Xiao Hua itu.

Dia memandang Xin Xin tetapi gadis itu hanya membisu seperti tidak tahu apa yang berlaku. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke arah putera ketujuh itu.

Serentak itu dia bingkas bangun dan menepuk meja batu itu dengan kuat. "Wang Shu Xian, saya dah janji akan setia pada Wang Shu Yan sahaja! Lepas ni kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi!" Ying Hua terus berlalu dari situ namun langkahnya terhenti apabila mendengar lelaki itu ketawa terbahak-bahak.

Ying Hua berpaling dengan wajah geram. Muka lelaki itu nampak suci dan innocent tetapi jahatnya boleh tahan.

Shu Xian bangun lalu merapati kakak iparnya. "Akak, saya cuma bergurau aje. Nampaknya akak memang betul-betul hilang ingatan. Jangan risau, saya akan bantu akak untuk dapatkan kepercayaan abang semula."

"Hah?" Ying Hua sudah bingung. Tiba-tiba pula otaknya tidak mampu beroperasi dengan baik.

"Kita cuma ada hubungan kakak dan adik aje. Tak lebih dari itu. Sebab hati akak hanya ada pada abang Shu Yan. Mana mungkin akak sanggup menduakan dia," ujar Shu Xian lembut tapi bersungguh-sungguh.

Sebenarnya dia hanya ingin menguji. Ujiannya itu menguatkan lagi bukti yang menyatakan Wu Xiao Hua hilang ingatan. Tetapi abangnya sukar untuk menerima kebenaran itu kerana hati yang terlalu kecewa. Apapun yang kakak iparnya cuba buktinya, abangnya lebih rela memejam mata hanya kerana tidak mahu diperbodohkan untuk kali kedua.

"Fuh..." Ying Hua mengurut dadanya. Mati-mati dia ingat Wu Xiao Hua bersama putera ketujuh itu.

Shu Xian ketawa dengan reaksi itu. Dia menunduk hormat pada wanita itu memohon maaf. "Maafkan saya, akak."

"Tak pe. Tak pe. Nasib tak ada serangan jantung. Kalau tidak dah lama jalan." Sempat lagi Ying Hua berseloroh membuatkan Shu Xian tersengih kecil.

Sememangnya lawak yang boleh mendatangkan maut!

Next chapter