webnovel

Bab 8

Bab 8

Malam itu agak terang dengan cahaya dari sinaran bulan. Makcik Montel sejak awal berjaga menanti penghuni rumah terlena. Dia perlahan-lahan bangkit lalu merangkak mendekati tempat pembaringan Wati. Kelihatan wanita yang sarat hamil itu tidur dengan nyenyaknya.

"Sudah sampai masanya. Aku tidak perlu lagi menunggu. Janji tetap janji." gumamnya dalam hati. Pantas dia mencengkam perut Wati dengan kuat sehingga wanita itu menggeliat dan mengerang kesakitan.

"Aduh..pedihnya perut. Aduhh mak..sakit" erangan Wati yang pada mulanya perlahan semakin kuat sehingga mengejutkan Tok Jusoh dan juga Shahril yang tidur di ruang tamu paling hadapan.

Terpisat-pisat kedua lelaki itu bangun lalu menghampiri Wati dan Makcik Montel yang sememangnya tidur di ruang tamu kerana keadaan Wati yang tidak berapa sihat.

"Kenapa dengan Wati mak?" tanya Shahril risau. Dilihat keadaan Wati seakan-akan isterinya itu sudah sampai masa mahu bersalin, sedangkan kandungannya baru memasuki 8 bulan. Masih lagi punya masa.

"Apa yang dibengongkan lagi tu, Shah?? pergi ke rumah Bidan Misah, katakan Wati mahu beranak." arah Tok Jusoh tegas.

Shah masih lagi berdiri tidak bergerak. Tubuhnya terasa kaku. Kakinya terasa berat untuk melangkah.

"Ah! Sudahlah.. biar aku temankan kau ke sana jemput Misah. Nak harapkan kau payah" bebel Tok Jusoh. Segera baju disarung ke tubuh, Tok Jusoh terus menarik Shahril keluar dari rumah.

"Sakit mak.. perut Wati sakit!" ujar Wati sedikit menjerit. Makcik Montel pula semakin galak menekan-nekan dan meramas perut Wati dengan kasar.

"Kenapa Tok dan suami kamu tu lambat sangat?. Mak tidak boleh tunggu lagi. Bangunlah, ikut mak ke rumah Bidan Misah."

Tubuh Wati di bangunkan lalu dipapah perlahan keluar dari rumah. Wati hanya menurut. Mereka segera menyarung selipar dan terus berjalan menghala ke jalan. Tetapi, Wati merasa sedikit aneh, jalan yang mereka lalui bukanlah laluan ke rumah Bidan Misah.

"Mak, mak nak bawa Wati ke mana ni? Ini bukan jalan ke rumah Bidan Misah." tegur Wati. Perasaannya ketika ini berasa tidak enak. Di tambah pula sakit di perutnya semakin keras.

Makcik Montel hanya mendiamkan diri, semakin jauh langkah mereka dari halaman rumah, semakin kuat Makcik Montel menggenggam pergelangan Wati.

Wati tidak dapat menahan lagi. Tangannya pantas ditarik. Langkah kakinya terhenti dan dia berdiri tegak sambil memandang tubuh emak mertuanya yang membelakangi dia.

"Mak.. mari kita balik. Wati baik-baik sahaja mak. Rasanya Tok dengan abang dah sampai ke rumah bawa Bidan Misah tu. Mesti mereka kalut bila kita tak ada di rumah sekarang ni" kata Wati. Cuba memujuk emak mertuanya.

Namun, kata-kata Wati langsung tidak mendapat riaksi Makcik Montel. Tubuh gempal itu masih kaku. Wati melangkah satu persatu menghampiri emak mertuanya secara berhati-hati. Kemudian, bahu emak mertuanya di sentuh lembut. Apa yang lebih memeranjatkan, tubuh gempal itu terasa dingin apabila di sentuh.

"Mak.. maa..rrr.." belum habis Wati berkata-kata.. dia pantas mengundur. Dadanya tiba-tiba sahaja terasa sesak dan sukar untuk bernafas. Lidahnya keras dan tubuhnya kaku serta merta. Apa yang dilihat di hadapan matanya memang sukar untuk dia percaya.

Makcik Montel tersengih-sengih menampakkan dua siung yang melengkung tajam. Lidah panjang berwarna hitam bercabang terjulur keluar masuk. Perlahan-lahan kulit wajah gebu milik Makcik Montel koyak dengan sendirinya dan muncul sisik-sisik hijau kehitaman merata di wajah dan juga seluruh tubuhnya, sepasang kaki milik Makcik Montel pula sudah menyatu menjadi ekor yang sangat panjang.

"Mmmaammmaaaakkk.. makkkk!!!" jerit Wati tiba-tiba. Dia mahu melarikan diri, namun kakinya tidak dapat bergerak walaupun seinci, seolah ianya di paku terus ke tanah.

"Perempuan tu dah mati..sssss… kini, hanya ada aku dan kau sahaja. Ssss…."

Semakin membulat mata Wati kerana ular besar yang berada di depan matanya boleh berbicara seperti manusia. Wati yang terkejut jatuh terduduk. Dia mula terbayangkan emak mertuanya apabila berdepan dengan makhluk menakutkan ini dan cara bagaimana dia dibunuh.Wati memejamkan mata, tidak sanggup rasanya ingin membayangkan cara emak mertuanya menghadapi kematian.

"Kau perlu serahkan bayi itu kepadaku. Ssss…..jika tidak, nyawa mu juga akan melayang seperti mana perempuan itu"

"Tidak! Aku takkan serahkan anak aku kepada kau! Tak akan!" jerit Wati. Tubuhnya lencun di basahi peluh. Seboleh-bolehnya dia mahu bangkit untuk melarikan diri. Namun, usahanya gagal dan ular besar itu pantas membelit tubuh Wati.

"Lepaskan aku! Lepaskan aku! Kalau Tok Jusoh tahu siapa kau, pasti dia akan membunuh kau. Sebelum itu terjadi, lebih baik kau lepaskan aku"

"Memang itu yang aku tunggu selama ini.. sssss…kau jangan bimbang manusia, mereka akan datang. Ssss…" dengan pantas, ular besar itu menyusup dalam rimbunan buluh dan menghilang tanpa menyedari ada dua lelaki yang telah menyaksikan kejadian itu.

Di rumah..

Tok Jusoh, Shahril dan Bidan Misah sudah tiba di rumah dan memberi salam. Tetapi, salam mereka bertiga tidak bersahut. Keadaan rumah sunyi sepi seperti tidak berpenghuni. Apa yang lebih menghairankan ialah, pintu utama terbuka luas.

"Ke mana mereka berdua ni pergi?" soal Bidan Misah. Segala peralatan di letakkan di atas lantai rumah.

Shahril berlari anak masuk ke dalam rumah, dapur dan juga kamar beradu mereka. Namun, kelibat Wati dan juga emaknya tiada.

Bidan Misah duduk di tangga melepaskan lelah, tudung di kepala pula dijadikan kipas untuk melegakan kepanasan dan bahang yang terasa.

"Misah, kau tunggu di sini dahulu. Tengok-tengokkan rumah aku. Aku dengan Shahril nak ke rumah Alang, mana tahu mereka berdua ada di sana" kata Tok Jusoh menitip pesanan.

"Baiklah, Jusoh. Aku tunggu di sini, takut-takut Montel sama Wati pulang nanti" kata Bidan Misah bersetuju.

"Baiklah kalau begitu. Shah, ikut Tok ke rumah Alang sekarang" arah Tok Jusoh. Lantas, mereka berdua berjalan terus menghala ke rumah Tok Alang untuk memeriksa keberadaan Makcik Montel dan Wati.

Dalam 10 minit sahaja mereka tiba di hadapan rumah Tok Alang. Salam di beri dengan suara yang kuat.

Tidak lama kemudian, lampu di beranda hadapan menyala dan terjengul wajah mamai Tok Alang di muka pintu.

"Wa alaikumsalam. Hah kau rupanya Jusoh, Shah..tengah-tengah malam datang ke rumah aku ni ada hal apa sebenarnya?" soal Tok Alang sampai melabuhkan punggungnya di tangga. Sesekali, dia menampar wajah dan tubuhnya yang tidak berbaju kerana dihinggapi nyamuk liar.

"Wati sama Montel ada di rumah kau kah, Alang?" soal Tok Jusoh, risau. Dadanya kelihatan turun naik. Nafasnya juga tidak teratur.

"Tak ada. Jusoh. Kan Wati tu tidak sihat. Mana boleh dia berjalan waktu lewat begini" ujar Tok Alang.

"Kalau tidak ada di sini, ke mana mereka berdua pergi? Tadi, Wati sepertinya sudah mahu beranak, terjerit-jerit katanya sakit. Cepat-cepat aku dengan si Shah ni keluar menjemput Si Misah tu datang. Minta dia tolong tengok-tengokkan Wati. Sampai di rumah, Wati sama Montel hilang. Ini yang buat aku kalut, Alang" luah Tok Jusoh. Pucat wajah lelaki tua itu kerana bimbang dan takut jika berlaku apa-apa kepada anak cucu menantunya.

"Kau tunggu di sini sebentar. Aku mahu ambil baju dulu, aku bantu kau cari mereka" kata Tok Alang yang terus melangkah masuk ke dalam rumah. Kemudian lelaki berjambang itu keluar dengan membawa sebiji lampu suluh.

"Ayah nak ke mana tu?" jerit Anum dari dalam rumah.

"Kau kunci pintu, Anum. Jangan buka selagi aku belum pulang. Aku mahu tolong Tok Jusoh kamu ni cari Wati dan Montel" balas Tok Alang.

"Kenapa dengan Wati dan Makcik, ayah? Sudah sampai masa Wati beranakkah? Anum mahu ikut" kata Anum yang terus meluru keluar mengikut Tok Alang.

"Bukanlah.. Wati sama Makcik kau hilang. Ini yang Tok Jusoh kamu ni datang mencari mereka di sini. Sudah, kau masuk ke dalam. Jangan keluar. Ini tengah malam. Bahaya" ujar Tok Alang. Nada suaranya kedengaran tegas di pendengaran mereka yang ada di situ.

"Baiklah, ayah. Hati-hati ya" kata Anum sempat menitip pesanan.

Mereka bertiga terus berjalan sehingga ke kedai Mak Dah. Di situ terdapat tiga pemuda yang sedang melepak dan bermain gitar. Siapa lagi jika bukan Razi, Samsul dan Dollah Rongak.

Dari jauh, Tok Alang sudah menggelengkan kepala. Pelik dengan sikap anak-anak muda zaman sekarang. Sudah di beri peringatan agar jangan keluyuran di waktu malam. Sudahlah pembunuh Tok Din masih lagi belum di tangkap. Kematian Zaki pula langsung tidak menakutkan mereka bertiga.

"Assalamualaikum!" sapa Tok Jusoh dengan salamnya sambil mengangkat tangan.

"Wa alaikumsalam, eh Tok Jusoh, Tok Alang, abang Shahril pun ada juga? Kenapa ni Tok?" tanya Samsul. Gitar yang berada ditangannya, diletakkan atas meja.

"Kamu berdua ni kan aku sudah pesan berkali-kali jangan keluar malam. Bahaya. Kenapa degil sangat ni. Kalau berlaku apa-apa, bukan kamu sahaja yang susah, satu kampung ikut susah. Sudahlah warga kampung ni semakin berkurang" bebel Tok Alang panjang lebar. Sesekali lampu suluhnya yang terang menyilaukan mata tiga pemuda ini.

"Sudahlah tu, Alang. Itu bukan tujuan kami datang ke sini. Kami ke sini nak tanya kamu kalau-kalau kamu nampak Wati dan Makcik Montel lalu di jalan ini" soal Tok Jusoh inginkan kepastian.

Samsul memandang Razi. Begitu juga dengan Razi. Kedua-duanya saling bertukar pandang.

"Saya tak nampak mereka pun lalu dekat sini, Tok, lagi pun saya duduk dekat sini dah lama. Cuma, Razi dengan Samsul yang baru sampai" beritahu Dollah Rongak sambil tersengih-sengih.

"Kamu ada terserempak dengan mereka Razi?" soal Shahril pula.

Razi menelan air liur. Terasa perit di rengkungnya. Dadanya pula tiba-tiba sahaja berdebar-debar. Kejadian yang berlaku di hadapan mata mereka berdua cukup membuatkan mereka ketakutan dan hampir sahaja terkencing di dalam seluar. Razi dan Samsul kelihatan serba salah untuk memberitahu apa yang berlaku kepada Tok Jusoh. Takut jika mereka di tertawakan dan dikatakan gila.

"Baik kamu berterus terang dengan aku, Razi. Lihat pada riak wajah kamu, seperti ada sesuatu yang aku perlu tahu" kata Tok Jusoh. Tegas dan keras pada nada suaranya.

Razi dan Samsul tiada pilihan lain, mahu atau tidak, mereka perlu jujur dan berterus terang. Tambahan pula ianya berkaitan dengan anak dan cucu Tok Jusoh.

"Tadi, masa kami berdua mahu ke sini, kami nampak ada seekor ular besar membelit Wati, Tok Jusoh. Kami ingat itu cuma khayalan kami. Tapi rupanya ia benar. Ular itu benar-benar wujud, Tok. Apa yang lebih menakutkan, ular itu sebenarnya Makcik Montel. Kami nampak wajah dan badan Makcik Montel koyak dan timbul sisik-sisik hijau." terang Razi jujur.

"Betul apa yang kamu cakap ni, Razi? Kamu tidak tipu aku kan?" tanya Tok Jusoh inginkan kepastian. Dia benar-benar ingin tahu apa yang berlaku sebenarnya. Shahril yang baru sahaja mendengar penerangan Razi sebentar tadi sudah terasa mahu rebah. Ular sebesar itu sudah pun menculik isterinya. Bila-bila masa sahaja nyawa isterinya berada dalam bahaya. Air mata jantan keluar tanpa dia sedari.

"Betul Tok. Takkan kami nak tipu." ujar Samsul cuba menyakinkan Tok Jusoh.

"Kami dapat apa kalau kami menipu, Tok??" balas Razi pula.

"Dah tu, kenapa kamu bertiga masih ada dekat di sini? Tak nak balik? Tak takut ke?" soal Tok Alang pula,

"Saya dengan Samsul ni datang ke sini nak ajak Dollah balik bersama. Takut si Dollah ni tunggu kami lama dekat sini. Kami nak telefon pun, tak ada line dekat sini Tok" ujar Razi pula.

"Kalau macam tu, kamu bertiga tidak perlu balik dahulu, kamu bantu Tok cari Wati dan Makcik Montel. Kamu Dollah, beritahu kepada orang kampung. Kumpulkan mereka di balai raya" suruh Tok Jusoh.

"Sekarang ni Tok?" tanya Dollah Rongak. Terkebil-kebil matanya memandang Tok Jusoh.

"Sekaranglah. Takkan minggu depan pula" balas Samsul pula.

"Takutlah Tok."

"Samsul, teman Dollah. Razi, ikut Tok" arah Tok Jusoh.

"Itu pun takut" kata Samsul.

"Tok, Wati Tok. Kita kena cari dia cepat sebelum ular itu bunuh dia. Wati.."

"Tok sedang berusaha ni Shah. Janganlah kau risau, ular itu tidakkan apa-apakan isterimu. Tok jamin." pujuk Tok Jusoh untuk menenangkan cucunya.

"Jusoh, sudah sampai masanya. Kita berdua tidak boleh sembunyikan hal ini lebih lama. Shah pun perlu tahu hal ini kerana ini berkait dengan dia juga" bisik Tok Alang.

"Aku tahu itu, Alang, semuanya salah aku, salah aku. Aku yang berjanji dengan dia. Tapi, aku mungkir. Sebab itu semua ini terjadi." Tok Jusoh menundukkan wajahnya. Kesal dan rasa kekesalan itu langsung tidak bermakna lagi buatnya. Semuanya sudah terlambat.

Dalam masa setengah jam, beberapa orang kampung sudah memenuhi halaman balai raya. Masing-masing tertanya-tanya apakah yang berlaku kali ini. Ada di antara mereka yang masih terlena, tersandar di tiang balai raya sampai berdengkur.

" Ada sesuatu yang perlu aku beritahu. Aku dengan Tok Alang tidak boleh lagi menyimpan rahsia ini. Apa pun yang berlaku, kami akan bertanggungjawab sepenuhnya"

Bersambung..

Next chapter