webnovel

Bab 5

BAB 5

Shahril mengikuti Tok Jusoh ke kebun tebu. Ada peraih yang mahu membeli tebu-tebu datuknya itu. Hanya kebun tebu itu sahajalah yang menjadi sumber pendapatan mereka sekeluarga selain menganyam bakul dan tikar untuk di jual ke pekan.

Shahril hanya mendiamkan diri. Menurut apa sahaja yang di arahkan oleh datuknya itu. Dia tahu lelaki tua itu masih marah kepadanya sejak berlakunya kejadian yang menimpa mereka beberapa hari yang lalu. Sejak itu, Tok Jusoh tidak mahu berbicara dengannya walaupun hanya sepatah dua. Hanya berbicara hal kerja semata-mata. Untuk menemankan Tok Jusoh mengopi di beranda atau pun di pangkin pun Tok Jusoh sepertinya tidak sudi. Jika Shahril datang menghampiri, segera Tok Jusoh beredar pergi.

'Tok" panggil Shahril dengan lembut. Dia harus berlembut dengan datuknya untuk berbaik.

"Montel! Aku nak ke kedai Sidah ni hah, hantar batang tebu. Sekejap lagi Mat Din datang nak ambil. Aku pergi ni!" jerit Tok Jusoh dengan lantang. Shahril yang berada di hadapannya dicuekkan sahaja. Seolah-olah dirinya tidak wujud di situ.

"Biar Shah yang hantarkan Tok" Shahril cuba untuk membantu. Menawarkan diri untuk menghantar tebu-tebu itu ke kedai Sidah.

"Tak perlu. Aku masih kuat lagi. Masih bertenaga. Kau tak payah susah-susah. Kau jaga sahaja Wati dengan emak kau tu. Jangan di risaukan aku" ada nada tegas pada suaranya lalu lelaki tua itu terus berjalan meninggalkan Shahril di situ.

Shahril naik ke atas rumah. Membuka baju dan menyangkut bajunya di dinding yang berpaku. Dia berbaring di atas tikar mengkuang untuk melepaskan lelahnya. Cuaca tengahari begini walaupun agak panas dan membahang tetap membuatkan matanya mahu terlelap.

"Abang tak ikut tok ke kedai Mak Dah? Kesian tok angkat tebu banyak begitu. Panas berdenting pula hari ni, kesian tok" sapa Wati yang baru naik ke atas rumah dengan berkemban.

Shahril pantas membuka mata. Bangkit lalu duduk bersila, dia memandang isterinya yang sudah pun sarat membawa perut ke mana sahaja.

"Awak dari mana ni?" tanya Shahril.

"Dari perigi bang, mandi. Panas sangat cuaca hari ni, melekit badan Wati. Tak selesa" kata Wati sambil menutup semula tubuhnya yang separuh terdedah dengan sehelai tuala.

"Lepas ni jangan lagi mandi di situ, nanti abang buatkan saluran terus ke pelantar. Abang bina satu bilik air di situ. Emak pun sudah pesan jangan benarkan Wati mandi di luar memandangkan keadaan masih tidak selamat" beritahu Shahril. Lelaki itu bingkas bangun mendapatkan isterinya. Memimpin wanita itu masuk ke dalam kamar beradu mereka.

"Kenapa abang tak bantu Tok tadi?" tanya Wati lembut.

"Bukan tak nak bantu, tapi Tok yang tak mahu abang bantu. Tok masih marahkan abang, Wati. Abang tak tahu mahu buat apa lagi"

"Ini salah Wati, Wati yang beriya-iya mahu abang buru ayam hutan. Kalau Wati tidak mendesak, perkara ini tak akan terjadi. Maafkan Wati bang" Wati meletakkan kepalanya di bahu Shahril.

"Tidak mengapa, sayang. Lambat laun hati Tok akan lembut juga untuk memafkan abang"

***

Petang sedang beransur, sebentar lagi malam akan melabuhkan tirainya. Semua anak-anak kecil berhenti bermain dan bergegas pulang ke rumah apabila terdengar sahaja suara jeritan ibu masing-masing. Yang nakal tidak mendengar kata pasti akan dicubit. Berkerut wajahnya kerana menahan sakit.

Bulan menampakkan dirinya. Namun Makcik Montel tidak juga kelihatan. Tok Jusoh sudah mundar mandir di ruang tamu. Gelisah nampaknya orang tua itu.

"Tak kan kau tak tahu ke mana emak kau pergi?" soal Tok Jusoh.

"Emak kata mahu ke belakang mengambil pucuk ubi. tapi selepas itu emak langsung tidak pulang-pulang," jawab Wati. Air matanya mula mengalir.

"Mari Shahril, kita cari emak kau di belakang sana"

"Wati mahu ikut Tok. Wati takut tinggal sendiri di rumah,"

"Ah! Usahlah.. bahaya di situ. Kau tinggal disini sahaja dulu. Mana tahu emak kamu pulang sebentar nanti. Sekurang-kurangnya ada yang menunggu dia di rumah" Wati akur dengan arahan Tok Jusoh. Terkulat-kulat Wati memandang kedua lelaki itu melangkah keluar dari rumah sambil mengusap perutnya yang semakin membesar.

Shahril dan Tok Jusoh pantas menyarung selipar dan berjalan menuju ke belakang rumah. Terutama sekali di kebun kecil ubi kayu kepunyaan mereka.

Mereka berdua perlahan-lahan mencari sambil memanggil nama Makcik Montel agar wanita itu mendengar panggilan mereka. Setiap ceruk di suluh dan setiap semak yang meninggi di cantas untuk memudahkan pencarian.

"Ke mana agaknya mak kau pergi? Biasanya dia tidak pernah keluyuran ke mana-mana. Jika ya pun, hanya rumah Siti sahaja yang dia singgah. Itu pun hanya sebentar."

"Shah sendiri kurang pasti, Tok. Sememangnya mak keluar tadi hanya bilang mahu ke belakang memetik pucuk ubi." balas Shahril dengan jujur.

"Kalau begitu, kita mesti teruskan pencarian. Jika masih tidak di temui kita minta bantuan orang kampung. Tok pasti, mak kamu masih ada lagi di sini. Dia tidak akan pergi jauh." kata Tok Jusoh yakin. Hatinya dapat merasakan ini semua ada kaitannya dengan sesuatu. Sesuatu yang sedang berlegar-legar di fikirannya ketika ini.

"Baiklah kalau begitu Tok."

***

Di halaman rumah Tok Jusoh beberapa orang kampung berkumpul. Masing-masing meluahkan rasa aneh yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Sudahlah jasad mayat Fadil masih tidak ditemui. Zaki pula menghilang tidak tahu ke mana. Kini giliran Makcik Montel pula yang lesap. Masing-masing sudah merasa bimbang. Takut-takut mereka pula yang mengambil giliran.

"Semakin lama semakin pelik kampung kita ni. Seorang demi seorang dari penduduk kampung kita hilang. Pertama Fadil mati. Itu pun mayatnya masih tidak ditemukan. Kemudian si Zaki pula. Sekarang Makcik Montel. Selepas itu siapa pula?"

"Tentang Fadil, kita semua takkan dapat jumpa mayatnya selagi Tok Jusoh melarang kita ke hutan itu. Bukankah jasadnya berada di sana. Entah-entah sudah mereput atau hilang di makan haiwan buas"

"Betul juga. Jasad Fadil masih berada di hutan itu. Bagaimana kita mahu mencari dan mengambil mayatnya. Kalau tidak kerana Tok Jusoh melarang, sudah tentu kita semua terus ke sana mencari, tapi kalian sendiri tahu, hutan itu bukan tempat kita"

"Sudah! Kita turutkan sahaja apa yang Tok Jusoh arahkan. Sekurang-kurangnya kita masih selamat dan masih lagi mampu berwaspada."

Mereka yang berada di situ hanya mengangguk dan mengiyakan. Apa yang berlaku mereka hanya mampu bergantung harap kepada Tok Jusoh dan beberapa orang yang mereka bisa andalkan. Apa yang terjadi membuatkan mereka menyesal kerana tidak pernah mempercayai kata-kata Tok Jusoh tentang hal yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

***

Pagi ini, masing-masing sibuk mencari orang hilang. Wati pula di temani oleh Anum di rumah. Shahril tidak mahu isterinya bersendirian tanpa teman. Jadi, dia memohon jasa baik Anum untuk menemani Wati untuk sementara.

Ketika keduanya berada di dalam rumah sedang menikmati makanan tengahari, Makcik Montel muncul tiba-tiba di hadapan pintu. Wati dan Anum begitu terkejut apabila wanita gempal yang berpakaian compang camping dan kotor berlumpur pengsan di hadapan tangga.

Bergegas Wati dan Anum mendapatkan Makcik Wati yang sudah tidak sedarkan diri.

Kepulangan wanita itu segera dikhabarkan kepada Shahril dan Tok Jusoh melalui Anum.

Malam itu, Makcik Montel dibaringkan sahaja di ruang tamu agar lebih selesa. Jiran-jiran yang datang juga mudah untuk melawatnya. Anum dan juga Siti baik hati membantu Wati untuk menguruskan hal rumah.

Sejak Makcik Montel pulang dan sedar dari pengsan, sikapnya sedikit berubah. Jika sebelum ini, Makcik Montel ringan mulut berceloteh itu ini tentang pelbagai perkara, kini dia menjadi seorang yang pendiam. Berbicara bila perlu. Itu juga membuatkan mereka seisi rumah merasa bimbang.

"Mungkin itu kesan dari kejadian dia hilang agaknya, biarkanlah. Bagi emak kau berehat dulu. Lihat sahaja wajahnya, masih lagi pucat" kata Tok Jusoh.

"Yalah Tok. Mungkin itu sebab musababnya. Apa pun, Shah ingin bertanyakan kepada Tok. Bagaimana dengan Zaki Tok. Kita masih mahu mencarinya?"

Asap rokok daun di hembuskan ke udara. Berkepul-kepul asap itu menerawang lalu menghilang. Kedengaran Tok Jusoh mengeluh. Rasa putus asa mulai terbit dalam dirinya. Namun, dia harus teruskan demi sahabatnya Tok Alang. Zaki adalah menantu satu-satunya kepada anak perempuan tunggalnya, Anum. Walaupun dia tidak berapa suka akan lelaki itu, dia sebagai ayah haruslah bertanggungjawab. Ini kerana dia begitu sayangkan Anum. Sejak kematian isterinya, Hasnah ketika melahirkan Anum 23 tahun yang lalu. Anumlah tempat dia curahkan kasih sayang. Anum satu-satunya permata dalam hatinya. Dan kerana itu juga, Tok Alang tidak pernah mempunyai hasrat untuk berumahtangga semula walaupun sudah di desak oleh anaknya sendiri.

"Apa kata Tok minta bantuan polis. Mana tahu mereka punya cara yang lebih baik untuk mencari Zaki" akhirnya keluar juga cadangan itu dari mulutnya. Sebelum ini dia mahu mengutarakannya kepada Tok Jusoh namun di sebabkan lelaki tua itu masih dingin dengannya, Shahril terpaksa pendamkan sahaja.

"Jika tiada cara lain, kita lakukan ikut cadangan kau sahaja. Mana yang lebih baik, Tok turutkan. Asalkan Zaki di temukan. Engkau pergilah ke pekan bersama Kiran. Buat laporan dan minta pihak mereka membantu kita dan orang kampung mencari Zaki"

"Tok"

"Ya?"

"Tok rasa Zaki masih hidup lagi ke?"

Tok Jusoh berpaling menghadap Shahril. Keningnya yang sudah memutih terjungkit. Pandangan mata Tok Jusoh tepat memandang ke anak mata Shahril.

"Apa maksud kau, Shah?"

"Err.. tidak apa-apa Tok. Cuma Shah dapat rasa Zaki dah…" Shahril tidak dapat meneruskan kata-katanya lagi.

"Mati maksud kau?"

Shahril mengangguk perlahan.

"Aku juga merasakan hal yang sama, aku yakin dia sudah mati. Cuma, aku tidak pasti apa penyebabnya dan di mana jasadnya berada" ujar Tok Jusoh. Ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh lelaki itu. Sesuatu yang penting yang hanya dirinya sahaja yang tahu.

Bersambung…

Next chapter