Cinta adalah milik semua insan tanpa mengira perbezaan darjat keturunan ,usia, bangsa mahupun agama. Cinta Itu kepada Aein Najla bagaikan cahaya yang bakal menerangi suram dan menikam sukma. Namun cinta itu terpaksa dirahsiakan daripada pengetahuan ibunya. Bagai gumpalan mega kelabu mahu menghempap bumi cintanya, Iqie terpaksa bersetuju untuk dijodohkan dengan gadis pilihan ibunya. Jiwa Iqie penasaran. Bagaimana mahu mengukir mudah berhelah, mencipta resipi seribu ungkapan manis bakal dipersembahkan kepada dewi cintanya? Dalam masa yang sama , Aein Najla mengalami situasi yang sama. Namun bagi Aein Najla,pilihan kedua-dua orang tuanya adalah calon suami yang terbaik , pengukur cerah masa hadapannya. Aein Najla berdoa dan pasrah kepada takdir Allah. "Aku sanggup terima kenyataan bahawa jodoh kita tiada.Kau ikutlah kehendak orang tuanya, Iqie. Cintaku tetap utuh untukmu.Aku akan mendoakan kau berbahagia dengan pilihan orang tuamu. Aku sendiri kalau ada jodoh,aku akan berkahwin. Kalau sebaliknya, biarlah masa yang menentukan". Dapatkah cinta Iqie dan Aein Najla kembali bertaut erat? Apakah sikap patuh kepada orang tua dapat menjana kebahagiaan dalam istana cinta yang dibina? Berbaloikah pengorbanan mereka? Dapatkah perasaan yang berada di hati ,akan terus kekal di hati?
Selamat tahun baru! Gegak gempita sorakan dan jeritan daripada lautan manusia di Dataran Merdeka terpamer di kaca televisyen. Kegemilangan suasana bertambah lagi dengan pertunjukan bunga api berwarna -warni .Sungguh mengujakan. Hebat.
Tidak cukup dengan tayangan sambutan tahun baru , sambung pula dengan tayangan yang dikhaskan untuk sambutan itu. Itulah kali pertama gadis putih kuning itu menonton hingga larut malam. Beberapa kali tersengguk -sengguk menahan rasa ngantuk.
"Adik masuk tidur dululah, bang. Esok nak pindah rumah. Selamat malam ,bang". Baru dua langkah , tangannya disambar dan ditarik menyebabkan dia terduduk kembali di atas sofa fabrik lembut di ruang menonton itu.
"Relaks lah,dik. Adik tak mahu tahu ending cerita ni? Alah...pindah rumah esok ,bukan adik yang tukang angkat semua barang. Nah,minum kopi ni biar segar sikit mata adik. Rugilah tengok cerita sekerat jalan saja". Si abang menghulur secawan kopi yang masih berasap kepada si adik.
Mahu tidak mahu ,dia mengambil lalu menyisip seteguk dua. Matanya kembali segar terarah ke hadapan. Kehebatan pelakon handalan melakukan babak ngeri menarik minatnya. Namun,setelah 20 minit , matanya kembali mengecil, layu dan akhirnya terkulai juga kepalanya di penyandar sofa.
"Kejarlah cepat! Hei, lembab betul! Adik agak -agak dapat tak dia kejar dan tangkap musuh dia tu?". Hafizy menunjuk-nunjuk Kearah skrin, mengharap respon daripada adiknya. Dia menoleh ke kanan ." La...anak dara ni. Tertidur lelap juga sudahnya...Dik, pergilah masuk bilik tidur, nanti meleleh air liur tu..."
Aein Najla menyentuh kedua-dua kelopak matanya."Hmm...selamat malam, bang". Terhuyung-hayang tubuhnya menuju ke bilik tamu di sebelah ruang menonton itu."Selamat malam dik. Mimpi yang indah-indah!" Aein Najla mengangkat tangan tanpa menoleh ke belakang. Matanya bagai dihanyut besi pemberat sekilogram. Sudah hampir melekat kedua-dua kelopak atas dan bawah.
Masakan tidak, jam pada dinding sudah menunjukkan ke angka 3.00 pagi. Embun sudah mula menitis. Tidak lama lagi akan berkokoklah pula si ayam jantan menanda fajar bakal menyinsing. Hafizy masih bersengkang mata menonton tayangan istimewa sempena sambutan tahun baru.
Aein Najla yang sudah memboloskan diri ke dalam bilik, merebahkan tubuh ke tilam empuk. Pandangannya menerawang ke siling cantik berukir di dalam bilik tetamu itu. Dipejam-pejam matanya. Tidak mahu terlelap pula. Huh! Dia melepaskan keluhan.
Di luar, kedengaran mulut abangnya masih riuh mengulas cerita. Menonton sorang -sorang pun bising juga, desis hati kecil Aein Najla. Isteri dan anak-anak Hafizy telah lama dibuai mimpi. Lebih baik tidur kerana mereka perlu bangun awal keesokan harinya untuk menjalankan rutin harian.
"Baik-baik jaga diri. Jaga maruah di rantaian. Jaga nama baik keluarga. Jaga tingkah lakunya, jangan menyombong diri". Titipan nasihat daripada Pak Imam Irfan terngiang -ngiang di gegendang telinga Aein Najla.
Semalam sebelum berangkat. dia menyalami dan mengucup kedua-dua orang tuanya. Ibunya memeluk erat tubuh lansingnya. Terlalu berat hati mahu melepasnya keluar dari dakapan kepompong keluarga.
Itulah pertama kali si anak berpisah dan berjauhan daripada Mak Hani. Dia percaya setiap hujung minggu si anak akan pulang menemuinya. Kalau si anak tidak dapat pulang, mereka akan menjenguk gadis kesayangan mereka.
Apabila si gadis telah menjawat jawatan yang dicita-citanya sejak di bangku sekolah rendah lagi,dia berasa gusar apabila si anak tercampak ke alamat negeri lain. Mujur jugalah dalam negeri dan daerah tempat tinggal mentua anak sulungnya. Kedua-dua besannya peramah dan baik hati. Mereka yakin dan percaya bahawa mentua anak sulungnya dapat memberi layanan terbaik buat anak gadis mereka.
Aein Najla mengiring ke kanan menghadap dinding. Fikirannya mula mengimbau kenangan manis saat cintanya mekar berbunga. Kala lagu cintanya berdenyut berentak rancak dan hangat mendebarkan dada.
"Saya mencintai awak sepenuh jiwa raga saya. Saya sanggup berkorban apa saja untuk mendapatkan cinta awak. Walau kemana awak pergi, saya tetap akan menjejaki awak sayang". Si teruna bersuara. Malam terakhir selepas peperiksaan kertas akhir mereka bertemu.
"Saya tidak mahu menggantung segunung harapan kepadamu Iqie. Saya sedar diri saya ini siapa. Saya tidak setaraf denganmu. Saya hanya burung pipit yang tidak boleh bergan -dingan terbang denganmu Si enggang. Saya cuma anak orang kampung. Kami..." Bicara Aein Najla terhenti apabila Iqie secara spontan meletakkan jari telunjuknya di bibir Aein Najla.
"Shh...saya tidak pandang semua itu, sayang. Kemewahan wang ringgit, harta benda boleh kita berusaha mencarinya. Kecantikan hati budi dan keikhlasanmu tidak saya temui daripada mana-mana gadis lain. Saya yakin dan percaya kita akan dapat hidup bersama."lqie mengucup jejari.
Iqie pernah mengikut Aein Najla pulang berjumpa dan berkenal mesra dengan kedua-dua orang tuanya di Perak. Pak Imam Irfan suami isteri turut berkenan dengan perilaku terpuji yang dipersembahkan di hadapan mereka. Dalam hati mereka mengukir cerah masa hadapan anak gadis bersama pemuda pilihan hati.
Nging...Nging...Nging...PAP!
Aein Najla menampar seekor nyamuk yang bernyanyi riang di cuping telinga. Kacau betul!
Aku sedang enak memutar kenangan kisah silam, kau datang pula. Habis semua bertempiaran memori indahmu, marah Aein Najla tidak puas hati.
Aein Najla menyambut kehadiran tahun baru dengan berpindah ke rumah sewanya. Hari ini, lori dari kedai perabot akan menghantar katil, kerusi dan meja. Keperluan dapur dan peti ais kecil juga diturunkan dari perut lori.
Hampir dua jam mereka mengangkut dan menyusun atur perabot dan barang keperluan lain di rumah teres itu. Aein Najla membancuh air oren dan menghidang makanan yang dibeli oleh abangnya. Mereka menjamu selera setelah penat memunggah barang.
"Abang balik dululah, dik. Esok abang mahu balik ke Kajang," Ujar Hafizy meminta diri.
"Semalam abang kata, lusa baru mula kerja. Adik nak abang bawa adik pergi tengok Masjid Kristal. Bolehlah kita pergi esok, bang". Perangai manjanya tidak berubah-ubah kalau dia bersama abangnya. Macam budak kecil minta susu.
"Lain kali abang balik sini, abang bawa adik berjalan-jalan. Sekarang abang nak balik rumah mentua abang. Jaga tingkah laku, jaga maruah keluarga". Kemudian Hafizy menyeluk saku seluar dan menghulurkan beberapa keping not seratus.
Aein Najla yang mulanya tadi mahu merajuk, berubah rona wajahnya apabila melihat warna wang kertas yang dihulurkan abangnya."Tak payahlah, abang. Duit simpanan adik masih ada".
"Ambillah,dik. Adik lambat lagi dapat gaji. Abang pula jarang balik sini."Sudah abang beri tu, ambil sajalah. Pura-pura sahaja tak mahu tu". Selamba Danish bersuara. Aein Najla memandang kearah Danish.
Mahu tidak mahu, Aein Najla terima juga pemberian Hafizy. Dalam hatinya bersuara, lebih baik memberi kepadanya yang sah sah ada pertalian darah. Apatah pula pendapatan abangnya memang lumayan.
"EMM...Apa nak buat ni? Aein Najla menyoal diri sendiri. Mahu menonton, televisyen pun tiada. Tersenyum sendirian Aein Najla apabila mengenang abangnya. Abang yang selalu memanjainya. Abang yang sering memanggilnya adik. Walaupun dia sudah besar panjang begini, walau dimana saja tidak kira dia berbual dengan kawan-kawan atau sesiapa saja, tetap itulah panggilan kepadanya.