Pertahanan Malaya berjaya dipatahkan. Berjuta umat manusia bergelimpangan bermandian darah akibat dari pertembungan dua kuasa yang berjiran. Begitu ramai jiwa yang tidak bersalah terkorban dek kerana kerakusan pemimpin durjana.
Jauh di Kota Modèra, rombongan Chongkorn telah mencemar duli menemui Permaisuri Alya. Biarpun sekadar bayangan atau hologram yang berbicara, Congkorn begitu lemah dihadapan kekasihnya itu. Mereka berbicara dengan bahasa yang tidak difahami. Bala tentera yang mengiringinya dilarang keras untuk menghampiri lokasi pertemuan itu. Setelah semuanya selesai, wajah Chongkorn yang tadinya kelihatan bersemangat dan ceria berubah bengis. Arahan untuk menggandakan serangan diterima dengan api amarah yang menggunung. Kekalahan Tentera Roah di abad ke 21 memberi tamparan kepada Permaisuri Alya. Dia mahu lelaki bernama Aduka Alam itu dipenggal lehernya sebelum dia sempat melepasi Gerbang Kolun untuk dia kembali ke zaman lampau ini. Pastinya Aduka Alam sudah mendapat petunjuk akan kelemahan tentera Roah yang hanya diisi oleh jiwa seorang kanak-kanak yang dikokunkan. Malah Permaisuri Alya juga memaklumkan bahawa terdapat petualang yang menjadi duri dalam daging pemerintahan Modèra. Segala rahsia serta perancangan Roah dan Kerajaan Modèra disalurkan secara rahsia oleh petualang ini. Barulah dia sedar mengapa Siluman Siam yang menghilang tiba-tiba muncul di istana beria-ia mengangkat sumpah taat setia kepadanya. Rupa-rupanya semua hanya lakonan semata-mata.
Demi mendapatkan maklumat rahsia, lelaki yang sudah dianggap sebagai pakciknya itu ternyata musuh dalam selimut. Biarpun perumpamaan itu lebih tepat menggambarkan dirinya, dia tetap menaruh percaya bahawa apa yang dilakukan ini demi kelangsungan hidup manusia sejagat. Lantas kuasa besar yang menyaingi Modèra harus dihapuskan.
**************************
Mesyuwarah antara empat pemimpin ulung telah lama selesai. Badang Selatan, Guruh Purnama, Siluman Siam serta Tok Pepatih telah berjaya menyimpulkan akan malapetaka yang bakal terjadi. Disarankan agar Siluman Siam kembali ke pangkuan Kerajaan Modèra lantas membongkar rancangan jahat Chongkorn. Biarpun situasi agak merbahaya, Siluman Siam harus berkorban jiwa dan raga agar keamanan kembali bertaut antara dua kuasa ini. Tok Pepatih yang mewakili wilayah barat Malaya, bersetuju untuk menggerakkan bala tenteranya bagi membentuk pertahanan kedua menyekat kemaraan angkatan tentera Modèra yang diketuai Jeneral Belongron. ini bagi membantu sekiranya Pertahanan Utara yang dipimpin Guruh Purnama berjaya ditembusi.
Siluman Siam yang berperanan untuk mengneutralkan pahlawan yang ragu-ragu dalam peperangan kali ini kelihatan mengalami kesukaran kerana rata-rata pahlawan yang mendominasi balapan perang sangat mencemburuinya. Ini adalah disebabkan Siluman Siam begitu disayangi oleh bala tentera biasa serta keluarga diraja. Maka setiap ajakan untuk menghindari peperangan adalah amat mustahil. Ini menjadikan armada tentera yang merobek sempadan adalah amat kuat dan ampuh. Siluman siam yang kecewa terpaksa membawa diri kerana penyamarannya jelas telah dihidu oleh raja muda yang kejam itu.
Kini bala tentera Modèra telah menakluk 1/3 wilayah Malaya. Biarpun kuasa serangan semakin mengecil, kekuatan tenteranya itu masih mampu melenyapkan kekuasaan kesultanan Melaka di Malaya. Di Wilayah barat Malaya sudah menanti jutaan tentera dengan kekuatan maksimum untuk menangkis serangan Jeneral Belongron. Tok Pepatih begitu yakin bahawa serangan itu bakal terhenti di sini.