webnovel

Larangan ke Langit

Editor: EndlessFantasy Translation

Linley masih lagi terbaring di tengah-tengah padang rumput. Jantungnya berdebar sambil memerhati. 'Sekurang-kurangnya ada lima puluh atau enam puluh rumpun Rumput Biru Hati dalam timbunan ini.' Linley memaksa dirinya supaya jangan terlalu teruja. Tetapi yang paling menghairankan Linley ialah…

Bebe masih merasakan rumput yang diambilnya tidak mencukupi. Dia terus-menerus menggali Rumput Biru Hati lain.

'Mampukah Bebe membawa timbunan sebesar ini dengan dua tangannya yang kecil itu?' Linley menjadi bingung. Dia segera memanggil Bebe secara mental, 'Bebe, cukuplah itu. Kembali semula ke sini.'

Bebe mendongak dan melirik ke arah Linley sambil mengerutkan hidung kecilnya. 'Nantilah dulu. Ada banyak lagi ni.'

Pada ketika itu, seekor Naga Veloci yang sedang minum air di sungai berhampiran kebetulan melihat ke arah di mana mereka berada. Pandangannya jatuh kepada Bebe. Nampaknya, ia sudah menyedari kehadiran Bebe. Ia bangkit dari sungai. Ia mendengus keluar kepulan asap dan pandangan dinginnya tertumpu ke arah Tikus Bebayang kecil itu.

'Alamak.' Jantung Linley terus terasa sempit.

Jika Bebe bertarung dengan Naga Veloci, mungkin lebih banyak makhluk ajaib akan tertarik di situ. Jika itu berlaku, situasi akan bertambah buruk.

Bebe juga menyedari kehadiran Naga Veloci. Sebaik saja melihatnya, Bebe nampak ketakutan dan segera bersembunyi berhampiran Rumput Biru Hati. Ia 'menggigil'.

*Aum…* Naga Veloci mengaum puas hati. Ia terus tunduk untuk sambung minum di sungai.

'Bodoh punya makhluk. Sangat mudah untuk ditipu.' Bebe berkata secara mental dengan Linley.

Ketika itu, Linley tidak tahu sama ada mashu ketawa ataupun menangis. Dia tidak sangka si kecil itu akan berpura-pura lemah. Linley masih ingat setahun setengah yang lalu, Bebe berjaya memaksa Naga Veloci melarikan diri. Bebe kini satu tahun setengah lebih tua, tentu ia lebih kuat sekarang.

Bebe tidak sedikit pun takut akan Naga Veloci.

Sungguhpun begitu, Bebe ialah makhluk ajaib yang pintar. Ia tahu jika ia membuat kecoh, kedudukan Linley akan terdedah.

Manusia!

Makhluk ajaib lebih kejam terhadap manusia.

Di mata Naga Veloci, Bebe hanyalah makhluk yang sangat kecil dan lemah. Apabila ia nampak Bebe yang ketakutan, tentulah ia tidak terdetik untuk membunuh Bebe. Lagipun, Naga Veloci tahu dalam kalangan Tikus Bebayang, tikus berbulu hitam paling lemah.

Akan tetapi, Naga Veloci itu tidak tahu salah seekor daripada 'rakannya' teruk dibelasah oleh Bebe.

'Mengagumkan.' Linley mengangkat ibu jarinya.

Bebe ketawa dengan gembira. "Tentulah. Saya, Bebe merupakan Tikus Bebayang yang sangat pintar.' Ia melihat ke arah timbunan besar Rumput Biru Hati di sebelahnya. Bebe kemudiannya membesarkan saiz badannya secara dramatik, daripada 20 sentimeter kepada hampir setengah meter.

Dengan saiz yang lebih besar, Bebe dengan mudah dapat menggunakan dua belah kakinya untuk merangkul timbunan rumput itu ke dadanya. Kemudian, ia mengeraskan otot kakinya…

*Whoossh*

Bebe tiba-tiba mendarat di atas rumput bersebelahan dengan Linley.

'Bos, ada 160 rumpun Rumput Biru Hati di sini. Meminta saya, Bebe untuk beraksi ialah rancangan yang paling sempurna.' Dengan angkuh, Bebe mendabik dada kecilnya.

Dengan penuh kasih sayang, Linley mengelus kepala kecil Bebe. Selepas itu, dia menyimpan semua Rumput Biru Hati itu ke dalam beg galasnya.

'Mari kita teruskan penerokaan. Saya semakin ingin tahu tentang lembah ini.' Mata Linley bersinar apabila melihat ke arah timur. 'Banyak makhluk ajaib tinggal di lembah ini. Ia juga mempunyai kepadatan intipati unsur yang tinggi… Mmm, saya rasa kepadatan intipati unsur di sini ini lebih tinggi berbanding semasa kita turun tadi. Kepadatan intipati unsur di sini sepuluh kali ganda lebih tinggi berbanding dunia luar.'

Linley dapat merasakan…

Apa saja yang menyebabkan intipati unsur di lembah ini lebih tinggi berbanding normal, mesti datangnya dari arah timur lembah.

Linley meneruskan langkahnya menuju ke timur, merentasi rumput yang merimbun. Dengan bantuan Supersonik, mantera sokongan gaya angin, Linley mampu bergerak dengan pantas. Ahli sihir tahap tujuh menggunakan mantera Supersonik membantu seseorang bergerak tiga kali lebih pantas daripada normal!

Tiga kali ganda lebih pantas daripada kelajuan normal Linley sebagai seorang pahlawan tahap empat.

*Whoosh. Whoosh!*

Linley dengan tangkas bergerak dari satu tempat persembunyian ke tempat persembunyian lain, mengelak satu demi satu makhluk ajaib. Nasib dia baik. Selain daripada tempat perkumpulan Pegasus, kawasan lembah yang lain dipenuhi dengan rumput yang cukup tinggi untuk Linley bersembunyi.

'Dari kawasan aku masuk ke gaung hingga kawasan ini, rasanya aku dah menerokai kira-kira seratus kilometer ke timur.'

Linley benar-benar takjub.

Lebar Banjaran Gunung Makhluk Ajaib mencecah sekitar seribu kilometer. Jadi untuk sebuah lembah mengunjur lebih seratus kilometer panjang ialah sesuatu yang sangat menakjubkan. Berdasarkan jarak tadi, Linley sepatutnya sudah hampir dengan wilayah teras Banjaran Gunung Makhluk Ajaib.

'Hei bos. Ada beberapa ekor makhluk ajaib di sini.' Beba yang bertenggek di atas bahu Linley sentiasa mengimbas kawasan sekitar.

Linley mengangguk.

Dalam lingkungan beberapa kilometer di sekitar merek, hanya ada dua ekor makhluk ajaib yang kelihatan. Aneh sekali. Kepadatan makhluk ajaib yang tinggal di situ sangat rendah. Kedua-dua makhluk ajaib yang ada adalah Naga Veloci gergasi. Yang paling penting... kedua-dua naga Veloci itu berehat di atas tanah, sedang tidur.

'Hanya ada dua ekor Naga Veloci, sedang tidur pula tu.' Linley ketawa mengejek 'Kawasan ini mungkin bahagian paling mudah untuk direntasi sejak aku masuk ke sini. Tapi kedua-dua Naga Veloci itu lain sedikit daripada Naga Veloci biasa.'

Linley perasan badan Naga Veloci ini lebih besar berbanding kebanyakan Naga Veloci. Disebabkan mereka berbaring, dia sukar untuk mendapatkan kepastian. Akan tetapi, walaupun kedua-dua Naga Veloci itu sedang berbaring, ketinggiannya hampir sama dengan Naga Veloci biasa yang sedang berdiri. Di samping itu, badannya dua kali ganda lebih panjang daripada Naga Veloci biasa.

Semasa berbaring di atas tanah, kedua-dua Naga Veloci gergasi itu kelihatan seperti dua buah gunung kecil.

Untuk lebih berhati-hati, Linley menyelinap di kawasan berumput, dua puluh meter dari situ untuk melepasi dua Naga Veloci gergasi itu. Sungguhpun begitu, Linley tidak sedar ketika dia melalui kawasan rumput itu, ada bunyi berdesis kedengaran. Telinga kedua-dua Naga Veloci itu bergerak-gerak, walaupun matanya masih tertutup dan tubuhnya tidak berganjak.

Apabila melalui kawasan rumput, sudah pasti bunyi pergerakan akan terhasil.

Tetapi Linley tidak menghiraukan semua itu kerana pada pendapatnya, angin yang bertiup ke rumput juga akan menghasilkan bunyi yang sama. Cuma bunyi yang terhasil itu lebih perlahan berbanding bunyi orang melalui kawasan rumput. Linley menyelinap di celah-celah rumput sejak awal tadi tanpa menyebabkan kecurigaan.

*Swish!*

Satu kelibat kabur tiba-tiba membelah udara dan menuju ke arah Linley. Walaupun dengan sokongan teknik Supersonik, Linley hampir tidak sempat berhenti.

*Whack!*

Ekor naga yang panjang, sepantas dan selincah cemeti besi, melibas tanah betul-betul di hadapan Linley. Mungkin hanya setengah meter darinya. Tanah terbelah akibat libasan itu. Rekahan selebar satu meter terhasil di permukaan tanah. Linley tergesa-gesa menumpukan tenaga pada kakinya dan mula melarikan diri.

'Aku telah dikesan.' Jantung Linley bergemuruh.

*Aum!* *Aum…..*

Dua ngauman kedengaran sahut-menyahut. Dua ekor Naga Veloci yang tadinya tidur kini terjaga dan membangkitkan tubuhnya. Kedua-duanya setinggi bangunan empat tingkat. Panjang badannya sahaja sekitar empat puluh meter dengan ekor yang juga sepanjang empat puluh meter. Saiz kedua naga ini sangat mengagumkan.

'Ia sangat besar! Pasti ia golongan elit dalam kalangan bangsa Naga Veloci. Besar kemungkinan ia makhluk ajaib tahap lapan.' Jantung Linley berdegup kencang.

Naga Veloci ini merupakan makhluk ajaib tahap lapan pertama yang ditemui Linley di lembah ini. Sebagai seorang ahli sihir tahap tujuh, Linley mempunyai keyakinan untuk berhadapan dengan makhluk ajaib tahap tujuh. Namun begitu, apabila terserempak dengan makhluk ajaib tahap lapan, dia langsung tidak berani untuk cuba bertarung. Hal ini demikian kerana, semakin tinggi tahap, semakin jauh jurang perbezaan kuasa.

Hanya daripada nilai teras Magicite, kita sudah dapat menduganya.

Teras Magicite tahap enam. 1,000 syiling emas.

Akan tetapi, nilai teras Magicite tahap ketujuh mencecah 50,000 syiling emas! Oleh itu, jurang kuasa antara tahap enam dan tujuh kini boleh dibayangkan.

Teras magicite tahap lapan pula? Harganya boleh mencapai sehingga 500,000 syiling emas!

Bagaimana dengan teras magicite tahap sembilan? Nilainya lebih menakjubkan lagi, iaitu 5,000,000 syiling emas!

'Itu cuma anggaran kasar berdasarkan buku di perpustakaan. Realitinya, teras Magicite sesetengah makhluk ajaib yang bersaiz besar dan berkuasa tinggi sangat jarang ditemui. Oleh itu, nilai sebenarnya lebih tinggi. Biasanya ia tak dijual di pasar.'

Makhluk ajaib tahap lapan jauh lebih kuat berbanding makhluk ajaib tahap tujuh.

*Aum.* *Aum!*

Kedua-dua Naga Veloci tahap lapan itu saling bertukar pandangan. Pandangan matanya nampak terhibur. Selepas itu, ia berpaling dan meluru ke arah Linley dengan kelajuan tinggi.

Kepintaran makhluk ajaib tahap lapan menyamai kepintaran manusia.

*Whoosh!* Dengan kepantasan maksimum, Linley menggelabah melarikan diri ke arah timur sambil membaca mantera unsur angin, Teknik Terbang. Akan tetapi, memandangkan ia mantera ajaib tahap tujuh, pemanteraannya agak kompleks dan mengambil masa untuk dilaksanakan.

Ketika itu, Bebe juga tidak berani untuk menunjuk-nunjuk kebolehannya.

Ia mampu mengalahkan Naga Veloci tahap tujuh, tetapi Naga Veloci tahap lapan? Berdasarkan saiznya yang jauh lebih besar daripada Naga Veloci biasa, Bebe sedar giginya tidak mampu menembusi sisik untuk mencederakan daging naga itu.

Saiz badannya yang besar menandakan ia juga mempunyai sisik yang tebal. Setiap keping sisik Naga Veloci tahap lapan kira-kira setengah meter tebal. Di sebalik sisik-sisik itu, ia memiliki lapisan otot yang lebih tebal.

Mencederakannya ialah tugas yang sangat sukar.

Memiliki kelajuan pahlawan tahap empat, dibantu dengan mantera sokongan Supersonik, pergerakan Linley agak cepat berbanding Naga Veloci yang perlahan. Langkah makhluk gergasi ini sangat perlahan dan berat. Biarpun begitu, setiap langkahnya sangat besar jaraknya. Satu langkahnya bersamaan sepuluh langkah Linley.

Yang paling penting....

Ekor Naga Veloci tahap kelapan ini seperti cemeti besi. Dengan kelajuan seperti kilat, ekornya lebih tangkas berbanding Naga Veloci tahap tujuh. Dalam sekelip mata ia mampu bergerak dalam jarak berpuluh-puluh meter. Ketangkasannya menandingi Bebe.

Bumi bergegar apabila dua makhluk besar dan tegap itu mengejar Linley. Kedua-dua naga itu kerap saling bertukar pandangan aneh.

*Whoosh!*

Linley tiba-tiba terbang ke langit. Dia akhirnya selesai melaksanakan pemanteraan Teknik Terbang.

'Selamat juga aku akhirnya.' Linley segera terbang lebih tinggi. Melihatkan dua ekor Naga Veloci yang kini berada di bawahnya, Linley melepaskan nafas lega. 'Dua ekor Naga Veloci tahap lapan itu sangat sinis. Ia sengaja berpura-pura tidur untuk mengumpan aku.'

Sebenarnya, Linley tidak tahu kedua-dua Naga Veloci tadi langsung tidak berniat untuk mengumpannya.

Akan tetapi, kedua-dua naga tahap lapan itu sangat sensitif terhadap persekitarannya. Ia sudah terbiasa dengan bunyi angin melalui celah-celah rumput. Apabila terdengar frekuesi bunyi pergerakan yang berbeza, tentulah ia berasa curiga.

*Aum...*

Dua ekor Naga Veloci tahap lapan itu hanya memerhatikan Linley terbang. Ia langsung tidak nampak marah. Malah, ia mendongakkan kepalanya dan mengaum. Ngaumannya kedengaran… gembira.

Linley dapat membezakan bunyi ngauman keberangan dan bunyi ngauman kegembiraan.

*Aum…* *Aum…* *Aum… * *Aum…*

Tiba-tiba, kedengaran bunyi ngauman sahut-menyahut yang membelah udara di atas Linley. Berdasarkan jumlah ngauman itu, sesiapa pun dapat meneka jumlah makhluk ajaib yang menghasilkannya sangat besar.

'Semua makhluk itu ada di atas saya.' Linley berhenti terbang dan terapung-apung di udara. Dia mendongak lantas tergamam. Dari dalam kabus putih, satu demi satu makhluk jenis naga muncul. Setiap satunya sekitar 70 ke 80 panjang dengan rentang sayap selebar 50 ke 60 meter.

Banyak kelibat makhluk jenis naga bersaiz besar sedang berlegar dalam kabus putih itu. Sekilas pandang, Linley dapat meneka jumlahnya.

"Sekurang-kurangnya beberapa dozen." Linley rasa seperti tidak boleh bernafas.

Satu demi satu makhluk jenis naga turun dari langit. Sisik warna api miliknya bergemilang. Api meliuk-liuk di sekitar badannya.

'Naga Api!" Linley tahu situasi yang dihadapinya ini telah bertukar menjadi bencana.

Naga Api dikategorikan sebagai makhluk jenis naga kelas pertengahan. Kebanyakan Naga Api ialah makhluk ajaib tahap lapan manakala golongan elit bangsanya boleh mencapai kuasa tahap sembilan.

'Dua ekor makhluk ajaib tahap lapan pun sudah menyusahkan aku untuk jangka masa yang lama. Kini, aku perlu berhadapan dengan sepuluh sama yang boleh terbang.' Linley rasa sangat sengsara sekarang ini.

Dan pada ketika itu….

*Aum…* *Aum!*

Satu siri ngauman lain mula kedengaran dari arah berbeza. Kemudian, seekor demi seekor makhluk terbang, setiap satunya sama saiz seperti Naga Api, mula melebarkan sayap gergasinya dan terbang ke arah Linley. Makhluk jenis naga terbang gergasi itu mempunyai sisik berwarna hijau tua yang berkerlipan seperti jasper.

Makhluk jenis naga terbang dengan sisik jasper hijau tidak kurang jumlahnya berbanding Naga Api.

Kedua-dua Naga Veloci tahap lapan yang berada di bawah Linley juga mula mengaum geli hati. Matanya disinari niat jahat yang mengerikan.

'Sekarang aku faham mengapa aku hanya nampak dua ekor Naga Veloci tahap lapan di kawasan ini. Makhluk lain langsung tak kelihatan.' Linley berasa sangat sengsara. 'Besar kemungkinan, hanya makhluk ajaib tahap lapan yang dibenarkan untuk tinggal di kawasan ini. Makhluk ajaib tahap tujuh tak berani masuk ke dalam kawasan ini. Naga Api dan Naga Zamrud ialah makhluk berkumpulan jenis naga tahap lapan. Mungkin dua ekor Naga Veloci tadi hanya mempermainkan aku selama ini. Bila ia melihat aku terbang untuk melarikan diri, ia segera mengaum untuk memanggil Naga Api dan Naga Zamrud untuk datang ke sini.'

Lebih seratus ekor naga terbang mengelilingi Linley di atas langit. Barulah Linley menyedari apa yang sedang berlaku.

Tetapi kini, jalan keluar melalui langit telah terhalang untuknya!

'Bos, apa kita nak buat sekarang?' Suara kasihan Bebe bergema di dalam minda Linley.

Next chapter